Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kecerdasan Buatan dan bagaimana teknologi ini bantu kita harungi pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kecerdasan Buatan (AI) telah memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian kita. Namun, sejak penularan COVID-19, lebih banyak syarikat dan pengguna terpaksa mengubah cara mereka beroperasi, bekerja dan menjalani kehidupan seharian menerusi teknologi-teknologi baru demi mewujudkan ketersambungan antara satu sama lain.

Pada mulanya, ramai yang berpendapat bahawa kecerdasan buatan atau AI akan "mencuri" atau "merampas" pekerjaan manusia.

Namun, ternyata kini bahawa kecerdasan buatan bukan sahaja tidak mencuri atau merampas pekerjaan manusia, malah ia telah mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru, meluangkan masa bagi para pekerja dan memberikan peluang untuk para pekerja meningkatkan kemahiran bagi mengambil tugasan-tugasan yang lebih penting dan produktif.

Kecerdasan buatan adalah satu aspek teknologi yang digunakan dalam sistem komputer, sofwe dan aplikasi demi untuk melakukan tugas-tugas yang rumit seperti mengumpul maklumat dan data untuk membantu usaha pemantauan dan penyelidikan, menggunakan sensor dan pengaturcaraan untuk mengautomasikan proses dan mempertingkatkan perhubungan, perkongsian dan ketersambungan dalam proses pekerjaan dan interaksi antara satu sama lain.

Pemantauan & Penyelidikan

Tanpa disedari, kecerdasan buatan telah banyak digunakan dalam teknologi-teknologi yang kita lihat dan gunakan setiap hari.
Orang ramai yang dilihat berada di Taman East Coast semasa Fasa 2 pasca 'circuit breaker'. (Gambar: NParks)
Semasa pandemik COVID-19, Lembaga Taman Negara (NParks) telah menggunakan teknologi untuk memantau tahap kesesakan pengunjung yang datang ke taman-taman di seluruh Singapura.

Menerusi penggunaan peta haba atau 'heat map', para pengunjung dapat merancang kunjungan mereka dan mengelakkan kesesakan.

Selain NParks, pihak polis juga menggunakan teknologi televisyen litar tertutup (CCTV) untuk memantau keamanan dan kesesakan di beberapa kawasan penduduk dan awam bagi membolehkan pihak berkuasa untuk mengerahkan kakitangan yang mencukupi dari semasa ke semasa.

Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian mengenai COVID-19 (MTF) telah menggunakan kecerdasan buatan dalam pemantauan kes-kes harian COVID-19 dan menjana data dan maklumat penting untuk membantu mereka melakar dasar-dasar penting untuk membantu dan melindungi rakyat Singapura.
(Gambar fail: TODAY)
Selain pemerintah, pelbagai syarikat juga telah menggunakan teknologi kecerdasan buatan dalam operasi harian mereka. Sebagai contoh, Grab dan foodpanda, yang menerusi aplikasi mereka, dapat memantau permintaan bagi pesanan makanan dan memadankan kerahan para penghantar makanan supaya makanan dapat dihantar dengan cepat dan mengurangkan pembaziran masa bagi penghantar makanan yang menunggu untuk pesanan makanan di kawasan-kawasan yang kurang mendapat permintaan.

Google Map juga dapat memantau keadaan trafik menerusi sistem kedudukan global (GPS) dari setiap pengguna jalan raya dan ini dapat membantu para pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan mereka dan mengelak jalan raya yang sesak.
Gambar: Lazada
Pemantauan juga dapat menjana hasil bagi para pembeli. Khususnya, aplikasi Lazada dan Shopee yang mampu memantau permintaan orang ramai secara pukal dan menghasilkan diskaun bagi setiap pembeli.

Di rumah pula, teknologi rumah bijak (Smart Technology/Smart Homes) kini semakin dipasang dan digunakan oleh para pemilik rumah. Terdapat banyak teknologi yang sesuai bagi setiap pemilik rumah di pasaran sekarang seperti loceng pintu digital atau kamera CCTV rumah yang boleh diakses melalui aplikasi di telefon pengguna baik Apple mahupun Android.
Gambar fail pelajar. (Gambar: Gaya Chandramohan)
Bagi yang lebih celik dalam bidang teknologi, anda juga pasti sudah mendengar atau menggunakan teknologi Air Tag atau Galaxy Smart Tag sebagai contoh, untuk memantau pergerakan anak-anak anda di sekolah. Balik lambat atau melencong - aplikasi sedemikian berupaya memantau pergerakan anda.

Automasi & Inovasi

Selain pemantauan, teknologi kecerdasan buatan juga telah memperbaiki cara kita bekerja. Secara lazimnya, teknologi sebegini hanya digunakan di dalam kilang atau barisan pengeluaran dan jarang dapat dilihat oleh orang awam.

Kini, lebih banyak teknologi sedemikian dapat dilihat di merata Singapura. Cuba bersenam di Taman Bishan-Ang Mo Kio atau di taman-taman awam yang lain dan anda mungkin akan melihat sebuah robot yang memotong rumput secara automatik. Di Lapangan Terbang Changi pula, beberapa mesin robot kini digunakan untuk menyapu dan mengemop lantai.
(Gambar: iStock)
Namun, apakah pula nasib pekerja yang sebelum ini ditugaskan sebagai pemotong rumput atau pekerja pembersihan?

Melalui automasi, para pekerja seperti ini kini dapat menyalurkan masa untuk melakukan kerja-kerja lain seperti menyelia robot-robot ini atau melaksanakan tugas-tugas yang tidak dapat dilakukan oleh robot-robot sedemikian seperti menyapu tangga, celah-celah siling atau melakukan pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan kawasan-kawasan dan persekitaran lain sentiasa bersih dan terpelihara.
 
Gambar fail. 
Pokoknya, pekerjaan tidak dicuri atau hilang angkara penggunaan teknologi, malah tahap pekerjaan turut meningkat bagi para pekerja bergaji rendah.

Ketersambungan & Sinergi

Kecerdasan buatan telah membantu para pekerja untuk mewujudkan ketersambungan dan sinergi dalam tugasan-tugasan harian, lebih-lebih lagi semasa pandemik COVID-19 di mana orang ramai terpaksa bekerja dari rumah.

Menerusi aplikasi seperti Zoom, Microsoft Teams dan Google Meets, para majikan dan pekerja dapat berbincang dan bermesyuarat dalam talian.

Perkongsian maklumat dan data juga dibuat senang melalui khidmat pengkomputeran awan (cloud computing services) seperti Google Drive, DropBox, OneDrive dan lain-lain lagi.
(Gambar: fizkes/iStock)
Perkhidmatan sebegini semakin berleluasa kerana maklumat dan data dapat diakses dengan mudah melalui komputer riba, tablet atau telefon bijak berbanding dengan USB atau 'hard disk' yang hanya boleh diakses oleh pemiliknya sendiri.

Dengan adanya pelbagai peranti digital dan wadah media yang digunakan oleh setiap pengguna, sinergi amat penting untuk menyatukan tugasan-tugasan, maklumat dan data supaya data dapat diakses dengan mudah.

Sinergi maklumat juga memudahkan perkongsian data dan tugasan bersama para pekerja lain. Namun, setiap teknologi ada baik dan buruknya.

Walaupun sinergi dan ketersambungan kini semakin menjadi lumrah, penting untuk setiap pengguna turut memastikan maklumat yang disimpan tidak diceroboh atau diakses oleh orang-orang yang tidak mendapat kebenaran.

Maka itu, penting untuk syarikat-syarikat dan para penguna melabur dalam teknologi keselamatan siber untuk melindungi data dan maklumat daripada dicuri dan digodam.

Kesimpulannya, kecerdasan buatan sudah semakin lumrah digunakan dalam pelbagai aplikasi dan teknologi yang kita gunakan setiap hari.

Amat mustahil untuk kita menjauhkan diri daripada kemajuan teknologi. Malah, penting untuk kita mendakapi peredaran masa dan teknologi-teknologi baru supaya kita kekal relevan dalam pekerjaan kita dan bersedia untuk mengharungi cabaran dalam ekonomi baru.

SkillsFuture Singapore dan NTUC Learning Hub, sebagai contoh, sudah banyak menyediakan kursus-kursus tentang analisis data, penggunaan Cloud, pengekodan dan lain-lain lagi bagi setiap lapisan masyarakat meningkatkan kemahiran masing-masing.
(Gambar: Mediacorp)
Mempelajari teknologi kecerdasan buatan bukan sahaja untuk golongan muda, malah semakin ramai orang dewasa sudah meraih manfaat daripada teknologi-teknologi ini.

Teknologi boleh menjadi satu hambatan bagi kita atau peluang keemasan bagi masa depan kita - Sudahkah kita bersedia?
MENGENAI PENULIS:
Hamidah Aidillah adalah pengasas Parrot Social, sebuah firma analitik data yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk membantu perniagaan dan institusi memahami dengan lebih mendalam tentang media social dan trend masa hadapan. Parrot Social adalah finalis peringkat antarabangsa di wadah online, WeConnect International 2022.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan