Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Luhurnya Bakti Guru Sebenar

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Luhurnya Bakti Guru Sebenar

Gambar fail seorang guru menjalankan satu kegiatan di dalam kelas.

SINGAPURA: Sempena Hari Guru, apakah kerjaya setua tamadun manusia bakal dimamah masa dengan munculnya kecerdasan buatan (AI) sehingga robot yang menyerupai manusia kelak?

Sasterawan Negara Malaysia, Dr Usman Awang (1929-2001) telah mengungkapkan erti guru dalam sajaknya yang terkenal, ‘Guru Oh Guru’, begini sedutannya:

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;


Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Hari Guru ialah pada 5 Oktober (bermula pada tahun 1994). Namun banyak negara yang menyambut, dari seawal Januari atau selewatnya Disember.
Jumaat ini, 30 Ogos ialah Hari Guru di Singapura. Singapura menetapkan Hari Gurunya pada Jumaat pertama dalam bulan September tetapi tampaknya terdapat perubahan bergantung kepada keperluan dari tahun ke tahun. Ada ‘Hari Guru’ pula dikaitkan dengan tokoh tertentu yang dianggap ‘guru bangsa’ seperti Domingo Faustino Sarmiento (1811-188) yang dijulang negaranya, Argentina, sebagai presiden yang membina pendidikan rakyat.

PERANAN GURU

Tidak syak, sejak bermulanya peradaban, insan yang bergelar ‘guru’ berperanan besar dalam kemajuan puak, kaum, masyarakat, bangsa atau negara.

Citra ‘guru’ menjurus kepada maksud insan yang mengajarkan ilmu dan menunjukkan tunjuk ajar yang baik dalam mendidik, menurut budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (1936-2015). Ia merupakan tugas paling mulia. Dan guru pertama insan, hujahnya, lazimnya sang ibu selaku pengasuh awal bayinya dan diikuti dengan asuhan keluarga sehingga secara rasmi mendapat ajaran dari guru di sekolah sehingga ke menara gading.

Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (Dr MAS, 1924-2016) pernah berceramah tentang ‘guru’. Beliau telah membezakan ‘guru’ dengan ‘cikgu’. Guru dari istilah Sanskerta iaitu gu + ru (pembimbing yang berilmu/berpekerti mulia), ujarnya, dapat dinilai dari segi makna leksikal (kosa kata) dengan makna kultural atau budaya.
“Guru seharusnya membudaya pada diri atau pekerti sehingga selepas bersara pun, orang itu tetap berbudi sebagai ‘guru’. Tetapi ‘cikgu’ ialah singkatan encik/cik guru yang hidupnya makan gaji sebagai pengajar. Selepas bersara, ada ‘cikgu’ yang menamatkan peranan ‘guru’,” ujarnya.

BERBILANG MARTABAT

Sejarah memaparkan bahawa ada insan yang berbilang peranan dan martabat. Misalnya, antara seramai 124,000 nabi (menurut sebuah hadis Nabi s.a.w), ada yang menjadi raja (Nabi Sulaiman) sehingga pendakwah saja. Nabi Muhammad s.a.w. pula dianggap oleh pemuka nasionalisme kulit putih, Michael H. Hart dalam ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ (1978) sebagai pemimpin teragung yang menggurui (memberi kesan mendidik kemanusiaan dari segi agama dan sekular).

Tugas ‘nabi’ dicirikan (menurut kalimat Arab) sebagai insan yang siddiq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fathanah (bijaksana) – kesemua ciri ini juga memancarkan prasyarat sebagai guru cita sempurna.

Dari segi Islam, tugas nabi diwariskan kepada ‘ulama’ (asalnya bertaraf ustaz dan ustazah atau jamaknya: ‘asatizah’) iaitu guru yang berilmu dan berakhlak mulia yang memiliki ilmu untuk akhirat dan ilmu untuk dunia. Tidak hairanlah dalam sejarah tamadun Islam, terdapat tokoh yang menguasai pelbagai ilmu seperti Al-Khwarizmi (790-850M) yang mempunyai ilmu yang luas termasuk mencipta ‘sifir’ yang dipanggil Algorithms iaitu ‘sebutan’ namanya dalam bahasa Latin. Tanpa sifir ini, maka tiada komputer atau internet!

Namun sejarah Islam juga menunjukkan bahawa di sebalik ‘tingginya’ kedudukan ulama, ada ulama yang berakhlak baik dan yang bejat (buruk). Menurut Imam Al-Ghazali (1057-1111M), ulama yang mulia rela berkorban jiwa raga demi kebenaran dan menolak rasuah sehingga perintah raja atau penguasa yang zalim.

Menyusuri apa jua ensiklopedia sehingga wikipedia di alam siber, erti ‘guru’ juga bertaraf-taraf – dari guru yang merupakan seorang ibu biasa sehingga guru sekolah dan ‘guru’ yang mengasaskan ajaran yang dianggap agama. Di India misalnya, Guru Nanak (1469-1539) dianggap ‘pengasas’ ajaran agama Sikh. Di China pula, Confucius (551-479SM) dianggap ‘pendeta utama’ atau ‘guru agung’ .

BUDAYA MELAYU

Dalam kebudayaan Melayu, ‘guru’ sebelumnya disebut ‘ajar-ajar’ . Kata ‘ajar’ bererti memberi petunjuk atau tunjuk ajar. Dari sinilah timbul kata terbitan – pelajar (yang belajar), pengajar (guru, pendidik, cikgu), pelajaran (apa yang diajarkan), pengajaran (teknik mengajar atau teladan), dan pembelajaran (proses dan teknik belajar).
Begitu tinggi kedudukan pengajar atau guru sehinggakan masyarakat kita memuliakannya. Hatta kini pun, kalangan orang Melayu di negara ini masih lagi meraikan bekas atau mantan guru mereka dengan mengadakan majlis perjumpaan bekas pelajar. Malah ada bekas pelajar yang walaupun sudah beruban tanpa segan silu ‘mencium’ tangan bekas gurunya apabila bersua!

Dr MAS pernah memberitahu saya bahawa selagi ada ‘rasa hormat’ pada guru, bermakna tamadun Melayu yang berteraskan Islam tetap utuh, tetapi sebaliknya pula jika berlaku “murid tidak menghormati gurunya lagi” atau “kurang ajar”. Memang dalam firasatnya mengenai masa depan keperibadian orang Melayu.

Ada peribahasa yang menegaskan ‘jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari’ – yang bermakna apabila cacat pekerti ‘guru’, maka mungkin rosak pekerti anak didiknya dan akhirnya masyarakatnya kelak.

Mempunyai sistem pendidikan yang terbaik di dunia memang menjadi idaman setiap negara. Tetapi modal utamanya tentulah guru yang semestinya memenuhi syarat yang mengangkat wibawanya. Hal ini tidak dapat dijayakan oleh teknologi semata walaupun dengan meluasnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) atau robot yang sarat dengan maklumat. Ini kerana ‘jentera’ tidak punya isi luhur dari segi pekerti dan pertimbangan baik dan buruk.

Sebab itulah, hujah alim besar Singapura almarhum Ustaz Syed Abdillah bin Syed Ahmad Al-Jufri (1938-2003): “Belajarlah langsung dengan berguru yang bertauliah walaupun teknologi semakin canggih.” Begitulah antara lain peri pentingnya guru yang perlu disanjung masyarakat dan negara. Namun pesan Dr MAS bahawa ‘guru’ juga perlu insaf untuk mengatasi kekurangan dan membina dirinya, bak dipantunkan:

Beluru buah beluru
Kedangsa buah kedangsa
Bukan mudah jadi guru
Matahari kampung penyuluh bangsa


Selamat Hari Guru!
Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS


Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan