Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kilauan MAS, Pemikiran Progresif Seorang Pendeta

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA:

Pisang mas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Kisah Pendeta MAS dipapar;
Moga terkesan di hati.


Tahun ini genap seabad usia kelahiran Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ariff atau antara nama penanya yang terkenal, MAS (Muhammad Ariff Singapura).

Beliau dilahirkan pada 6 Disember 1924 dan wafat pada 23 Mac 2016 (23 Mac iaitu Hari Pengasas Singapura sempena hari tutup usia Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew). Oleh itu, tahun ini genap Seabad Kelahiran Dr MAS. Demi bakti besar almarhum, maka kita meraikannya secara sepatutnya.

Sempena Siri Ceramah Anjung Warisan ini, marilah kita menghayati pesan dan nasihatnya, khususnya pemikiran maju atau progresifnya. Seterusnya, kita cuba fikirkan apakah tindakan tahap selanjutnya buat kita sebagai sebuah masyarakat di sebuah kota pulau kecil ini. Ertinya, acara ini bukan sekadar ceramah tetapi perkongsian wacana.

Semasa menyampaikan ceramah tersebut, saya cuba paparkan pemikiran Dr MAS, insan bertubuh sederhana agak gempal, memiliki daya ingatan luar biasa serta IQ, EQ dan SQ yang tinggi dan kaya dengan senda pintar (wit). Secara matematik, saya cuba paparkan rumusan pemikirannya:

MAS = f(budi, syukur mujur, impian, huraian ilmu, ihsan, zuhud, kaedah MAS)

Budi – Memberi Ikhlas dan Membalasnya

Menurut Dr MAS, seluruh hidupnya adalah untuk berbudi dan membalas budi seperti terpapar dalam sajak, ‘Jadi Apa Aku?’ Mesej ini cuba diterapkan dalam semua karya dan usahanya di mana sahaja.

Harus jadi apa aku?
Kiai bilang: jadilah sesempurna insan
yang ke Khaliq ke makhluk – punya iman punya ihsan
biar Allah redha, manusia pun sunggi*
beroleh laba di dunia, di akhirat tidak rugi...

*Nota: sunggi (Jawa) - menjunjung nama

“Jangan kita berbudi dan harapkan balasannya. Jangan. Nanti kita kecewa. Kita berbudi kerana ikhlas, demi Allah sahaja yang balas,” katanya.

Bagi MAS, peribahasa adalah khazanah budi Melayu dan juga semacam ‘hadis’. Hal ini diulasnya panjang lebar dalam bukunya, NILAM (2007). Buku ini dijulang sebagai ‘adikarya’ Melayu abad 21 oleh Prof Emeritus Dr Hashim Musa dari Malaysia pada Seminar Temasek anjuran KGMS pada 2013.

Oleh itu, untuk menjadi orang Melayu, hujah MAS, bukan dinilai pada penggunaan Bahasa Melayu atau mengamalkan budayanya atau beragama Islam sahaja, tapi “lihatlah pada budinya”. Beliau menegaskan budi berpaksikan Syarak. Keunggulan orang Melayu berbudi tinggi adalah azam dan usahanya untuk mengorbankan kepentingannya demi keluarga, masyarakat dan negara, hujahnya.

“Peribahasa Melayu amat kaya dengan nilai budi Melayu. Oleh itu, anak Melayu mesti diasuh memahami peribahasanya dan sekali gus kenali dirinya,” kata Dr MAS. Tahun ini, diumumkan bahawa peribahasa tidak lagi dijadikan aspek untuk dinilai dalam peperiksaan sekolah menengah. Ini merupakan suatu langkah tidak bijak sama sekali. Jika Dr MAS masih ada, tentulah beliau amat kecewa.

Atas nama budi, MAS sanggup melayani panggilan telefon sehingga larut malam, daripada penanya yang terdesak cuba mendapatkan pencerahan ilmu dan pandangannya tentang bahasa, persuratan, kebudayaan Melayu dan Islam.

Bagi MAS, budaya atau kebudayaan bermakna himpunan nilai-nilai baik sahaja dalam kehidupan orang Melayu. “Yang buruk tak boleh dipanggil budaya tapi tabiat manusia yang tidak beradab,” katanya.

Mujur/Tuah

Singapura negara yang bertuah kerana walaupun tanpa hasil semula jadi, hatta dikatakan tidak subur untuk bersawah, Pulau Hujung (Ujong) atau Temasek namanya dulu, sering ternilai penting dalam pergolakan rantau ini dan jagat.

Ketika menyiapkan memoirnya, Perjalanan MAS (Majlis Pusat. 2003), Cikgu Ariff memberitahu saya bahawa hidupnya bertuah atau ‘mujur’ (dari Bahasa Jawa: beruntung, bernasib baik dan berbahagia). Itulah sebabnya beliau sentiasa bersyukur walaupun mengharungi pelbagai cabaran besar. Baginya, bersama kesukaran ada kemudahan. Antara lain ini, terungkap dalam maksud Surah Al-Insyirah di dalam Quran.

Maka itu, saya menulis sebuah sketsa ‘Mujur’ untuk dipersembahkan di auditorium Masjid Sultan pada 30 November ini. Ia dalam rangka Pelancaran Syarahan Dr MAS yang bakal disampaikan oleh Senator Prof Emeritus Dr Awang Sariyan. Silalah singgah.

Menurut memoirnya, beliau kemujuran (dari istilah Jawa: beruntung, bertuah), antara lain:

1. Ibunya enggan balik sehingga diceraikan bapanya. Bapa dan empat adik-beradiknya kembali ke Singapura menaiki feri dari Muar. Di atas feri, beliau terlihat pisang emas di atas peti. Dari situ, hatinya terbuka untuk mengkaji rahsia pantun dan peribahasa, Pisang Mas. Khasiat pisang itu ialah untuk dimakan demi mengelakkan mabuk laut. Namun terpenting ialah mesej ‘budi’ dalam pantun itu. Falsafah ‘budi’ menjadi teras hidupnya. Mujurlah beliau kembali ke Singapura. Jika tidak, beliau mungkin terus di Semenanjung dan kita pun tiada cerita lagi.

2. Dek terlalu miskin, bapanya tidak sanggup menyekolahkannya. Namun mujurlah ketika bermain 'rounders' di laman rumah guru ngajinya di Malcolm Road, seorang guru menangkapnya dan diboncengkan ke Sekolah Melayu Tanglin Besar. Terpaksalah bapanya mendaftarkannya di sekolah itu.

3. Beliau pernah dicekup dalam serbuan askar Jepun secara rambang untuk mendapatkan belia menjadi buruh paksa di Jalan Keretapi Maut Siam-Burma. Mujurlah beliau memakai lencana ‘Bunga Sakura’ di saku bajunya – menunjukkan dirinya dilatih Tentera Jepun, maka terlepas bencana.

4. Mujur beliau dinasihati Ishak Hj Mohamed @ Pak Sako, editor Semangat Asia, jika tidak cerpennya yang mengandungi selaran ke atas Jepun, mungkin meragut nyawanya.

Banyak lagi kemujuran dalam hidup selagi kita dengar nasihat baik dan dapat berfikir untuk mencari jalan keluarnya, kata Dr MAS.

Impian Besar

Sejak kecil, MAS sudah menaruh impian besar. Beliau dipupuk kakeknya (Bahasa Jawa: datuk). Sewaktu berkongsi tikar untuk tidur malam, kakeknya suka bercerita. Dari cerita-ceritalah inilah, beliau tahu beza erti angan-angan dan impian serta firasat hari muka.

Pada 1936 (usia 11 tahun), MAS pernah menulis cerita yang ‘kontras’ cerita rakyat Mat Jenin (pemuda yang berangan-angan sehingga membawa punah). Nama ceritanya pula, Mat Jamin – pemuda yang bercita-cita besar demi merubah hidupnya yang susah ke arah kejayaan.

Ketika bergiat dengan Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS), MAS mendapati keadaannya tidak “memberangsangkan”. Impiannya adalah meniupkan semangat merdeka, memburu ilmu dan memajukan masyarakat. Untuk itu, sebagai penulis muda, beliau bercita-cita ingin menggunakan sastera untuk mengangkat harkat penulis dan bersama memerdekakan masyarakat daripada kejahilan dan penindasan penjajah.

Maka itu, beliau gagaskan Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS '50) di laman rumah sewanya sendiri! Daripada ratusan surat (alamat mereka diperolehi daripada Jymy Asmara, penyelaras di Singapura untuk Persaudaraan Sahabat Pena Malaya atau PASPAM, yang sebenarnya tidak berdaftar), hanya 18 orang penulis yang menyahut.

(Gambar: ASAS 50)
Dek berpaut dengan KGMS dan ASAS ’50, MAS berikhtiar untuk mengadakan Konferens (kemudian dikenali sebagai kongres) Bahasa dan Persuratan Melayu I di Singapura. Rancangan awal ialah pertemuan ini diadakan di Sekolah Melayu Kota Raja. Namun guru besar hanya mengizinkan kantin sekolahnya digunakan. Ia suatu ‘penghinaan’ dan mendorong rakan-rakan MAS mengikhtiarkannya di Hotel Seaview!

Maka naiklah ‘martabat’ sasterawan (sastera pernah dahulu dikaitkan dengan ilmu nujum). Dari Kongres I hingga III (1952, 1954 dan 1956), nama MAS terpahat sebagai penggerak utama (prime mover) tiga kongres awal itu, demikian dapatan kajian Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan.

Berkarya Demi Huraian

Ketika diminta memutuskan apakah perjuangan ASAS ’50, MAS selaku Ketua I telah memilih ‘Seni Untuk Masyarakat’ dan mengetepikan ‘Seni untuk Seni’. Keputusannya mengakhiri polemik panas awal 1950-an.

“Bagi saya manusia adalah antara ciptaan Tuhan yang perlukan kelompok atau sosial. Jadi, untuk karyanya yang indah dinamakan ‘seni’, mestilah ia juga berfaedah untuk masyarakat,” hujahnya.

Meski ditanggapi Sasterawan Negara Malaysia, Arena Wati (1925-2009) sebagai kurang prolifik, MAS sebenarnya gigih berkarya dengan lebih 50 judul karya, termasuk buku teks sekolah serta penglibatan dalam banyak badan akar umbi dari Majlis Pelajaran Melayu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Majlis Pusat, Yayasan Mendaki, Angkatan Karyawan Islam (AMP) sehingga Yayasan Warisan Melayu.

MAS senantiasa menerapkan ‘faedah ilmu huraian masyarakat’ dalam tulisannya dari drama radio, sajak, cerpen sehinggalah novel. Hal ini ditanggapi oleh Isa Kamari selaku sasterawan dan peneliti sastera sebagai “keunikan” pada MAS yang hampir tiada pada sasterawan sezamannya.
(Gambar: BERITAMediacorp)
Noveletnya, Sarah Pengarang Kecil (1960) memberi huraian bahawa ilmu diperlukan untuk memajukan masyarakat. Pada zaman kaum hawa masih dinafikan pelajaran tinggi, MAS memperjuangkan hak mereka. Hari ini dikatakan lebih ramai wanita berada di pusat pengajian tinggi berbanding lelaki.

Menerusi novelnya, Mail Mahu Kawin (1974), MAS meneroka erti kehidupan berumah tangga yang teguh sebagai teras masyarakat. Peri penting mencari jodoh sehingga perlu menggunakan komputer, telah diutarakannya lama sebelum ia menjadi trend.

Dalam novelnya Syarifah (1998), MAS menghuraikan peri penting hak wanita menentukan pilihan jodohnya. Novel ini berasal daripada cerpennya yang diterbitkan di Mingguan Melayu pada 24 Februari 1952. Novel ini mengkritik adat yang tidak bersendikan syarak dan sudah lapuk lagi tidak berfaedah.

Ihsan

Sepanjang hidupnya, beliau menerima pelbagai permintaan untuk berkhidmat atau setidak-tidaknya memberi nasihat atau ulasan, terutama jika diperlukan pihak media. Wartawan Berita Harian (BH), Nuryati Duriat, pernah menceritakan: “Jika nak buat story, jumpa Cikgu Ariff atau jangan tidak telefon dia. Pasti tak balik tangan kosong,” katanya. Hal ini mencerminkan mengapa beliau antara insan yang paling banyak ditukil dalam laporan BH.

Walaupun rumahnya, 16 Nemesu Avenue, jauh dari kemudahan awam, Cikgu Ariff sering dikunjungi pelajar, guru sehingga mahasiswa doktor falsafah. Demi “menyenangkan” mereka, beliau sanggup menyediakan mesin fotostat. Ada sebahagian bukunya “kena kapur” (tak dipulangkan setelah dipinjam). Tulisan dan koleksi bukunya sering difotostat oleh kalangan mereka yang tidak pula memberikan beliau bayaran atau setidak-tidaknya sagu hati.

Demi menjadikan ‘rumahnya’ penuh maklumat, sering radio dan televisyen terpancar serta akhbar Berita Harian dan The Straits Times tersedia. Namun, beliau secara bersahaja menyatakan: “Ini sekadar meriahkan keadaan daripada sunyi. Kami cuma berdua selepas anak semua dah ada rumah masing-masing.”

Beliau antara warga Generasi Perintis yang tidak kekok mengetik komputer sedangkan rakan-rakannya dari Masuri SN sehingga A Ghani Hamid yang sedekad lebih muda, tidak selesa menggunakan komputer.

“Kita perlu dakap teknologi walaupun sesukar mana pun,” katanya yang sering mendapatkan khidmat menantunya, Ahmad Danial Sng, yang arif komputer.

Sekitar setahun sebelum wafat, tangan dan kakinya kaku. Namun azamnya cukup besar sehingga mendorongnya mengetik telefon bimbit untuk menghasilkan 74 rangkap pantun. Ia dibukukan, Pantun M.A.S. (Darul Andalus, 2016).

Zuhud

Dr MAS memiliki cara hidup rendah hati, mudah lagi polos – seolah-olah menepati erti ‘zuhud’ dari segi tasawuf. Pakaiannya amat sederhana. Rumahnya berhias sederhana tapi yang amat menonjol adalah koleksi buku dan manuskripnya sehingga kabinet besi yang sarat dengan surat dan dokumen. Cara hidupnya seperti meniru gurunya, Ustaz Ahmad Zuhri bin Mutamim (1905-1985).

Melihat ‘khazanahnya’, wartawan Nuryati Duriat bertanya: “Ini nanti untuk siapa Cikgu?”

Jawabnya mudah: “Suatu hari nanti, masyarakat perlukan walau saya tiada.” Ternyata benar jangkaannya.

Beliau pernah menyatakan bahawa jika hati tenang, itu sudah suatu kekayaan yang tiada gantinya. Oleh itu, beliau memilih hidup asal seadanya. Hal ini antara lain menjelaskan reaksinya, beliau menolak untuk menerima wang pembelian koleksinya oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Hasilnya, wang tadi dijadikan ‘Anugerah MAS’ untuk mengiktiraf penulis berpotensi besar dari kalangan guru (termasuk guru agama atau asatizah) dan profesional berusia bawah 40 tahun. Selepas empat kali diadakan 2006-2009, hadiah ini dihentikan kerana calon penerima kian berkurangan dan lagipun, Majlis Bahasa Melayu Singapura juga mempunyai skim serupa.

Maka wang tadi selanjutnya dijadikan modal benih bagi Dana Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhammad Ariff Ahmad di NIE-NTU. Ketika dikhabarkan tentang beliau sebagai insan Melayu pertama di nusa ini dihormati dengan endowmen tersebut, Dr MAS terlalu sebak, bergenang air mata, seraya menyatakan: “Penghargaan ini terlalu tinggi bagi saya.”

Kaedah MAS

Dr MAS merupakan pengamal (practitioner) daripada teoriwan (ahli teori) sahaja. Apabila beliau menyatakan tentang makanan tradisional Melayu dari ketupat, lontong, sambal goreng dan sebagainya, hakikatnya beliau pernah memasaknya.

Saya namakan caranya sebagai ‘Kaedah MAS’ iaitu ilmuwan-pengamal yang rela turun padang untuk memberi tunjuk ajar kepada murid sehingga masyarakat. Misalnya, beliau amat hargai ikhtiar Cikgu Mahmud Ahmad (1906-1976) sanggup membetulkan ‘bahasa’ Berita Harian dengan cara guru (tandakan kesilapan halaman akhbar Berita Harian dengan tinta merah dan berikan pembetulan) yang kemudian dikirim melalui pos.

Sebaliknya, Cikgu Ariff menawarkan dirinya untuk datang langsung ke Times House demi membimbing para wartawan Berita Harian pada waktu rehat/makan tengah hari antara lewat 1980-an dan awal 1990-an.

Beliau gigih mengadakan bengkel bahasa dan sastera sehingga Sebutan Baku untuk para penyiar radio dan televisyen.

Di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), beliau membantu dalam membentuk sayap perhubungan awam menerusi lidah WARITA sehingga menjadi jurucakap dan wakilnya.

Beliau juga menasihati pasangan muda yang rumah tangga mereka retak selain menjadi anggota Lembaga Rayuan MUIS. Beliau juga menunjuk ajar cara membina dan menguruskan masjid ketika memimpin Lembaga Pembinaan dan Lembaga Pentadbir Masjid Al-Muttaqin.

Dalam zaman 1950-an dan awal 1960-an, beliau turut membantu kalangan Anggota Parlimen Melayu, termasuk Hj Yaacob Mohamed, sebagai ‘supir’ ketika berkempen malam. Namun apabila diajak ‘masuk siasah’, beliau menolak lunak dengan alasan lebih layak bertugas sebagai guru dan menyantuni akar umbi.

Langkah Selanjutnya

Seperti insan lain, Dr MAS pun ada kekurangannya tapi ini bukanlah bidang untuk kita bincangkan. Kini tiba detik untuk membincangkan apakah langkah selanjutnya bagi memperingati bakti Dr MAS.

Pada detik sebelum nazaknya, Dr MAS masih gigih berpesan agar kita memelihara kesejahteraan masyarakat menerusi badan-badan akar umbi, melestari bahasa dan persuratan dan menjaga kesucian agama.
(Gambar: BERITAMediacorp)
Pesan terakhir itu BESAR dan DALAM maknanya. Setakat ini, kita menghargai almarhum dengan endowmen di NIE-NTU (yang bakal mengumumkan langkah selanjutnya) dan biasiswa tokoh ikon di Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM). Marilah kita berbincang dari hati ke hati lagi muafakat, langkah selanjutnya...

Hilir mudik naiki kolek,
Dayung patah perahu payang;
Ikhtiar tak datang bergolek,
Akal tidak datang melayang.

 
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan