KOMENTAR: Kemelut politik Perak dan bahayanya kepada kerajaan PM Muhyiddin
Kegagalan Menteri Besar Perak dalam satu pengundian ‘undi percaya’ minggu lalu banyak dilihat sebagai hasil kerjasama mengejut antara UMNO dengan DAP. Apakah ini semua mencerminkan nasib yang sama bakal menimpa kepimpinan PM Muhyiddin di peringkat persekutuan?

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Pada November lalu, perhatian tertumpu kepada persoalan sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berupaya mengekalkan kedudukannya jika usul undi percaya dikemukakan di Dewan Rakyat.
Akhirnya, tiada usul yang dikemukakan. Bahkan, Belanjawan diluluskan tanpa hambatan kerana pembangkang berpecah-belah. PM Muhyiddin terlepas daripada bahaya semasa sesi parlimen yang genting itu.
Namun kemudian, perkembangan yang mengejutkan berlaku di peringkat negeri.
Minggu lalu, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu disingkirkan dalam usul tidak percaya yang menumbangkan kerajaan PN di negeri itu.
PENYINGKIRAN MENGEJUTKAN
Dalam pengundian melibatkan 59 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Ahmad Faizal meraih hanya 10 undi percaya sementara seorang lagi merosakkan undi.
Seramai 48 ADUN mengundi tidak percaya – 24 daripada mereka dari UMNO sementara baki separuh dari gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH).
Bilangan ADUN begitu ramai yang mengundi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal memberi sedikit sebanyak gambaran tentang keadaan politik sedia ada.
Sebelum itu, PN dan sekutu-sekutunya – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Parti Islam SeMalaysia (PAS), Gerakan dan seorang calon bebas – menguasai 35 kerusi.

Gabungan PH – Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) – memegang 24 kerusi.
Apa yang menyebabkan Ahmad Faizal kecundang adalah langkah UMNO untuk berpecah dengan Bersatu dalam undi percaya tersebut. Lantaran itu, persoalan yang membara di minda ramai rakyat Malaysia adalah sama ada PN bakal mengalami nasib serupa di peringkat persekutuan.
Ini memandangkan UMNO mempunyai lebih ramai anggota Dewan Rakyat – 38 keseluruhannya – berbanding 31 anggota Bersatu pimpinan PM Muhyiddin.
Namun UMNO tidak boleh disalahkan bulat-bulat atas kekalahan PN di Perak. Sebagai Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal tersilap beberapa langkah.
KELEMAHAN AHMAD FAIZAL
Antara lain, beliau tidak menghiraukan permintaan sesetengah anggota UMNO agar mereka diberi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri.
Sejak dari mula lagi, kedudukannya dalam pucuk kepimpinan kerajaan Perak begitu lemah.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-14, Ahmad Faizal mengalahkan calon yang disokong Barisan Nasional dan PAS bagi kerusi DUN Chenderiang dengan majoriti begitu tipis, iaitu 39 undi sahaja.
Ahmad Faizal menyandang jawatan Menteri Besar Perak sebagai anggota PH dan kemudian PN.

Ramai yang terpinga-pinga bagaimana beliau dicalonkan bagi memimpin kerajaan negeri itu, baik sebagai anggota PH mahupun PN.
Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Bersatu akan melepaskan jawatan Menteri Besar Perak sebagai membalas budi baik UMNO yang terdahulu menyerahkan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada Bersatu.
Namun agak mustahil langkah sedemikian akan dilakukan Bersatu kerana ia akan meninggalkan timbalan presidennya dengan tangan kosong.
KERJASAMA UMNO-DAP
Isu lebih luas yang perlu dikupas adalah pakatan tidak rasmi antara UMNO dengan DAP – dua parti yang bertentangan pendirian politik.
Keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan musuh ketatnya sejak sekian lama, DAP, mengejutkan ramai pengamat.
Ini memandangkan DAP yang sebahagian besarnya dikuasai anggota masyarakat Cina dikecam bertubi-tubi oleh PN sejak rampasan kuasa pada Mei menyusuli Langkah Sheraton.
Selama ini parti-parti PN menjadikan naratif perpaduan Melayu/Islam menentang pendirian berbilang kaum dan sekular DAP sebagai teras kewujudannya.
ADUN Perak Howard Lee dari DAP – yang sedang menempa nama dalam kalangan anggota pembangkang dan dikenali oleh pengundi-pengundi Melayu dengan loghat Peraknya serta pemahaman budaya Melayu yang mendalam – memainkan peranan penting dalam penyingkiran Ahmad Faizal.
Dalam minggu-minggu kebelakangan ini, Lee bertungkus lumus mendatangkan keputusan itu dengan berbekalkan kemahiran berunding dengan berbilang pihak.
MEMBUKA LALUAN
Strategi Lee di Perak mungkin akan mengubah suasana politik di peringkat persekutuan. Kerjasama UMNO-DAP itu yang tidak dijangka sama sekali mungkin membuka laluan kepada pakatan serupa di Putrajaya.
Jika DAP boleh menyerupai kerjasamanya dengan UMNO di Dewan Rakyat, khususnya dengan anggota-anggota UMNO “bersih” yang tidak menghadapi pertuduhan di mahkamah, nasib PM Muhyiddin mungkin dibayangkan oleh pengunduran Ahmad Faizal di Perak.
Satu-satunya halangan kepada aturan sedemikian adalah, UMNO tidak pernah menyertai gabungan dengan DAP. Ia hanya pernah bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu seperti MCA dan Gerakan.
Tambahan pula, pesanan-pesanan anti-DAP diuar-uarkan dengan suara begitu lantang. UMNO perlu berusaha untuk meyakinkan anggota-anggota kebanyakannya tentang kelebihan pakatan tersebut.
Meskipun kerjasama tersebut sejauh ini tidak menjadi kenyataan dalam bentuk penjajaran baru di Perak, ekoran UMNO, Bersatu dan PAS kembali bertaut, episod di atas memberi isyarat betapa rapuhnya blok kerajaan PN.

Pemilihan Menteri Besar Perak yang baru iaitu Saarani Mohamad dari UMNO merupakan tamparan hebat buat Bersatu yang kehilangan sebuah negeri yang strategik.
KERENGGANGAN UMNO-PN
Secara ringkasnya, penolakan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak menghambat agenda politik PN. Kesetiaan UMNO kepada rakan-rakannya PAS dan Bersatu kini menjadi tanda tanya.
Pada masa ini, sudah kelihatan retakan dalam pakatan UMNO-PAS di peringkat persekutuan.
Pada 2019, PAS bergabung tenaga dengan UMNO untuk membentuk Muafakat Nasional (MN). Menyusuli siri kemenangan Pilihan Raya Kecil berturut-turut pada 2019 dan 2020, para penyokong UMNO dan PAS teruja dengan kemajuan yang dicatatkan MN.
Namun baru-baru ini PAS menyertai gabungan PN diterajui Bersatu secara rasmi tanpa ‘restu’ UMNO. Meskipun UMNO membentuk sebahagian daripada kerajaan PN, ia setakat menyokong PM Muhyiddin tetapi tidak menyokong PN secara rasmi.

Peristiwa di Perak menyebabkan PAS dalam keadaan kucar-kacir. Sebelum menjalin hubungannya dengan Bersatu dan UMNO, PAS terlebih dahulu telah pun berputus saudara dengan DAP dan PKR.
Jika ia diabaikan oleh UMNO, PAS mungkin terperangkap dalam gabungan yang kekok dengan Bersatu – parti yang sudah dianggap sesetengah pihak sebagai pengkhianat.
Di Kelantan, UMNO sudah memberi isyarat bahawa ia bersedia untuk menentang PAS dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Maka itu adalah menarik untuk melihat sama ada undi percaya di DUN Perak adalah sebagai tentangan kepada kepimpinan Ahmad Faizal atau ditujukan bulat-bulat kepada PN.
PN masih boleh berkuasa di Perak jika DUN negeri itu memilih penggantinya dari kalangan anggota PN.
Namun memandangkan UMNO memegang jumlah kerusi terbesar di DUN Perak, ia besar kemungkinan mencalonkan salah seorang anggotanya.
KEADAAN TIDAK MENENTU
Bercakap kepada para wartawan pada Ahad (6 Dis), Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa partinya terbuka kepada kerjasama dengan semua parti, termasuk pembangkang, untuk membentuk kerajaan negeri Perak.
Pucuk kepimpinan Bersatu sudahpun menyuarakan kehampaan atas peristiwa di DUN Perak kerana pandangannya tidak diminta terlebih dahulu.
Perpecahan PN di Perak mungkin mencetuskan keadaan tidak menentu dalam arena politik Semenanjung Malaysia, bahkan di Putrajaya.
Kejatuhan kerajaan PN mungkin mencetuskan penyelarasan semula bidang politik di Johor dan Melaka, dua negeri di mana tiada parti-parti politik yang mampu berkuasa sendiri.
Memandangkan gabungan-gabungan politik kian kehilangan maknanya, PN mungkin tumbang di kedua-dua negeri itu.
Meskipun kekalahan PN hanya di sebuah negeri setakat ini, namun perbalahan di Perak mungkin membayangkan percaturan politik serupa di Putrajaya.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk “Pipped to the Post in Perak: Will Putrajaya Be Next?”. Fakta-fakta dan pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pandangan ISEAS-Institut Yusof Ishak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.