Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Keluarga 'benteng pertahanan pertama' banteras radikalisasi dalam kalangan remaja

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Keluarga 'benteng pertahanan pertama' banteras radikalisasi dalam kalangan remaja

Gambar fail seorang lelaki melihat skrin komputer.


BERITAmediacorp: Sekali lagi masyarakat Singapura dikejutkan dengan berita mengenai penahanan seorang remaja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam aktiviti pengganasan.

Dua remaja berusia 15 dan 16 tahun telah ditahan di bawah ISA selepas didapati terpengaruh dengan naratif kumpulan pengganas ISIS dan menyertai wadah permainan online, Roblox di mana konteks permainan di alam maya itu menyerupai zon konflik fizikal ISIS.

s
Rakaman video ajaran IS yang direka oleh remaja berusia 16 tahun, menggunakan rakaman permainan Roblox. (Gambar: ISD)


Sebelum ini, seorang remaja 16 tahun telah ditahan kerana merancang beberapa sasaran di negara ini. Dia juga menjadi radikal secara sendiri dan adalah kenalan online bagi kedua-dua remaja yang baru ditahan itu.

Pelajar 15 tahun ini merupakan tahanan paling muda yang ditahan di bawah ISA atas penglibatannya dalam kegiatan berkaitan pengganasan. Ketiga-tiga anak remaja ini menjadi radikal setelah terpengaruh dengan ideologi yang diperolehi online.

BELIA MUDAH TERPENGARUH

Tidak dinafikan bahawa belia merupakan golongan yang paling mudah terpengaruh dengan ideologi dan diayah pengganas yang disebar luas dalam alam maya.

Hakikat ini bukanlah sesuatu yang baru.

Terdapat sekurang-kurangnya empat faktor mengapa golongan belia mudah menjadi radikal dalam talian.

Pertama ialah peningkatan pada jumlah masa yang diluangkan online oleh golongan belia. Kajian Pew mengenai Remaja, Media Sosial dan Teknologi yang dijalankan pada 2022 mendapati bahawa 97 peratus remaja menggunakan internet setiap hari berbanding 92 peratus pada 2014 dan 2015.

Kajian Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 2012 pula mendapati 97 peratus remaja Singapura berusia antara 15 hingga 25 tahun secara aktif terlibat dalam rangkaian sosial online.

Kedua, belia adalah kumpulan umur yang paling terkesan secara negatif dek media sosial. Kajian di United Kingdom yang melibatkan 17,000 belia berumur antara 10 hingga 25 tahun menunjukkan bahawa tahap penggunaan media sosial yang tinggi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak lelaki yang berusia antara 14 hingga 15 tahun dan kanak-kanak perempuan antara 11 hingga 13 tahun.

Kesan yang memudaratkan ini termasuk gangguan dan pandangan yang tidak realistik terhadap dunia.

Ketiga, percambahan pesat wadah online pula tidak dilengkapi dengan peningkatan pada pengawasan serta bimbingan ibu bapa untuk memenuhi keperluan anak-anak.

Ditambah dengan gaya hidup yang sibuk, ramai ibu bapa hari ini bergelut dengan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka dalam domain online.

Satu domain besar yang disalahgunakan oleh masyarakat online adalah bidang permainan video, di mana isu-isu yang menggalak keganasan menjadi perkara biasa dan diterima sosial secara amnya.

Keempat, belia kita hari ini semakin terdedah kepada perkembangan luar negara termasuk konflik global yang menjejaskan rasa keadilan dan mencetuskan kemarahan.

Disebabkan oleh sebahagian masyarakat kita yang tidak dapat menguruskan emosi mereka secara rasional, belia mudah terpengaruh dengan tindak balas yang tidak wajar untuk menyalurkan kemarahan, kebencian dan perasaan mereka yang tidak tenteram itu.
(Gambar hiasan: AP)
PENDEKATAN MENYELURUH

Disebabkan oleh fenomena radikalisasi online yang merupakan satu ancaman jangka panjang, yang kian berubah-ubah dan tiada kelihatan penghujungnya, pendekatan menyeluruh yang melibatkan masyarakat keseluruhannya (whole of society approach) amat diperlukan untuk menanganinya dengan lebih berkesan.

Masyarakat perlu memahami bahawa ancaman radikalisasi online ini amat serius dan tidak harus diserahkan sepenuhnya kepada pemerintah dan agensi-agensi keselamatan sahaja untuk menanganinya.

Malah, setiap anggota masyarakat ada peranan dan harus prihatin terhadap ancaman ini.

Dalam menangani isu radikalisasi online ini, ada tiga golongan yang perlu memainkan peranannya agar ancaman ini dapat ditangani secara bersama dengan lebih efektif.

Pertama: Ibu bapa dan Institusi Keluarga

Tidak dinafikan bahawa ibu bapa dan anggota keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani isu radikalisasi ini.

Institusi keluarga merupakan benteng pertahanan pertama bagi mencegah anak-anak daripada terpengaruh dengan diayah buruk internet. Ini termasuk ajaran songsang yang dipropagandakan oleh kumpulan-kumpulan pengganas.

Dalam ketiga-tiga kes remaja yang menjadi radikal baru-baru ini, ibu bapa mereka pada awalnya tidak dapat mengesan anak-anak mereka telah menjadi radikal dan menunjukkan sokongan kepada kumpulan-kumpulan pengganas. Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk ibu bapa dan anggota keluarga sentiasa memerhatikan dan memantau aktiviti online anak-anak mereka.

Ibu bapa dan anggota keluarga juga perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan ilmu yang dapat membantu mereka mengesan dan mengenal pasti anak-anak mereka yang menjadi radikal (tell tale signs of radicalisation). Ini amat penting supaya campur tangan dan teguran ibu bapa dapat dilakukan pada peringkat awal seseorang remaja itu sebelum dia menjadi radikal.
Gambar hiasan: iStock
Contohnya, sekiranya seorang remaja itu menjadi radikal, ibu bapa pasti akan dapat melihat perubahan pada sikap dan kelakuannya. Biasanya, mereka akan selalu bersendiri dan akan kelihatan cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan ibu bapa dan anggota keluarga.

Mereka yang memiliki pemahaman radikal selalu menganggap pemahaman, pendapat dan pandangannya yang paling baik dan paling benar.

Jika bertentangan, mereka menganggap pemahaman, pandangan dan pendapat orang lain adalah salah, keliru bahkan harus dilarang dan ditentang.

Kedua: Asatizah dan Masjid-Masjid

Selain ibu bapa, para asatizah terutama sekali mereka yang bertugas di masjid dan madrasah serta petugas masjid juga boleh memainkan peranan untuk mendekati belia dan remaja supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan fahaman radikal.

Masjid adalah tempat awam yang sering dikunjungi. Mereka yang bertugas di masjid juga boleh memainkan peranan sebagai pemantau dan memastikan para remaja tidak bersikap eksklusif dan tegar dalam pemahaman dan pelaksanaan hukum agama.

Para asatizah di masjid harus menggunakan wadah-wadah dakwah seperti kuliah, ceramah dan kelas agama, baik secara fizikal mahupun online untuk terus menyampaikan mesej tentang betapa berbahaya fahaman radikal dan ideologi pengganas.

Mereka harus sentiasa menggalak remaja untuk tidak mengambil ajaran penceramah luar negara secara bulat-bulat tanpa mendapatkan nasihat dan penjelasan daripada para asatizah tempatan yang bertauliah.

Ketiga: Guru Sekolah

Para guru yang mengajar di sekolah-sekolah awam termasuk madrasah ibarat ibu bapa kedua kepada anak-anak dan para belia kita. Sebagai guru yang bersama anak muridnya setiap hari, mereka boleh menjadi penyambung peranan ibu bapa di sekolah.

Sebagai contoh, selain mengajar, para guru boleh memainkan peranan memantau dan mengambil tindakan yang pantas sekiranya berlaku sebarang perubahan pada cara dan tingkah laku murid-muridnya di sekolah.

Selain itu, guru-guru harus terus menasihatkan anak murid mereka tentang adab dan etika dalam penggunaan internet dan media sosial. Mereka boleh menjadi contoh yang baik tentang bagaimana untuk mengendalikan diri dalam penggunaan dan aktiviti online.
 
Gambar hiasan: iStock
KESIMPULAN

Seperti kebanyakan masyarakat terbuka dan masyarakat global, Singapura terus terdedah kepada sumber radikalisasi yang timbul dari internet dan media sosial.

Internet memainkan peranan penting dalam proses radikalisasi ini kerana ia mewujudkan persekitaran dinamik yang bercampur aduk elemen politik, agama, kaum dan budaya. Persekitaran ini sedang dieksploitasi oleh sebilangan golongan radikal yang mempunyai niat yang jahat.

Usaha Singapura untuk membanteras ekstremisme yang menular secara meluas di internet masih di peringkat awal.

Lebih banyak suara kesederhanaan perlu didengari daripada masyarakat setempat, terutama pemimpin agama dan ulama, sebagaimana lebih banyak laman web antiekstremis perlu diwujudkan.

Salah satu pengajaran paling penting dalam pengalaman Singapura ialah penglibatan aktif seluruh masyarakat.

Pendekatan ini penting dalam memerangi penularan fahaman radikal dan cabaran radikalisasi online. Kerjasama dengan pemerintah-pemerintah di rantau ini dan di peringkat antarabangsa juga penting bagi memantau perkembangan terkini trend radikalisasi.

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohamed Bin Ali. (Gambar: Dr Mohamed Bin Ali)
Dr Mohamed Bin Ali adalah Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan