Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kemerdekaan dan maknanya kepada nusa dan warganya

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kemerdekaan dan maknanya kepada nusa dan warganya

Gambar: AFP/Roslan Rahman

BERITAmediacorp: Kemerdekaan bagi sesebuah negara bukan saja merujuk kepada kedaulatan atau kewujudan dari segi politik dan sosioekonomi tetapi juga pemikiran dan akhlak pemimpin dan rakyatnya. Daripada khazanah persuratan Melayu, apakah erti merdeka dalam pemaknaan yang luas?

Umumnya warga Singapura ternanti-nanti Hari Kebangsaan kerana hari cuti, perbarisan, pertunjukan bunga api dan sebagainya.

Tapi apakah ini hanya bermakna semangat kita sekadar ‘pesta-pestaan’?

Soalan ini sering ditimbulkan dalam sembang media baik di akhbar mahupun di media sosial.
Sambutan Hari Kebangsaan. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Banyak negara seperti jiran Malaysia dan Indonesia sehinggalah adikuasa Amerika Syarikat menggunakan istilah ‘Hari Kemerdekaan’ (Independence Day) untuk menegaskan detik kelahiran sebagai negara bangsa (nation state). Singapura pula memaktubkan hari bersejarah kelahirannya sebagai negara atau watan, iaitu 9 Ogos (sejak sambutan pertama pada 1965) sebagai ‘Hari Kebangsaan’. Mengapa?

ERTI MERDEKA

Tentulah jawapannya pada hemah pucuk kepimpinan awal Singapura iaitu Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew dan pasukannya dalam memilih istilah-istilah khas untuk mencirikan negara ini, termasuklah ‘Hari Kebangsaan’.
 
Mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew. (Gambar: Remembering Lee Kuan Yew/Facebook)
Hakikatnya, Encik Lee (1923-2015) dan para pendahulunya seperti David Marshall dan Lim Yew Hock (dua ketua menteri pada 1950-an) pernah menggunakan istilah dan laungan ‘merdeka’ untuk menuntut kebebasan daripada penjajah British. Malah Encik Lee pernah ‘membarakan’ perhimpunan di sekitar Dewan Bandar Raya pada 3 Jun 1961 dengan berteriak: “Ayuh lebih bersemangat lagi...Merdeka!”.

Sejarah Singapura menuntut kemerdekaan tentulah dikaitkan dengan empayar British di Asia Tenggara. Pada 1819 wakilnya, Thomas Stamford Bingley Raffles (1781-1826) telah menemui Temenggung Abdul Rahman dan kemudian merajakan Sultan Hussein Syah.

Dengan tipu daya Residen British, John Crawfurd, kedua-dua tokoh Melayu ini telah melepaskan Singapura sepenuhnya pada 1824. Pada tahun ini juga dua kuasa penjajah Barat iaitu British dan Belanda telah membahagikan Gugusan Asia Tenggara atau Nusantara menurut kepentingan masing-masing.

SEMBOYAN INSAN BEBAS

Asalnya, istilah ‘merdeka’ ketika itu masih berada dalam ruang pemaknaan yang terhad. Abdullah Munsyi dalam Hikayat Abdulah (1848) ada menyebut istilah ‘merdeka’ (lewat tulisan jawi: مرديك ) yang dirumikan menjadi ‘merdeheka’ ( مردهيك ).

Merdeka juga disebutkan dengan beberapa cara dalam karya-karya Melayu klasik iaitu dieja merdeheka, merdeka dan merdehika.

Dipercayai ‘merdeka’ berasal dari kekata Sanskerta, maharddhikekarit, iaitu keadaan bebas daripada belenggu atau ikatan. Bahasawan Indonesia, Elisa Sutan Harahap, menyatakan merdeheka juga memiliki erti iaitu “orang soleh, pandai agama atau insan yang ‘mengetahui’ apa yang akan terjadi sesudah kematiannya”.

Seyogia daripada 2,000 perkataan asas Melayu, sekitar 20 peratus berasal daripada Sanskerta sehingga meliputi istilah agama seperti agama, sembahyang, syurga, neraka, pahala dan sebagainya.

Dalam zaman silam (sehingga abad ke-19M) merdeka dikaitkan dengan sistem perhambaan dan bukan dalam konteks politik atau siasah. Ia lebih merujuk kepada soal darjat atau status seseorang – apakah seorang merdeka atau hamba.

Seseorang menjadi hamba kerana berketurunan hamba atau kerana diculik dan dijual sebagai hamba atau berhutang tanpa dapat membayar atau ditawan dalam peperangan.

Dalam buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, dipercayai hanya sekali saja istilah merdeka digunakan iaitu ketika orang kuat Singapura, Badang, yang dibebaskan oleh tuannya daripada darjat hamba kepada orang merdeka.

Mengapa kekata merdeka tidak disebut dalam kebanyakan karya klasik Melayu termasuk Amir Hamzah, Taj us-Salatin, Raja-Raja Pasai dan Hang Tuah? Sebaliknya, istilah derhaka yang kerap disebut dalam hikayat-hikayat lama termasuk Hikayat Pahang. Ada sebanyak 73 kali kata ‘derhaka’ diulang dalam Hikayat Hang Tuah yang antara lain mengisahkan kederhakaan atau pemberontakan Hang Jebat.

Menurut kalangan pekamus, akar kata ‘merdeka’ mungkin berasal daripada perkataan ‘derhaka’ yang dari segi bahasanya bermaksud menentang.

Jadi, bilakah merdeka digunakan untuk merujuk kepada usaha membebaskan tanah air daripada sebarang cengkaman penjajah.

Majalah Al-Imam (1906-1908) iaitu majalah Islam pertama di Alam Melayu dan diterbitkan di Singapura telah menggunakan merdeka, kemudian dituruti majalah Saudara (1928-1941) dan majalah Majlis (1932-1941).

Awalnya, pemakaian merdeka tidak ditujukan dalam ranah (domain) politik tetapi lebih merujuk kepada soal ekonomi dan pendidikan.

Antara tokoh terawal melaungkan merdeka sebagai seruan perjuangan bebas daripada penjajah British di Tanah Melayu dan Singapura ialah Ahmad Boestamam yang memimpin Angkatan Pemuda Insaf (API). API pernah dianggotai Dr Hj Ya’acob Mohamed (1925-1989), antara pemimpin Melayu yang awal dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak 1959 hingga kini.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (lebih dikenali sebagai UMNO) dikatakan mula menggunakan istilah merdeka lewat ucapan pengasas dan ketuanya, Onn bin Jaafar semasa persidangan setengah tahun parti itu di Kuala Lumpur pada 29 Mac 1952. Sebelum itu, UMNO menggunakan semboyan Hidup Melayu dalam acara-acaranya.

MARUAH BANGSA

Konsep derhaka sangat bertentangan dengan nilai kesetiaan yang wujud dalam masyarakat Melayu. Menurut Sejarah Melayu, persetiaan Melayu bermula dengan Demang (ketua segala penghulu) Lebar Daun yang mewakili rakyat mengikat janji (social contract atau waadat) dengan raja, Sang Sapurba.

Rakyat terus setia asalkan (selagi) raja berlaku adil sehingga tidak mengenakan hukuman yang memalukan. Sebaliknya, rakyat berhak memberontak jika raja (pihak istana) bertindak sebaliknya.

Hakikatnya, orang (rakyat) Melayu dahulu lebih mengutamakan aspek kesetiaan serta kemantapan berbanding nilai lain yang lebih bermakna seperti keadilan, kesaksamaan dan keutuhan (integriti).

Menuntut kemerdekaan tanah air adalah soal maruah.

Walaupun Singapura sudah tanpa raja sebagaimana Melaka dan Pulau Pinang (dipanggil ‘Negeri-Negeri Selat’ atau Straits Settlements oleh British), tuntutan merdeka bak taufan yang merubah dunia termasuk Nusantara – bermula di Filipina (menerusi seruan Jose Rizal pada akhir abad ke-19M), Indonesia dan Semenanjung Tanah Melayu.
 
Mohammad Eunos Abdullah. (Gambar: National Museum of Singapore)
Di Singapura, seruan merdeka terpapar dalam seruan tersirat Mohammad Eunos Abdullah (1876-1933), pemimpin-pengasas Kesatuan Melayu Singapura (badan separa politik yang pertama dalam Dunia Melayu, 1926-1961).

Beliau secara halus berkempen di dewan perundangan yang menuntut kerajaan British agar “membebaskan” orang Melayu di Singapura daripada belenggu kejahilan (ignorance) dan kemiskinan (poverty) menerusi rancangan pendidikan sehingga pemindahan petempatan dari Lembangan Kallang ke Kampung Melayu Kaki Bukit dan juga Tanjung Irau-Sembawang.

KONTEKS NASIONAL

Merdeka dalam konteks Singapura adalah seruan ke arah membina maruah sebagai negara bangsa. Walaupun berada dalam rantau lautan Melayu, pucuk kepimpinan Singapura memilih untuk menonjolkan ciri kepelbagaian kaum sebagai satu bangsa dalam laluan penakatannya.
Kanak-kanak semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum. (Gambar fail: MOE)
Kemerdekaan Singapura memang tidak diraih lama dengan darah seperti perlawanan yang berlaku di Tanah Melayu atau Indonesia. Jika ada pun, hanya dalam Perang Dunia II, Singapura menyaksikan keperwiraan Leftenan Adnan di Bukit Candu atau Lim Bo Seng dari pasukan China yang menentang penjajahan Tentera Jepun.

Sejurus selepas dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia yang membawa kepada kemerdekaannya, Singapura gigih menambat pengiktirafan dunia akan kedaulatannya sebagai sebuah negara kecil yang tangkas mengejar kemajuan dan keadilan.

Menteri Luar dan antara pengasasnya, S. Rajaratnam menegaskan di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 September 1965, akan tekad watan ini untuk terus wujud dan berjaya tanpa dibuli kuasa-kuasa besar.

Dalam tempoh lebih satu generasi saja – bangkitlah kita dari taraf negara Dunia Ketiga ke Pertama -- pencapaian Singapura diakui dunia.

Dan inilah yang dinilai sebagai erti terbesar ‘kemerdekaan’ bagi watan ini.
MENGENAI PENULIS:
Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan