Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kedudukan PM M’sia Ismail Sabri semakin tersepit susuli Perhimpunan Agung UMNO

Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dilihat menegaskan perpaduan dalam parti dengan kata-kata manis dan halus. Namun hakikatnya, ada udang di sebalik batu.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kedudukan PM M’sia Ismail Sabri semakin tersepit susuli Perhimpunan Agung UMNO

Gambar fail: Ismail Sabri Yaakob/Facebook

BERITAmediacorp: Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dilihat menegaskan perpaduan dalam parti dengan kata-kata manis dan halus. Namun hakikatnya, ada udang di sebalik batu. Kerapuhan dalam parti terus berkekalan dan akan menyukarkan lagi keputusan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh pilihan raya umum seterusnya.

Menyusuli kemenangan dalam dua pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor, UMNO semestinya berhak untuk menikmati kegemilangannya. Sekurang-kurangnya pada zahirnya, para anggota parti kelihatan bersatu, sungguhpun terdapat seakan-akan persaingan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, yang tidak memegang jawatan Kabinet, dengan Perdana Menteri Malaysia Ismail SabriYaakob, yang juga Naib Presiden UMNO.

Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, Ahmad Zahid mengeluarkan kata-kata manis dan halus terhadap Ismail.

“Datuk Seri Ismail Sabri jaga negara elok-elok dan kami beri dokongan kepada beliau.

“Saya dan (Timbalan Presiden UMNO) Mohamad Hasan akan jaga parti kerana parti dan kerajaan harus seiring jalan,” kata Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya semasa perhimpunan agung UMNO.

Untuk menampilkan perpaduan anggota-anggota parti, Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan dan Ismail Sabri mengambil kesempatan untuk bergambar semasa sesi penggulungan perhimpunan dan berjabat tangan di hadapan 5,500 anggota perwakilan.

Diumumkan juga parti mencapai kata sepakat bahawa pemilihan UMNO, yang perlu diadakan sebelum hujung 2022, akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (yang hanya perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2023).

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Zahid Hamidi/Facebook)

KERAPUHAN BELUM TERHURAI

Namun, di sebalik senyuman dan jabat tangan, terdapat arus ketegangan yang lebih mendalam. Kata sepakat tersebut meletakkan Ismail Sabri di tengah-tengah dua pilihan sukar. Dari satu sisi, PM Ismail Sabri menanggung risiko mengingkari pucuk kepimpinan parti jika beliau menangguhkan pilihan raya umum (PRU). Sebaliknya, jika beliau memutuskan untuk mengadakan PRU lebih awal, beliau seolah-olah akan mengkhianati para ahli parlimen dari parti-parti lain yang menyokongnya untuk jawatan tertinggi itu.

Dengan bersetuju untuk mengadakan pemilihan UMNO selepas PRU, Ahmad Zahid membuat Ismail Sabri tersepit. Semasa perhimpunan agung UMNO, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa Mohamad Hasan, Ismail Sabri, dua lagi naib presiden dan beliau sendiri – lima pemimpin tertinggi UMNO – sentiasa membincangkan kebajikan parti. Ini boleh ditafsirkan sebagai peringatan kepada Ismail Sabri bahawa ada dua orang lebih kanan dalam pucuk ke pimpinan parti.

Pada masa lalu, perdana menteri Malaysia juga merupakan presiden UMNO sekali gus. Ahmad Zahid tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet. Namun memandangkan Ahmad Zahid akan mengekalkan jawatan presiden UMNO apabila PRU diadakan kelak, beliaulah yang akan melantik ketua-ketua bahagian UMNO, yang seterusnya akan menentukan calon-calon pilihan raya.

Jika pemilihan UMNO diadakan sebelum PRU, Ismail Sabri secara teorinya boleh mencabar Ahmad Zahid untuk menuntut jawatan yang sepatutnya dipegang untuk mengembalikan tradisi di mana jawatan presiden UMNO disandang oleh perdana menteri. Akibat keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti, pilihan itu sudahpun dilenyapkan.

Sekiranya masih terdapat keraguan tentang perbalahan antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri, kita hanya perlu memerhatikan tindakan Ahmad Zahid terhadap Ismail Sabri baru-baru ini. Dalam menyambut kemenangan UMNO di Johor, Ahmad Zahid lebih memberikan penghargaannya kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak berbanding Ismail Sabri atas kemenangan parti itu.

(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

PERTIMBANGAN RAKAN-RAKAN BUKAN UMNO

Ismail Sabri berupaya menangguhkan PRU walaupun hanya mempunyai majoriti 2 kerusi di parlimen. Namun dengan memenuhi permintaan partinya untuk PRU ‘blitzkrieg’ atau kilat, ia akan menjadi suatu pengkhianatan kepada anggota-anggota parlimen yang menyokongnya, yang majoritinya bukan dari UMNO. Tidak seperti pendahulunya Muhyiddin Yassin, yang kerajaannya selama 17 bulan tumbang pada Ogos 2021 selepas 14 anggota parlimen UMNO termasuk Ahmad Zahid menarik balik sokongan, Ismail Sabri disokong oleh anggota-anggota parlimen Perikatan Nasional dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Selain itu, Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaannya dengan Pakatan Harapan memastikan pembangkang sama ada akan menyokong atau tidak mencabar kepercayaan terhadap kerajaan dan rang undang-undang perbekalan, dengan syarat sebilangan langkah pembaharuan dijanjikan termasuk membentangkan undang-undang anti lompat parti, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, dan menghadkan penggal perdana menteri kepada sepuluh tahun. MoU itu memberi jaminan pilihan raya umum tidak akan diadakan sebelum 31 Julai 2022.

Sungguhpun perpaduan ditampilkan semasa perhimpunan agung, perbalahan dalaman masih berlarutan. Sayap pemuda UMNO (Putera dan Puteri) menyokong Ahmad Zahid dalam pemilihan parti yang memecah belah. Namun ada juga pemimpin UMNO yang tidak bersetuju, dan sentimen ini ditimbulkan di luar dewan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata UMNO tidak sepatutnya tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya umum, dan perlu memahami sentimen akar umbi terlebih dahulu. Mantan menteri Nazri Aziz pula lebih lantang dalam kritikannya, dengan menggelar mereka yang menyeru PRU diadakan lebih awal sebagai ‘oportunis tidak berkuasa’. Beliau berkata terdapat syarat-syarat dalam memorandum dengan pembangkang yang masih belum ditepati seperti meluluskan undang-undang anti lompat parti.

Perhimpunan itu mungkin meletakkan Ismail Sabri dalam kedudukan yang semakin tersepit. Namun ini tidak menghalangnya daripada mengorak langkah-langkah selanjutnya. Penggantian calon menteri besar Johor pada saat-saat akhir baru-baru ini menunjukkan parti itu masih belum bersatu padu.

“Mesej tetap sampai, boleh difahami dan pendekatan itu adalah lunak dan boleh mengharmonikan situasi …” kata Annuar Musa.

Mentelah, menteri-menteri utama UMNO Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein, dan Annuar Musa tidak menonjolkan diri mereka sepanjang perhimpunan. Di luar kem Ahmad Zahid, hanya Annuar seorang saja yang menyokong ucapan presiden secara terbuka sebagai sesuatu yang mampu “mengharmonikan situasi”. Ini membayangkan Ahmad Zahid tidak meraih sokongan mutlak daripada kesemua anggota parlimen UMNO.

Untuk menunjukkan lagi bagaimana UMNO tidak meraih sokongan daripada rakan-rakannya, gabungan kerajaan di Sabah, GRS (Gabungan Rakyat Sabah) membuat pendaftaran sebagai gabungan parti tanpa UMNO tetapi melibatkan Bersatu. Ismail Sabri juga mengakui keputusan untuk mengadakan pilihan raya mesti disokong rakan-rakan UMNO lain dalam Barisan Nasional.

Selain itu, UMNO mungkin terpaksa mengadakan pemilihan parti sebelum pilihan raya jika Pendaftar Persatuan (RoS) memutuskan demikian. RoS berada di bawah naungan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, seorang anggota parlimen daripada parti pesaing, Bersatu. Akhirnya, sebagai perdana menteri, Ismail Sabri dan bukan Ahmad Zahid, yang boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen, satu syarat yang Zahid akur.

Kini terpulanglah kepada Ismail Sabri untuk meloloskan diri daripada cengkaman pesaing-pesaingnya dalam UMNO. Secara ringkasnya, beliau boleh memilih antara nasihat daripada para anggota kanan partinya, dengan anggota-anggota parlimen - UMNO dan bukan UMNO - yang meletakkannya dalam jawatan unggul sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. Hakikatnya beliau hanya mampu memilih salah satu pihak saja.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “UMNO Assembly Puts Prime Minister’s Back to the Wall”.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Indonesia, Malaysia dan Singapura di institusi tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan