KOMENTAR: Kemenangan terbaru Netanyahu di Israel – apa yang membimbangkan kepada Palestin dan Dunia
Kemenangan sekali lagi bagi pihak berhaluan kanan Israel dalam pilihan raya baru-baru ini tidak menjanjikan harapan damai bagi konflik Arab-Israel. Apakah tiada alternatif lain yang boleh diharapkan pada masa depan?

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. (Gambar fail: Sebastian Scheiner/Reuters)
BERITAmediacorp: Dengan kemenangannya dalam pilihan raya umum Israel pada 9 April lalu, Benjamin Netanyahu sekali gus menjadi perdana menteri yang paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel - lebih lama daripada perdana menteri pertama, David Ben-Gurion.
Kemenangannya untuk penggal kelima ini dilihat sebahagian orang sebagai menguatkan mitos bahawa Israel adalah satu-satunya negara demokratik di Timur Tengah.
Ia juga berkemungkinan membawa kepada berakhirnya apa yang dipanggil ‘huraian dua negara’ Palestin-Israel (the two-state solution).
Kisah kemenangan Netanyahu ini agak mudah: Israel adalah sebuah negara berhaluan kanan sederhana dan Netanyahu berjaya mengumpulkan pengundi berhaluan kanan untuk mengalahkan parti berhaluan tengah atau kiri.
Sejak berakhirnya proses damai pada awal tahun 2000 dan kebangkitan penguasa Hamas di Carikan Gaza, selepas pengunduran Israel dari wilayah itu, ramai penduduk Israel lebih yakin dengan pimipinan parti Likud yang berhaluan kanan.
SOKONGAN GOLONGAN KANAN
Ahli-ahli sains politik telah menemui bukti kukuh bahawa serangan roket dan pengeboman Hamas ke atas Israel berjaya meningkatkan sokongan pengundi kepada parti sayap kanan Israel.
Ini menunjukkan bahawa konflik Palestin yang tiada kesudahan telah membawa kepada keruntuhan sokongan untuk parti-parti berhaluan kiri di Israel.
Parti Buruh, parti berhaluan kiri, yang menguasai politik Israel selama 50 tahun pertama sejarah Israel langsung tidak memenangi sebarang pilihan raya umum sejak tahun 1999.
Di peringkat global, pemimpin-pemimpin sayap kanan lain dan golongan nasionalis turut menunjukkan sokongan yang tegas kepada Netanyahu.

Antara mereka Presiden Donald Trump yang baru-baru ini telah memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmakdis dan juga mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang dipertikaikan dengan Syria.
Trump juga menyatakan sokongan Amerika terhadap kenyataan Netanyahu bahawa pemerintahnya akan melanjutkan pendudukan Israel ke atas Tebing Barat jika partinya memenangi pilihan raya umum April lalu.
KESAN KEMENANGAN
Pada permukaannya tidak banyak akan berubah dalam dasar Israel. Penunjuk baik dari apa yang Netanyahu mungkin lakukan pada masa depan adalah apa yang telah dilakukannya pada masa-masa lalu.
Ia termasuklah membentuk sebuah pemerintah baru yang akan menyatukan parti-parti sayap kanan yang membentuk majoriti di Knesset, parlimen Israel.
Isu yang paling segera bagi Netanyahu mungkin untuk menangani tuduhan ke atasnya berhubung dengan siasatan tiga kes rasuah ke atasnya.
Netanyahu mungkin cuba mengukuhkan sokongan di Knesset untuk melindungi dirinya daripada pendakwaan semasa memegang jawatan, seperti menangguhkan kesnya sehingga tamat penggalnya yang baru – walaupun ini bukan petanda baik untuk demokrasi Israel.
Langkah Netanyahu menguatkan tuntutan Israel ke atas Bukit Golan yang kini mendapat sokongan Amerika Syarikat pula dijangka membuka jalan kepada Amerika untuk mengiktiraf tuntutan Israel ke atas seluruh wilayah Palestin.

Namun sekiranya Netanyahu meneruskan tindakan Israel untuk melanjutkan pendudukannya ke atas Tebing Barat, ini akan pasti menjejas hubungannya dengan banyak negara lain, termasuk negara-negara Arab yang sebelum ini bekerja rapat dengan Israel menentang Iran.
Melanjutkan pendudukan Israel di Tebing Barat tidak akan membawa sebarang perubahan kepada kebanyakan rakyat Palestin yang mendiami di wilayah tersebut.
TANDA-TANDA BURUK
Langkah Israel itu bukan bertujuan untuk memberikan hak mengundi kepada sekitar 2.8 juta rakyat Palestin di Tebing Barat.
Begitu juga tiada sebarang cadangan tentang apa yang hendak dilakukan kepada sekitar 1.8 juta rakyat Palestin yang mendiami Carikan Gaza.
Sekiranya langkah untuk melanjutkan pendudukan Israel itu diteruskan ia memberi isyarat buruk tamatnya ‘huraian dua negara’ dan akan menjuruskan Israel ke arah realiti dasar apartheid ke atas penduduk Palestin.
Dalam kempen pilihan rayanya Netanyahu telah pun membuat perisytiharaan bahawa "Israel bukan sebuah negara untuk semua rakyatnya. Menurut undang-undang negara kita, Israel adalah negara untuk bangsa Yahudi - dan mereka sahaja.”
Sentimen sebegini termasuk ancaman untuk melanjutkan pendudukan ke atas Tebing Barat adalah tanda-tanda buruk yang akan menghentikan sebarang prospek penubuhan sebuah negara Palestin – yang merupakan sebahagian daripada ‘huraian dua negara’ yang disokong sebahagian besar anggota dunia, termasuk Singapura.
HURAIAN SATU NEGARA
Ketika Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel, pemimpin kanan Palestin, Saeb Erekat berkata: "Huraian dua negara sudah berakhir. Sekarang adalah masa untuk mengubah perjuangan bagi sebuah negara dengan hak yang sama untuk semua orang yang hidup di Palestin bersejarah. "

Beliau berhujah bahawa huraian satu negara – di mana rakyat Israel dan Palestin menjadi warga sebuah negara yang sama - merupakan satu-satunya cara untuk mencapai keadilan dan keamanan berkekalan dengan menghapuskan penjajahan apartheid ke atas penduduk Palestin.
Ia bermakna diwujudkan sistem politik baru yang memberi hak sivil yang sama rata kepada semua, baik rakyat Palestin dan Israel, dengan pelaksanaan ‘hak pulang ke tanah air’ kepada para pelarian Palestin.
Walaupun ia kelihatan sebagai satu huraian yang ideal, hakikatnya ini juga ditolak semua pihak – baik Palestin dan juga Israel.
Idea bahawa adanya sebuah negara bersatu berdasarkan kewarganegaraan yang sama rata kepada rakyat Arab dan Yahudi dikatakan tidak pernah wujud.
Sebuah negara Israel tunggal untuk kedua-dua bangsa itu dilihat akan hanya menjadi lanjutan negara Israel hari ini, di mana selepas tujuh dekad, masyarakat Arab Israel sebagai rakyat kelas kedua sahaja.
JAMINAN UNTUK SEMUA
Rakyat Palestin pula telah lama menolak konsep negara sedemikian yang mereka ibaratkan sebagai apartheid.
Bagi rakyat Israel, konsep "satu negara" itu dikhuatiri akan membawa berakhirnya Zionisme di Israel apabila rakyat Palestin mungkin akan membentuk separuh atau lebih daripada penduduknya.
Ini bermakna Israel akan berhenti menjadi sebuah negara majoriti Yahudi.
Walau apapun kekurangannya, huraian ‘satu negara’ ini bertujuan menjamin semua orang di tanah Palestin dan Israel boleh hidup di bawah perlembagaan dan kontrak sosial yang sama, yang memberikan mereka kebebasan, keadilan dan maruah untuk semua.
Ia merupakan laungan yang semakin bergema dari ramai pihak.
Pandangan yang dikongsi dalam artikel ini adalah pandangan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan MEI-Institut Timur Tengah.

MENGENAI PENULIS:
Muneerah Ab Razak adalah penyelidik bersekutu di MEI-Institut Timur Tengah, Universiti Nasional Singapura (NUS). Bidang kajian beliau adalah agama dan politik dan pemikiran politik komparatif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.