Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kecerdasan Buatan - lebih banyak bahaya atau manfaat kepada kita?

Perindustrian Pertama menggunakan air dan kuasa stim untuk menyokong ekonomi agrikultur dan pertanian secara besar-besaran.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kecerdasan Buatan - lebih banyak bahaya atau manfaat kepada kita?

Sebuah robot yang diberi nama “Pepper” memberi maklumat kepada para penumpang kereta api di Perancis. (Gambar: Loic Venance/AFP)

BERITAmediacorp: Sebut sahaja Artificial Intelligence (AI) atau Kecerdasan Buatan, ia mungkin masih menimbulkan rasa cemas di kalangan sesetengah orang terutama golongan pekerja yang khuatir akan hilang mata pencarian mereka di masa hadapan. Ini semua boleh diatasi jika peranan dan sumbangan sebenar AI seperti yang dihujahkan oleh penulis Hamidah Aidillah dapat kita hayati dengan lebih mendalam lagi:

Perindustrian Pertama menggunakan air dan kuasa stim untuk menyokong ekonomi agrikultur dan pertanian secara besar-besaran.

Revolusi Kedua pula menerapkan kuasa elektrik untuk menghasilkan pengeluaran besar-besaran di mana kilang berkembang. Revolusi Perindustrian Ketiga lebih fokus kepada elektronik dan Teknologi Maklumat (IT) untuk mengautomasikan produksi barangan.

Kini, Revolusi Perindustrian Keempat dijayakan lebih daripada Revolusi yang Ketiga, di mana revolusi digital telah berlaku sejak pertengahan abad yang lalu. Ini terutamanya dicirikan oleh gabungan teknologi yang mengaburkan garis antara alam fizikal, digital dan biologi.

Kini ramai yang memiliki telefon bijak, atau “smart phone” dan akses kepada “internet” yang mempunyai kuasa pemprosesan yang belum pernah tercipta sebelum ini, kapasiti penyimpanan, dan akses kepada pengetahuan, yang tidak terhad.

Peluang-peluang ini akan didarab dengan penemuan teknologi baru dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet of Things (IoT), kenderaan tanpa pemandu, pencetakan 3D, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, dan “quantum computing”.

MENGELILINGI KEHIDUPAN SEHARIAN

Gambar hiasan.

AI, adalah contoh teknologi yang sinonim dengan Revolusi Perindustrian keempat. Kecerdasan Buatan (AI) adalah keupayaan program komputer atau mesin untuk berfikir dan belajar. Ini juga bermaksud mesin yang boleh meniru kognisi atau pemikiran manusia.

Tahukah anda bahawa apabila kita memegang telefon bijak, teknologi AI sudahpun tertanam di dalamnya?

Begitu juga dengan menempah teksi, menempah penerbangan, membeli produk di alam maya, membuat pembayaran online, mendengar muzik, menonton filem, atau bermain permainan siber; semuanya boleh dilakukan dalam keselesaan dan kemudahan di mana sahaja anda berada dijadikan lebih senang melalui kepintaran AI.

Ia telah menyentuh kehidupan seharian kita, walaupun tanpa kita menyedarinya. AI bukan hanya terhad kepada pembinaan kereta tanpa pemandu atau Realiti Maya “Virtual Reality”, tetapi telah menjadi sebati dengan kehidupan kita seharian.

SEBATI DALAM KEHIDUPAN

Malah di sesetengah rumah, sistem kawalan termostat mempelajari pilihan pemanasan dan penyejukan pelanggan dan menyesuaikan persekitaran mereka dengan sewajarnya, memberikan keselesaan maksimum dan pada masa yang sama mengoptimumkan kos tenaga.

(Gambar: AFP)

“Wearables” (FitBit) telahpun menjadi sebati dalam kehidupan kita. Digunakan kebanyakannya oleh peminat sukan seperti pelari, pengayuh basikal atau mungkin sesiapa yang mahu memantau daya kesihatan mereka, “Wearables” ini menggunakan AI untuk membaca dan meneliti senaman kita, degupan jantung dan selainnya supaya pengguna dapat memanfaatkannya demi kesihatan mereka.

Apabila “Google Photos” mengumpulkan imej orang yang menggunakan pengecaman wajah, ia menggunakan teknik pembelajaran AI yang mendalam. Chatbots yang “bercakap” dengan kita di Yahoo, Facebook dan laman-laman siber lain turut menggunakan AI.

PENERAPAN MELUAS

Bagi yang suka membeli-belah di alam siber pula, Alibaba memanfaatkan pembelajaran mendalam untuk mencari beg tangan yang sepadan dengan satu dalam foto yang anda muat naik ke laman membeli-belahnya.

(Gambar: AFP)

Pembantu digital seperti Siri, Alexa, dan Pembantu Google menggunakan AI untuk memberikan maklumat atau melaksanakan tugas-tugas yang diminta oleh pengguna.

Akhirnya, dari sudut pemasaran atau “marketing”, AI dapat diterapkan ke dalam sistem pengkomputeran dan penyelidikan untuk lebih memahami keperluan pelanggan dan untuk meramalkan trend-trend masa hadapan.

Ini dapat menolong para peniaga agar lebih peka dalam menyempurnakan strategi perniagaan dan pendekatan pemasaran mereka di era baru ini.

KESAN MASA DEPAN

Keseluruhannya, terdapat beberapa kesan utama yang Revolusi Perindustrian Keempat mempunyai harapan perniagaan terhadap pelanggan, peningkatan produk, inovasi kerjasama, dan bentuk organisasi.

Sama ada para pengguna atau ahli perniagaan, pelanggan semakin berada di tengah-tengah pusat ekonomi “customer-centric care”, yang dapat memberikan tumpuan yang lebih teliti terhadap kehendak pembeli.

Produk dan perkhidmatan fizikal, lebih-lebih lagi, kini boleh dipertingkatkan dengan keupayaan digital yang meningkatkan nilainya.

Teknologi baru menjadikan aset lebih tahan lama dan berdaya tahan, sementara data dan analitik mengubah cara ia dikekalkan.

Sementara itu, dunia pengalaman pelanggan, perkhidmatan berasaskan data, dan prestasi aset melalui data analitik, memerlukan kerjasama baru, khususnya dengan mengambil kira kelajuan inovasi dan gangguan yang sedang berlaku.

PLATFORM GLOBAL

Gambar hiasan.

Kemunculan platform global dan model perniagaan baru yang lain, akhirnya, bermakna bahawa bakat, budaya, dan bentuk organisasi perlu difikirkan kembali dan diubah suai mengikut peredaran zaman.

Kecerdasan Buatan adalah untuk membebaskan pekerja dari tugas intelektual berskala besar seperti dalam mengumpul, menganalisis dan bertindak terhadap jumlah data yang besar.

Ini akan meningkatkan rintangan kemasukan intelektual dalam tenaga kerja tetapi juga boleh meningkatkan jumlah pekerja yang boleh beroperasi pada tahap yang lebih tinggi dan lebih strategik.

Keupayaan teknologi untuk menyelesaikan lebih banyak masalah, menjawab lebih banyak soalan, dan berinovasi melebihi pemikiran manusia pastinya boleh digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya.

MUTU KEHIDUPAN

Mengikut sejarah, penambahbaikan teknologi cenderung untuk meningkatkan mutu kehidupan manusia dan membolehkan kita memberi tumpuan kepada fungsi yang lebih tinggi dan meningkatkan kualiti kehidupan manusia secara amnya.

Sebenarnya, ketakutan atau kerisauan terhadap AI adalah disebabkan salah faham tentang apa dan bagaimana ia perlu diterapkan dalam kehidupan kita.

Walaupun AI dapat menyelesaikan masalah sosial yang rumit, terdapat isu-isu etika yang masih perlu diterokai pada masa akan datang.

Kita hanya mula memahami bagaimana AI boleh digunakan untuk menangani masalah yang bermakna. Apabila penggunaan AI sudah matang, kita akan mendapati bahawa ia menjadi manfaat yang jelas dalam kehidupan kita.

RAKAN KONGSI MANUSIA

Secara amnya, AI tidak lagi menjadi perkara eksotik atau jarang berlaku.

Sebaliknya, ia semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan peribadi dan profesional kita. Dan ia sudah mula membentuk semula pemasaran ekonomi global kita.

Tetapi, Revolusi sebenar hanya akan berlaku apabila pekerja dan orang awam memahami bahawa sistem AI adalah seperti rakan kongsi yang berpotensi untuk menolong manusia.

Dan semua pihak dapat memperolehi faedah jika manusia dan AI dapat menggembleng tenaga dan bekerjasama dalam menjayakan masa hadapan yang lebih cerah bagi kita semua.

MENGENAI PENULIS:

Hamidah Aidillah adalah Pengasas Parrot Social – firma Analitik Data yang menggunakan Kecerdasan Buatan untuk membantu perniagaan dan institusi memahami dengan mendalam tentang media sosial dan trend-trend masa hadapan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan