Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Lebaran dengan Jiwa Raya; mengenali erti sebenar sambutan Hari Raya Aidilfitri

Selamat Hari Raya diucap sambut Ramadan berakhir, Syawal menurut Idul Fitri Lebaran disebut Berjiwa Raya hikmah dituntut

Anggaran Waktu Membaca:

Selamat Hari Raya diucap sambut
Ramadan berakhir, Syawal menurut
Idul Fitri Lebaran disebut
Berjiwa Raya hikmah dituntut

BERITAmediacorp: Dalam masyarakat Melayu, sambutan Idul Fitri itu dinamakan Hari Raya Puasa. Makna raya juga dilekatkan pada Hari Raya Haji. Namun yang sebenar-benar hari raya itu disambut pada hari berakhirnya Ramadan dan permulaannya Syawal. Itulah yang sudah terbudaya dan terwariskan dalam masyarakat Melayu kita.

Makna raya itu ertinya besar, seperti yang terlekat dalam kekata balai raya, jalan raya, pendakwa raya, masjid raya, pasar raya, ataupun hantu raya. Maka hari raya itu adalah hari besar, besar kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam.

Pengertian rohani pada hari raya itu adalah kemenangan setelah sebulan berpuasa menundukkan nafsu dan tegahan lain. Penyucian diri juga adalah perenungan dalaman akan mereka yang miskin melarat, yang selalu keputusan makan minum dan tempat berteduh.

Jadi “hari besarnya” masyarakat Melayu, adalah Hari Raya, yang terangkul di dalamnya segi-segi keagamaan, lapisan kebudayaan dan kelaziman adat, selain mengikut rentak peredaran zaman.

Dalam sambutan hari besar ini, yang asal-muasalnya, dan masih tetap, hari kemeriahan setelah sempurna menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadan.

Namun sambutan ini terlazaf dalam acuan kebudayaan Melayu atau Nusantara, sehingga dibedakan ia dari sambutan umat Islam di belahan dunia lainnya dengan ragam budayanya masing-masing.

Gambar hiasan.

Dalam sejarah dan secara kultural hari raya ini sangat signifikan pada makna, fungsi dan kesannya, naik kepada individu ataupun masyarakat. Satu segi kebaikan dan kebesaran hari ini adalah ia membawa suatu gagasan nilai yang sebenarnya terlekat dalam pelbagai amalan dan sambutan untuk hari mulia ini.

Yang dimaksudkan di sini adalah keterjalinan Hari Raya ini dengan segi “Jiwa Raya”, yang secara tidak sedar sudahpun terungkap sewaktu kita menyambut “hari baik bulan baik ini.”

Jiwa Raya ini membawa pengertian jiwa yang besar, yang berkeyakinan utuh, mampu merangkul, sedia berbagi dan memberi, murah hati, tidak takut, terbuka, tidak terpencil, punya kebanggaan, inginkan kemeriahan dan sepertinya itu.

Jiwa besar inilah yang membuat seseorang itu tangkas tampil menolong mana yang kecil dan susah darinya, yang bersedia memaafi yang pernah melukainya, berusaha memperkukuh silaturahim sesama manusia. Bukankah ini yang dapat kita lihat sewaktu dan sepanjang hari raya disambut?

Jiwa Raya ini adalah lawanan dari jiwa yang kerdil, jiwa hamba, jiwa menikus, jiwa terperusuk, ataupun jiwa-jiwa yang ada sifat penakut, kecut, berkerut, sempit dan tertutup.

Malah jiwa yang kerdil dan sempit seperti inilah yang tidak dapat memenuhi perbuatan dan amalan yang seharusnya dilakukan di bulan baik ini.

Segi-segi jiwa yang kerdil inilah yang harus kita jauhi dan lawani. Kerana jiwa-jiwa yang sarat dengan kenegatifan ini pasti membawa kesan tidak baik kepada seseorang individu mahupun masyarakatnya.

Sebaliknya Lebaran menganugerahkan kita Jiwa Raya --- sekiranya kita mencermati bagaimana disambuti Hari Raya ini, dapat kita menjejaki segi-segi jiwa raya dalam beberapa perkara berikut:

1. Hari mengucapkan puji syukur kepada Tuhan Maha Esa dengan bertakbir dan bertahmid, merenung dan menginsafi diri serta terus diperingatkan untuk meningkatkan amalan dan amanah kita.

2. Hari bermaaf-maafan sesama dengan niat memperbaharui tingkah laku setelah insaf akan kesilapan dalam kelakuan dan perkataan.

3. Hari menziarahi sanak saudara dan handai taulan, juga masa bersama keluarga, bersua dengan saudara-mara yang datang jauh, atau ada yang balik ke kampung bersama keluarga. Sewaktu bersua dengan sanak saudara, kita belajar pandai bersapa kepada pakcik-makcik, dan sepupu lainnya, yang mungkin lama tidak ketemu. Ikatan kekeluargaan dan persaudaraan diperkuatkan.

4. Membuat rumah terbuka di mana yang bukan Islam pun turut sama diundang dan kita menghidangkan kuih-muih dan makanan lauk-pauk, sambil kita berbangga memperkenalkan tradisi kita dan makna sambutan beraya.

(Gambar: BAY ISMOYO/AFP)

5. Amalan berbagi duit raya kepada anak-anak kecil, kepada orang tua yang tidak bekerja, kepada mereka yang kita tahu tidak ada tempat bergantung nasib.

Semuanya diberikan mengikut kemampuan, asalkan ikhlas.

Kita terpanggil untuk lebih mengeluarkan zakat, mencari anak yatim dan janda untuk disedekahkan.

6. Menghiasi diri dengan baju baru dan seisi rumah dihiaskan rapi, dibersihkan dan dielokkan.

7. Menyambut hari kebesaran ini dalam acuan kebudayaan sendiri. Dalam konteks masyarakat kita, budaya Melayulah terasnya, dengan kuih-muih dan lauk- pauk, berendang, berketupat, berlontong lodeh, dengan kuih tart dan makmor, wajik dan dodol.

8.Tambah lagi hari ini juga kita melestari kehidupan berbudaya dengan bentuk pakaian tradisional, malah berbangga kita memperagakan busana tradisional kita, sehingga yang tua dan muda dapat memperagakan songket dan baju kurung dan kebayanya, mengikat kain sampingnya, dengan capal dan tudung barunya.

9. Yakni suasana Lebaran itu sendiri tersulam dalam ragam kebudayaan kita, dimeriahkan pula dengan deretan lagu-lagu raya. Sehingga kini kita sudah memiliki korpus lagu raya yang cukup besar. Malah setiap seorang dari kita mempunyai lagu raya yang diminati. Kita senang dengan sesebuah lagu bukan saja kerana rentak iramanya, tetapi juga dengan maknanya yang bersangkut-paut pengalaman dan kenangan kita.

Kesyahduan meliuk-luikkan perasaan kita.

10. Memperingati ahli keluarga dan sahabat yang telah pergi. Menziarahi pusara, dengan segala rindu syahdu serta bingkisan doa. Namun kita memperingati yang pergi ini, bukan sebagai hari duka, kerana kita tahu kehidupan yang harus terus kita sambung dan bertahan.

Dalam kesemua tindak laku sepanjang Syawal ini, kita telah menyaksikan, mengamalkan dan menghayati sifat-sifat jiwa raya, sama ada sedar mahupun tidak.

Antara yang paling ketara jiwa raya ini adalah sisi jiwa yang bangga dengan acuan budayanya sendiri, tidak kerdil dengan arus budaya yang sedang menderu masuk dalam masyarakat, tanpa juga rasa sikap terpencil atau asing darinya.

<p>Gambar fail.</p>

Lihatlah sahaja, setiap musim Raya kita perhatikan bertukaran ragam-ragam budaya yang masuk, kadang kita kearab-araban, kadang gaya kenusantaraan, kadang ala hindustan, kadang cetak baratan, cinaan, jepunan dan lain-lain.

Setiap Raya, pasti saja ada gaya terbaru.

Jiwa rayalah yang berani menerima ragam-ragam baru ini, kerana pada asasnya, ia kuat berakar dengan tradisinya sendiri.

Setiap satu daripada perbuatan dan amalan yang disebut di atas, menjadikan kita terbentuk oleh nilai dan semangat yang berjiwa besar. Jiwa yang berani menerima, merangkul, terbuka sehingga nanti kita mengadun dan mempersesuaikan cita rasa dan keperluan kebudayaan kita.

Dari amalan sebulan berpuasa dalam Ramadan, rupanya kebaikan dan rahmatnya sampai ke bulan raya seterusnya.

Makanya jiwa besarnya inilah yang harus dipandang sebagai anugerah dari hari dan bulan yang mulia ini. Sedarinya ia bemula dengan Ramadan yang penuh berkat, disambung dengan Syawal yang terkandung banyak hikmat.

Hari Raya juga kita sebut sebagai hari kemenangan. Kemenangan itu bukan kejuaraan untuk bermegah, tetapi menyedari akan sisi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebajikan, kebudayaan yang harus terus subur dalam kehidupan.

Beraya di zaman COVID-19 juga menuntut sikap jiwa raya untuk tabah dan bersungguh memperhatikan konvensi kesihatan dan penjarakan sosial demi mengekang wabak ini.

Walau usia sudah menjangkaui 70 tahun, Katijah Marhani tidak kekok manfaatkan platform digital untuk 'bertemu' keluarga Hari Raya tahun ini.

Banyak yang harus kita korban dan tundakan, namun inilah juga masa membiasakan terus kesederhanaan dan saling bertanggungjawab antara satu sama lain.

Apa pun, Lebaran yang paling indah adalah hari kita merasai berjiwa besar dalam diri masing-masing untuk terus menyambung tekad membangun dengan kesediaan memaknakan rahmatan semesta alam yang kita diamanahkan.

Itulah pesan terulung yang agama Islam bawa kepada kemanusiaan kita.

Pada hakikatnya Idul Fitri juga disebut sebagai kembali kepada fitrah asal.

Pantaslah dengan jiwa raya ini kita benar-benar mendirikan dan menyemaikan kebaikan dan kesejahteraan kepada umat dan masyarakat.

Menyambut dengan jiwa raya inilah yang memperkukuh insani, yang sedia beri-memberi, saling maaf-memaafi dan berhias membersih dan rapi, --- terpantul jiwa besar yang berani dan berseni untuk hidup dan menghidupi.

Berjiwa raya inilah yang harus kita perpanjangkan dalam kehidupan seharian dan dibudayakan dalam kesedaran dan amalan.

Lebaran disambut zaman berzaman
Hari kemenangan di akhir Ramadan
Jiwa Raya menyempurna kehidupan
Itulah puncak rahmat kebudayaan.

Mengenai Penulis:

Dr Azhar Ibrahim Alwee.

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.   

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan