Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kolej Islam Singapura - Mengapa ia perlu mengekalkan identiti rantau ini

Negara ini akan mempunyai sebuah Kolej Islam Singapura, yang dijangka mula mengambil kohort pertamanya seawal tahun 2020. Bagi pakar politik Dr Norshahril Saat dari ISEAS, kolej berkenaan sebenarnya tidak harus hanya menumpukan pada bidang teologi.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kolej Islam Singapura - Mengapa ia perlu mengekalkan identiti rantau ini

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

BERITAMediacorp: Negara ini akan mempunyai sebuah Kolej Islam Singapura, yang dijangka mula mengambil kohort pertamanya seawal tahun 2020. Wajah sebenar kolej tersebut masih dalam perancangan. Bagi pakar politik Dr Norshahril Saat dari ISEAS, kolej berkenaan sebenarnya tidak harus hanya menumpukan pada bidang teologi.

Beliau juga berpandangan bahawa kolej itu wajib menolak Islam Nusantara yang membawa Islam konservatif, dan sebaliknya mengembangkan Islam Nusantara ala Singapura dengan ciri-cirinya tersendiri. Beliau percaya Indonesia boleh menjadi model dalam Singapura mencorak ciri-ciri kolej Islam tersebut. Mengapa? Ikuti KOMENTAR yang beliau sumbangkan kepada BERITAMediacorp ini:

Gambar hiasan (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Gambar fail Al-Quran

Kebelakangan ini, masyarakat Melayu/Islam di Singapura dikaitkan dengan isu radikalisme dan terrorisme. Hal ini berlaku setelah beberapa anggota masyarakat kita didapati bersimpati dengan ideologi radikal ISIS yang berpangkalan di Syria dan Iraq. Ada yang mahu turut serta dan berjuang dengan kumpulan tersebut di Timur Tengah.

Mujur golongan yang bersimpati dengan ideologi ganas ini hanya minoriti. Pemimpin-pemimpin dan guru-guru agama kita menolak sekeras-kerasnya ISIS dan penyokongnya. Malah masjid-masjid setempat juga memainkan peranan mereka unuk menangani salah faham terhadap Islam yang sebenar.

Usaha untuk menangani ideologi pengganasan ini tidak hanya melibatkan masyarakat Melayu/Islam sahaja, memandangkan isu ini adalah masalah nasional. Masyarakat kita hanya boleh melakukan sekadar apa yang termampu sahaja untuk memastikan Islam yang diajarkan di negara ini bersifat moderat, sesuai dengan lunas-lunas demokrasi, masyarakat majmuk, dan sekularisme yang diamalkan di negara ini selama ini.

Setiap usaha atau pemikiran yang cuba membina satu sistem khalifah atau negara Islam tiada tempat di negara yang sekian lama menghormati hak sama-rata antara agama dan etnik.

KOLEJ ISLAM DI SINGAPURA

Salah satu usaha yang boleh dilakukan masyarakat kita adalah memastikan pendidikan Islam di negara ini relevan dalam sekitaran ekonomi yang berubah, yang disebut-sebut sebagai era disrupsi. Pada tahun 2016, Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, memaklumkan tentang pembinaan Kolej Islam di Singapura.

Pengumuman tersebut disambut baik oleh masyarakat setempat, terutama bagi mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke bidang agama. Saya pasti bentuk kolej tersebut masih dibincangkan oleh MUIS dan pihak wewenang yang lain.

Saya percaya idea pembinaan kolej Islam bukan bertujuan untuk menangani isu radikalisme, kerana hakikatnya, guru-guru agama yang lulus dari universiti-universiti di Timur Tengah tidak radikal, walaupun tidak dinafikan mereka belajar daripada guru-guru yang bersifat tradisional dan konservatif.

Namun, kolej Islam ini berpotensi mengeksport cara kehidupan beragama di Singapura ke arena antarabangsa.

KONTEKS YANG BERBEZA

Pengumuman tentang pembinaan kolej Islam ini juga satu berita baik bagi pelajar-pelajar madrasah setempat yang mahu melanjutkan pelajaran ke bidang agama tetapi tidak mahu ke Timur Tengah (seperti Mesir, Jordan atau Arab Saudi) atau ke Malaysia.

Negara-negara ini membekalkan ramai lulusan madrasah kita dengan ijazah. Sejauh ini, banyak lawatan kerja dijalankan ke negara-negara di Timur Tengah. Untuk mempelajari daripada institusi-institusi pendidikan di negara-negara maju, lawatan juga telah dilakukan ke negara-negara Barat seperti UK dan Amerika.

Dr Yaacob mengadakan perbincangan dengan Profesor Wisnovsky serta kakitangannya di Universiti McGill pada Disember lalu. (Gambar: Yaacob Ibrahim/Facebook)

Dr Yaacob mengadakan perbincangan dengan Profesor Wisnovsky serta kakitangannya di Universiti McGill pada Disember lalu. (Gambar: Yaacob Ibrahim/Facebook)

Saya yakin negara-negara Barat yang sudah dilawati dapat menawarkan beberapa idea-idea penting kerana mereka sendiri mempunyai masyarakat Islam minoriti. Namun, konteks yang diajarkan di Eropah berbeza kerana masyarakat Islam di sana merupakan masyarakat pendatang, dan hal ini berbeza dengan masyarakat Islam di Nusantara yang merupakan masyarakat pribumi.

Tambahan lagi, kita tidak mahu hanya belajar konsep atau teori-teori dari universiti-universiti Barat yang tidak ada kaitan dengan konteks lokal di Singapura.

PELAJARI DARI UNIVERSITI SERANTAU

Saya menganggap perbincangan soal kolej Islam ini sangat penting demi masa depan anak-anak kita, terutama mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Kita perlu faham bahawa iklim pembelajaran di Singapura kini sudah berubah.

Misalnya, wacana pendidikan sekarang ini mahu keluar daripada kerangka yang hanya mementingkan gred atau keputusan peperiksaan. Kini, landskap pekerjaan kita mementinkang keupayaan atau kemahiran, dan bukan hanya keputusan cemerlang.

10 pelajar Madrasah Al-Arabiah yang diraikan atas pencapaian cemerlang mereka.

Gambar fail 10 pelajar Madrasah Al-Arabiah yang diraikan atas pencapaian cemerlang mereka.

Masyarakat Melayu/Islam kita juga tidak terkecuali. Misalnya kita masih mengumumkan pelajar-pelajar cemerlang kita dalam peperiksaan ukhrawi di madrasah, sedangkan hal sedemikian sudah tidak lagi diamalkan semasa pengumuman peperiksaan nasional PSLE, GCE peringkat O dan GCE peringkat A Level. Kita perlu ubah paradigma ini.

PENGALAMAN INDONESIA

Kolej Islam sebenarnya tidak harus hanya menumpukan pada bidang teologi, tetapi bagaimana agama boleh diamalkan dengan sekitaran masyarakat setempat. Di Singapura, hubungan agama dengan budaya amat akrab.

Proses penyebaran Islam di rantau ini, yang memakan berkurun-kurun lamanya, tidak menjejas status budaya dan adat resam Melayu. Ini menunjukkan ulama-ulama dahulu di rantau ini tidak pernah memandang remeh soal adat budaya Melayu. Mereka juga tidak mengetepikan cara hidup masyarakat Melayu kerana ia tetap dalam kerangka penerimaan Islam.

Di sini, saya harap pihak berkuasa, atau mereka yang sedang memikirkan tentang Kolej Islam ini, belajar daripada pengalaman Indonesia. Lawatan ke universiti-universiti dan organisasi-organisasi massa seperti NU dan Muhammadiyah boleh membuka mata, dan mengubah segala salah tanggapan terhadap pendidikan Islam di negara tersebut.

Persepsi bahawa Islam yang diamalkan Indonesia ada dua: yang pertama mengatakan bahawa Islam di Indonesia bersifat “liberal” dan terlalu terbuka, manakala golongan yang kedua mengatakan bahawa Islam di negara tersebut bersifat konservatif, terutama bersangkutan kes protes terhadap mantan Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama (Ahok).

Sebenarnya, pertembungan antara dua golongan ini menyebabkan pengalaman belajar daripada Indonesia amat penting.

SESUAI UNTUK KONTEKS MODEN

Lawatan kerja untuk belajar daripada tokoh-tokoh akademik pembaharu di Indonesia perlu dilakukan. Ini kerana mereka sudah lama membentuk kurikulum pelajaran agama yang sesuai untuk konteks moden.

Jelas tidak semuanya baik, tetapi kesediaan untuk menerima bidang-bidang ilmu yang tidak dianggap Islamik sebagai pembelajaran agama itu menarik. Perbualan saya dengan beberapa tokoh akademik di Indonesia menunjukkan bahawa mereka amat peka dengan pelajaran sosiologi atau masyarakat.

Di sini, pembelajaran sains sosial juga penting demi memastikan bahawa setiap pembelajaran ilmu agama disesuaikan dengan konteks kehidupan masa kini dan budaya setempat. Ini tidak bermakna kita mesti belajar setiap aspek daripada Indonesia; perlu juga ada tapisan apa yang perlu dipelajari dan apa yang pergi dihindari.

ISLAM NUSANTARA ALA SINGAPURA

Misalnya, perbuatan segelintir masyarakat massa yang cenderung untuk keganasan dan antikepelbagaian (pluralisme) wajib ditolak. Masyarakat juga tidak mudah terpengaruh dengan slogan-slogan menarik seperti Islam Nusantara yang dikembangkan oleh sesetengah pihak.

Kita wajib menolak Islam Nusantara yang sekaligus cuba membawa Islam yang konservatif, dan mengembangkan Islam Nusantara ala Singapura dengan ciri-cirinya tersendiri.

Namun, mengapa Indonesia boleh menjadi model dalam kita mengorak ciri-ciri kolej Islam adalah kerana wacana Islamnya di yang rencam, jika dibandingkan dengan Malaysia dan Brunei. Semoga setiap usaha untuk memajukan pembelajaran agama di Singapura ini dilakukan secara baik dan terpandu, demi kemajuan masyarakat.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat ialah pakar politik dan bertugas sebagai Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak. Beliau juga ialah Timbalan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF). 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa