Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kehidupan berbudaya ibarat menjunjung amanah dan fitrah insaniah

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Warisan adalah sebahagian daripada tradisi dalam sesebuah masyarakat yang berkembang mengikut rentak zaman. 

Warisan yang diperturunkan dan diwarisi, tidak pernah lahir di luar sejarah atau konteks masa. Setiap generasi yang menerima sebuah warisan sering memiliki kesadaran yang bersifat dua sisi. 

Satu sisinya ialah adat istiadat dan kelaziman yang diperturunkan kepada generasi baru dengan kesadaran harus “disimpan” dan “diamalkan” dengan sempurna. Ia sebuah amanah. 

Sisi yang satu lagi adalah kesadaran bahawa warisan budaya bukanlah barang kaku yang harus diamalkan bulat-bulat melainkan menuntut kesesuaian berdasarkan keperluan semasa. Ia adalah pertanggungjawaban mencipta terus sebuah budaya, secara sadar mahupun tidak. 

Hukum dan Rukun Budaya

Inilah sebenarkan hukum dan rukun budaya yang kita harus akur bahawa setiap kebudayaan dan masyarakat itu tidak pernah statik melainkan setiap kurun waktu dipengaruhi oleh unsur luar serta dinamika dalaman yang menyaksikan perubahan dalam ranah politik, ekonomi, struktur sosial dan lain-lain. 

Maka wajar kita maklum bahawa warisan yang bergerak dalam ruang waktu tidak boleh dijangkakan sama dari yang sebelumnya kerana konteks, keperluan dan cabaran berbeda dari satu periode waktu dengan yang sebelum dan yang mendatang. 

Tambah lagi, adalah menjadi fitrah manusia untuk membaiki, menambah, meninggalkan dan menyesuaikan sesuatu amalan kebudayaan. 

Kini, dengan gempuran kebudayaan luar yang masuk dalam ranah fikiran dan amalan kita, warisan yang diperturunkan mendapat persaingan hebat. 

Bukanlah ertinya warisan dikesamping bulat-bulat, tetapi ia dianggap “kurang lagi menarik”, atau “tidak lagi prgamatik” menurut sesetengah ahli masyarakat, sedang mereka sangat terbuka menerima kebudayaan luar dengan mudah dan terbuka.

Maka kita dapati respons dalam masyarakat yang berbeda pula. Ada yang beranggapan bahawa warisan budaya harus dijaga dan diamal secara utuh, malahan bersikap puritan bahawa tidak boleh warisan budaya itu ditambah atau dikurangkan. Inilah sisi tradisionalisme budaya yang lekas menolak apa jua perubahan. 

Dari dua spektrum ini, terlihat satu sisi yang acuh tidak acuh dan satu sisi lainnya yang keras dengan sikap puritan. 

Maka diperlukan jalan tengah yang menanggapi soal warisan dengan pandangan berdasarkan latar sejarah, dinamika sosial yang terus berubah dan keperluan semasa. 

Sebenarnya ini bukanlah suatu yang baru. 

Sepanjang sejarah generasi terdahulu juga telah mengekalkan dan meninggalkan warisan yang diperturunkan oleh leluhur terdahulu, sebagaimana kita juga menyesuaikan warisan dari yang sebelumnya. 

Melestari, Menyemarakkan atau Menghidupkan Budaya?

Hari ini kita menyebut “melestarikan warisan”, yang erti semantiknya ialah memelihara agar ia tidak berubah.  

Namun yang sering kita citakan ialah menyemarakkan, menghidupkan dan menambah baiki warisan yang kita miliki. 

Sebenarnya inilah yang kita amalkan, sehingga dalam proses “melestarikan” budaya pasti ada penambaikan, penyesuaian dan penakrifan semula pada amalan dan makna sesebuah warisan itu.

(Gambar: wahdahsah)


Antara sisi warisan budaya yang sering kita saksikan perubahan kreatif ialah upacara perkahwinan dalam masyarakat Melayu.  

Majlis perkahwinan Melayu terkandung banyak penerusan adat istiadat lama, dengan pengalaman budaya baru yang teriring mengikut rentak dan selera semasa. 

(Gambar: @shieda_eydha/Instagram)

Umumnya dalam majlis perkahwinan itu terisi dengan majlis berinai, khatam Al-Quran dan berzanji pada malam sebelum majlis besar berlangsung. Upacara akad nikah adalah kemuncak utama dengan lafaz pasangan bakal suami isteri yang berikar bersatu mendirikan rumah tangga dengan kasih sayang, selain menjaga kebajikan dan kesejahteraan bersama. 

(Gambar: @capturelogicaphotography/Instagram)

Selepas akad nikah berlangsunglah persandingan di atas pelamin dengan tepung tawar sebagai lambang dianugerahkanlah mempelai mendapat zuriat keturunan yang berpanjangan. 

Begitulah juga dengan jamuan kenduri dan segala keramaian untuk menyambut dua mempelai baru. 

Kalau diperhatikan majlis perkahwinan sememangnya terlestari beberapa warisan budaya. Terutama majlis akad nikah, dengan majlis khatam Quran dan berzanji adalah tradisi Islam yang menjadi inti kepada kebudayaan Melayu. 

Namun sisi warisan yang datang dari kebudayaan Melayu atau etnik Nusantara yang lain, terpakai dan diraikan. Antaranya ada pencak silat menyambut pengantin lelaki, iringan kompang dengan seruan memuji Nabi junjungan kita, ada adegan berbalas pantun dan bidalan adat lainnya tatkala pengantin lelaki bertandang ke rumah pengantin perempuan. 

Pastilah keramaian ini teriring dengan muzik, terkadang diundang orkestra Melayu membawakan lagu-lagu asli dan moden. Malah ada juga diperlengkapkan dengan tarian tradisional, wayang kulit, gamelan dan kuda kepang, bergantung kepada kemampuan keluarga yang meraikan majlis teresebut. 

Dengan perubahan waktu banyak acara lain diselitkan, kesemuanya untuk menyambut “raja sehari”. Jamuan kenduri khas tersedia, dengan hidangan pengantin khas sebagai “raja sehari”, selain diperhiaskan memakai baju warna kuningan, bertanjak berkeris dan berhias emas dan intan serta berpayung. 

Inilah larangan yang pernah dikuatkuasakan dalam masyarakat Melayu feudal, namun untuk “raja sehari” ini semua dibenarkan demi menyambut hari besar kedua mempelai yang mendirikan mahligai. 

Ertinya dari majlis perkahwinan Melayu dapat kita jejaki pelbagai segi warisan kebudayaan yang diamalkan dalam masyarakat Melayu, malah majlis perkahwinan itu sendiri seolah-olah seperti mikrokosmo daripada kehidupan budaya dan warisan Melayu keseluruhannya. 

Nadi Singapura Membilang Upacara Perkahwinan Melayu

Dalam rangka menghargai dan membilang keistimewaan majlis perkahwinan Melayu, maka tahun ini teman-teman dari Nadi Singapura akan mempersembahkan sebuah segmen dalam Ceremonial Enactments sempena Festival Seni Internasional Singapura (SIFA) pada tanggal 21 dan 22 Mei ini di Teater Esplanade. 

Nadi Singapura yang telah membuana namanya di peringkat antarabangsa dan serantau, terkenal dengan mainan gendang mereka yang bergempita dan bertenaga. 

Bilang-bilang tahun, Nadi Singapura giat menampillkan corak persembahan yang unik dengan gendangan paluan rebana, kompang dan lain-lain jenis alatan muzik dari serantau dan belahan dunia yang lain. 

Kali ini Nadi Singapura di bawah pimpinan Encik Riduan Zalani selaku Pengarah Artistik kumpulan ini, bersama-sama dengan jagoh-jagoh Nadi yang masing-masing handal dengan kepakaran mereka, serta anak-anak muda yang beraneka bakat, akan membawakan persembahan berjudul “293NW”.

Ia merujuk kepada titik kompas yakni arah Kiblat, suatu arah termulia bagi umat Islam dalam menunaikan ibadah solat dan tempat letaknya Tanah Suci sebagai destinasi menunaikan panggilan haji sebagai rukun Islam yang kelima. 

Dalam persembahan ini, tema majlis perkahwinan diangkat dengan mengungkapkan perjalanan dua pasangan yang mahu menempuh dan membina “masjid” yang dianjurkan dalam agama. 

Terangkum dalam persembahan ini adalah lantunan syair dan pantun, kompang dan gendangan yang memuji Nabi dan menyeru kebaikan, silat bunga hormat, tarian zapin, alunan angklung, serta gerakan bertenaga para anak seni yang terkenal dengan paluan dan gesekan alat muzik serta suara nyayian mantap. 

(Gambar: @kompangibtisam/Instagram)

Sesungguhnya majlis perkahwinan sebagai salah satu rites de passage yang akan dilalui manusia Melayu, juga terangkum di dalamnya upaya dan kesadaran manusia yang hidup berpasangan mencari makna dan tujuan hidup. 

Membangunkan masjid adalah sebuah usaha mencari kesempurnaan. Kiblat sesungguhnya memberi arah bahawa tujuan besar kehidupan sebagai khalifah Allah di bumi adalah untuk memakmur dan menyejahterakannya. Pastinya amanah ini bermula dengan terbina sebuah rumah. 

Lantas masjid atau mahligai yang dibina itu bukanlah sesuatu yang serba dan sudah jadi, melainkan harus ada sikap dan semangat “menjadi terus”, yakni proses pembaikan rohani dan jasmani, ataupun dimensi zahir dan batin yang kedua-dua harus memenuhinya dengan baik. 

Begitulah pesan dan perlambangan yang mahu diungkapkan dalam persembahan ini. Majlis perkahwinan Melayu, bukan semata-mata hari besar kepada pasangan raja sehari tetapi juga adalah gerbang menuju kiblat kesempurnaan manusia pada tingkat batin dan zahirnya. Barang tentu kita terpanggil diingatkan oleh Kiblat ini. 

Dengan pasangan yang bersatu, maka kesempurnaan yang dicari akan lebih bercambah makna dan kesannya. 

Begitulah bidalan adat menyebut pasangan mempelai dengan cantik  

“Bagaikan balam dua setengger
Bagaikan pinang pulang ke tampuk
Bagaikan sirih pulang ke gagang
Bagaikan keris pulang ke sarungnya

Kalau disukat sama banyaknya
Kalau ditimbang sama beratnya
Kalau diukur sama panjangnya
Kalau ditaksir sama harganya

Umpama emas sama beratnya
Umpama intan sama mulianya

Sama setara duduk tegaknya
Sama sebanding asal usulnya.”

Maka apabila terlafaz semoga perkahwinan berkekalan sehingga ke anak cucu, bukan saja ertinya berpanjangan rumah tangga, tetapi juga berkesinambungan sebuah warisan dan tradisi. 

Malah tidak keterlaluan dikatakan dari majlis perkahwinan itu terkandung benih budaya yang harus terus disemai dan dibangunkan ke hari muka. 

Itulah juga kesempurnaan dalam hidup berbudaya. Dan kehidupan berbudaya yang sempurna juga membawa makna kepada amanah dan fitrah insaniah ini.  

Semoga nadi dari sebuah warisan seperti majlis perkahwinan yang terangkum di dalamnya segi-segi budaya dan tradisi, terus berdenyut dalam kehidupan ini. 

Semoga juga persembahan Nadi Singapura kali ini disambut sebagai upaya membilang sebuah warisan yang harus kita bangga dan bangunkan seterusnya. 

Pastinya nadi kebudayaan harus berkiblat ke arah kesempurnaan kehidupan ini. 

MENGENAI PENULIS:

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan