KOMENTAR: Kesan terhadap keselamatan serantau susuli peralihan Jama'ah Anshorud Daulah ke Rumah Quran
Pemimpin Jama'ah Anshorud Daulah (JAD), Zainal Anshori. (Gambar: AFP/BAY ISMOYO)
Walaupun banyak Rumah Quran (RQ) menawarkan pendidikan al-Quran yang tidak ternilai dan menyediakan khidmat kepada masyarakat di sekeliling mereka secara positif, yang lain telah dieksploitasi oleh golongan pelampau untuk meneruskan dan memperjuangkan agenda radikal.
Menangani cabaran ini memerlukan pendekatan yang berhemah dan seimbang untuk memastikan langkah-langkah keselamatan tidak menjejas peranan positif kebanyakan RQ.
Jama'ah Anshorud Daulah (JAD) adalah sebuah kumpulan pelampau di Indonesia yang pernah beroperasi secara terbuka melalui pesantren tradisional yang kini menukar sekolah sedemikian kepada model yang lebih terselindung: Rumah Quran (RQ), secara harfiah bermaksud "Rumah Quran" .
RQ direka sedemikian rupa untuk menyediakan pendidikan Islam yang lebih fokus kepada masyarakat tempatan. Ia menawarkan pengajaran al-Quran yang khusus, di samping memupuk identiti agama dan masyarakat yang kukuh. Bagi kebanyakan keluarga di Indonesia, RQ disifatkan sebagai alternatif yang praktikal dan dihargai berbanding persekitaran pendidikan formal, di mana kanak-kanak boleh melibatkan diri secara mendalam dengan kepercayaan agama mereka dalam persekitaran yang membina.
Sungguhpun demikian, sifat tidak formal RQ juga telah menyebabkannya mudah terdedah kepada penyalahgunaan. JAD telah menunjukkan bagaimana ruang pendidikan ini boleh dieksploitasi untuk tujuan radikalisme.
Turut membimbangkan, beberapa RQ kini dilapor dikendalikan oleh pengganas tegar yang menggunakannya sebagai muslihat untuk memperjuangkan agenda ekstremisme mereka. Pemerintah Indonesia telah menutup beberapa pesantren yang mempunyai kaitan dengan JAD. Malangnya, peralihan JAD kepada RQ telah menimbulkan cabaran baharu untuk memantau dan memerangi radikalisme.
Implikasi Terhadap Keselamatan Serantau
Indonesia:
Sebagai pusat strategi baharu JAD, Indonesia menghadapi situasi yang rumit. Pemerintah Indonesia mesti meningkatkan usaha pemantauan dan pendampingan masyarakat, sambil mengiktiraf dan menyokong banyak sumbangan positif bekas pengganas yang sudah pulang ke pangkal jalan.
Bekerjasama dengan bekas anggota JAD yang sudah menjalani proses pemulihan seperti Adi Jihadi dan Abu Qutaibah – yang kini secara terbuka menyokong Pancasila Indonesia dan menolak naratif ISIS – boleh membantu membanteras ideologi ekstremis. Walau bagaimanapun, cabarannya terletak pada usaha mengimbangi langkah-langkah keselamatan yang ketat dengan betul, dengan sokongan berterusan untuk RQ agar ia bermanfaat untuk masyarakat dan pada masa yang sama mengelakkan sebarang reaksi negatif masyarakat.
Malaysia:
Dengan hubungan budaya dan agama yang kukuh dengan Indonesia, Malaysia boleh terdedah kepada tempias taktik radikalisasi JAD.
Sebagai contoh, sebilangan rakyat Malaysia pernah ke Indonesia suatu ketika dahulu untuk menyertai bengkel membuat bom yang berpotensi meningkatkan lagi risiko keselamatan.
Untuk menangani kebimbangan ini, Malaysia mesti mengukuhkan kerjasama antara agensi, meningkatkan usaha mendampingi masyarakat, dan menjalankan pemantauan yang lebih bersasar terhadap individu yang menjadi radikal.
Pada masa yang sama, adalah penting untuk memastikan langkah-langkah kawal selia tidak secara tidak sengaja memberi kesan kepada institusi-institusi pendidikan.
Singapura:
Sebagai sebuah hab serantau utama, Singapura terdedah kepada risiko yang ditimbulkan oleh rangkaian kumpulan radikal dan radikalisme di Asia Tenggara.
Rangkaian kumpulan radikal menggunakan media sosial untuk mengumpul dana, yang mungkin digunakan untuk menyokong kumpulan-kumpulan pelampau seperti JAD.
Filipina yang sejak sekian lama bergelut dengan aktiviti pemberontakan dan ekstremisme, kemunculan RQ boleh memburukkan lagi cabaran keselamatan.
Kumpulan-kumpulan pelampau mungkin mengeksploitasi RQ untuk memperluaskan pengaruh mereka dalam masyarakat.
Pendekatan Seimbang Diperlukan
Adalah penting untuk membangunkan kriteria yang jelas untuk membezakan antara RQ yang menyediakan khidmat pendidikan yang berharga dan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan.
Ini melibatkan penilaian kurikulum, latar belakang pendidik dan hubungan antara institusi. Melaksanakan strategi pemantauan yang bersasar akan membantu mengenal pasti RQ yang bermasalah tanpa menjejas RQ lain yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Sokongan Untuk RQ Yang Memberi Manfaat Kepada Masyarakat
Pemerintah harus menyediakan sumber, latihan dan bimbingan kepada RQ yang menawarkan pengalaman pendidikan yang positif.
Sokongan ini boleh meningkatkan mutu pendidikan dan melindungi institusi ini daripada disalahgunakan atau dieksploitasi. Melibatkan masyarakat tempatan untuk menggalakkan ketelusan dan mempertingkatkan tahap kewaspadaan akan membantu mengenal pasti RQ yang bermasalah sambil menyokong RQ-RQ lain yang menyumbang secara positif.
Dasar dan Kawal Selia
Kawal selia RQ yang berkesan penting untuk memastikan ia mematuhi piawai pendidikan dan tidak menjadi tapak fahaman ekstremisme.
Dasar-dasar yang diperkenalkan seharusnya menyokong pertumbuhan RQ yang baik sambil menyediakan mekanisme untuk menangani mana-mana RQ yang mungkin menimbulkan masalah. Penting juga untuk mencapai keseimbangan antara kawal selia dan sokongan untuk mengekalkan sumbangan positif RQ.
Kesimpulannya
Peralihan JAD daripada pesantren kepada RQ merupakan satu cabaran yang penting dan kompleks dengan implikasi serantau yang luas.
Mengiktiraf dan menghargai peranan positif yang boleh dimainkan oleh banyak RQ juga penting bagi mengekalkan manfaat dan keberkesanannya. Dengan menjalankan pemantauan yang lebih fokus, sambil menyokong institusi-institusi penting dan mempertingkatkan usaha mendampingi masyarakat, negara-negara di Asia Tenggara boleh menangani ancaman radikalisme sambil mengekalkan integriti dan sumbangan positif RQ di rantau ini.
*Rencana bertajuk "The JAD’s Shift to Rumah Qurans: Implications for Security and Strategy" ini diterbitkan oleh RSIS pada 14 Ogos 2024.
Dr Noor Huda Ismail ialah zamil pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.