Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Langkah Indonesia pindah ibu kota - apa faedah yang boleh diraihnya

Apakah langkah Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur langkah bijak dari segi ekonomi atau satu pembaziran semata? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Langkah Indonesia pindah ibu kota - apa faedah yang boleh diraihnya

Gambar fail bendera Indonesia. (Gambar: ADEK BERRY/AFP)

BERITAmediacorp: Apakah langkah Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur langkah bijak dari segi ekonomi atau satu pembaziran semata?

Tekad besar pemerintah Indonesia pimpinan Presiden Joko Widodo (lebih dikenali sebagai Jokowi) untuk memindahkan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur (Kaltim) telah menarik perhatian antarabangsa.

Kini dalam penggal kedua dan terakhir, Presiden Jokowi tampak ‘nekad’ untuk meneruskan cita-cita pemerintahannya di sebalik kos awal sebesar AS$33 (S$46 bilion) - sekitar tiga hingga empat peratus daripada penghasilan tahunan negara sebanyak AS$1.016 trilion.

Ramai pengamat berkata, visi untuk memindahkan ibu kota Indonesia itu bukanlah baharu dan pernah dianggap mustahil. Ia telah dicetuskan oleh Presiden Pengasas Sukarno pada awal 1950-an.

Antara sebabnya ialah Jakarta sudah terlalu sesak sejak zaman akhir penjajahan Belanda. Kebanyakan pembangunan Indonesia tertumpu di pulau Jawa yang menampung separuh penduduk Indonesia.

Bahagian lain Indonesia dikatakan terabai. Maka itu, pemindahan ibu kota dianggap langkah pemerataan pendapatan.

KEGAWATAN JAKARTA

Ternyata selang 70 tahun, barulah kini impian pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan itu tampak semakin ketara dan kental persiapannya. Mentelah terdapat pelbagai faktor pendorong yang sebenarnya merupakan keadaan ‘sakit’ atau ‘parah’ di Jakarta.

Pertama, Jakarta kini menampung 12 juta penduduk iaitu antara metropolis terbesar dunia. Penduduk Indonesia sekitar 260 juta jiwa (keempat terbesar di dunia).

Terdapat bukti bahawa Jakarta kian ‘terperuk’ akibat kejatuhan aras mata air bawah tanah. Bahagian utara Jakarta telah mula ditenggelami air laut – akibat kesan pemanasan jagat dan kenaikan air laut.

Ketika hujan agak lebat, banyak kawasan Jakarta banjir walaupun pelbagai usaha membersih dan menambah saliran telah dilaksanakan.

Keadaan lalu lintas di Jakarta. (Gambar: AFP/Bay Ismoyo)

Jakarta juga antara kota ‘paling macet’ (kekata dialek Betawi yang bermaksud sendat lalu lintasnya). Purata kelajuan kenderaan di jalan rayanya ialah 17 km sejam dan purata 22 hari dihabiskan dalam setahun akibat macet.

Kalangan orang kaya telah menggunakan helikopter untuk berurusan dalam Jakarta! Jelaslah, Jakarta sudah mencapai takat tepu (saturation point) walaupun sistem pengangkutan gerak cepat (MRT) dan banyak lebuh raya dibina dalam era Jokowi berbanding enam presiden terdahulu.

Jakarta juga menderita pencemaran di udara dan sistem saliran atau airnya. Contoh yang selalu ditonjolkan ialah kesukaran membersihkan Sungai Ciliwung yang sarat sampah tetapi masih mengalir di tengah kota ini.

Pernah cara pembersihan Sungai Singapura cuba diterapkan ke atasnya tetapi masih belum mencapai matlamat.

LEDAKAN PENDUDUK

Cabaran Indonesia bukanlah tersendiri tetapi dihadapi banyak negara sedang membangun dalam menghadapi masalah ledakan penduduk dan corak guna tanah yang tidak optimum.

Namun selain kos besar, banyak pertimbangan perlu diambil kira seperti tekad politik, kelancaran birokrasi dan kepakaran serta sokongan rakyat dalam melaksanakan langkah besar ini.

Tampaknya pemerintah Jokowi telah bersiap sedia sejak awal kerana mengambil kira keadaan pertumbuhan negara itu yang mantap.

Malah sejak berlaku perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, terdapat jangkaan luas tetapi ironis bahawa Asia Tenggara merupakan kawasan terbaik bagi pelaburan dua gergasi itu.

Ini memandangkan rantau ini menampung pelbagai sumber, termasuk pekerja yang ramai lagi agak berpatutan.

Langkah Encik Jokowi itu juga dikatakan popular kerana penduduk Jakarta dan rakyat Indonesia menyedari batas untuk Jakarta berkembang ke tahap selanjutnya.

PENGALAMAN NEGARA LAIN

Pemerintah Jokowi boleh belajar daripada pengalaman negara-negara lain yang sudah melaksanakan pindah ibu kota. Seyogia, ada 40 negara lain sedang berbahas apakah perlu bertindak sedemikian, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di rantau ini, pusat pentadbiran Malaysia telah dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Putrajaya yang seluas 49 km persegi pada 2001.

Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Ia dikatakan suatu proses yang berjaya kerana lancar dan berhemat. Namun Kuala Lumpur masih tetap ibu kota Malaysia.

Pemerintah Myanmar sewaktu diketuai Jeneral Than Shwe telah memintahkan pusat pentadbiran dari ibu kota Yangon ke Naypidaw yang lengang sejak 2005.

Sayangnya, langkah ini kurang menepati sasarannya kerana ia dilakukan atas alasan jika Myanmar diserang oleh kuasa besar.

Pemerintah Brazil telah mewujudkan ibu kota yang strategik dekat hutan Amazon, Brasilia dengan seni bina termoden dalam dekad 1960-an.

Namun selepas dua dekad, barulah ibu kota ini berfungsi dengan agak sederhana. Langkah ini dilakukan demi mengurangi tekanan pada Rio de Jeneiro atau kota besar pesisir.

SESUDAH JAKARTA

Namun para pengamat berpendapat, ibu kota pentadbiran baru Indonesia hanya berjaya dibangunkan di wilayah Kaltim (singkatan ‘Kalimantan Timur’) dengan melalui lima tahap;

Iaitu persiapan perundangan (2020), penyediaan lahan/tapak bandar (2012), pembangunan kawasan (2020-2024), pemindahan ibu kota (2024) dan pembangunan tahap akhir (2025-2030) di kawasan yang dipanggil Bukit Suharto, seluas 180,000 hektar.

Selanjutnya, seluruh kawasan pendukung iaitu Kaltim yang menampung sejumlah kota besar seperti Balikpapan dan Samarinda juga perlu dibangunkan.

Kawasan di sekitar Samboja, Kutai Kartanegara, salah satu tempat yang diusulkan oleh pemerintah Indonesia sebagai ibu kota negara. (Gambar: TRIBUN KALTIM / Fachmi RACHMAN)

Perjalanan udara amat genting antara Jakarta dengan ibu kota baru yang kini sekitar 2 jam. Ia perlu disingkatkan demi menjimat kos. Apakah ini bermakna industri penerbangan tempatan seperti dalam era Suharto (1966-1998) cuba dibangkitkan semula?

KENDALA

Pernah dalam satu wawancara CNA, Presiden Jokowi mengakui masalah terbesar Indonesia ialah dari segi kecekapan dan kejujuran.

Beliau mengakui sukarnya membanteras rasuah yang sudah menjadi semacam kebiasaan dari peringkat tertinggi sehingga jelata.

Namun dalam penggal pertamanya, pemerintah Jokowi telah mengheret ramai petinggi (pegawai tinggi) ke mahkamah.

Hasilnya, kedudukan indeks rasuah Indonesia dalam kalangan 170 negara itu terus membaik dari 140 dua dekad lalu menjadi 89 pada 2018.

Bagaimana Indonesia dapat mengumpulkan dana bagi ibu kota keduanya?

Seluas sekitar 1.9 juta km persegi dengan 5 peratus penduduknya dikatakan hidup miskin melata, sebenarnya Indonesia kaya dengan pelbagai hasil alam.

Namun, seperti yang dilaporkan oleh pelbagai kajian Bank Dunia, Indonesia kekurangan kepakaran dan dana untuk membangunkan potensi dengan sepenuhnya.

LANGKAH TEPAT

Oleh itu, matlamat pemerintah Jokowi untuk membangunkan prasarana merupakan langkah tepat demi memudahkan pergerakan penduduk dan membangun petempatan baru, sekali gus meneroka potensi alamnya.

Presiden Joko Widodo. (Gambar: Willy Kurniawan/Reuters)

Itulah sebabnya, Encik Jokowi amat memerlukan modal insan iaitu keahlian rakyatnya dipertingkat. Dalam rangka inilah, beliau pernah mengharapkan bantuan negara maju, termasuk Singapura, dari segi latihan kejuruan.

Ertinya, institusi pendidikannya termasuk pesantren (madrasah) perlu direkayasa ke arah melatih para pekerja mahir.

Selanjutnya, Indonesia memerlukan modal besar sedangkan sejak 2012 aliran masuk pelaburan asingnya agak merosot. Ia perlu memasarkan potensinya di samping memudahkan perundangan dan urusan pentadbiran yang tidak terjejas oleh ‘pita merah’ (red tape).

Hal ini diakui oleh Presiden Jokowi sendiri yang berikrar untuk ‘memecat’ para pegawai awam yang sengaja melambat-lambatkan urusan.

Potensi Indonesia yang amat besar tidak akan terserlah selagi tidak diteroka secara jujur dan adil – dari peringkat pimpinan sehingga rakyat, hujahnya.

KESAN PADA RANTAU

Sebagai sauh kemantapan rantau, peranan Indonesia amat penting dalam jangka panjang. Seperti kata diplomat ulung Singapura, Profesor Tommy Koh, kesantunan rumpun Melayu merupakan antara sebab rantau ini mantap dan boleh bekerjasama.

Oleh itu, kemajuan Indonesia akan mengangkat tahap kesantunan rumpun ini ke aras lebih tinggi.

(Gambar: Facebook/Goh Chok Tong)

Singapura merupakan antara pelabur terbesar di Indonesia dan Malaysia. Oleh itu, jalinan inilah yang perlu terus disuburkan sebagaimana terpapar pada kehadiran Pak Jokowi, Dr Mahathir Mohamed serta Sultan Brunei di Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura, baru-baru ini.

KERJASAMA EKONOMI

Ertinya, tidaklah hairan kelak, Indonesia mungkin menjual bon-bon pembangunannya di Singapura dan kota raya utama dunia demi menarik pelaburan asing.

Ini tentulah membuka lebih luas pintunya untuk kerjasama ekonomi di peringkat antarabangsa sehingga syarikat.

Namun dari segi lain, unsur-unsur nasionalisme Indonesia juga perlu diambil kira kerana rasa tertekan oleh unsur-unsur asing.

Dikhuatiri ini boleh membakar kemarahan setempat, jika tidak dikawal dan diimbangi dengan peka lagi tepat.

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

Mengenai Penulis:

Mohd Raman Daud ialah wartawan pesara dan aktivis masyarakat yang telah menghasilkan ratusan skrip drama TV dan beberapa drama pentas, esei, cerpen dan puisi serta menyunting sejumlah buku.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan