Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Lima sifat warga Dunia Pertama – cabaran bagi masyarakat Islam S’pura

Islam amat jelas dalam menganjurkan sifat-sifat baik yang boleh menjadikan kita warga ‘Dunia Pertama’ yang tulen. Apa yang menghambat kita dalam menjadikannya satu realiti?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Lima sifat warga Dunia Pertama – cabaran bagi masyarakat Islam S’pura

(Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

BERITAmediacorp: Islam amat jelas dalam menganjurkan sifat-sifat baik yang boleh menjadikan kita warga ‘Dunia Pertama’ yang tulen. Apa yang menghambat kita dalam menjadikannya satu realiti?

Dalam satu rencananya baru-baru ini, Profesor Tommy Koh, diplomat tersohor Singapura, telah menulis mengenai ‘lima ujian bagi rakyat Singapura untuk lulus sebagai warga Dunia Pertama yang tulen’.

Beliau membuat pernyataan bahawa rakyat Singapura umumnya masih lagi berkelakuan seperti rakyat Dunia Ketiga, tanpa menafikan wujudnya ciri-ciri positif yang ada, walaupun kemajuan ekonomi dan teknologi dan kesejahteraan hidup di Singapura setanding dengan negara-negara maju di Dunia Pertama.

Beliau berharap agar warga Singapura dapat mengubah dan memperbaiki diri dan mencadangkan lima perkara berikut sebagai piawai atau petunjuk pencapaian mereka;

1. Menghentikan tabiat membuang sampah merata-rata.

2. Memastikan kebersihan tandas awam seperti di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

3. Berkelakuan sivik, sopan dan berbudi bahasa dalam hubungan sosial seperti mengucapkan terima kasih dan memberi tempat duduk kepada yang memerlukan.

4. Mempunyai celik budaya yang tinggi.

5. Keprihatinan yang tinggi terhadap isu-isu alam sekitar dan aktif menyumbang kepada pemeliharaan alam.

CETUSKAN PERBAHASAN

Artikel Prof Koh telah mencetuskan perbahasan dalam kalangan warga Internet dengan ada yang bersetuju dan ada yang tidak dengan pandangan beliau mengenai realiti warga Dunia Pertama dan masyarakat Singapura yang dikatakan mempunyai sifat-sifat warga Dunia Ketiga.

Mereka yang tidak bersetuju berpendapat pandangan Prof Koh tentang warga Dunia Pertama merupakan generalisasi yang simplistik kerana ramai dalam kalangan mereka juga bertingkah laku yang sumbang dan tidak seperti lima sifat yang dinyatakan oleh beliau.

Manakala warga Singapura pula tidaklah seburuk hingga wajar disifatkan sebagai masyarakat Dunia Ketiga (Third World people). Tanggapan buruk terhadap warga Dunia Ketiga beliau juga dinilai sebagai satu bentuk stereotaip ke atas mereka.

Bukan tujuan artikel ini untuk terlibat dalam kontroversi yang dinyatakan. Sama ada lima sifat yang disebut di atas itu tepat menggambarkan ciri-ciri warga Dunia Pertama dan kritikan terhadap masyarakat Singapura tepat tidak penting di sisi penulis.

SIFAT TERPUJI

Yang penting ialah hakikat bahawa kelima-lima sifat yang disebut merupakan sifat-sifat terpuji yang perlu ada pada setiap individu bagi menjadi masyarakat cemerlang. Tiada manusia yang rasional dan waras akan menafikan perkara ini.

Dinilai dari sudut agama Islam pula, kelima-lima sifat yang disebut mempunyai anjuran yang sandaran yang kuat dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Islam melarang membuang sampah merata-rata kerana ia mengotori sekitaran dan ini menyalahi anjuran kebersihan dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Allah suka kepada mereka yang bertaubat dan mereka yang membersihkan diri.” (Al-Baqarah: 222)

Rasulullah s.a.w pula bersabda, “Kebersihan itu sebahagian dari [kesempurnaan] iman.” (Riwayat Muslim).

Bahkan Rasulullah s.a.w menjadikan perbuatan mengutip sampah di jalan satu ibadah yang terpuji sebagai galakan menjaga kebersihan sekitaran dan sebagai satu cara positif mengubah sikap buruk membuang sampah merata-rata.

Seperti dalam sabda beliau, “Iman itu 70 cabang dan lebih. Yang tertinggi ialah ucapan “Tiada tuhan selain Allah” dan yang paling rendah ialah membuang apa jua gangguan [seperti sampah] dari jalanan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

AJARAN ISLAM

Pastinya dalil-dalil Al-Quran dan hadis tentang kebersihan adalah dalil bagi menjaga kebersihan tandas awam yang perlu diberi perhatian. Tambahan pula kebersihan tandas hari ini sudah menjadi piawai dan petunjuk bagi kebersihan umum dan gambaran tingkah laku sesuatu masyarakat yang bertamadun tinggi.

Soal penekanan Islam akan akhlak yang mulia yang disebutkan sebagai budi bahasa, sopan dan tingkah laku sivik hari ini bukan sesuatu yang asing. Akhlak dan ciri-ciri yang disebut merupakan inti pati ajaran Islam yang seharusnya juga menjadi ciri utama Muslim dan masyarakatnya.

Gambar hiasan. (Gambar: MUIS/FB)

Hal ini dapat dilihat dari Al-Quran yang apabila menyifatkan Nabi s.a.w, disifatkannya sebagai insan yang berakhlak mulia, “Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang mulia.” (Al-Qalam: 4)

Rasulullah s.a.w pula menjadikan akhlak mulia sebagai misi utama dakwahnya dalam sabdanya, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Al-Bazzar dan Malik)

CELIK BUDAYA

Anjuran Islam terhadap celik budaya dan kesenian dapat dilihat dari hakikat bahawa Allah taala mengurniakan Nabi Daud a.s dengan suara yang merdu dan keupayaan menghasilkan bunyian-bunyian yang indah untuk mengingat Allah taala dan membenarkan anaknya Nabi Sulaiman a.s. menghasilkan binaan-binaan dan artefak berseni sebagaimana disebut dalam Al-Quran,

“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur! Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Saba’: 13)

Rasulullah s.a.w bersabda mengenai kemerduan suara Nabi Daud: “Sesungguhnya aku mendengar alat seruling yang merdu, maka aku tidak pernah mendengar suara yang lebih merdu berbanding suara Abu Musa Al-Asy`ari. Sesungguhnya sangat merdu seperti suara Daud tatkala ia membaca Zabur.” (Riwayat Muslim)

MEMELIHARA ALAM

Sikap Islam terhadap pemeliharaan alam sekitar juga dapat dilihat dalam ayat Al-Quran yang mencela aktiviti yang mengakibatkan kerosakan pada alam: “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia;

(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Al-Rum: 41)

Rasulullah s.a.w juga mencela perbuatan yang mengotori alam seperti dalam sabdanya, “Berwaspadalah dari tiga perkara yang akan melaknat kamu; membuang air di sumber-sumber air, di jalanan dan di bawah teduhan.” (Riwayat Abu Daud)

INSTITUSI AGAMA

Jika telah jelas bahawa kelima-lima sifat yang dinyatakan oleh Prof Koh adalah sifat-sifat mulia dan termasuk dalam anjuran agama, adalah wajar untuk Muslim turut memberi perhatian terhadapnya, tanpa kira sama ada ia adalah sifat warga Dunia Pertama atau bukan dan tanpa berkira sangat sama ada warga Singapura bersikap seperti warga Dunia Ketiga.

Sesiapa yang meneliti masyarakat Muslim Singapura akan pasti dapat menyimpulkan bahawa masih terdapat ruang pembaikan mengenai amalan dan penghayatan sifat-sifat itu dalam masyakarat.

Namun yang lebih hendak difokuskan di sini ialah bagaimana lima sifat itu dapat dihayati dan dimanifestasikan secara menonjol dalam institusi Islam seperti masjid-masjid, madrasah-madrasah dan badan-badan Islam.

Sifat pertama menuntut institusi-institusi Islam di sini menonjol dari segi kebersihan bukan hanya dari segi pandangan mata, iaitu bersih dari sampah, contengan, vandalisme, debu dan sebagainya.

Tetapi juga dari segi aroma, iaitu ketiadaan bau-bauan yang tidak menyenangkan. Sebaliknya kesegaran terasa disebabkan oleh aroma wangi dan yang menyedapkan.

Sifat kedua pula menuntut semua tandas di institusi-institusi Islam bersih dan terjaga rapi seperti tandas-tandas yang terdapat di hotel-hotel lima bintang.

Sifat ketiga memerlukan setiap insan yang berada di institusi Islam, tidak kira sama ada dia adalah staf, sukarelawan, klien atau pengguna biasa, terkondisi untuk berkelakuan sivik, sopan dan ramah antara satu sama yang lain, sehingga suasana nyaman, tenteram dan selesa dapat dirasa bukan hanya dari interaksi bahkan dari auranya.

MESRA OKU

Walaupun sifat keempat menjurus kepada aspek-aspek estetik dan kesenian tinggi, namun yang lebih penting dalam soal celik budaya bagi institusi Islam ialah soal bagaimana layanan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dapat dipertingkatkan dari keadaan sekarang ini.

Petak letak kereta khas bagi orang kurang upaya. (Gambar: CNA)

Kelemahan aspek ini pada institusi Islam di sini masih ketara. Institusi Islam hari ini masih tidak mesra, baik dari segi layanan atau program, bagi keperluan golongan yang tidak dapat melihat dan mendengar. Hampir tiada khidmat bahasa isyarat bagi khutbah, ceramah dan pengajian-pengajian agama.

Mereka yang diuji dengan autisme, bipolar, skizofrenia dan yang seumpamanya masih lagi terpinggir dalam banyak segi di institusi-institusi Islam yang ada. Hari ini, hanya badan-badan khusus seperti Club Heal, yang memberi khidmat untuk mereka.

Dari dahulu hingga sekarang, sejauh mana pencapaian dan ketinggian tamadun dan budaya sesuatu masyarakat sentiasa diukur pada sejauh mana masyarakat itu dapat membela golongan OKU di segenap segi kehidupan.

Sebagai satu agama yang mencanangkan slogan “rahmat bagi sekalian alam”, institusi Islam di sini harus mula mengorak langkah untuk melihat bagaimana sifat inklusif itu dapat merangkul golongan OKU yang wujud di dalam masyarakat, dan bukan hanya untuk merangkul golongan bukan Muslim sahaja.

PERANAN MASJID

Tidak dinafikan kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar sudah menjangkau institusi Islam. Hal ini dapat dilihat dari usaha menjimatkan air dan reka bentuk bangunan yang menjurus ke arah mesra alam.

Namun, ini juga bidang yang institusi Islam perlu pembaikan yang lebih kerana jelas kelihatan jurang antara amalan di institusi Islam di sini dengan amalan di masyarakat umum, apatah lagi di peringkat antarabangsa.

Ambil sahaja satu contoh iaitu soal penggunaan plastik. Ia telah dikenal pasti antara sumber utama pencemaran alam. Maka di merata dunia usaha gigih dilakukan untuk mengurangkan penggunaannya.

Kubah Masjid Sultan (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Zalizan)

Dunia komersil sudah membuat langkah-langkah yang konkrit. Sebagai contoh, syarikat-syarikat gergasi tidak mahu lagi menggunakan beg plastik pembawa barang. Ada yang mengenakan bayaran bagi yang mahu menggunakan beg plastik. McDonald’s dan KFC tidak lagi menyediakan penyedut plastik (straw).

Namun masjid-masjid di sini terkebelakang dalam hal ini. Dalam usaha memberi khidmat yang terbaik bagi jemaah, aspek ini masih terabai, bagi sesiapa yang peka dan memerhatikan apa yang berlaku. Dua contoh dapat dikemukakan, iaitu;

· sebuah masjid menyediakan pelbagai minuman percuma bagi jemaah yang hadir solat Jumaat setiap minggu sebagai khidmat tambah nilai. Hal ini satu peningkatan memandangkan sebelumnya hanya air kosong atau sirap satu perisa sahaja yang disediakan. Malangnya, gelas yang digunakan ialah gelas plastik pakai buang yang akhirnya menatijahkan ratusan bahan gelas plastik tertompok di tepi tong sampah setelah solat Jumaat.

· dalam usaha untuk meningkatkan mutu layanan kepada jemaah yang berbuka puasa di masjid semasa bulan Ramadan, sebuah masjid mengambil langkah untuk menyediakan makanan yang dihidang dalam kotak bento yang diperbuat daripada plastik. Maka setiap malam setelah selesai berbuka puasa, bertompok kotak-kotak bento plastik sebagai sampah di tong-tong sampah.

Dalam konteks pemeliharaan alam sekitar, kedua-dua keadaan di atas adalah satu aib, walaupun niat sebenarnya ialah baik.

IMEJ TERSERLAH

Adalah diharapkan melalui artikel ini, pihak pengurusan institusi Islam di sini dapat memberi perhatian kepada lima ciri yang disebut oleh Profesor Tommy Koh dan menjadikan sebagai satu piawai pencapaian dan pembaikan kerja hingga satu masa nanti ia menjadi imej yang terserlah dan menjadi contoh kepada institusi lain di Singapura dan di luar negara.

Telah diakui umum bahawa tiada cara yang lebih baik untuk menunjukkan keindahan Islam kepada orang ramai dalam dunia hari ini yang mana imej Islam tercalar oleh pengganasan dan kekerasan kecuali melalui contoh amali atau dakwah bil hal. Kelima-lima ciri yang dinyatakan di atas termasuk dalam perkara ini.

Akhir sekali, apa yang dinyatakan oleh Prof Koh juga sepatutnya menyedarkan kita bahawa di sisi masyarakat luar sana, apa yang mendefinisikan kecemerlangan sudah menjangkau aspek pencapaian akademik dan kesejahteraan dari gejala-gejala sosial.

Oleh itu, untuk menjadi masyarakat Muslim yang cemerlang di Singapura hari ini dan masa depan, ia bukan lagi soal mencapai prestasi akademik yang baik, peningkatan pendapatan per kapita keluarga yang tinggi, saiz golongan kelas pertengahan dan jumlah karyawan, tapi juga meliputi kehalusan budi dan sekitaran yang nyaman seperti yang dinyatakan dalam lima ciri di atas.

Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan. (Gambar: RSIS)

Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan