Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kenaikan kos ibadah Haji dan bagaimana ASEAN boleh rebut peluang pelaburan di Arab Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Peluang untuk mengerjakan ibadah Haji di Makkah, Arab Saudi, merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia, memandangkan ia membentuk rukun Islam yang kelima.

Namun, setiap tahun, permintaan untuk mengerjakan Haji menjangkaui jumlah tempat yang dapat disediakan. Dengan pihak berkuasa Arab Saudi menguatkuasakan kuota ke atas jumlah jemaah Haji, umat Islam perlu menunggu giliran untuk mengerjakan ibadah tersebut.


Lantaran itu, semakin ramai umat Islam, termasuk mereka yang menetap di Asia Tenggara, berkali-kali mengerjakan ibadah Umrah. Secara purata, lawatan bagi tujuan menyempurnakan Haji mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 hari dan hanya boleh dikerjakan semasa musim Haji pada bulan Zulhijjah.

Sebaliknya, tempoh lawatan bagi tujuan menjalani ibadah Umrah lebih singkat - antara kira-kira seminggu hingga 15 hari - tetapi ia boleh disempurnakan pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Setakat ini, memandangkan begitu ramai bakal jemaah menantikan giliran atau berdepan dengan sekatan-sekatan akibat kuota Haji yang dikuatkuasakan terhadap semua negara seantero dunia, ramai umat Islam tidak berkesempatan mengerjakan Haji pada waktu yang sesuai bagi diri mereka meskipun mereka mampu dari segi jasmani dan kewangan.

Sebagai contoh, purata masa menunggu bagi umat Islam di Malaysia adalah 100 tahun dan 20 tahun bagi umat Islam Indonesia. Masa menunggu yang lama itu merupakan sebab mengapa pasaran bagi pakej Umrah kian berkembang pesat, memandangkan jemaah boleh menziarahi Makkah pada bila-bila masa menggunakan visa pelancong atau Umrah.
Makkah mengalu-alukan kedatangan jemaah dari luar Arab Saudi sebelum Haji bermula pada 6 Julai 2022. (Gambar: Christina Assi/AFP)
Bagi jemaah yang kurang yakin akan diberi kesempatan untuk mengerjakan Haji dalam jangka hayat mereka, ibadah Umrah membuka peluang untuk menziarahi tapak-tapak suci Islam.

Negara-negara yang diberi kuota jemaah Haji yang terbesar setakat ini adalah Indonesia, Pakistan, India, Turki, Mesir, Bangladesh dan Nigeria. Umat Islam Indonesia dan Pakistan juga membentuk jumlah terbesar jemaah Umrah.

Dalam kalangan negara-negara ASEAN, terdapat juga ramai jemaah Haji dan Umrah dari Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina. Dalam perangkaan terbaru, jumlah jemaah dari seluruh dunia adalah 2.5 juta orang dan lebih 5 juta jemaah Umrah menziarahi kedua-dua kota suci, Makkah dan Madinah setiap tahun.

Pada dasarnya, perbelanjaan untuk mengerjakan ibadah Haji sudah meningkat berlipat ganda dan semakin berat untuk ditanggung oleh para jemaah.

Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi sedang berusaha untuk menambah pelaburan bagi mempertingkatkan kemudahan-kemudahan di Tanah Suci, yang akan membolehkan negara itu menyambut lebih ramai jemaah pada bila-bila masa.

Negara-negara Asia Tenggara boleh merebut peluang-peluang pelaburan itu.

Namun cabarannya adalah bagaimana untuk memastikan pulangan yang diraih daripada projek-projek sedemikian dapat turut membawa manfaat kepada jemaah yang menanti-nantikan giliran untuk menunaikan ibadah Haji sedang perbelanjaannya menjulang tinggi.
Jemaah haji terhad tawaf keliling Kaabah pada 31 Jul 2020 (Gambar: SPA/AFP)
KOS KEKAL TINGGI

Sebahagian besar perbelanjaan yang dikeluarkan oleh jemaah Haji terdiri daripada tambang penerbangan ulang-alik dan kos penginapan di Arab Saudi.

Perbelanjaan lain termasuk kos pengangkutan di Tanah Suci, upah kepada para Mutawif ketika mengerjakan ibadah-ibadah rukun (Tawaf, Sai’i dan Wukuf) serta makan minum. Kos juga ditanggung oleh jemaah yang melawat tempat-tempat Masyair (Arafah, Muzdalifa dan Mina), menyewa khemah, membeli makanan dan membayar tambang bas ulang-alik pada kemuncak musim Haji.
(Gambar: Delil Souleiman/AFP)
Dunia Islam sedang melangkah ke era di mana kos untuk mengerjakan ibadah Haji adalah tinggi. Pada tahun 2022, purata perbelanjaan bagi pakej ibadah Haji di Indonesia meningkat daripada 75 juta Rupiah atau (S$6,570) kepada hampir 100 juta Rupiah (S$8,760) bagi setiap jemaah.

Peningkatan itu bukan disebabkan oleh pandemik COVID-19 semata-mata mahupun kerja-kerja naik taraf yang diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi baru-baru ini. Peningkatan kos itu sudah lama diumumkan sebelum kerajaan Arab Saudi memperkenalkan Wawasan Saudi 2030.

Pada 2020 dan 2021, Arab Saudi menyekat kemasukan jemaah Haji dari luar negara dek pandemik COVID-19. Pada 2022, kerajaan Saudi mengumumkan bahawa ibadah Haji akan disambung semula pada paras sebelum pandemik. Berita baik itu dialu-alukan oleh umat Islam di seluruh dunia. Beberapa hari menyusuli pengumuman tersebut, kerajaan Saudi mengundang menteri-menteri Haji dari sebilangan negara untuk mengadakan lawatan ke Arab Saudi bagi membincangkan dasar baru berhubung ibadah Haji.

Dua keputusan utama dibentangkan: Arab Saudi akan menyambut kedatangan jemaah Haji dari luar negara tetapi dengan bilangan terhad kepada 50 peratus daripada kuota biasa 2.5 juta orang dan perbadanan bimbingan haji Muasassah Saudi akan diswastakan untuk menjadikannya lebih profesional dan bertanggungjawab dalam menawarkan khidmat kepada jemaah Haji.

Bagaimanapun, ikhtiar untuk meningkatkan perkhidmatan Haji diiringi dengan berita yang mengejutkan, iaitu kos haji akan melonjak tiga kali ganda. Meskipun pada akhirnya kos dapat dikurangkan, jemaah Haji tetap perlu membiayai kenaikan kos ibadah Haji sebanyak 30% secara purata. Jemaah Haji dari seluruh dunia membantah perbelanjaan yang menjulang itu dan pemerintah Indonesia, Pakistan, Turki, Nigeria serta negara-negara lain menyuarakan keprihatinan mereka kepada kerajaan Arab Saudi.

Menurut Arab Saudi, keputusan itu tidak boleh dirundingkan semula dan akibatnya, negara-negara yang menghantar jemaah, termasuk ejen-ejen penyedia pakej Haji privet akhirnya mengalah.

Negara-negara ASEAN memanfaatkan pelbagai strategi untuk meringankan beban jemaah Haji. Indonesia dan Malaysia menghantar jemaah Haji dengan menyediakan subsidi yang dibiayai dengan hasil pulangan pelaburan dana tabung Haji. Menurut pertimbangan kedua-dua negara, sekiranya mereka memutuskan untuk tidak menghantar jemaah Haji, bakal jemaah Haji yang lain akan terpaksa menunggu lebih lama bagi giliran masing-masing.

Negara-negara ASEAN yang lain pula menghantar jemaah Haji mengikut kuota 50 peratus yang ditetapkan. Pada tahun lalu, jemaah Haji juga terpaksa membiayai kos tambahan menyusuli pelaksanaan protokol kesihatan COVID-19. Nilai tukaran mata wang masing-masing yang melemah berbanding dolar Amerika turut memberatkan lagi beban yang ditanggung oleh jemaah.

PELUANG PELABURAN

Meskipun perbelanjaan bagi mengerjakan Haji kian melambung tingg, kerajaan Arab Saudi turut menyediakan peluang-peluang pelaburan yang lumayan bagi Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan negara-negara ASEAN yang lain.

Pada Januari 2023, semasa Forum Haji dan Umrah Sedunia yang diadakan di Jeddah, kerajaan Arab Saudi memperkenalkan peluang-peluang pelaburan strategik berkaitan dengan projek-projek Haji dan Umrah kepada para pelabur global.

Kesemua peraturan, institusi, sumber manusia, corak kerjasama dan matlamat pelaburan di Arab Saudi sudahpun disediakan dan kerajaan Arab Saudi juga menjalankan usaha-usaha pendampingan, pameran dan kempen dengan mengundang rakan-rakan pelaburan strategik.

Seperti yang dapat dijangkakan, negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam seperti Indonesia, Malaysia, Brunei, Pakistan, Nigeria dan Turki sudah mula mempertimbangkan undangan daripada Arab Saudi. Negara-negara majoriti bukan Islam juga mengintai peluang di tengah-tengah perkembangan tersebut, termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Brazil dan China.

Para pelabur dari negara-negara tersebut sudahpun mengemukakan cadangan berdasarkan tumpuan pelaburan masing-masing. Kerajaan Arab Saudi kelihatan tidak memberikan sebarang keistimewaan kepada pelabur-pelabur tertentu saja dan sebaliknya kriteria bagi memilih pelabur adalah berdasarkan daya saing, kecekapan dan keupayaan untuk menyelesaikan projek mengikut jadual.

Seiring dengan pelaksanaan Wawasan 2030, Arab Saudi dijangka dapat menyediakan tempat penginapan bagi ramai lagi jemaah Haji dan Umrah serta pelancong, dengan sasaran kerajaan Saudi untuk menyambut 100 juta pengunjung setahun atau 10 kali ganda daripada jumlah sekarang.

Pelancongan adalah sektor perniagaan yang sangat menguntungkan bagi Arab Saudi dan tidak hanya melibatkan kota-kota suci Makkah dan Madinah, tetapi juga bandar-bandar berhampiran seperti Jeddah, di mana terletaknya sebuah lapangan terbang antarabangsa.

Jeddah juga sedang menjalani perubahan untuk menjadi destinasi moden dalam kalangan pelancong Muslim yang berupaya menandingi Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE). Ibu kota Arab Saudi, Riyadh, ditetapkan sebagai pusat kewangan dunia setanding dengan Abu Dhabi, iaitu ibu kota UAE.

Beberapa lapangan terbang juga dirancang akan dibina di luar Jeddah, Madinah dan Riyadh.
(Gambar hiasan: Pixabay/Pexels)
Ini bermakna tempoh lawatan sempena musim Haji boleh disingkatkan dan jemaah Haji boleh meneroka Arab Saudi di luar Makkah dan Madinah. Selain itu, bangunan di tempat-tempat tumpuan jemaah seperti Makkah, Arafah dan Mina akan dinaik taraf, sementara Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan terus diperluaskan.

Pembangunan berskala besar akan dapat mewujudkan peluang pelaburan yang berlipat ganda. Wadah-wadah ejen pelancongan gergasi bertaraf dunia, Agoda dan Airbnb sudahpun menjalin kerjasama dengan Arab Saudi dan dijangka akan menyumbang kepada sebahagian besar tempahan online bagi mengerjakan ibadah Haji dan Umrah. Mereka juga membantu untuk membina dan membangunkan Sistem Pengedaran Global (GDS), iaitu rangkaian perjalanan global Arab Saudi.

Bagaimanakah peluang-peluang pelaburan strategik sedemikian boleh membawa manfaat kepada negara-negara Asia Tenggara?

Keutamaannya sekarang adalah untuk memperluaskan kawasan Masyair —khususnya ruang-ruang yang digunakan pada kemuncak musim Haji — dengan membina bangunan bertingkat. Projek peningkatan itu termasuk membaiki khemah-khemah sedia ada, membina tempat penginapan di kawasan sekeliling, menyediakan makanan siap dimasak dan menyediakan bas ulang-alik Masyair.

Kerja-kerja peningkatan kilang yang menyediakan khidmat katering bagi jemaah Haji juga tidak kurang pentingnya.

Kemungkinan lain termasuk meningkatkan pengangkutan dan logistik melalui khidmat bas antara bandar dan membangunkan hotel di Makkah dan Madinah, perkhidmatan hospital dan lain-lain.

Sektor perkhidmatan tidak kurang pentingnya, iaitu khidmat kewangan bagi jemaah Haji dan Umrah termasuk menyediakan khidmat kewangan bukan tunai, insurans Haji dan khidmat kewangan lain.

Begitu juga dengan khidmat pelancongan termasuk pembinaan tempat-tempat daya tarikan pelancong Islam yang bersejarah, termasuk khidmat pelancongan di pergunungan Taif hingga ke tapak warisan purba Al Ula dan lain-lain, di mana para pelabur Asia Tenggara digalak memainkan peranan.

Kerajaan Arab Saudi merancang untuk menubuhkan berpuluh-puluh anak syarikat melalui transformasi institusi Muassasah, yang kemudiannya akan ditawarkan kepada para pelabur strategik. Semasa suatu pameran diadakan baru-baru ini, sebilangan pelabur strategik menandatangani penilaian pelaburan dalam bidang tersebut. Pelabur-pelabur dari Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina turut meneroka peluang itu. Kajian-kajian kebolehlaksanaan dan usul periksa dari segi undang-undang akan dijalankan ke atas skim-skim pelaburan yang disarankan, dan ia perlu dilaksanakan oleh firma-firma perundingan yang diyakini dan bertaraf dunia.

PELABUR STRATEGIK ASEAN

Pengkomersilan perkhidmatan Haji dan Umrah akan meningkatkan lagi kos mengerjakan ibadah Haji. Sejak 2022, yuran khidmat Masyair meningkat tiga kali ganda, menyebabkan kos mengerjakan ibadah Haji melonjak 30 peratus. Pada tahun 2023, kos itu dijangka kekal tinggi.

Kenaikan itu akan membebankan jemaah, lebih-lebih lagi di tengah-tengah persekitaran inflasi global dan kadar pertukaran nilai mata wang tempatan yang menyusut berbanding dolar Amerika dan Riyal Saudi.

Jika Indonesia, Malaysia dan negara-negara Islam lain yang menghantar jemaah Haji dapat memanfaatkan peluang pelaburan tersebut, maka manfaatnya boleh dikembalikan kepada jemaah Haji, iaitu dengan memperkukuh, membangunkan dan memanfaatkan institusi dan skim-skim sedia ada bagi menguruskan jemaah Haji.

Sebagai contoh, Malaysia mempunyai institusi pelaburan Haji patuh Syariah yang kukuh dan mantap, Tabung Haji (TH), yang boleh dimanfaatkan, sementara Indonesia mempunyai Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH). Kedua-duanya merupakan calon pelabur dana Haji strategik.

Pada 2022, jumlah aset TH bernilai sekitar AS$20 bilion (S$27 bilion) dan BPKH mempunyai pegangan aset bernilai sekitar AS$11 bilion (S$14.8 bilion). Brunei mempunyai Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), sementara Singapura mempunyai Dana Pelaburan Negara seperti GIC. Menariknya, kedua-dua TAIB dan GIC mempunyai unit pelaburan yang menguruskan pelaburan yang mematuhi Syariah.

Dana Haji yang diuruskan oleh Malaysia dan Indonesia boleh dilaburkan dengan sewajarnya dalam projek-projek berkaitan Haji kerana ia merupakan pelaburan jangka masa panjang yang bersesuaian dengan masa menunggu yang lama bagi para calon jemaah Haji. Meskipun projek-projek sedemikian membawa risiko, ia boleh dikurangkan dengan jumlah jemaah Haji dan Umrah yang terus bertambah dan sekali gus membantu untuk mengekalkan profil risiko rendah hingga sederhana.

Kadar pulangan dana pelaburan Haji adalah agak tinggi, iaitu dianggarkan sekurang-kurangnya 200 hingga 300 mata asas melebihi hasil sukuk korporat. Dengan kadar pulangan yang tinggi dan risiko rendah hingga sederhana, tabung haji akan menarik minat bakal jemaah Haji, Umrah dan juga pelabur-pelabur lain. Negara-negara ASEAN yang mempunyai dana berinstitusi, seperti Brunei yang dibekalkan lebihan produk minyak dan Singapura dengan dana insurans dan persaraannya, juga mempunyai dana untuk membiayai pelaburan jangka panjang di Arab Saudi.

Filipina juga mengintai peluang pelaburan di Arab Saudi kerana jumlah kiriman wang yang tinggi daripada warga Filipina yang bekerja di Arab Saudi. Bank-bank di Filipina juga memiliki pengalaman dalam membiayai pelaburan di luar pesisir dan malah ada bank yang mempunyai cawangan di Arab Saudi. Begitu juga dengan Thailand, di mana beberapa bank mempunyai cawangan di Arab Saudi dan boleh segera meneroka peluang-peluang untuk membiayai projek-projek di Arab Saudi. Lantaran itu, ada kemungkinan bagi setiap institusi pelaburan di ASEAN untuk menjadi rakan kongsi strategik Arab Saudi.

Maka itu, meskipun kos untuk mengerjakan ibadah Haji terus meningkat, ia boleh diimbangi dengan pulangan pelaburan lebih lumayan dalam pelbagai sektor yang ditawarkan oleh institusi pelaburan milik kerajaan Arab Saudi. Jika peluang pelaburan dapat dimanfaatkan secara optimum dan pulangannya dikembalikan kepada jemaah Haji, ia akan mewujudkan strategi pelaburan jangka panjang yang menguntungkan. Hasil pelaburan juga akan disalurkan ke negara masing-masing.

Persoalannya kini beralih kepada cara-cara setiap negara menguruskan jangkaan jemaah Haji dalam jangka masa terdekat.

KESIMPULANNYA

Tidak dapat dinafikan, strategi, dasar dan pembiayaan ibadah Haji menjalani perubahan-perubahan yang ketara sejak Wawasan Saudi 2030 dibentangkan.

Kerajaan Arab Saudi, yang mempunyai mandat untuk menguruskan ibadah Haji dan Umrah, mencarta hala tuju jelas yang menegaskan betapa pentingnya pelaburan dalam meningkatkan kemudahan ibadah Haji pada masa akan datang. Kapasiti haji akan dipertingkatkan tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang supaya dapat menyambut lebih 10 juta jemaah Haji setiap tahun. Ini bermakna perkhidmatan dan prasarana perlu dipertingkat dan dinaik taraf secara besar-besaran.

Maka itu, dana bagi meningkatkan perkhidmatan perlu dibiayai oleh pelaburan dari dalam Arab Saudi dan daripada pelabur-pelabur strategik global. Pelaburan strategik bagi Haji dan Umrah dijangka dapat menjana pulangan yang boleh kemudiannya memanfaatkan jemaah Haji.

Pada dasarnya, para pelabur dan jemaah Haji mengharapkan ketelusan dalam pengurusan pelaburan, peningkatan kuota Haji dan masa menunggu giliran naik Haji yang lebih singkat.

Pada 2023, kuota jemaah Haji sudah kembali ke paras sebelum COVID-19 dan akan ditambah secara bertahap-tahap dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pada tahun ini, jemaah Umrah dari luar Arab Saudi melebihi jumlah sebelum COVID-19 melanda, iaitu sekitar 7 juta jemaah. Jumlah jemaah Haji dan Umrah akan dapat ditambah memandangkan kawasan-kawasan bagi mengerjakan Haji dan Umrah kini sudah diperluaskan dengan ketara.

Kenaikan kuota tersebut merupakan berita baik bagi umat Islam di seluruh dunia, khususnya jemaah Haji yang secara purata sudahpun menunggu lebih 20 tahun di Indonesia dan 100 tahun di Malaysia.

Jika Indonesia dan Malaysia berhasil mencatat kejayaan sebagai rakan kongsi pelaburan strategik di Arab Saudi, jemaah Haji boleh mendapat pulangan yang optimum daripada sumbangan masing-masing kepada tabung Haji. Selain meraih manfaat daripada nilai pelaburan, hasil pelaburan boleh dikembalikan ke negara masing-masing.

Sementara itu, negara-negara ASEAN seperti Singapura dan Brunei, yang juga mempunyai dana pelaburan institusi yang besar, juga boleh menjadi rakan kongsi strategik Arab Saudi. Sebagai contoh, Singapura boleh memainkan peranan penting dalam transformasi digital untuk jemaah Haji dan Umrah menerusi wadah-wadah urus niaga tanpa tunai bagi perbelanjaan harian, pembelian barang keperluan ketika berwisata.

Dengan mengambil kira 10 juta jemaah umrah yang tiba dari luar Arab Saudi dan jika setiap jemaah membelanjakan sekurang-kurangnya AS$1,000 (S$1,353) sepanjang tempoh penginapan di Arab Saudi, jumlah yuran urus niaga yang boleh diperoleh adalah lumayan. Jemaah Umrah juga dapat memanfaatkan kemudahan tanpa tunai dan wadah urus niaga digital yang praktikal dan selamat apabila berbelanja untuk keperluan harian atau membeli-belah.

Bank-bank ASEAN yang sudah bertapak di Arab Saudi, seperti yang berpangkalan di Thailand dan Filipina, juga boleh menyediakan dana untuk projek-projek Haji dan Umrah - secara bersendirian atau menerusi kerjasama dengan bank-bank Arab Saudi.

Brunei boleh menyertai Indonesia dan Thailand dalam pelaburan untuk membekalkan produk makanan “sedia untuk dimakan" atau membina hotel dengan Malaysia dan Arab Saudi melalui syarikat usaha sama.

Pelaburan juga boleh dibuat dalam bentuk pembiayaan atau pembelian saham dalam syarikat-syarikat milik pelabur Arab Saudi.

Thailand mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam makanan Halal sedia untuk dimakan, manakala Malaysia mempunyai pengalaman menguruskan hotel sewa jangka panjang di Makkah dan Madinah.
Jemaah musim haji 2020 (Gambar: Kementerian Media Arab/AFP)
Kos perjalanan dan menunaikan Haji bukanlah rendah, tetapi memandangan pelaburan tabung haji di Arab Saudi sudah cukup terjamin, pembangunan sektor kewangan Islam sejagat akan meningkat lagi. Kewangan Islam mempunyai ciri-ciri bukan ribawi – sah, adil, tidak spekulatif dan inklusif.

Namun begitu, meskipun peluang-peluang pelaburan boleh mendatangkan manfaat kepada Asia Tenggara dalam jangka masa panjang, cabarannya kini adalah bagi pemerintah-pemerintah di Asia Tenggara untuk menyampaikan peluang-peluang sedemikian kepada rakyat masing-masing dan menjelaskan sebab-sebab di sebalik kos menunaikan Haji yang kian meningkat.

Mereka masih perlu menguruskan jangkaan jemaah Haji yang menunggu lama dan menangani kebimbangan tentang khidmat yang kurang bermutu.

Negara-negara ASEAN perlu menjelaskan bahawa strategi pelaburan bersama dengan pelabur-pelabur Arab Saudi berkemungkinan dapat menambah kuota Haji dan Umrah dan sekali gus menyingkatkan masa menunggu jemaah Haji khususnya dari negara-negara ASEAN.

Musim Haji 2023 akan bermula pada Mei sehingga kemuncaknya pada penghujung bulan Jun atau awal Julai. Setiap negara sudah mula mempersiapkan bakal jemaah Haji dari segi rohani, jasmani dan kewangan. Komunikasi menyeluruh dengan jemaah Haji mengenai perkembangan semasa mesti dilakukan.

MENGENAI PENULIS:
(Gambar ihsan: Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH))
Anggito Abimanyu adalah Ketua Jabatan Ekonomi dan Perniagaan, Sekolah Kejuruan, Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, Indonesia. Beliau juga merupakan mantan Timbalan di Kementerian Kewangan, Ketua Pengarah Haji dan Umrah Kementerian Agama Indonesia dan Ketua Badan Pengelola Kewangan Indonesia. Beliau adalah Zamil Bersekutu di ISEAS – Institut Yusof Ishak.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan