KOMENTAR: Lawatan Pope Francis ke Indonesia jangkaui sikap bertolak ansur antara agama
Semasa Pope Francis melawat Indonesia minggu lalu, golongan elit politik dan pemimpin agama Indonesia menekankan pentingnya dialog silang agama, keharmonian kaum dan sikap bertolak ansur sebagai mesej utama mereka dan menggambarkan diri mereka sebagai pejuang toleransi.
Ini kerana Indonesia adalah negara Islam terbesar di dunia dan ia mengiktiraf Katolik sebagai salah satu daripada enam agama rasmi negara itu. Pada 4 September 2024, Presiden Joko Widodo dan sekitar 300 pemimpin sosial dan politik menyambut ketibaan Pope Francis di Istana Negara.
SOKONG SERUAN POPE FRANCIS GALAK KEAMANAN
Secara keseluruhannya, para pemimpin agama Indonesia menyokong seruan Pope Francis untuk terus memupuk keamanan dan sikap bertolak ansur.
Pengerusi Bahagian Hubungan Antarabangsa Majelis Ulama Indonesia (MUI) Sudarnoto Abdul Hakim berkata, lawatan itu akan menjadi momentum kepada penganut pelbagai agama untuk mengukuhkan komitmen memelihara dan menjaga keamanan dunia.
Khofifah Indar Parawangsa, pengerusi sayap wanita pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nadhlatul Ulama (NU), menegaskan bahawa lawatan itu mengukuhkan keazaman dan tekad Indonesia untuk mengeratkan persahabatan dan sikap bertolak ansur dalam kalangan penduduk yang berbeza kepercayaan dan agama.
Sebagai contoh, Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag RI) mengambil langkah hormat meminta semua stesen televisyen di Indonesia untuk tidak menyiarkan azan Maghrib ketika Pope Francis sedang memimpin misa di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta (antara pukul 5.00 petang dan 7.00 malam waktu tempatan).
Semua stesen TV sebaliknya menyiarkan azan melalui klip video pendek dan teks yang menunjukkan masa untuk solat Maghrib disiarkan di skrin semasa siaran langsung misa Pope. Rasionalnya adalah untuk membolehkan penganut Katolik Indonesia yang tidak dapat menyertai misa di stadium tersebut untuk mengikuti misa Pope Francis melalui kaca televisyen masing-masing.
Kedua-dua NU dan Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia, menyokong nasihat itu sebagai satu bentuk toleransi.
Sungguhpun demikian, Jusuf Kalla, mantan naib presiden Indonesia dan pengerusi sebuah pertubuhan bukan pemerintah, Majlis Masjid Indonesia, mengusulkan saranan berbeza, walaupun kurang praktikal, yang bermatlamat untuk bersikap adil terhadap Muslim dan penganut Katolik.
Beliau mencadangkan agar stesen-stesen televisyen membahagikan skrin mereka kepada dua untuk menampung azan dan misa. Partai Keadilan Sejahtera (PKS), sebuah parti politik konservatif, bersetuju dengan saranan Encik Jusuf Kalla.
Umat Islam Indonesia umumnya mengalu-alukan lawatan Pope Francis ke negara itu, walaupun sebilangan kecil membantah lawatan tersebut.
Dari 2 hingga 5 September, pasukan antipengganasan telah memberkas tujuh orang di Indonesia yang merancang serangan ekstremis dan mendakwa mereka dengan tuduhan cuba mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap Pope Francis.
Sebahagian masyarakat Indonesia kurang berminat dengan wacana silang agama. Mereka sebaliknya mengambil kesempatan daripada lawatan Pope Francis untuk menyindir golongan elit politik Indonesia, membezakan tingkah laku mereka dengan sikap rendah diri Pope Francis, ciri-ciri pemimpin yang mereka harap dapat dicontohi oleh golongan elit.
Para netizen turut membandingkan bagaimana pemimpin bagi 1.3 bilion penganut Katolik itu setakat memakai jam tangan Casio yang cuma bernilai AS$8 (Rp124,000) berbanding anak kedua Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep yang memakai Rolex GMT-Master II Rose Gold Root Beer, bernilai Rp682.7 juta (AS $44,045) semasa menghadiri acara amal di Jakarta pada bulan April lalu.
Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Presiden Joko Widodo dan bakal naib presiden, dilaporkan memakai jam tangan "serupa" iaitu Rolex Submariner Date - 126610LN Black, bernilai Rp218 juta (AS$14,064) semasa menghadiri acara kempen Pilihan Raya Presiden pada 25 Oktober 2023.
Kaesang dikecam hebat oleh rakyat Indonesia dan netizen selepas beliau dan isterinya yang hamil baru-baru ini melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat menggunakan jet peribadi milik taikun teknologi.
Ini berbeza dengan gaya hidup sederhana yang diamalkan oleh Pope Francis, yang melakukan perjalanan 13 jam ke Indonesia dari Itali menggunakan penerbangan komersil. Pope Francis juga enggan menginap di hotel mewah untuk lawatan rasminya dan menolak tawaran untuk mengelilingi Jakarta menaiki kereta mewah. Sebaliknya, beliau menginap di Kedutaan Vatican dan melakukan perjalanan menaiki Toyota Innova Zenix (disifatkan sebagai kereta bukan mewah di Indonesia).
Penekanan golongan elit Indonesia terhadap dialog silang agama dan sikap bertolak ansur antara satu sama lain di Indonesia dilihat sebagai faktor yang mempunyai persamaan antara umat Islam Indonesia dengan Pope Francis. Sungguhpun demikian, visi Indonesia untuk mencapai cita-cita ini masih jauh daripada ideal.
Terbukti, beberapa pertubuhan Islam dan tokoh-tokoh terkemuka masih belum dapat menerima gagasan ini, termasuk ada yang cuba menabur kebencian terhadap agama lain atau sesama umat Islam yang berbeza mazhab. MUI, misalnya, walaupun mempamerkan toleransi sepanjang lawatan Pope Francis, tidak memohon maaf atas fatwa "SIPILIS" 2005 yang mengisytiharkan sekularisme, pluralisme dan liberalisme yang menyeleweng.
Ini mendorong sesetengah anggota konservatif untuk mengganggu aktivis yang berpendirian progresif. Selain itu, pandangan cendekiawan agama tertentu terhadap kumpulan minoriti, seperti Syiah dan Ahmadiyah, masih samar-samar; Walaupun golongan minoriti ini tidak diganggu dengan cara yang sama seperti sedekad yang lalu, umat Islam arus perdana masih menjauhi mereka.
Pemilihan elit agama Indonesia tentang pelajaran apa yang boleh ditimba daripada lawatan Pope Francis mestilah menjangkaui sikap rendah diri, integriti, dan belas ihsan.
Mereka tidak boleh mengamalkan sikap berat sebelah ketika menangani isu silang agama dan sesama agama satu sama lain.
* Rencana bertajuk "Pope Francis’ Visit to Indonesia: Lessons Beyond Interfaith Tolerance" diterbitkan oleh Fulcrum pada 11 Sep 2024.
MENGENAI PENULIS
Dr Norshahril Saat ialah Zamil Kanan dan Penyelaras Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, ISEAS – Institut Yusof Ishak.
A'an Suryana ialah Zamil Pelawat di ISEAS – Institut Yusof Ishak dan juga pensyarah di Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universitas Islam Internasional Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.