Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kesan kematian ketua ISIS Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi & perang naratif di media sosial

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan pada 3 Februari bahawa pemimpin tertinggi ISIS, Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi maut bersama isteri dan anak-anaknya selepas dia meletupkan dirinya sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kesan kematian ketua ISIS Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi & perang naratif di media sosial

Gambar oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menunjukkan pekarangan Syria yang menempatkan ketua ISIS, Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi, sebelum dan sebelum serbuan AS. (Gambar: Jabatan Pertahanan AS/AFP)

BERITAmediacorp: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan pada 3 Februari bahawa pemimpin tertinggi ISIS, Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi maut bersama isteri dan anak-anaknya selepas dia meletupkan dirinya sendiri.

Adakah ini menandakan bahawa ancaman pengganas dari kumpulan ISIS sudah berakhir?

Apakah kesannya terhadap usaha membanteras pengganasan di seluruh dunia, terutama di rantau Asia Tenggara?

Kajian menunjukkan bahawa tindakan mematikan kepimpinan sesebuah kumpulan pengganas akan memperlihatkan kesan yang positif dalam usaha melemahkan kemampuan kumpulan tersebut untuk melancarkan serangan-serangan pengganas.

Dalam konteks ISIS, yang hari ini sudah tidak lagi menguasai wilayah-wilayah di Iraq dan Syria seperti sewaktu kejayaan mereka menakluki wilayah-wilayah di kedua-dua negara tersebut sebelum ini, kematian al-Qurayshi dianggap akan melemahkan rangkaian pengganas itu.

Ini lebih-lebih lagi setelah para pejuang ISIS melancarkan serangan ke atas sebuah penjara yang dikawal oleh Angkatan Demokratik Syria pada bulan lalu semata-mata untuk membebaskan para anggotanya yang dikurung di penjara tersebut.

Para pejuang ISIS di bandar Raqqa di Syria. (Gambar: Associated Press)

Dalam konteks Asia Tenggara misalnya, dengan tumpasnya dua pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) dari Malaysia, Noordin M Top dan Dr Azhari, serangan bom yang dilancarkan oleh JI semakin merosot.

KEMATIAN AL-QURAYSHI TIDAK BERMAKNA ANCAMAN ISIS SUDAH BERAKHIR

Namun, kajian juga menunjukkan bahawa kematian pemimpin kumpulan pengganas tidak bermakna ancaman pengganasan sudah berakhir.

Selepas Osama bin Laden ditembak mati oleh pasukan tentera Amerika Syarikat, dengan segera Al-Qaeda mempersiapkan pemimpin baru untuk menggantikannya, Dr Ayman Mohammed Rabie al-Zawahiri.

Begitu juga dengan kematian Abu Bakr al-Baghdadi, maka muncul pula nama al-Qurayshi yang dianggap sebagai ketua baru ISIS setelah kematian al-Baghdadi.

Ketua ISIS Abu Bakr al-Baghdadi dalam kemunculan awam pertamanya di sebuah masjid di Mosul.

Dalam wawancara saya bersama dengan bekas penyokong tegar ISIS di Indonesia dan mempelajari naratif yang berkembang di media sosial, para penyokong ISIS menolak keras pengumuman Presiden Biden. Menurut mereka, tidak mungkin Amerika Syarikat tahu tentang keberadaan 'khalifah ISIS' itu, apatah lagi berhasil untuk membunuhnya.

soldier america

Namun, dua perkara ini perlu diberikan perhatian berdasarkan apa yang berlaku selepas Osama bin Laden mati dibunuh:

PENGAGUNGAN

Dalam pengumumannya, ISIS yang sangat sarat dengan pernyataan glorifikasi atau pengagungan terhadap kumpulan militan itu membakar semangat para pengikutnya untuk terus melanjutkan perjuangan mereka.

Kalimat-kalimat yang muncul adalah seperti berikut:

“Pemimpin kita telah memenuhi janjinya kepada Tuhannya, yaitu mati dalam memerangi musuh-musuh Islam di saat umat Islam terbelenggu oleh dunia yang menipu. Betapa mulianya kematian beliau, sampai Presiden Amerika Syarikat yang mengumumkan kematiannya agar dunia tahu bahawa Amerika Syarikat adalah negara yang paling terdepan memerangi teroris”.

Ini bermakna kematian seseorang pemimpin ISIS dijadikan sebagai alat untuk menunjukkan bahawa mereka berjuang pada jalan yang benar sehinggakan dimusuhi oleh sebuah negara (Amerika Syarikat) yang melakukan banyak perkara yang merugikan negara Islam.

PENGUAT SEMANGAT

Dalam catatannya di media sosial selepas kematian al-Baghdadi, seorang penyokong ISIS berkata:

“Teruskanlah perjuangan ini. Jangan sia-siakan pengorbanan para pemimpin kita dan para pejuang kita yang telah mendahului kita menemui Robb-nya. Sungguh jika kita berhenti dari perjuangan ini, itu adalah sebuah langkah mundur. Bahkan bisa disebut sebagai pengkhianatan atas perjuangan yang telah dilakukan selama ini”.

(Gambar: Pasukan Demokratik Syria diterajui Kurdish, melalui AP)

Naratif seperti ini mungkin akan diulangi lagi menyusuli kematian al-Qurayshi. Catatan media sosial di atas boleh ditafsirkan sebagai kematian salah satu tokoh dalam gerakan jihad yang biasanya akan dijadikan sebagai alat untuk menyemarakkan lagi perjuangan mereka.

Memahami naratif kumpulan pengganas yang hari ini dengan mudah kita dapatkan di media sosial sangat penting disebabkan oleh tiga perkara ini:

PERTAMA, naratif sebegini menjadi kaedah mereka untuk melihat dunia ini. Maksudnya, naratif ini ibarat kaca mata. Jika kaca mata kita hitam, maka dunia yang kita lihat juga kelihatan gelap.

KEDUA, naratif ini berkait rapat dengan tindakan. Maksudnya, sesebuah naratif mampu menggembleng pengikutnya untuk melakukan sesuatu termasuk melakukan kegiatan-kegiatan pengganas.

KETIGA, naratif tidak semestinya dalam bentuk kata-kata tetapi satu “kebiasaan baru” – new tradition –. Tradisi ini secara khusus akan menyelitkan kisah-kisah sejarah Islam, bahkan ditambah dengan hadis atau ayat-ayat dalam Al-Quran untuk mewajarkan fahaman tegar atau tindakan mereka.

Bagi seseorang yang tidak memahami konteks sejarah Islam dan juga bahasa Arab, maka naratif sebegini akan memesongkan mereka dan akhirnya apa yang disampaikan dalam bahasa Arab itu akan dijadikan sebagai sesuatu yang dianggap benar di sisi agama.

'TRADISI BARU' LETUPKAN DIRI BERSAMA KELUARGA

Berbalik kepada kematian al-Qurayshi, salah satu 'tradisi baru' yang sangat membimbangkan adalah cara ketua ISIS ini melakukan aksi bunuh diri secara bersama-sama dengan keluarganya.

Kepulan asap kelihatan berlegar di udara susuli letupan di luar lapangan terbang di Kabul, Afghanistan, pada 26 Ogos 2021. (Gambar: Wali Sabawoon/AP)

Dalam disertasinya bertajuk "“Terorisme Keluarga: Pendekatan Interdisipliner Tentang Jaringan Ulama Kekerasan dalam Serangan Terorisme Bom Bunuh Diri Sekeluarga di Surabaya, 2018", Dr Dedi Tabrani merujuk kepada fenomena ini dengan menggunakan istilah “familial suicide terrorism”.

Bagi Dr Tabrani, pola ini sebenarnya bukan satu pola baru dalam aksi pengganasan di Asia Tenggara. Pengeboman di Surabaya (2018), Sibolga (2019), Jolo, Filipina (2019) dan pengeboman Makasar (2021) adalah contoh-contoh nyata daripada fenomena ini.

Adakah doktrin meletupkan bom untuk membunuh diri dan keluarga yang dipegang oleh Aman Abdurrahman, pemimpin Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang hari ini sedang menunggu hukuman mati, sudah tersebar luas bahkan sehingga ke nadi utama kumpulan pengganas ISIS di Syria?

KEKUATAN NARATIF YANG MEMESONGKAN

Pertanyaan Tabrani di atas tidak mungkin dapat dijawab dengan mudah. Namun, satu perkara yang Dr Tabrani ingin sampaikan adalah betapa pentingnya kekuatan sesuatu naratif.

Pengasas kumpulan militan Jamaah Ansharut Daulah, Aman Abdurrahman (baju jingga).

Disebabkan itu, pemerintah-pemerintah di Asia Tenggara harus memperhebatkan usaha untuk membanteras pengganasan.

Tentu sekali ini tidak dapat dilakukan seorang diri. Negara-negara harus bersikap terbuka untuk mengajak semua pihak terutamanya para pendidik, pemimpin agama, pemilik platform media sosial seperti Facebook, Google dan TikTok serta pekerja kreatif untuk sama-sama menghasilkan satu naratif alternatif yang dapat mencegah aksi pengganasan.

Langkah ini penting kerana kumpulan-kumpulan pengganas tidak lagi merekrut anggota baru secara kaedah tradisional melalui 'kinship' (keluarga), discipleship (hubungan guru-murid), sekolah atau pengajian 'offline'.

Banyak kes radikal di Asia Tenggara melibatkan para individu yang menyertai kumpulan pengganas atau terpengaruh dengan ideologi radikal secara online.

Proses terjerat dengan pengganasan sering kali hanya disebabkan oleh masalah-masalah sederhana: misalnya terasa kesepian dan ingin mencari jodoh. Naratif kumpulan pengganas di media sosial menawarkan “sense of significance” apabila mereka memberi tanda “like” atau “share” berdasarkan catatan-catatan yang dimuat naik.

Notifikasi di media sosial menjadi ‘dopamine’ kepada para penggunanya.

Dalam neurosains, hormon sebegini dipercayai dapat membawa perasaan senang hati (pleasure), kepuasan (satisfaction) dan motivasi (motivation).

Maksudnya, apabila mendapat tanda “like”, kita akan berasa senang hati dan itulah 'dopamine' dalam otak yang memberikan isyarat seolah-olah ia mencapai sesuatu (feeling good at something).

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Ramai sering lupa bahawa syarikat-syarikat media sosial bukan setakat perusahaan teknologi saja tetapi juga perusahaan psikologi yang bekerja setiap saat untuk menarik perhatian kita ke platform masing-masing.

Hubungan antara proses pencarian “sense of significance” dengan peranan media sosial yang mampu memberikan 'dopamine' perlu diberikan perhatian kerana naratif alternatif yang kita tawarkan di media sosial tidak seharusnya naratif yang berbentuk ‘motherhood statement” seperti “Islam adalah agama yang mencintai kedamaian” atau “Pengganasan adalah musuh Islam”.

Meskipun naratif seperti ini penting tetapi ia kurang berkesan jika kita ingin menyasarkan anak-anak muda yang sedang 'haus' mencari “significance”.

Barangkali, suara-suara berwibawa dan berpengaruh seperti individu-individu yang pernah terjebak dengan pengganasan dan sudah tidak mahu lagi terjerat serta ingin menjadi “agent of change” (pembawa perubahan) kepada masyarakat boleh dijadikan sebagai rakan atau duta antipengganasan di Asia Tenggara.

Mereka adalah 'sampah masyarakat' yang jika diolah dengan baik berupaya menjadi pencetus untuk terus memerangi pengganasan.

MENGENAI PENULIS:

(Gambar: Laman Universiti Monash)

Dr Noor Huda Ismail adalah Zamil Pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan