Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kesantunan Bahasa Melayu & Bahasa Indonesia dan dinamik bahasa serumpun

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kesantunan Bahasa Melayu & Bahasa Indonesia dan dinamik bahasa serumpun

(Gambar: Hannah Olinger/Unsplash)

BERITAmediacorp: Kekecohan tentang penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sebagai Bahasa ASEAN antara Malaysia dan Indonesia tampak reda. Namun kesannya hanya memaparkan betapa kian terpisah jalur kebahasaan di rantau ini. 

Dari semasa ke semasa, jurang antara Bahasa Melayu (BM, digunakan secara rasmi di Brunei, Malaysia dan Singapura dengan 33 juta penduduk) dengan Bahasa Indonesia (BI, digunakan di Indonesia dengan 270 juta penduduk) tampak semakin menonjol. 

Umat Islam di Yogyakarta berbuka beramai-ramai di masjid pada 7 April 2022. (Gambar: Devi Rahman/AFP)

Inilah yang berlaku sejak 1 April lalu, ketika Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menemui Presiden Joko Widodo di Jakarta. Padahal, mereka memahatkan hasrat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.  

Tiga hari kemudian, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Teknologi dan Kajian Indonesia, Nadiem Makarin menolak hasrat tadi secara peribadi sambil menegaskan Bahasa Indonesia yang lebih layak dijadikan Bahasa ASEAN.

Menyusur sejarah, sudah beberapa kali hasrat mengangkat bahasa Melayu/Indonesia sebagai pengantar ditimbulkan dalam kerangka ASEAN (akronim Inggeris bermakna Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara). 

Hakikatnya, BM/BI adalah antara 10 bahasa terbesar di dunia.  Sejak diasaskan pada 1967, ASEAN telah memaktubkan bahasa Inggeris (bahasa kedua terbesar di dunia selepas Mandarin) sebagai pengantarnya.

SEJARAH BAHASA 

Dari segi kebahasaan, memanglah BM berusia jauh lebih tua daripada BI. 

Mentelah, BI berasal daripada BM. 

BM mula digunakan sebagai bahasa rasmi oleh Empayar Sriwijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera sejak 650 Masihi. 

Dengan tersebarnya Islam yang menampilkan penggunaan aksara Jawi, menurut para sarjana seperti Prof Muhd Naquib Al-Attas, kedudukan BM kian kukuh sebagai bahasa pengantar di semua kerajaan Melayu silam. Hal ini diakui oleh para sarjana dan tetuan penjajah Barat termasuk Thomas Stamford Bigley Raffles, pembuka loji British di Singapura pada 1819.   

(Gambar: British Museum)

BI wujud sejak Kongres Pemuda mengisytiharkan Sumpah Pemuda pada 27 Oktober 1928 di Batavia (nama Belanda bagi Jakarta). Ia menjulang tanah air, bahasa dan bangsa Indonesia. Jelaslah, BI merupakan suatu binaan politik (political construct) demi merdeka daripada penjajah Belanda.  

BI direkayasa (dibentuk dan dibangunkan) berteraskan BM. Pada mulanya, kalangan cendekiawan dari Sumatera seperti Muhammad Yamin sehingga Sutan Takdir Alisjahbana, merupakan ‘jurubina’ utama dalam gerakan persuratan dan kebahasaan Indonesia. 

Merekalah yang antara lain memastikan BI terus memancarkan ciri-ciri asalnya daripada BM dari segi struktur ayat sehinggalah kosa kata.

Namun dinamika yang membentuk ‘tubuh’ BI juga mengambil kira masukan daripada semua daerah di Indonesia, terutama Pulau Jawa yang menampung penduduk terbesar (65% daripada penduduk Indonesia). Tidak kurang pula peranan bahasawan asal Jawa –  WJS Poerwadarminta sehingga terutamanya, Anton Moliono – yang mendorong pemakaian istilah Jawa, meliputi dari akar bahasa kuno, Sanskerta. 

Maka berlaku apa yang dinamakan ‘Jawanisasi’ (penjawaan) ke atas BI. 

Isu Jawanisasi, antara lain, terpapar dalam polemik sengit beberapa sidang Pertemuan Sasterawan Nusantara (dirintis Angkatan Sasterawan ’50 atau Asas’50 di Singapura pada 1977). 

Ketua I Gabungan Penulis Nasional Malaysia dan dianggap ‘bapa’ gerakan persuratan Nusantara dan ikatan Melayu sedunia, Prof Ismail Hussein (1932-2014), pernah menegaskan rasa wahamnya bahawa lama-kelamaan “akan terpisah” BI daripada induknya, BM. 

PAKATAN BAHASA

Hakikat BI boleh membangun dengan dinamikanya yang tersendiri sudah mula dikhuatiri sejak 1950-an di Malaya dan Singapura, hujah Pendeta Dr Hj Muhammad Ariff Ahmad (Dr MAS, 1924-2016). Ini antara sebab Asas’50 (Dr MAS antara pengasasnya dan pemimpinnya) telah gigih berkempen untuk mengadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu se-Malaya (KBPMM) sebanyak tiga kali – di Singapura (1952), Seremban (1954) dan di Johor Bahru-Singapura (1956).

Allahyarham Dr Hj Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: NAC)

Pada kongres ketiganya yang turut dihadiri para bahasawan dari Indonesia, antara lain diiktiraf peri penting agar diusahakan ‘piawai’ menerusi kesepakatan dari segi sebutan, ejaan, morfologi (pembentukan kata), sintaksis (susunan kata/ayat) sehinggalah perkamusan dan penggunaan aksara rumi agar perkembangan BM dan BI berjalan seiringan. 

Kesepakatan bahasa tadi terpukul dek Konfrontasi (1963-1965) yang dilancarkan Presiden Sukarno ke atas pembentukan Malaysia pada 1963. Maka lesaplah peluang selama sedekad iaitu sepanjang 1960-an, untuk membina keharmonian antara BM dan BI.

Seyogia, dari kongres ketiga itulah, ditubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka di Johor Bahru yang kemudian beralih ke Kuala Lumpur. 

Singapura juga pernah mempunyai Dewan Bahasa dan Kebudayaannya yang luput selepas merdeka daripada Persekutuan Malaysia.

Mujurlah sejak 1972 dan diringkaskan cerita, Indonesia dan Malaysia kembali sepakat, antara lain, mengenai bahasa sehingga membawa kepada penubuhan Majlis Bahasa Indonesia dan Malaysia yang kemudian disertai Brunei (pada 1985 dan dipangggil Mabbim) dan dihadiri juga beberapa negara serantau seperti Vietnam dan Singapura selaku pemerhati. 

ERTI SERUMPUN

Singapura memiliki keunikan dari segi sikap bahasa dan cukup sedar akan peranannya dalam lautan berbahasa Melayu Asia Tenggara. 

BM adalah Bahasa Kebangsaan dan satu daripada empat bahasa rasmi (Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris) Singapura. 

Namun penggunaan BM lebih terhad dalam kalangan masyarakat Melayu yang membentuk 13% penduduk republik ini. 

Ini memandangkan Bahasa Inggeris merupakan bahasa kerja dan ketersambungan Singapura ke dunia antarabangsa. 

Seperti bahasa bonda yang lain, mutakhir ini penguasaan BM di Singapura mulai merosot kerana keterbiasaan orang Melayu memakai Bahasa Inggeris. 

Tanpa Dasar Dwibahasa di sekolah yang mewajibkan penggunaan bahasa ibunda, dijangka keadaannya lebih muram. 

Waima Singapura, khususnya Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), perlu tekal mengikuti perkembangan BM dan BI, termasuk penyertaannya selaku pengamat dalam Mabbim dan juga Majlis Sastera Asia Tenggara (nama ini dicetuskan Dr MAS dan Singapura menjadi ahli rasminya sejak 2015).

Untuk sekian lama, BM di Singapura berpedomankan Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan. Namun sejak kebelakangan ini dengan adanya kamus maya, terbentang peluang melungsuri Kamus Besar Bahasa Indonesia dalam talian.  

Sudah terang lagi bersuluh, perkembangan BM dan BI kian ketara berbeza terutama dari segi pemberitaan sehingga persuratan. Jika dahulu, novel Merantau Ke Deli karya Hamka (sasterawan Sumatera) atau Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer (sasterawan Jawa) dapat dinikmati secara spontan di sini, sekarang diperlukan ‘penterjemahan’ daripada BI ke BM.

Apakah pengajarannya?

Antara lain, dinamika bahasa walaupun serumpun memanglah ‘asal bisa, tegal biasa’  namun perlu dipantau, ditadbir dan disikapi dengan bijaksana, pesan Dr MAS. 

Antara lain, Singapura yang kerdil perlu menakat dengan mempunyai para pendukung bahasa yang gigih, sekurang-kurangnya para bahasawan Melayu sehinggalah sasterawan setanding negara-negara jiran.        

MENGENAI PENULIS:

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa