Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kepelbagaian dalam sambutan Tahun Baru Cina di S'pura sejak dari dulu lagi

Perjalanan sejarah Singapura menjejas semua penduduknya termasuk juga masyarakat Cina yang tahun ini menyambut Tahun Baru Tikus. Bagaimana Tahun Baru Cina turut berubah mengikut perubahan sejarah Singapura?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kepelbagaian dalam sambutan Tahun Baru Cina di S'pura sejak dari dulu lagi

Hiasan Tahun Baru Cina di Chinese Garden pada 1997 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

BERITAmediacorp: Perjalanan sejarah Singapura menjejas semua penduduknya termasuk juga masyarakat Cina yang tahun ini menyambut Tahun Baru Tikus. Bagaimana Tahun Baru Cina turut berubah mengikut perubahan sejarah Singapura?

Bazar Tahun Baru Cina di Chinatown pada 2004 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Suasana bazar Tahun Baru Cina di Chinatown pada 2004 (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Pada tahun 1830, ketika sambutan Tahun Baru Cina masih lagi meriah, sebuah kebakaran besar telah berlaku; yang menyebabkan Singapura rentung separuh.

Munshi Abdullah anak Melaka yang sering berulang-alik ke Singapura menuliskan sedikit perihal apa yang terjadi di dalam Hikayat Abdullah. Bunyinya begini:

“Adapun pada waktu itu aku tinggal dalam negeri Singapura menumpang di rumah saudagar. Maka pada bulan itu Tahun Baru Cina, maka kepada tiga belas hari bulan itu, maka ramailah budak-budak bermain kuda api dan setengah orang Cina bermain singa dan kuntau serta bunyi-bunyian terlalu riuh. Ada pukul tengah delapan malam; maka sekonyong-konyong orang berlari-lari sambil berteriak-teriak mengatakan, api!.”

Munshi menukilkan ‘Syair Singapura Terbakar’ untuk memberi pemerian lebih terperinci akan keadaan tersebut.

Namun demikian saya tidak begitu tertarik dengan episod kebakaran ini. Tumpuan saya pada ‘Syair Singapura Terbakar’ ini lebih kepada penggalan pertamanya yang memaparkan sambutan Tahun Baru Cina di pulau Singapura tatkala itu.

Gambaran yang diberikan oleh Munshi Abdullah tentulah masuk dengan khayalan kita, persisnya hari ini juga, Tahun Baru Cina disambut dengan kuih dan manisan, baju berwarna terang, tarian Singa, pembakaran mercun dan pentas, pertunjukan kuntau, dan permainan judi.

PALING MENDEBARKAN 

Pun bahagian paling mendebarkan ialah pada tahun 1830, sebelum kebakaran besar itu terjadi; Tahun Baru Cina menyaksikan pergaduhan samseng-samseng Cina di celah upacara sembahyang yang diadakan di jalanan. 

Munshi menitipkan kejadian tersebut seperti di bawah ini:

Orang Thian Tai Huey suatu pasukan
Banyak kawannya bukan buatan
Datangnya dari segenap hutan
Memegang senjata berlompatan.

Kuan Tek Ya Hue suatu pasukan
Orang yang tiada banyak yang kelihatan
Tetapi anak Melaka ada mengeraskan
Bersama-sama ada menyuruhkan.

Bertemulah keduanya di simpang empat
Sama berani terlompat-lompat
Orang pun berkerumunlah hendak melihat
Kemudian berlarianlah pada segenap tempat

Berkelahi itu bukannya barang-barang
Kelakuannya seperti orang berperang
Anak Melaka terlalu amat garang
Dipukulnya Cho Ho larilah ke seberang

Masalah samseng dan kongsi gelap Cina ini memang diketahui umum oleh sejarawan dan muncul sebagai satu bab penerangan ritual mafia ini di dalam Hikayat Abdullah.

BABAK PERUBAHAN

Kesempatan menggali arkib turut membolehkan saya menyorot beberapa lagi insiden yang menimpa bangsa Cina dan Singapura tatkala perayaan Tahun Baru.

Selain kejadian pergaduhan samseng dan kebakaran besar pada tahun 1830 tersebut, sambutan Kong Hee Fatt Choy di Singapura memang menawarkan pelbagai babak dramatik.

Sebagai contoh, apakah latar di sebalik pertukaran ejaan Tahun Baru Cina dari ‘Kong Hee Fatt Choy’ yang biasa kita lazimi lama dahulu, kepada Gong Xi Fa Cai?

Pada tahun 1936 misalnya, akhbar Bahasa Inggeris Singapura mengucapkan ‘Kong Hee Fatt Choy’ dan ejaan ini kelihatannya terpakai sehingga tahun 1980. Namun demikian pada tahun 1980 terdapat desakan dari penutur bahasa Mandarin agar ucapan perayaan Tahun Baru Cina tidak lagi dieja demikian.

Suasana di Chinatown pada Februari 2000 semasa musim perayaan Tahun Baru China (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Suasana di Chinatown pada Februari 2000 semasa musim perayaan Tahun Baru China (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Sebaliknya ditegaskan penggunaan ejaan ‘Gong Xi Fa Cai’ sejajar dengan kempen Berbahasa Mandarin yang telah dilancarkan pada tahun 1979.

Hal ini memberi satu petunjuk kepada kita bagaimana landaan nilai dan bahasa Mandarin telah ikut menimpa pelbagai dialek dan identiti etnik Cina yang lain. Apakah ini baik atau buruk, hanya masyarakat Cina sahaja dapat mendebatkannya.

AWAL ABAD KE-20

Pada tahun 1936, seorang penulis kepada akhbar The Straits Times, mengenang kembali perayaan Tahun Baru Cina 30 tahun ke belakang. Penulis itu Victoria Allen memerikan bagaimana Tahun Baru disambut pada awal abad ke 20.

Tulisan beliau berjudul ‘How the Festival Was Celebrated 25 Years Ago’ menunjukkan bagaimana nilai dan etnik Kantonis menguasai Tahun Baru Cina.
Allen memerikan keadaan di Singapura dengan menyebut betapa penggerai dan penjaja Kantonis beroleh sambutan yang memuaskan dengan barangan masing-masing yang dijual di kawasan sekitar Balai Polis Central di South Bridge Road.

(Gambar hiasan: Unsplash)

(Gambar hiasan: Unsplash)

Tatkala melakukan ziarah, masyarakat Cina melakukan salam hormat dengan ucapan-ucapan yang sedikit asing dari arus perdana hari ini seperti lafaz ‘Kiong Hi’ atau ’Sin Chia Ju I’.

Satu lagi upacara berkait Tahun Baru Cina yang sedikit asing kini kerana kuasa Mandarin dan nilainya yang membadai adalah upacara Chap Lak Mah (malam ke-16) yang turut disentuh oleh Victoria Allen dalam tulisan beliau itu.

Ia adalah perayaan apabila kaum wanita keluar dengan melaram seraya memperagakan fesyen terbaru dan terbaik di sepanjang Jalan Orchard, Stamford dan lingkungan Connaught Drive.

Allen menulis: “Chap Lak Mah (16th night) was the occasion when the Straits Chinese women really came into their own. the night after full moon. On this night only, the usual screens on conveyances - which were the custom then - were discarded, and a constant stream of carriages of every description, with hoods back and blinds up, drawn by beautiful horses, drove along the main roads of Singapore, occupied almost exclusively by women.”

SAMBUTAN SURAM

Sekali lagi diingatkan, beginilah cara Tahun Baru Cina disambut pada awal abad ke-19. Bagaimanakah ia berlainan hari ini?

Tentu kelainannya ada serba sedikit memandangkan lafaz ‘Kong Hee Fatt Choy’ sendiri sudah diganti dengan Gong Xi Fa Cai.

Kelihatannya pada tahun 1936 juga, sambutan Tahun Baru Cina begitu suram kerana perayaan tersebut jatuh pada hari kemangkatan Raja George V.

Seluruh Malaya digesa menghormati musim perkabungan tersebut, malah semua kaum tidak kira kepercayaan diminta turut melakukan upacara masing-masing.

Bahkan bendera Union Jack berkibar separuh tiang di kediaman peribadi termasuk rumah-rumah agama masyarakat berketurunan Cina.

Tahun-tahun berikutnya sambutan Tahun Baru Cina terus kelam. Sebagai contoh beberapa bulan sebelum sambutan Kong Hee Fatt Choy, akhbar Malaya Tribune (17 November 1938) memesankan supaya Tahun Baru Cina tidak disambut kerana Perang Dunia yang sedang melanda.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘national crisis’ oleh akhbar tersebut? Pada tahun-tahun 1938 dan 1939, China dan Jepun sedang berperang dan berita yang datang dari China adalah kematian dan tragedi demi tragedi.

Sudah tentu, kaum Cina yang mempunyai hubungan darah dan budaya sebagai satu diaspora kaum merasakan apa yang menimpa di sana, sangat berhubungan dengan mereka juga.

Dalam erti kata lain, masyarakat Cina pada waktu itu masih merasakan watan mereka adalah di China, dan bukannya di Singapura.

DILARANG MENYAMBUT 

Satu lagi drama yang tidak dijangka berlaku pada tahun 1959 apabila minoriti etnik Cina di Indonesia dilarang dari menyambut Tahun Baru Cina. Terdapat gerakan yang berkempen agar Tahun Baru Cina ini dilarang sambutannya dengan alasan tidak cocok dengan ukuran moral dan jatidiri bangsa Indonesia.

Masyarakat Cina Singapura ikut berasa bimbang dengan perkembangan di negara jiran, keresahan itu dibincangkan dengan penuh debar tentunya kerana ingatan Singapura akan menyertai Malaya beberapa tahun kelak.

Pada tahun 1960, Singapura masih belum di dalam Malaya. Namun sudah terdapat rasa kebersamaan yang kuat antara Cina Malaysia dan Singapura. Tahun Baru Cina kali ini menyambut Tahun Tikus sepertinya tahun ini.

Terdapat pandangan yang Tahun Tikus adalah tahun yang maskulin dan dicadangkan agar anak-anak lelaki Cina dilahirkan pada tahun ini. Maka kaum lelaki dianggap memainkan peranan besar sepanjang tahun tersebut.

CABARAN TAHUN 1980-AN

Sambutan Tahun Baru Cina menempa cabaran lain di Singapura dalam tahun-tahun 1980an. Dekad ini menyaksikan betapa kerajaan Singapura sedar masyarakat Cina di Singapura lebih ramai memilih agama Kristian.

Pada tahun 1989 sebagai contoh, Perdana Menteri ketika itu, mendiang Lee Kuan Yew menyebutkan, sejak satu dekad berlalu kadar orang Cina yang beragama Kristian adalah sepuluh peratus dan dalam tempoh lapan tahun telah mengganda menjadi 17 sehingga 18 peratus.

Hiasan Tahun Baru Cina di Chinatown pada 2007 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Hiasan Tahun Baru Cina di Chinatown pada 2007 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Namun Encik Lee dilaporkan sebagai berkata hal ini bukan satu yang sepatutnya menjadi halangan kepada sambutan Tahun Baru Cina.

Kata beliau: “Apakah ini bererti bahawa kita lebih bersifat kebarat-baratan? Saya tidak berfikir demikian. Bagaimanapun jika ke semua masyarakat Cina menjadi kristian, keadaannya akan agak berbeza.” (Berita Harian, 8 Februari 1989).

PELBAGAI SAMBUTAN 

Demikianlah pelbagai drama di belakang sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Saya mengakhiri rencana ini dengan menukil amanat Tahun Baru Cina oleh Encik Lee Kuan Yew pada tahun 1984 iaitu Tahun Tikus.

Encik Lee menyebut tentang dua kunci yang perlu ada pada diri seseorang jika mahu berjaya dalam Tahun Tikus - iaitu pendidikan dan daya penghasilan yang lebih tinggi.

Moga tahun ini kita semua tidak kira dari mana-mana kaum akan lebih cemerlang, mengejar pendidikan terbaik dan penghasilan yang lebih kreatif.

Selamat Tahun Baru Cina. Selamat Tahun Tikus. Tahun bekerja dan mengumpul dalam senyap!

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan