Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Makin banyak negara ikrar 'sifar karbon' tapi apa itu sebenarnya atau setakat janji kosong?

Setakat mengikrarkan komitmen untuk melaksanakan dasar 'sifar pelepasan karbon' saja belum cukup untuk menangani perubahan iklim. Sekalipun jika setiap negara di dunia berjaya menepati sasaran masing-masing, had peningkatan suhu bumi di bawah Perjanjian Paris masih tidak akan tercapai.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Setakat mengikrarkan komitmen untuk melaksanakan dasar 'sifar pelepasan karbon' saja belum cukup untuk menangani perubahan iklim. Sekalipun jika setiap negara di dunia berjaya menepati sasaran masing-masing, had peningkatan suhu bumi di bawah Perjanjian Paris masih tidak akan tercapai.

(Gambar fail: AFP)

Negara-negara dan syarikat-syarikat perlu benar-benar berusaha untuk mengurangkan karbon dan bukan sekadar ‘menumpang’ kejayaan projek-projek atau kaedah-kaedah lain yang sering kali tidak berhubung kait.

Anda mungkin terdengar istilah “sifar pelepasan karbon” disebut-sebut sepanjang tempoh persidangan COP26, sedang para pemimpin dunia dan pegawai eksekutif sibuk berbincang tentang ikhtiar masing-masing untuk mengurangkan kesan yang didatangkan oleh negara atau perniagaan mereka terhadap perubahan iklim.

Amazon, misalnya, baru-baru ini mengumumkan lebih 200 syarikat sudah menyertai Ikrar Iklim yang ditubuhkannya dengan komitmen untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2040.

Namun apakah makna sebenar “sifar pelepasan karbon”?

“Sifar pelepasan” (“zero emissions”) - tanpa perkataan “net” (bersih) merujuk kepada karbon yang tidak dilepaskan ke atmosfera sama sekali.

Pelepasan karbon yang diimbangi penghapusannya (“net zero”) ibarat mengimbangi perbelanjaan dalam buku cek.

Sesebuah negara atau syarikat mengurangkan sebahagian besar pelepasan karbon menerusi penggunaan tenaga yang cekap dan bersih dan ia kemudian mengimbangi baki pelepasan karbon dengan mengurangkan karbon dioksida di atmosfera atau mengurangkan pelepasan karbon menerusi kaedah lain.

Sebagai contoh, pokok-pokok mampu mengurangkan karbon dioksida di udara dan maka itu ia dianggap sebagai ‘pelepasan negatif’.

Kerajaan Bhutan di banjaran Gunung Himalaya boleh mendakwa ia sudah mencapai sifar pelepasan karbon kerana hampir keseluruh bekalan elektriknya dijana menggunakan hidrokuasa atau 'tenaga air' dan hutan-hutannya berhasil menghapuskan sekitar dua kali ganda lebih banyak karbon daripada yang dilepaskan oleh kenderaan, kilang dan kegiatan manusia yang lain.

MUSLIHAT UNTUK MENGABURI MATA

Syarikat-syarikat mempunyai satu lagi cara untuk mendakwa seolah-olah mereka sudah mencapai sifar pelepasan karbon - mereka boleh mengambil kira pengurangan karbon di tempat-tempat lain dengan membeli kredit karbon.

Misalnya, sebuah syarikat di Amerika Syarikat boleh membuat bayaran untuk melindungi hutan-hutan di Amerika Selatan dan ‘pelepasan negatif’ melalui pokok-pokok di sana akan dianggap oleh syarikat tersebut seolah-olah sebagai usahanya untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Gambar hutan Amazon dipetik dari udara di kawasan Puerto Asis, Colombia pada 6 Nov 2021 (Gambar: Luis ROBAYO/AFP)

Gambar hutan Amazon dipetik dari udara di kawasan Puerto Asis, Colombia pada 6 Nov 2021 (Gambar: Luis ROBAYO/AFP)

Kredit karbon juga boleh diperolehi untuk menyokong projek-projek pembangunan mampan, seperti membina loji janakuasa dari sumber tenaga angin dan suria di negara-negara membangun.

Namun kebergantungan kepada kredit karbon juga mengundang kecaman kerana ia membolehkan syarikat-syarikat untuk terus melepaskan gas rumah hijau.

Antara keprihatinan lain, sesetengah projek sedemikian sebenarnya mampu dijayakan sekalipun tanpa pembiayaan dana syarikat luar. Pelepasan karbon yang dicapai juga mungkin tidak berkekalan dan bahkan sukar untuk disahkan.

Sesetengah projek, seperti menanam pokok, mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai tahap di mana usaha tersebut berhasil mengurangkan karbon dan sedang kita menantikan usaha ini membuahkan hasil, sebilangan syarikat akan terus melepaskan gas rumah hijau.

MENGAPA SIFAR PELEPASAN KARBON PENTING?

Gas rumah hijau memerangkap haba dekat dengan permukaan bumi. Apabila kepadatannya terlalu tinggi, ia akan meningkatkan pemanasan bumi.

Pada 2015, negara-negara seantero dunia bersepakat untuk menghadkan pemanasan bumi kepada tidak lebih daripada 2 darjah Selsius berbanding sebelum era Revolusi Perindustrian, dengan sasaran ditetapkan pada 1.5 darjah Selsius.

Untuk menghadkan pemanasan bumi kepada tidak lebih daripada 1.5 darjah Selsius, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan negara-negara dunia perlu mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

Untuk memberikan perspektif kepada sasaran-sasaran tersebut, sungguhpun suhu bumi kini hanya 1 darjah Selsius melepasi paras era sebelum Revolusi Perindustrian, kenaikan paras air laut dan cuaca ekstrem sudahpun menimbulkan pelbagai masalah.

Sebilangan negara, termasuk Amerika Syarikat, berikrar akan menepati sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

Namun, menurut analisis PBB pada pertengahan September lalu berhubung komitmen setiap negara di bawah Perjanjian Paris, sasaran-sasaran sedemikian masih belum cukup sekalipun jika setiap negara berhasil menepati sasaran masing-masing dengan suhu diramalkan meningkat sekitar 2.7 darjah Selsius menjelang akhir abad ini.

Untuk meneliti bagaimana sesebuah syarikat boleh mengimbangi pelepasan gas rumah hijau dengan penghapusannya, bayangkan sebuah syarikat bernama ChipCo yang menghasilkan, membungkus dan mengedarkan kerepek kentang.

ChipCo membeli bekalan elektrik daripada sebuah syarikat perbekalan tempatan untuk mengendalikan mesin di kilangnya. Ia juga memiliki dandang (boiler) yang menjana wap untuk memanaskan bangunan dan bagi menampung beberapa proses pengilangannya.

Dan ChipCo juga menggunakan lori untuk mengedarkan produk-produknya kepada para pelanggan. Setiap langkah ChipCo sepanjang proses tersebut menjana gas rumah hijau.

Untuk mengimbangi pelepasan itu, langkah pertama yang diambil ChipCo adalah untuk meningkatkan kecekapan ChipCo menggunakan tenaga.

Peningkatan pada penebatan dan peralatan boleh mengurangkan jumlah tenaga yang diperlukan atau dibazirkan. Salah satu langkah mudah adalah untuk menukar bal lampu pijar yang menggunakan tenaga 60 wat dengan bal LED yang sama terang namun hanya menggunakan 8 wat saja.

Langkah kedua adalah dengan menukar bahan bakar fosil - sumber utama di sebalik pelepasan gas rumah hijau oleh manusia - kepada sumber-sumber tenaga mampan, seperti tenaga suria atau angin yang tidak menjana gas rumah hijau.

Gambar: istock

(Gambar hiasan: iStock)

Sebaik saja ChipCo beralih kepada bekalan elektrik yang dijana menggunakan sumber-sumber tenaga mampan, ia boleh mengurangkan lagi pelepasan karbon dengan menggunakan kenderaan elektrik.

Rumah-rumah dan bangunan-bangunan pejabat juga boleh dibina mengikut piawai sifar karbon. Matlamatnya adalah untuk membina bangunan yang sangat cekap dalam penggunaan tenaga dan memanfaatkan sumber-sumber tenaga bersih untuk memanaskan bangunan dan menjana bekalan elektrik.

Langkah ketiga bagi ChipCo adalah untuk mencari kaedah-kaedah yang berupaya mendatangkan ‘pelepasan negatif’.

Ia mungkin terlalu mahal atau belum lagi ada teknologi seumpama itu untuk menggantikan dandang ChipCo dengan produk sifar pelepasan karbon.

ChipCo sebaliknya boleh membeli kredit karbon untuk menghapuskan jumlah karbon yang sama dari atmosfera, setara dengan jumlah karbon yang dilepaskan oleh dandangnya.

DESAKAN UNTUK KURANGKAN PELEPASAN KARBON

Syarikat-syarikat semakin mendapat tekanan daripada pemerintah, aktivis dan pelanggan mereka serta sesetengah pelabur yang berpengaruh untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Untuk menentukan sama ada sesebuah syarikat memandang serius terhadap tanggungjawabnya, pelan tindakan dan prestasinya boleh dinilai dan diteliti.

Sesebuah syarikat yang mengumumkan sasaran sifar pelepasan karbon pada 2030 tidak boleh melengah-lengahkan tindakan sehingga 2029. Ia perlu mencatat peningkatan secara konsisten dari segi kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga bersih dan bukan sekadar berjanji untuk berbuat demikian dan cuba mengimbangi pelepasan karbon. 

MENGENAI PENULIS:
Amrou Awaysheh adalah Penolong Profesor Pengurusan Operasi dan Pengarah Eksekutif Makmal Kemampanan Perniagaan di Universiti Indiana.

Sumber : Today/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa