KOMENTAR: Legasi 'Islam Hadhari' Abdullah Badawi
Pada 13 April 2025, rakyat Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada Perdana Menteri kelima mereka, Tun Abdullah Badawi.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi, bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, pada 27 Mac 2009. (Gambar: AFP/Saeed Khan)
Pak Lah, panggilan mesranya, dikenang sebagai “Mr Clean” atas pendiriannya yang kuat menentang rasuah. Para pengkritik Pak Lah berpendapat bahawa pendekatan dan caranya yang lembut, jauh berbeza dengan gaya lebih tegas Dr Mahathir Mohamad, yang menurut mereka, menjadi kelemahan Pak Lah dan pandangannya dipercayai dipengaruhi oleh "budak-budak tingkat empat", yang merujuk kepada para pegawai muda yang bertugas di tingkat empat Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Menantunya, mantan Ketua Pemuda UMNO yang juga mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dianggap sebagai salah seorang daripada "budak-budak tingkat empat" itu.
WARISAN PAK LAH
Salah satu warisan Pak Lah yang patut diteliti ialah usaha beliau memperkenalkan Islam Hadhari, satu set 10 nilai Islam yang progresif dan sederhana, pada Januari 2004, tiga bulan selepas memegang jawatan perdana menteri, yang memberikannya reputasi sebagai pemimpin Islam yang moderat.
Sekiranya Pak Lah dan Islam Hadhari bertahan dari segi politik, adakah Malaysia akan menjadi kurang konservatif dari segi agama hari ini berbanding apa yang sering dipertikaikan oleh para pemerhati?
Walaupun Islam Hadhari mendapat pujian di peringkat tempatan dan antarabangsa atas misinya menangani Islam konservatif, konsep itu, walaupun pada zaman kegemilangannya, kekal pada tahap wacana sahaja.
Di peringkat akar umbi, ia gagal memperbaiki hubungan antara orang Islam dan bukan Islam. Lebih-lebih lagi, tanpa persetujuan daripada birokrasi Islam, Islam Hadhari, yang pada mulanya memang tidak jelas butirannya, gagal mencapai matlamatnya yang sebenar.

Sepuluh prinsip yang diperjuangkan oleh Islam Hadhari adalah seperti berikut:
- Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah SWT
- Kerajaan Adil dan Beramanah
- Rakyat Berjiwa Merdeka
- Penguasaan Ilmu
- Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif
- Kehidupan Berkualiti
- Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
- Keutuhan Budaya dan Moral
- Pemuliharaan Alam Semula Jadi
- Kekuatan Pertahanan Islam
Prinsip-prinsip ini ibarat pernyataan visi dan misi korporat; dengan para pengkritik mempersoalkan mengapa hanya sepuluh nilai ini diutamakan berbanding beratus-ratus nilai sejagat yang diperjuangkan oleh Islam, seperti demokrasi, kebebasan beragama (termasuk memeluk agama Islam), dan hak privasi.
Diperkenalkan tiga tahun selepas serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat, Islam Hadhari bermatlamat untuk membanteras, antara lain, Islamofobia dan pengganasan di Asia Tenggara. Di peringkat domestik, ia jelas bertujuan untuk "mengimbangi" Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang pada ketika itu menyeru pembentukan sebuah negara Islam dan pelaksanaan undang-undang hudud.
Islam Hadhari juga bertujuan untuk menyaingi ulama PAS seperti Nik Aziz, Haron Din dan Abdul Hadi Awang. Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) pada Mac 2004, Barisan Nasional yang dipimpin oleh Pak Lah meraih kemenangan besar, membolot 90 peratus daripada 219 kerusi Parlimen. Sungguhpun demikian, tidak jelas sama ada Islam Hadhari menyumbang secara langsung kepada kemenangan tersebut.
Ia mungkin tidak mempengaruhi orang Islam konservatif yang mengundi PAS, tetapi penggunaannya semasa kempen pilihan raya mungkin telah memaparkan Pak Lah sebagai seorang Muslim moderat di mata orang bukan Melayu dan orang Islam yang lain.

Di sebalik potensi dan niatnya yang baik, Islam Hadhari berakhir dengan peletakan jawatan Pak Lah sebagai perdana menteri pada 2009.
Projek itu berkait rapat dengan beliau dan tidak diteruskan oleh birokrasi agama persekutuan dan negeri Malaysia selain daripada slogan, kempen dan lagu.
Beberapa institusi diwujudkan atas nama Islam Hadhari, seperti Institut Islam Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan konsep itu dipromosikan melalui bahan-bahan penerbitan dan persidangan, tetapi tidak ada perdebatan kritis yang serius dalam kalangan ulama dan cendekiawan Muslim.
Islam Hadhari yang menjanjikan Islam yang moderat dan progresif tidak dapat menangani pelbagai isu antara agama dan silang agama. Ia gagal mencegah kemerosotan sokongan orang bukan Melayu terhadap kerajaan.
Sebagai contoh, hubungan kerajaan Malaysia dengan penganut Hindu berada pada tahap rendah, yang menyumbang kepada kemunculan Hindu Rights Action Force (Hindraf).
Pada 2007, 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di bawah panji-panji Hindraf dan mengadakan perhimpunan besar-besaran yang menggesa hak dan warisan mereka dipelihara.
TEKANAN TERHADAP PAK LAH
Kontroversi yang tercetus berhubung pengebumian M. Moorthy mengikut upacara Islam berikutan keputusan Mahkamah Syariah juga berlaku semasa di bawah pentadbiran Pak Lah.
Apabila isteri Moorthy mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi bagi membantah dakwaan yang suaminya memeluk Islam, mahkamah memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Syariah.
Pak Lah juga tidak dapat mengawal kegiatan jabatan-jabatan agama seperti Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Serbuan yang dilancarkan oleh para pegawai agama ke atas kelab malam meningkatkan lagi tekanan terhadap Pak Lah kerana ia bertentangan dengan usaha Pak Lah untuk memperkenalkan bentuk Islam yang progresif.
Ini lebih-lebih lagi kerana perdana menteri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang fatwa konservatif yang dikeluarkan oleh beberapa mufti di Malaysia, termasuk Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak ketika itu.
Sekalipun golongan konservatif serta beberapa mufti konservatif dan sesetengah pertubuhan agama menghambat usaha Pak Lah, pasukan beliau sendiri, termasuk para anggota kanan partinya, UMNO, gagal melaksanakan visinya bagi Islam Hadhari.
IKTIBAR DARIPADA ISLAM HADHARI
Kesimpulannya, konsep Islam Hadhari berdepan dengan terlalu banyak halangan domestik untuk ia mencapai kejayaan sebenar. Para perdana menteri selepas Pak Lah tidak yakin Islam Hadhari mempunyai modal politik. Najib Razak misalnya, memperjuangkan Islam Wasatiyyah seiringan dengan kempen Satu Malaysia yang dicadangkannya.
Visi Najib Razak juga terkubur menyusuli kekalahannya dalam Pilihan Raya Umum pada 2018. Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menghidupkan semula konsep Islam Hadhari tetapi menamakannya Islam Madani.
Pengajaran daripada projek Islam Hadhari Pak Lah yang gagal boleh dijadikan sebagai iktibar dan peringatan bahawa Madani juga mungkin akan mengalami nasib yang sama jika ia tidak mendapat sokongan daripada pertubuhan-pertubuhan agama dan sekiranya ia tidak dapat menyederhanakan konservatisme agama dalam masyarakat, dan tidak dapat memperbaiki hubungan antara agama di Malaysia.
*Rencana bertajuk "Pak Lah and Islam Hadhari’s Hits and Misses" pertama kali diterbitkan oleh Fulcrum pada 5 Mei 2025.
MENGENAI PENULIS
Dr Norshahril Saat ialah Zamil Kanan dan Penyelaras Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, ISEAS – Institut Yusof Ishak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.