Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Lambang di sebalik hijab, tudung berjenama

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Wanita Melayu/Islam bertudung bergaya mempengaruhi trend fesyen Islam di seluruh dunia dan trend ini berupaya membawa maksud tersirat dari segi peribadi, politik dan agama.

Dalam sebilangan masyarakat Barat, terutama sekali bagi mereka yang bukan Muslim, seorang wanita berhijab mungkin melambangkan penindasan, kemunduran dan patriarki. Tetapi bagi wanita Islam yang memakainya, termasuk di Asia Tenggara, hijab melambangkan ketakwaan mereka dan memenuhi tuntutan agama.

(Gambar: Levi Meir Clancy/Unsplash)

LAMBANG KEDUDUKAN EKONOMI MUSLIMAH

Bagi orang Melayu/Islam kelas pertengahan hari ini, hijab, atau apa yang mereka panggil tudung, membawa maksud lebih daripada melambangkan ketakwaan. Ia semakin menjadi lambang kemakmuran dan gaya. Sesetengah wanita sanggup membayar harga yang tinggi untuk apa yang dipanggil tudung “berjenama”. 

Walaupun pemakaian tudung berjenama atau yang mewah boleh membuktikan kejayaan ekonomi wanita Islam, kami berpendapat bahawa masyarakat juga harus menitikberatkan aspek-aspek keIslaman lain seperti kesamarataan dalam masyarakat.

Wanita Islam yang berhijab mempertikaikan pengkritik yang mengatakan bahawa tudung mereka adalah simbol penaklukan. Ramai orang Islam kelas pertengahan menyamakan hijab dengan emansipasi, pemerkasaan dan – untuk tudung yang lebih mahal – kuasa beli yang lebih tinggi. 

Lebih ramai wanita memakai tudung berjenama hari ini. Potensi pasaran sangat besar: Indonesia adalah negara Islam yang paling ramai penduduk Muslim di dunia, manakala Asia Tenggara adalah tempat tinggal kepada berjuta-juta umat Islam. 

Menariknya, hijab merupakan eksport Islam Asia Tenggara ke dunia Islam yang lebih luas, kerana syarikat hijab telah menerima permintaan daripada pelanggan yang tinggal di Timur Tengah, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Syarikat. 

POPULARITI PRODUK HIJAB

Populariti produk hijab mungkin faktor kecil dalam menghapuskan tanggapan bahawa Asia Tenggara memainkan peranan kurang penting berbanding dunia Arab dalam hal-hal yang melibatkan agama dan keagamaan yang berkenaan dengan Islam. 

Sebelum ini, wanita Melayu/Islam yang memakai tudung mungkin dilihat mempromosikan budaya Timur Tengah atau “Arabisation”. Kini, Asia Tenggara mempengaruhi trend fesyen syariah ke arah lain.

Tudung berjenama dipakai secara meluas di Asia Tenggara dan melambangkan peningkatan kuasa beli buat sesetengah orang Islam. Salah satu contohnya ialah jenama tudung Malaysia, dUCk, yang telah menarik perhatian wanita muda Islam moden. 

Pengasas dUCk Vivy Yusof bersama Presiden Halimah Yacob. (Gambar: vivyyusof/Instagram)

Jenama ini terkenal di Singapura dan Brunei kerana reka bentuk berwarna-warni dan tudung yang berkualiti tinggi. Pengasas bersamanya, Vivy Yusof, seorang wanita berhijab (hijabi) yang terkenal dan pengaruh media sosial adalah penggerak utama di sebalik kejayaan syarikat itu.

Pelanggan jenama ini terutamanya wanita kelas pertengahan yang mementingkan gaya fesyen. Harga tudung dUCk bermula daripada S$42 (untuk tudung asas atau selendang) hingga S$120 (untuk edisi terhad). 

Sebaliknya, tudung yang secara ringkas tetapi memenuhi syarat agama berharga serendah S$5 di kedai biasa, harga yang sama seperti jenama Malaysia, Aidijuma. dUCk harus dipuji atas strategi pemasarannya yang berjaya memikat pelanggan-pelanggan wanita muda.

Jenama dUCk dan lain-lain seumpamanya seperti Button Scarves buatan Indonesia berjaya menarik minat pelbagai golongan wanita kelas pertengahan Melayu/Islam berdasarkan identiti diri mereka. 

(Gambar: Buttonscarves)

Ini merangkumi cita rasa mereka dalam fesyen hingga ke pemerkasaan, mungkin juga kepada hubungan mereka dengan ummah (masyarakat) Islam antarabangsa.

Sebagai contoh, koleksi Garis Kabur dUCk diilhamkan oleh Muzium Louvre di Paris manakala koleksinya “dUCk X Barbie” dipasarkan kepada mereka yang ingin tampil yakin dan bergaya, seperti “jet-setter”. 

Unsur nasionalis juga boleh dipaparkan: terdapat koleksi yang dipanggil “The Singapore dUCk” dan “Kuala Lumpur dUCk”. (Yang pertama menampilkan mercu tanda seperti Marina Bay dan Singapore Flyer, manakala yang kedua dihiasi Menara Berkembar Petronas dan bandar di sekitarnya.) 

Jenama itu menarik hati pelanggan dengan menunggang pada usaha kemanusiaan untuk konflik atau tragedi merata dunia yang menjejas umat Islam. Sebagai contoh, keuntungan daripada jualan “Palestine dUCk” 2021 bertujuan untuk didermakan kepada perjuangan Palestin.

Kerjasama syarikat dUCk dengan Puteri Sarah dari Brunei menghasilkan penciptaan “The Royal dUCk”, yang mengesahkan lagi hubungan jenama itu dengan golongan elit. Jenama itu telah mengumpulkan pangkalan pengguna yang kukuh, malah produk yang baru dilancarkan turut kehabisan stok.

Pengasas dUCk Vivy Yusof bersama Putri Mahkota Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. (Gambar: theduckgroup/Instagram)

ISU PEMBANGUNAN LEBIH LUAS

Para pengguna barangan mahal seperti ini tidak boleh terlepas pandang tentang isu pembangunan yang lebih luas yang memberi kesan kepada dunia Islam, termasuk pembaharuan dalam politik, pendidikan dan institusi agama.

Terdapat jenama dan gaya tudung serantau lain yang turut bersaing, yang berhasil memperluaskan jangkauan mereka ke Jepun, Australia, New Zealand, Qatar, Arab Saudi, United Kingdom dan Amerika Syarikat, melalui jualan dalam talian. Mereka termasuk Naelofar (Malaysia) dan Aleia (Brunei). 

Selebriti dan pengasas Naelofar, Neelofa. (Gambar: neelofa/Instagram)

Naelofar, jenama yang diasaskan oleh selebriti, Neelofa, mahu menarik pelanggan semua peringkat umur, terutama sekali pelanggan yang lebih muda, dengan koleksinya yang moden dan elegan dan dieksport ke lebih 30 negara. 

Tudung hijab sudah mula bergema dengan golongan milenial Muslim yang mengutamakan fesyen (24 hingga 39 tahun). 

Bagaimanapun, hijabi berjenama mewakili suara dan pandangan kebanyakan wanita Islam dalam kalangan kelas pertengahan dan atasan. 

Tidak salah mengenakan hijab berjenama, mentelah demi memperbetulkan pandangan serong bahawa Islam hanya untuk kelas bawahan. Tetapi, para pengguna barangan mahal ini tidak boleh terlepas pandang tentang isu pembangunan yang lebih luas yang memberi kesan kepada dunia Islam, termasuk pembaharuan dalam politik, pendidikan dan institusi agama. 

Pengguna Islam secara umumnya mesti mengambil berat dan tidak terus menyumbang ke arah aliran global yang mengkomoditikan beberapa aspek amalan dan kerohanian Islam. 

Pembaharu Islam sentiasa menekankan inti pati iman – kerendahan hati, persamaan dan amal, antara lain – sebagai nilai utama. Semua orang Islam mesti menahan diri daripada menunjukkan riya’ (menunjuk-nunjuk) dan berlebih-lebihan, walaupun setiap wanita Islam mempunyai hak untuk memakai tudung berjenama, yang boleh menentang naratif penaklukan wanita. 

Jika nilai-nilai itu diabaikan, usaha untuk menentang persepsi yang berterusan bahawa hijab sama dengan penindasan akan dilihat sebagai sekadar kosmetik semata-mata.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk “Can Piety be Classy? Simbols and Societal Tensions Underlying 'Branded' Hijab".

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan dan Penyelaras Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, ISEAS – Institut Yusof Ishak.

Siti Mazidah Mohamad adalah Zamil Pelawat Program Pengajian Sosial dan Kebudayaan Serantau, ISEAS – Institut Yusof Ishak.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan