KOMENTAR: Kuda Kepang Dalam Batas Seni
Peringatan atau irsyad ini bukanlah yang pertama dan mungkin juga bukan yang terakhir. Mohd Raman Daud menyelongkar isu dan juga beberapa acara seni rumpun Melayu.
Di mana ada ramai orang Jawa berkumpul (tebaran atau diaspora Jawa), di situlah biasanya ada kuda kepang.
Begitulah kata-kata Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (Dr MAS, 1924-2016) yang berketurunan Jawa mengenai akrabnya hubungan orang Jawa dengan seni leluhurnya walaupun meresap dalam kesatuan besar yang dipanggil Rumpun Melayu.
Singapura tidak terkecuali memandangkan keturunan Jawa membentuk majoriti (sehingga 60%) ‘rumpun’ Melayu di Singapura.
KEMBALI MEKAR
Seni kuda kepang dikatakan mekar semula di Singapura. Terdapat sekitar 45 kumpulan dengan 1,400 ahli dalam tempoh 16 tahun (2008-2024). Padahal, ia pernah mengalami suasana ‘kemarau’ sebelum ini.
Demikian lapor akhbar Berita Harian yang menukil Presiden Persatuan Kuda Kepang Singapura (PKKS), Encik Iswandiarjo Wismodiarjo. Ertinya, lewat ‘organisasi’ atau gerakan lebih tersusun, maka seni ini mendapat suntikan segar.
Perkembangan inilah yang menjadi latar bagi peringatan atau irsyad MUIS yang dipinta oleh pihak Jabatan Pelesenan Polis dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengenai kuda kepang.
MUIS mendapati bahawa sesetengah amalan dalam persembahan seni ini masih bercanggah dengan Islam seperti perbuatan kesurupan (juga disebut sebagai ‘suwai’ atau ‘menurun’) sehingga membolehkan pemainnya menunjukkan aksi makan kaca dan minum air berbaldi-baldi.
ADAT BERSENDIKAN SYARAK
Baik Dr MAS mahupun budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (1935-2015) berpendapat bahawa rumpun Melayu telah mengambil takrif bahawa seseorang dianggap ‘Melayu’ kerana berbahasa dan berbudaya Melayu serta beragama Islam. Hal ini begitu indah ditancapkan pada perbilangan (peribahasa undang-undang) Minang:
Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah
Syarak mengata, adat memakai.
Jelaslah aspek ‘Islam’ yang menjadi binaan (struktur) besar (superstructure) yang menentukan kebudayaan rumpun Melayu – tidak kira asal daripada suku terbesar Jawa atau sekecil Bawean. Prof Muhammad Naquib Al-Attas (1932 - ) dan Prof Dr Hamka (1908-1981) menegaskan bahawa Islam yang membawa ‘peradaban’ pada kepercayaan dan hubungan sesama insan dalam setiap aspek hidup orang Melayu termasuk seninya.
Banyak aspek seni Melayu dari makanan sehingga menyambut tahap usia yang dahulunya didapati bercanggah dengan Islam kian ‘diluruskan’. Misalnya, dari segi pakaian, wanita Melayu dahulu hanya berkemban tetapi kemudian memakai baju kurung dan berkerudung (berselendang).
Minuman Melayu dahulu termasuklah tuak yang memabukkan telah disingkirkan. Begitu juga dengan penggunaan bahan ‘kebal’ dalam seni pertahanan diri seperti ganja sehingga jampi dan mantera yang memuja kekuatan juga telah ditinggalkan.
Demi kian mematuhi syarak, sesetengah seni persembahan telah dilarang sehingga pupus seperti Mak Yong dan Main Puteri yang mengandungi unsur magis yang ditegah oleh kerajaan Islam negeri Kelantan.
ASAL USUL
Kesenian kuda kepang atau lumping dianggap kesenian jathilan (istilah Jawa: bermakna mencampurkan gerak tari dengan upacara atau ritual). Ia juga disebut (kuda) jaran kepang. Namun, istilah ‘kuda lumping’ lebih dikenali di Jawa Tengah dan seluruh Indonesia.
Terdapat pelbagai versi tentang asal usul kuda kepang termasuk yang mengaitkannya dengan pengembangan Islam di Tanah Jawa:
• Warisan zaman primitif yang mempunyai upacara atau ritual yang sifatnya magis atau upacara adat. Semua bahan yang digunakan awalnya sangat sederhana, tetapi terus berubah dan berkembang seiring peredaran masa.
• Paparan sokongan penuh atau penghargaan rakyat jelata terhadap perjuangan Pangeran Diponegoro (1785-1855) dan pasukan kudanya dalam mengusir dan melawan penjajah Belanda yang masuk ke Jawa pada 1595.
• Melambangkan perjuangan Sunan Kalijaga (1450-1592) dan Raden Patah (1455-1518) berserta pasukannya dalam meluaskan dakwah Islam di Nusantara.
• Ia berasal daripada penggambaran proses latihan pasukan perang Kerajaan Mataram pimpinan Sultan Hamengku Buwono I dalam menghadapi penjajah Belanda, dan
• Menceritakan tentang seorang raja tanah Jawa yang sangat sakti.
Suasana interaksi budaya di Indonesia dikatakan lebih ‘tenang’ dan ‘harmoni’ dalam menanggapi soal percanggahan kesenian setempat dengan Islam. Menurut cendekia besar Indonesia yang ternama, Prof Dr Azyumardi Azra (1955-2022), bahawa tindakan Wali Songo dalam mengislamkan Tanah Jawa pada abad ke-14 hingga 15 Masihi telah berlaku secara peka, tenang dan bijaksana. Misalnya, Sunan Kalijaga telah menggunakan wayang kulit untuk menyebarkan cerita-cerita Islam sehingga menambat hati rakyat jelata.
PERBANDINGAN
Jiran terdekat Singapura, iaitu Johor telah melarang amalan ‘magis’ dalam persembahan kuda kepang menerusi fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor pada tahun 2009.
Media Malaysia melaporkan bahawa Yayasan Warisan Johor turut bertanggungjawab dalam menghidupkan dan meluaskan kesenian warisan, termasuk kuda kepang. Penggiat seni budaya dan pelukis Malaysia, Encik Mahdzir Ibrahim, berpendapat tiada salahnya kuda kepang dipopularkan selagi menuruti lunas-lunas agama dan dipersembahkan sebagai hiburan yang menyenangkan.
Jelaslah ‘batas’ seni perlu ada dalam hiburan rumpun Melayu yang beragama Islam. Proses ini berterusan sejak abad ke-7 apabila Islam sampai secara aman di rantau ini. Peranan mubaligh Islam yang datang berdagang dengan adab yang indah telah menambat hati raja sehingga rakyat jelata tulis Mufti Johor Syed Alwe Tahir Al-Hadad (1884-1962) dalam buku terkenalnya, Sejarah Masuknya Islam di Timur Jauh.
Oleh itu, percubaan Sunan Kalijaga yang ‘merobah’ seni rakyat untuk tujuan dakwah menunjukkan kesenian setempat boleh diterima dalam Islam menerusi ubah suai kreatif.
Di Singapura, penyelidik seni, Encik Zulkifli Mohamed Amin, dipetik media sebagai berkata bahawa minat terhadap kuda kepang bangkit semula disebabkan adanya usaha untuk menghidupkan semula budaya, wujudnya pendidikan serta pengaruh media sosial.
Oleh itu, ada baiknya jika asatizah kita cuba berperanan seperti Sunan Kalijaga dalam menilai, menyemak dan mengadunkan seluruh jajaran seni warisan, termasuk kuda kepang.
Begitu juga pengamal seni dari dramatis sehingga penyanyi rok boleh juga berbuat serupa untuk mengharmonikan daya kreatif mereka tanpa menimbulkan percanggahan pada agama.
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.