Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Keharmonian sosial tanggungjawab semua; bagaimana umat Islam boleh menyumbang

Banyak pelajaran boleh dijadikan panduan daripada usaha-usaha di peringkat antarabangsa seperti inisiatif menggalakkan perdamaian Sheikh Abdullah Bin Bayyah. Apa pengajarannya bagi masyarakat Muslim S’pura? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Keharmonian sosial tanggungjawab semua; bagaimana umat Islam boleh menyumbang

Sheikh Abdullah Bin Bayyah memimpin Perisytiharan Marrakesh bagi menggalak perdamaian. (Gambar: Pencinta Imam Abdullah Bin Bayyah/Facebook)

BERITAmediacorp: Banyak pelajaran boleh dijadikan panduan daripada usaha-usaha di peringkat antarabangsa seperti inisiatif menggalakkan perdamaian Sheikh Abdullah Bin Bayyah. Apa pengajarannya bagi masyarakat Muslim S’pura?

Pada Januari 2016, satu pernyataan yang dipanggil Perisytiharan Marrakesh telah diterbitkan bagi membincangkan hak-hak minoriti bukan Muslim di negara-negara majoriti Muslim.

Perisytiharan itu dibuat menyusli peningkatan insiden penganiayaan terhadap minoriti bukan Muslim seperti menjadi sasaran-sasaran serangan dan aksi keganasan politik akibat pergolakan yang melanda banyak negara

Memimpin perisytiharan itu ialah Sheikh Abdullah Bin Bayyah salah seorang tokoh ulama kontemporari yang dihormati di seluruh dunia, yang telah memulakan inisiatif Forum Menggalakkan Perdamaian Dalam Masyarakat Muslim di bawah tajaan kerajaan Amiriah Arab Bersatu UAE.

Sheikh Bin Bayyah pernah menjadi Pelawat Terkemuka MUIS yang telah diundang ke Singapura untuk berkongsi pandangan dengan para pemimpin dan masyakarat Singapura pada Mac 2017.

RUMUSAN BERSAMA

Perisytiharan Marrakesh dikeluarkan selepas persidangan di ibu kota Maghribi itu bagi membincangkan hak minoriti bukan Muslim ekoran peningkatan insiden penganiayaan terhadap mereka, seperti menjadi sasaran-sasaran serangan dan aksi keganasan politik yang melanda banyak negara Islam.

Di akhir persidangan, para peserta bersepakat untuk membuat perisytiharan yang mengandungi rumusan-rumusan berikut:

• konsep kontrak sosial antara sesama rakyat dan antara rakyat dan pemerintah yang tersurat dan tersirat dalam konsep kerakyatan dan negara berperlembagaan adalah sejajar dengan ajaran Islam

• konsep kesamarataan rakyat tanpa kira perbezaan agama dalam perlembagaan negara moden hari ini adalah sejajar juga dengan ajaran Islam

• rakyat bukan Muslim di negara Muslim hendaklah diberi layanan sama yang diberi kepada rakyat majoriti Muslim seperti hak kebebasan agama dan kesetaraan di sisi undang-undang dan keadilan

• Muslim di negara Islam hari ini hendaklah memberi komitmen pada kontrak sosial yang sedia ada atau yang dipersetujui dari masa ke semasa dan menjunjung kesamarataan rakyat sebagai asas bagi pembangunan, kesejahteraan dan keharmonian bangsa kerana semua itu selari dengan ajaran Islam

• asas hubungan antara Muslim dan bukan Muslim adalah damai dan harmoni kerana ia adalah inti pati ajaran Islam, bukan perang dan konflik

• memberi komitmen yang tinggi pada keamanan dan perdamaian dalam apa jua usaha kemasyarakatan dan politik dan menjauhi jalan-jalan konflik, kekerasan dan keganasan, adalah objektif syarak yang tertinggi kerana tanpanya objektif memelihara agama, nyawa, akal, nyawa dan keturunan (maqasid syari`ah) menjadi sukar untuk dicapai.

DALIL SYARAK

Para ulama, ilmuwan dan pemimpin Muslim yang hadir di persidangan di Marrakesh menyandarkan segala butiran yang terdapat dalam Perisyitiharan Marrakesh pada Perjanjian Madinah yang berlaku di zaman Nabi.

Perjanjian Madinah adalah perjanjian yang dibuat oleh Nabi dan para sahabatnya dengan kabilah-kabilah Yahudi dan Arab Madinah bukan Muslim. Ia adalah antara perkara awal yang dilakukan oleh Nabi di Madinah setelah hijrah.

Perjanjian ini mengikat sesama Muslim yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan antara Muslim dan bukan Muslim dalam soal hak seperti hak kesetaraan dalam kebebasan beragama, layanan undang-undang dan jaminan keadilan; dan tanggungjawab sebagai satu ‘umat’ di Madinah seperti tanggungjawab keselamatan, keharmonian dan pembangunan negara.

Para ilmuwan sejarah dan agama yang hadir di persidangan bersepakat memperakui keabsahan dan ketulenan Perjanjian Madinah untuk dijadikan sandaran dan rujukan bagi hukum syarak.

PERJANJIAN MADINAH

Antara rumusan tentang Perjanjian Madinah ialah;

• ia membentuk kesepakatan yang mengikat semua pihak yang menandatanganinya untuk menjadi dasar bagi memperakui konsep kontrak sosial yang mendasari amalan kenegaraan moden

• ia ibarat perlembagaan sebuah negara moden masa kini untuk mendasari kewajipan setiap Muslim memenuhi tuntutan perlembagaan negara

• ia menjadikan semua pihak yang menandatanganinya sebagai satu ‘umat’ tanpa kira perbezaan agama untuk mendasari konsep kerakyatan yang setara atau kerakyatan bersama

• ia menetapkan semua pihak sebagai sama dan setara dari segi hak dan tanggungjawab yang menjadi dasar bagi peruntukan perlembagaan yang tidak memberi keistimewaan atau mendiskriminasi seorang rakyat kerana agamanya dalam segala perkara bukan keagamaan (i.e muamalah)

• ia dimeterai melalui proses aman dan damai sebagai huraian bagi masalah sosial dan politik Madinah setelah penghijrahan Nabi dan Muhajirin dari Makkah. Perjanjian itu tidak didahului oleh konflik. Ia bukan huraian bagi konflik yang berlaku. 

KEPENTINGAN DAN KESESUAIAN

Perisytiharan Marrakesh mempunyai kepentingan dan kesesuaian dari sudut hukum agama dan aplikasinya dalam kehidupan masyakarat Muslim di zaman ini.

Pertama, perisytiharan itu membolehkan pensejajaran hukum Islam tentang status rakyat di bawah pemerintahan Muslim dengan konsep kerakyatan moden masa kini, iaitu setiap rakyat adalah sama dan setara tanpa mengira pegangan agamanya.

Ini adalah penilaian semula dan peralihan dari pendapat yang dominan dalam fikih bahawa hubungan Muslim dan bukan Muslim diatur oleh perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian zimmah.

Dalam perjanjian ini, bukan Muslim tidak dianggap sebagai anggota dalam satu ‘umat’, tapi seorang zimmi dalam masyarakat Muslim.

BATASKAN HAK

Mereka diberi hak-hak tertentu seperti hak mengamalkan agama dan perlindungan bagi keselamatan diri dan harta, tetapi kedudukan mereka kekal rendah berbanding rakyat yang beragama Islam disebabkan ketinggian Islam di atas agama-agama lain.

Ruang untuk membataskan hak-hak mereka sentiasa terbuka pada kuasa penguasa atas alasan maslahat Islam dan umatnya yang lebih besar dan ketiadaan perlembagaan bertulis dan institusi yang melindunginya.

Hakikat ini dapat dilihat dalam banyak kitab fikih yang membenarkan amalan-amalan diskriminasi ke atas golongan zimmi disebabkan situasi di masa itu yang kemudiannya dijadikan hukum yang diterapkan ke atas bukan Muslim di dalam negara Islam oleh sebahagian Muslim hari ini.

Ia berlaku walaupun konteks masa kini sudah jauh berubah dari konteks ketika hukum-hukum bagi zimmi dibuat dan diamalkan pada zaman silam.

MENCEGAH KONFLIK

Kedua, ia menegaskan bahawa keyakinan akan keunggulan Islam berbanding agama lain tidak semestinya menatijahkan keistimewaan pada hak-hak sosial dan politik bagi Muslim atau membenarkan ketidaksetaraan bukan Muslim berbanding Muslim pada hak dalam bidang sosial dan politik.

Ketiga, perisytiharan itu mengubah tanggapan bahawa konsep umat adalah eksklusif bagi Muslim sahaja kerana Perjanjian Madinah memperuntukkan bukan Muslim dan Muslim sebagai satu umat di Madinah.

Keempat, perisytiharan itu membetulkan tanggapan bahawa hubungan Muslim dan bukan Muslim harus diatur berdasarkan andaian konflik dan permusuhan sahaja kerana Perjanjian Madinah dimeterai tanpa didahului oleh konflik.

Bahkan ia dimeterai sebagai satu jalan mencegah konflik antara masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan budaya di Madinah.

Ini membezakan ia dengan hukum zimmah yang mula dikuatkuasakan setelah berlaku pengkhianatan perjanjian oleh segolongan Yahudi dan kemudiannya ke atas kabilah-kabilah Arab bukan Muslim yang ditundukkan oleh kekuatan tentera.

EJEN PENYUMBANG

Walau pun Perisytiharan Marrakesh berkaitan dengan tanggungjawab umat Islam terhadap minoriti bukan Muslim yang hidup di negara-negara Islam, ia juga sesuai bagi Muslim sebagai minoriti di negara bukan Muslim sebagaimana yang dipertegaskan sendiri oleh Sheikh Bin Bayyah dalam ucapannya dalam persidangan lain pada 11-13 Disember 2017 di Abu Dhabi.

Pelajaran-pelajaran berikut boleh dirumuskan sebagai panduan dan pegangan agama semua Muslim di negara-negara bukan Muslim umumnya, dan masyarakat Muslim Singapura khususnya agar menjadi ejen penyumbang pada keharmonian sosial.

Pertama, Muslim hendaklah mengiktiraf dan beriltizam dengan kontrak sosial yang sedia berlaku di negara mereka berada, baik sebagai rakyat, penduduk tetap atau pelawat berdasarkan semangat yang ada pada Perjanjian Madinah.

Kedua, beriltizam dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang di negara mereka berada kerana ia adalah sebahagian dari tuntutan kontrak sosial yang diiktiraf oleh Islam.

Ketiga, Muslim hendaklah beriltizam dengan wasilah-wasilah yang aman, bukan keganasan dan kekerasan, bagi memperjuangkan haknya, mengubah kezaliman yang berlaku dan memenuhi apa jua aspirasi sosial dan politik yang ada.

PILIHAN YANG AMAN

Tidak syak, mana-mana perlembagaan dan undang-undang di negara bukan Islam akan ada yang berbeza dengan ajaran Islam. Dalam keadaan begini, Islam menganjurkan Muslim untuk berusaha mengubahnya kepada keadaan yang lebih baik.

Hal ini juga adalah sesuatu yang diakui oleh kebanyakan perlembagaan dan undang-undang yang mengamalkan demokrasi. Bahkan sistem demokrasi itu sendiri dibangunkan dengan tujuan memberi ruang pada rakyat memperjuangkan aspirasi mereka.

Namun, pelajaran dari Perjanjian Madinah mengajar bahawa Muslim di Singapura hendaklah mengutamakan pilihan yang aman dan proses pembinaan kesepakatan dengan pihak-pihak yang berkepentingan, menjunjung prinsip demokrasi dan tunduk pada ketentuan undang-undang.

MENGENAI PENULIS:

Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan. (Gambar: RSIS)

Penulis adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Artikel ini disunting dan diringkaskan dari artikel bertajuk Membangun Keharmonian Sosial: Pelajaran Dari Perisytiharan Marrakesh, terbitan Suara Istiqamah, surat berita Masjid Al-Istiqamah, edisi Disember 2020.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan