Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Lupus bahasa dek sikap tidak peduli

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Hampir setahun lalu di Malaysia, Dr Teo Kok Seong, seorang sarjana Persuratan Melayu, membuat kenyataan mencabar bahawa ramai orang Melayu di negaranya bukanlah etno bahasa atau tidak peduli akan bahasanya. Komentar Mohd Raman Daud ini menyusuri suasana dan sikap berbahasa Melayu di Malaysia dan rantau Asia Tenggara sebagai induk rumpun Melayu.

Tercetus semacam suasana heboh di Malaysia pada pertengahan tahun lalu setelah Prof Emeritus Teo Kok Seong menyatakan bahawa umumnya masyarakat Melayu bukan etno bahasa atau cakap mudahnya, tidak peduli akan bahasanya.

“Itu teori saya. Dan saya mahu teori itu ditolak (dengan tegas) oleh orang Melayu sendiri,” tegasnya dalam satu forum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada pertengahan tahun lalu.

Hakikatnya, cabaran Prof Teo bukanlah baru.

Beliau sudah berkali-kali menekankan peri pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa penyatu dari peringkat atasan sehingga merakyat berbilang kaum Malaysia.

Ramai pejuang BM di Malaysia dari Persatuan Linguistik Malaysia sehingga Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) telah mengkritik sikap pimpinan terutama politik dan korporat yang mementingkan bahasa Inggeris, kelemahan pentadbiran dan sebagainya sehingga menjejas imej dan peranan BM.

DEMI MALAYSIA

Lahir di Kelantan yang majoriti penduduknya Melayu, Prof Teo, 70 tahun, menyifatkan dirinya sebagai “lebih Melayu daripada orang Melayu sendiri”. Beliau kini felo (ahli zamil) utama di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia dan sudah dianugerahi pelbagai pengiktirafan sebagai pejuang BM.

Dalam beberapa wawancara, beliau berasa peranan BM di Malaysia kurang berkesan kerana elit Malaysia lebih cenderung berbahasa Inggeris yang menjadi cerminan status ‘intelektual’ seseorang. Malah beliau turut mengkritik sikap kalangan kaum Cina dan India kerana meremehkan BM.

Apakah benar BM mengalami krisis keyakinan di Malaysia?

Menurut sarjana veteran Malaysia, Prof Emeritus Zainal Kling, suasana dan sikap berbahasa di Malaysia selalunya dicorakkan oleh golongan elit negaranya yang memuja Barat atau “mengada-ngada” dengan Bahasa Inggeris (juga dipanggil Anglophile).

Oleh itu, hujahnya, walaupun BM didukung oleh Perlembagaan dan pelbagai perundangan, selagi sikap tadi berterusan dan meresap ke jiwa rakyat, masa depan BM kian pudar.

Demi mengembalikan keyakinan pada BM, Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Ismail Sabri, telah melancarkan semacam kempen bagi memartabatkan BM di peringkat negaranya dan rantau ASEAN.

Namun langkahnya tanpa dijangka telah memancing tengkarah serantau. Kalangan bahasawan dan penggubal dasar di Indonesia berasa Bahasa Indonesia lebih layak mendapat iktiraf sebagai bahasa ASEAN berbanding BM.

Sejak ditubuhkan pada 1967, ASEAN menggunakan Inggeris sebagai bahasa rasminya.

Bagaimana pula suasana dan sikap berbahasa Melayu di Brunei, Indonesia dan Singapura?

MELAYU ISLAM BERAJA (MIB)

Konsep MIB telah menjadi teras penakatan Brunei. Oleh itu, peranan BM di Brunei terus diutamakan, termasuk penggalakan penggunaan tulisan Jawi. Ia juga merupakan anggota Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) dengan Singapura masih sebagai pemerhati. Walaupun demikian, Bahasa Inggeris (BI) merupakan bahasa penting di Brunei dan hampir semua elitnya boleh berkomunikasi dwibahasa – Melayu dan Inggeris.

Antara lain, Brunei telah menjadi paksi dalam penerbitan Kamus Bahasa Melayu Nusantara (3,128 halaman dengan 105,000 masukan) yang pertama memuatkan kosa kata lazim yang digunakan oleh ketiga-tiga negara anggota MABBIM.

Dengan penduduk hampir setengah juta jiwa dan kebanyakannya daripada rumpun Melayu serta dasar kerajaan yang teguh dengan citra MIB, Brunei dikatakan tidak dijangka menghadapi masalah dalam memartabatkan BM.

BAHASA PENYATU INDONESIA

Sejak peristiwa ‘Sumpah Pemuda’ pada 1928, Bahasa Indonesia yang asasnya adalah Bahasa Melayu Riau, terus mekar menerusi penggunaan di peringkat pendidikan sehingga pentadbiran. Malah ia dituduh sebagai ‘melenyapkan’ bahasa-bahasa dialek yang besar terutama Jawa, Sunda dan Minang.

Namun sejak Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa kian dominan di kota-kota besar seperti Jakarta, terdapat kebimbangan pada mutu Bahasa Indonesia yang baik, benar dan baku (standard). Demikian ulasan pojok bertajuk ‘Meninjau Ulang Sikap Kita atas Bahasa’ oleh Arief Balla dalam media, detikNews, pada 28 Okt 2019.

Dalam esei panjangnya bertajuk, ‘Sikap Bahasa Masyarakat Indonesia Terhadap Bahasa Indonesia (Suatu Tinjauan Kepustakaan)’, Doni Samaya dari Universiti Tridinanti Palembang (Jurnal Bidar, Jilid 8 Nombor 2 Edisi Oktober 2018), terhimpun dapatan berikut, antara lain:

- Ramai warga Indonesia lebih bangga menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Indonesia, walaupun mereka belum tentu menguasai bahasa Indonesia;

- Ramai di Indonesia berasa malu apabila tidak menguasai bahasa asing;

- Bahasa Indonesia dianggap remeh kerana kebanyakan orang merasa telah menguasai bahasa Indonesia; dan

- Ramai menguasai bahasa asing berasa lebih pandai dibandingkan dengan mereka yang tidak.

Indonesia dengan 270 juta penduduk merupakan ‘kubu’ BM.

Namun para bahasawannya menegaskan bahawa walaupun Bahasa Indonesia memang berasaskan Bahasa Melayu (Riau), namun rekayasa dan perkembangannya kian berbeza dengan Bahasa Melayu di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Mekarnya penggunaan bahasa Inggeris di Indonesia dikaitkan dengan sikap elitnya termasuk dalam kalangan pimpinan yang cenderung menggunakannya seperti Hari Tanpa Kenderaan Bermotor yang dipopularkan dengan istilah Car Free Day dan sebagainya.

Dalam pada itu, kalangan pencinta bahasa dialek di Indonesia telah cuba melestarikan penggunaan bahasa ibunda masing-masing.

KOSMOPOLITAN SINGAPURA

Jumlah penduduk Melayu Singapura hampir sama dengan Brunei, namun suasana kedua-duanya amat berbeza. Bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja telah menjadi dominan di Singapura sejak berpisah daripada Malaysia pada 1965 yang membawa kepada kemerdekaannya.

Banci Penduduk sejak 1980 sehingga 2020 menunjukkan penggunaan bahasa ibunda, termasuk BM, di rumah terus merosot.

Hal ini mendorong Dr Mohd Aidil Subhan Sulor menyarankan agar BM diajarkan dengan menggunakan Bahasa Inggeris (BI). Ini memandangkan anak Melayu lebih terbiasa berbahasa Inggeris berbanding dengan bahasa ibunda. Malah kelas tuisyen BM kian bertambah – suatu trend yang tercetus dua dekad lalu.

Adakah suasana BM akan merudum di Singapura di sebalik kegigihan Majlis Bahasa Melayu Singapura menghidupkan acara Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan serta tekad para guru BM sendiri?

Persoalan ini sukar dijawab kerana ruang dan masa untuk menggunakan BM kian terbatas sehinggakan kelas agama Islam juga diadakan dalam bahasa Inggeris. Padahal bahasa ‘kerohanian’ orang Melayu lazimnya ialah BM.

Dalam esei bertajuk ‘Sikap Pada Bahasa Melayu Dalam Kalangan Pelajar Melayu Singapura,’ dua pengkaji Ammar Asyraf bin Mansor dan Sa’adiah binti Ma’alip dari Program Pengajian Bahasa Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (rujuk: Jurnal Wacana Sarjana, UKM, Mac 2020 Jilid 4(2) Mac 2020: halaman 1-17), merumuskan bahawa para pelajar Melayu bersikap optimis akan penguasaan bahasa ibundanya.

MEDIA SOSIAL DAN PENYEJAGATAN

Meluasnya penggunaan bahasa Inggeris sering dikaitkan dengan trend penggunaan media sosial. Rantau rumpun Melayu Asia Tenggara tidak terkecuali dalam menuruti trend ini, terutama dalam kalangan generasi muda dan elitnya.

Misalnya, hasil tinjauan dari Balai Bahasa Bandung baru-baru ini, mendapati 70% bahasa media luar ruang lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris.

Menurut badan peninjau bahasa dunia, Ethnologue, bahawa setiap dua minggu, maka lupuslah satu bahasa kerana ketiadaan penuturnya atau generasi baru penuturnya sudah tidak peduli lagi. Kini terdapat sekitar 3,000 hingga 4,000 bahasa dunia.

Apakah BM atau Bahasa Indonesia akan mengalami nasib sedemikian?

Kalangan bahasawan seperti Dr Awang Sariyan, tokoh besar BM di Malaysia, menolak kemungkinan ini. Namun yang terutama baginya ialah memastikan pelaksanaan BM dari segi undang-undang sehingga kepada sikap rakyat biasa hendaklah dijayakan dengan bersemangat dan berilmu.

raman
Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS:
Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan