Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Keselamatan makanan & kemampanan rantaian bekalan perlukan anjakan paradigma baharu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Isu keselamatan makanan adalah antara cabaran-cabaran utama dunia yang perlu ditangani secara bersama.

Tiada negara yang kebal dalam isu ini dan ia diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19 yang menyaksikan gangguan pada rantaian bekalan global, selain pelaksanaan perintah berkurung yang turut menghentikan aliran bekalan makanan dan barangan mentah.

Isu berhubung keselamatan makanan dan jaminan bekalannya boleh mencetuskan ketidakstabilan politik dan berpotensi mengakibatkan berlakunya rusuhan serta bantahan sehingga menjejaskan persekitaran keselamatan dunia.

IMPLIKASI KESELAMATAN MAKANAN

Di Sri Lanka misalnya, bantahan antipemerintah tercetus akibat kekurangan gas dan barangan asas manakala di Pakistan pula, inflasi dua angka telah menyumbang kepada perubahan pada tampuk kepimpinan negara tersebut baru-baru ini.
Gambar: AP


Peru juga telah digemparkan dengan tunjuk perasaan antipemerintah yang dicetuskan oleh kenaikan harga bahan api, lebih menyedihkan lagi, ia turut mengakibatkan sejumlah kematian.

Para pemimpin negara-negara ASEAN juga telah mengikrarkan komitmen untuk mengukuhkan keselamatan makanan dan pemakanan di rantau ini sebagai persiapan menghadapi krisis masa hadapan.

Perisytiharan ini memberi tumpuan kepada dua strategi untuk menangani krisis makanan. Strategi pertama ialah tindakan pantas ASEAN dalam menangani krisis makanan dan pemakanan.

Strategi kedua pula adalah meningkatkan persediaan ASEAN untuk meramal krisis makanan masa depan dengan mengukuhkan daya tahan dan kelestarian sistem pertanian dan makanan.

Para menteri pertanian ASEAN turut melihat keperluan untuk bertindak balas terhadap cabaran-cabaran global - dari pertumbuhan penduduk yang pesat, pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19 hingga kepada ketegangan geopolitik dan meningkatkan intensiti perubahan iklim.


STRATEGI BAGI MEREALISASIKAN KESELAMATAN MAKANAN

Strategi dalam merealisasikan keselamatan makanan dan menangani krisis ini akan dijalankan menerusi beberapa langkah, termasuk menggalakkan setiap negara anggota ASEAN untuk memperkukuhkan simpanan makanan berdasarkan sumber-sumber tempatan sebagai asas untuk mengukuhkan bekalan makanan bersama di ASEAN yang dikhaskan sebagai persiapan dan tindak balas terhadap sebarang kecemasan.

Selain itu, menteri-menteri ASEAN akan mengukuhkan program bantuan makanan kecemasan dan mekanisme beras kecemasan di bawah kerangka ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserves (APTERR).

Gambar: AFP/Willy Kurniawan
Negara-negara anggota juga telah bersetuju untuk membangunkan pelan tindakan untuk Panduan Serantau ASEAN mengenai Pertanian Mampan sebagai panduan untuk melaksanakan garis panduan pertanian mampan di setiap negara ASEAN.

Di peringkat global, jumlah penduduk yang mengalami ketidakjaminan makanan akut meningkat daripada 135 juta pada 2019 kepada 345 juta disebabkan perang di Ukraine, gangguan pada rantaian bekalan dan kejatuhan ekonomi yang berterusan akibat pandemik COVID-19.

PERUBAHAN IKLIM YANG EKSTREM

Perubahan iklim yang berlaku secara ekstrem dan kenaikan harga baja yang melambung tinggi melemahkan lagi situasi keselamatan makanan dunia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keselamatan makanan akan wujud atau tercapai apabila semua penduduk, pada setiap masa, mempunyai akses fizikal dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan diet dan keutamaan makanan mereka untuk kekal aktif dan hidup sihat.
Gambar: AFP/CHAIDEER MAHYUDDIN
Perubahan iklim menimbulkan ancaman serius terhadap sektor pertanian dan keadaan di sekelilingnya termasuk kesan negatif terhadap keselamatan makanan.

Perubahan iklim yang berlaku secara ekstrem turut meningkatkan lagi kemungkinan berlaku bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau dan lain-lain.

Sebelum ini, Bank Dunia telah membuat kajian dan mendapati bahawa sebahagian besar pendapatan rakyat miskin dibelanjakan untuk membeli makanan.

Namun, kenaikan harga makanan akan menyebabkan golongan ini tidak lagi mampu untuk membelinya dan mereka terpaksa ikat perut untuk satu tempoh yang lama.

Selain itu, Dana Antarabangsa Untuk Pembangunan Pertanian (IFAD) mendapati sekurang-kurangnya 70 peratus daripada golongan yang sangat miskin tinggal di kawasan luar bandar dan kebanyakan mereka bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

Dalam konteks pertanian, inovasi adalah penggerak kepada pencapaian keselamatan makanan dan pengurangan kemiskinan luar bandar. Oleh itu, pemahaman yang jelas tentang perubahan iklim amat penting untuk para petani melaksanakan strategi dan teknik pengubahsuaian.

Industri makanan boleh mempengaruhi kesihatan manusia secara langsung dan oleh itu usaha bagi memastikan keselamatan dan kebersihan makanan sangat penting kerana ia membantu melindungi kesihatan pengguna daripada penyakit bawaan makanan dan keracunan makanan.

KEYAKINAN TERHADAP KESELAMATAN MAKANAN

Keyakinan terhadap keselamatan dan integriti bekalan makanan adalah keperluan penting bagi pengguna. Wabak penyakit bawaan makanan yang melibatkan ejen-ejen seperti Escherichia coli, Salmonela dan bahan pencemar kimia menyoroti masalah keselamatan makanan dan menimbulkan kebimbangan masyarakat bahawa sistem pertanian moden, pemprosesan makanan dan pemasaran tidak memberikan perlindungan yang mencukupi untuk kesihatan awam.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada risiko makanan termasuk amalan pertanian yang tidak betul; kebersihan yang buruk di semua peringkat rantaian makanan; kekurangan kawalan pencegahan dalam pemprosesan dan penyediaan makanan; penyalahgunaan bahan kimia; bahan mentah, komponen dan air yang tercemar; penyimpanan yang tidak mencukupi atau tidak betul.

Para pengguna pastinya berharap agar mereka dapat dilindungi daripada bahaya yang berlaku di seluruh rantaian makanan, dari ladang hingga ke meja.
Gambar hiasan: iStock
Perlindungan hanya akan dapat dicapai jika semua sektor dalam rantaian ini berfungsi secara bersepadu dan sistem kawalan makanan pula berupaya menangani semua cabaran dan masalah di peringkat ini.

Oleh itu, keselamatan makanan adalah satu isu global yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

MENGENAI PENULIS
Dr Maszenan Abdul Majid adalah Zamil Penyelidik Institut Penyelidikan Sekitaran Universiti Nasional Singapura (NERI).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan