Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ke mana mahasiswa kita? Kondisi intelektual mahasiswa Melayu S'pura hari ini

Anggaran Waktu Membaca:
 KOMENTAR: Ke mana mahasiswa kita? Kondisi intelektual mahasiswa Melayu S'pura hari ini

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

BERITAmediacorp: Baru-baru ini, Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) telah menganjurkan seminar bertajuk: “Berteori daripada sumber lain: Ilmu Mandiri dan Pemulihan Semula Tradisi-Tradisi Hilang (Theorising from Elsewhere: Autonomous Knowledge and the Recovery of Lost Traditions)”.

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu membincangkan tentang gerakan penyahjajahan (decolonisation) ilmu serta prejudis dan pelbagai -isme berlegar yang menghambat gerakan ini, termasuk eurosentrisme, sektarianisme, nasionalisme, tradisionalisme dan nativisme.

Barangkali terma-terma ini kedengaran asing dan janggal, tetapi kesannya relevan dalam pelbagai situasi seharian kita.

Misalnya, satu kesan eurosentrisme adalah stereotaip perkauman seperti mitos Melayu/pribumi malas.

Profesor Syed Hussein Alatas yang juga merupakan ketua Jabatan Pengajian Melayu yang pertama, menulis tentang mitos ini yang diciptakan oleh pentadbir kolonial pada abad ke-19 disebabkan penduduk pribumi yang dijajah enggan bekerja untuk pentadbir kolonial atau turut serta dalam kegiatan ekonomi kolonial kapitalisme, sehingga mitos ini mula dipercayai oleh pentadbir Barat dan bangsa-bangsa yang dijajah itu sendiri.

Mitos ini juga memecahbelahkan kaum-kaum yang dijajah untuk memudahkan proses penjajahan dan pentadbiran mereka. Lebih dahsyat lagi adalah pemikiran 'culturalist' yang mendasari mitos ini, yang beranggapan bahawa kegagalan atau kejayaan sesuatu suku kaum bergantung kepada sifat dan sikap mereka yang wujud secara naluri.

Dalam erti kata lain, kegagalan kaum Melayu/pribumi disebabkan sikap malas yang wujud secara alami. Perkara ini tentu sekali tidak saintifik, bahkan rasis untuk mengaitkan satu sifat atau sikap dengan semua individu dalam satu bangsa dan memandang satu bangsa lebih baik atau buruk daripada bangsa lain.

Kesannya adalah stereotaip perkauman yang masih berlanjutan sehingga ke hari ini, bahkan menjadi punca sebahagian diskriminasi berlaku di tempat kerja dan sekolah.

Keberlangsungan kesan ini menunjukkan pentingnya proses penyahjajahan ilmu untuk memperbetulkan mitos seperti ini yang diabadikan dalam buku-buku tulisan pemikir-pemikir kolonial. Hasil daripada penyahjajahan adalah ilmu mandiri yang berakar dan berpijak pada realiti tanpa dikaburkan lensa-lensa keruh pelbagai -isme.

Peranan mahasiswa intelektual: Pembangunan wacana intelektual siswa untuk penyahjajahan dan pembangunan masyarakat

Menjernihkan pemikiran dan idea daripada kekeruhan kulturalisme dan pelbagai -isme sepertinya adalah sebahagian daripada proses penyahjajahan dan pembinaan ilmu mandiri.

Namun, proses ini bergantung kepada tahap pembangunan intelektual dan pemikiran sesuatu masyarakat, terutama sekali kepimpinan intelektualnya. Antara golongan penting yang sering kali disifatkan sebagai pemikir atau intelektual sebuah masyarakat adalah golongan mahasiswa.

Tentu sekali tidak semua mahasiswa boleh disifatkan sebagai intelektual, bahkan intelektual itu sendiri tidak semestinya daripada golongan mahasiswa, tetapi golongan mahasiswa dengan segala ilmu yang dipelajari tentang masyarakat dan manusia serta kaya dengan pelbagai sumber dari segi kelapangan masa, kebebasan dalam erti tidak bergantung kepada sebarang organisasi terkait atau majikan tertentu, berada dalam kedudukan istimewa (privileged) untuk menggauli pelbagai lapisan dan golongan masyarakat untuk mencapai kesedaran tentang beragam realiti dan keadaan masyarakatnya, sekali gus memikirkan jalan keluar bagi masalah-masalah yang wujud.

Kedudukan mahasiswa sebagai golongan yang berpotensi menjadi intelektual sangat penting dan perlu dipandang dengan serius. Golongan intelektual, yang boleh jadi daripada mahasiswa atau bukan mahasiswa, memainkan peranan yang penting dalam pembangunan masyarakat. Dalam bukunya, Intelektual Masyarakat Membangun, Profesor Syed Hussein Alatas telah membangkitkan hal ini dengan menerangkan tugas kelompok intelektual yang berfungsi dalam masyarakat, iaitu mengajukan masalah, mentakrifkannya sejelas mungkin, lalu menganalisa dan menawarkan penyelesaiannya. Pentingnya tugas dan kepimpinan intelektual kelompok ini sehingga ia mencorakkan daya pemikiran intelektual masyarakat dan arah pembangunan masyarakat.

Malah, ketiadaan kelompok intelektual yang berfungsi memberi dampak buruk yang berpanjangan kepada masyarakat di setiap tahap: individu, keluarga, kaum dan masyarakat. Contoh terdekat adalah pengharaman pendermaan ginjal dalam fatwa yang dikeluarkan MUIS pada tahun 1973 dan disiarkan di Berita Harian. Tidak ada kelompok intelektual yang berfungsi sama ada daripada pakar perubatan, akademik, mahasiswa dan sebagainya yang mencabar keputusan fatwa ini.

Perkara ini dirakamkan dalam buku penulisan Profesor Syed Hussein Alatas, Biarkan Buta: sekitar perbahasan ilmiah derma kornea mata, yang mengumpulkan perbahasan antara beliau dan MUIS tentang hukum pendermaan organ.

Hasilnya, jumlah penderma daripada golongan Muslim Singapura sangat rendah sekali, bahkan masih di kadar yang rendah biarpun selepas fatwa diubah bagi membolehkan pendermaan organ secara sukarela pada tahun 1985 dan secara automatik pada tahun 2007. Ini memberikan kesan yang sangat buruk yang berlangsung selama beberapa dekad, khususnya kepada mereka yang memerlukan pendermaan organ.

Mentelah lagi individu yang memilih untuk tidak menjadi penderma tidak diberikan keutamaan dalam senarai pendermaan organ, sedangkan ramai pesakit ginjal yang terdiri daripada masyarakat Melayu/Muslim. Dalam hal ini, kita dapat melihat bagaimana kelemahan atau ketiadaan kepimpinan intelektual yang kuat, amanah dalam ilmu dan terbuka kepada pemikiran baru yang sesuai dengan peredaran zaman telah membawa kesan yang sangat buruk terhadap pembangunan individu, masyarakat, kaum dan negara.

Beberapa lagi pemikir Melayu lain telah membicarakan peranan penting mahasiswa sebagai intelektual dalam masyarakat. Dalam ceramahnya kepada pelajar-pelajar universiti Malaya dan Singapura di London pada 25 Mei 1970, sasterawan Melayu ternama Usman Awang berucap tentang ciri-ciri intelektual, yang boleh terdiri daripada golongan “tanpa batas dan ukuran apakah mereka berasal dari sekolah, pondok ataupun universiti”.

Menurut beliau, seorang intelektual perlulah mempunyai ilmu pengetahuan dan akal fikiran yang sentiasa berkembang mengikut perkembangan ilmu dan peredaran zaman, yang digunakan untuk menganalisa segala perkara dalam kehidupan manusia sekali gus mengenal kebenaran dan kebebasan serta berani memperjuangkan kedua-duanya. Yang paling penting adalah sikap keberpihakan seseorang yang menentukan kedudukannya sebagai seorang intelektual yang progresif atau sebaliknya.

Keberpihakan ini boleh dilihat dalam pendiriannya terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling. Misalnya, dalam menganalisa kemiskinan dalam masyarakat, adakah dia menyalahkan orang-orang miskin atas nasib mereka disebabkan sikap malas, ataukah dia mempersoalkan apakah sistem masyarakat dan keadaan di sekeliling yang telah menyebabkan banyak kendala sehingga ada golongan yang tidak berpeluang langsung untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan?

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Pendirian dan keberpihakan inilah ciri-ciri yang paling wajar bagi seorang intelektual yang kritis sehingga Usman Awang berani meletakkannya “lebih penting dari soal intelek”.

Jelas sekali bahawa golongan intelektual memainkan peranan yang sangat penting dalam memajukan serta memacu arah kemajuan masyarakat ke arah yang progresif. Golongan intelektual yang disebutkan itu boleh terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan sasterawan, seniman, budayawan, karyawan dan guru-guru.

Namun, semua pemikir tidak menafikan potensi tinggi golongan mahasiswa untuk menjadi intelektual masyarakat disebabkan kedudukan mereka yang memiliki akses kepada ilmu dan sumber-sumber lain yang membolehkan mereka melakukan perubahan dalam masyarakat.

Keadaan intelektual mahasiswa Melayu Singapura hari ini

Lalu kita perlu bertanya, bagaimanakah keadaan pemikiran intelektual mahasiswa Melayu kita hari ini?

Daripada pengamatan saya sebagai seorang siswazah, keadaan intelektual dan pembangunan wacana mahasiswa Melayu Singapura masih di tahap keanak-anakan, malah telah merosot sejak zaman mahasiswa di awal tahun 1960an, ketika persatuan-persatuan mahasiswa Melayu/Islam mula ditubuhkan.

Dari segi usaha-usaha berkaitan bahasa, kebanyakannya masih berlegar di ranah-ranah kebahasaan dan isu teknikal bahasa. Jikalau adapun usaha untuk memartabatkan kesusasteraan dari segi isu idea yang dibentangkan dalam karya, isu-isu ini tidak diwacanakan dan akhirnya bersifat 'one-off' saja. Manakala program berunsur agama atau yang disifatkan sebagai ‘intelektual’ kerap kali masih di tahap yang cetek, konservatif dan tidak membawa kepada apa-apa perubahan dan usaha berterusan. Program-program seperti ini diuar-uarkan sebagai program intelektual dan menyentuh tentang isu-isu sosial yang relevan. Malangnya, program seperti ini hanya indah khabar dari rupa—isi perbincangannya masih menggalakkan bahkan memperkukuhkan nilai-nilai tradisional dan konservatif dan boleh membawa kesan buruk kepada pembangunan masyarakat Melayu.

Misalnya, saya pernah menghadiri sebuah sesi perkongsian dengan seorang ustazah tempatan tentang memikir ulang peranan jantina (gender role) dalam Islam, yang dianjurkan oleh NUSMS pada tahun 2019.

Namun, isi perkongsian itu sangat jauh daripada tajuknya, malah memperkukuhkan lagi sikap dan fahaman tradisional bahawa peranan dan nilai perempuan itu terletak pada kebolehannya untuk melahirkan, membesarkan dan mendidik anak-anaknya, atas dasar bahawa kemampuan biologis ini menepati kehendak Tuhan untuk perempuan.

Malah, pembicaranya mengutamakan membina keluarga lebih daripada menuntut ilmu dan menyarankan hadirin perempuan untuk mengutamakan perkahwinan dan melahirkan anak-anak daripada menuntut ilmu. Sikap dan pandangan tradisional seperti ini bukan saja tidak saintifik (tidak semua perempuan boleh melahirkan, bahkan ada yang dilahirkan tanpa rahim), bahkan patriarkis yang merendahkan wanita sebagai manusia yang mempunyai hasrat dan cita-cita sendiri kepada satu bahagian (extension) lelaki sahaja. Ini tidak bermaksud bahawa peranan sebagai ibu dan isteri itu rendah dan tidak penting tetapi perempuan juga perlu dihargai sebagai seorang individu sendiri dan bukan sebagai bahagian (extension) lelaki. Ideologi patriarki yang tidak melihat perempuan sebagai manusia atau individu sendiri sangat membahayakan kepada perempuan.

Antara kesannya, badan organisasi yang berperanan membantu perempuan Melayu/Muslim hanya memfokuskan usaha kepada membantu perempuan dari segi ekonomi dan perceraian atau berkahwin lagi ekoran perempuan hanya dilihat sebagai ibu atau isteri. Lain daripada itu, hal-hal perempuan tidak atau dirasakan penting, contohnya, kesan gangguan dan kekerasan seksual, pendidikan dan perjuangan hak-hak wanita Muslim Singapura di bawah undang-undang syariah, kemiskinan haid dan sebagainya.

Pemikiran bahawa perempuan hanya diciptakan Tuhan untuk beranak dan mendidik anak juga mencerminkan satu aliran tradisional yang sangat tidak menepati peredaran zaman dan keperluan masyarakat yang berubah-ubah, bahkan ahistoris juga kerana sepanjang sejarah manusia dalam pelbagai peradaban, perempuan telah memainkan peranan penting dalam tugas-tugas ekonomi masyarakat. Ramai pemikir Islam lebih-lebih lagi di zaman kontemporari telah mengkedepankan pemahaman agama yang tidak bias terhadap lelaki dan mengutamakan kesetaraan jantina. Sikap dan pemikiran tradisional ini menunjukkan ideologi serta pemikiran konservatisme agama yang menebal dan tahap perbincangan intelektual yang sangat rendah antara golongan mahasiswa sehingga perbincangan tentang peranan perempuan pada abad ke-21 seolah-olah terjerat dalam abad kuno.

Hal ini pernah ditegur oleh Dr Yaacob Ibrahim, mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, pada ulang tahun ke-40 NUSMS pada tahun 2004.

Dalam ucapannya, beliau menyingkap kembali sejarah perkembangan pemikiran intelektual persatuan itu. Misalnya, pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an, NUSMS sangat memberatkan masalah-masalah sosial yang timbul dalam masyarakat Melayu/Islam dan di bawah kepimpinan Presidennya pada masa itu, Encik Zainul Abidin Rasheed yang kini Duta Singapura ke Kuwait, telah memperkenalkan sebuah inisiatif ko-operatif di Geylang untuk membantu golongan Melayu yang berkemampuan rendah.

Kesedaran dan keazaman untuk memahami dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam serta pembangunan masyarakat Muslim di serata dunia sangat ketara dan yang penting sekali ia telah memacu pemimpin-pemimpin persatuan ini untuk membaca penulisan pemikir-pemikir besar seperti Jamaludin Al-Afghani, Fazlur Rahman dan sebagainya dan berwacana melalui penulisan dalam majalah tahunan terbitan NUSMS serta perbincangan dengan pemikir tempatan seperti Profesor Syed Hussein Alatas.

Namun menurutnya, keadaan intelektual persatuan itu telah berubah sejak tahun 1980-an ketika badai ideologi kebangkitan Islam (Islamic revivalism) mula menapak antara mahasiswa Singapura, yang ketika itu sibuk membicarakan tentang cara “meng-Islamkan” (Islamise) ilmu-ilmu yang dianggap sekular.

Daripada perbandingan ini, kita dapat melihat bagaimana tahap pemikiran intelektual mahasiswa Melayu/Islam Singapura masih di tahap yang sangat tradisional, konservatif dan cetek, malah telah merosot sejak awal penubuhan persatuan-persatuan ini.

Antara penghambat kepada pembangunan intelektual dan wacana siswa adalah rasa takut menyinggung perasaan teman-teman siswa lain apabila mengkritik dengan jujur tentang masalah atau kekurangan program yang sedia ada.

Kebiasaannya, golongan siswa yang aktif merancang, mengendali dan menyertai program-program ini merupakan teman sendiri atau aktif dalam kumpulan-kumpulan yang sama. Namun, ini tidak sepatutnya menjadi penghambat, malah peluang untuk mengkritik dengan jujur.

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Selagi kritikannya relevan dan disampaikan dengan jelas dan berhemah, tidak ada sebab mengapa golongan siswa sendiri tidak boleh terima kritikannya. Bahkan, bagi saya, sekiranya kritikan itu mengena dan sangat relevan, cara penyampaiannya tidak patut menjadi sebab ia ditolak. Setiap idea dan pemikiran yang dikedepankan perlu berani menerima dan terbuka kepada kritikan.

Kekurangan ruang dan program untuk berwacana secara kritis juga mengeruhkan lagi masalah ini. Ruang-ruang berdiskusi secara serius sangat penting untuk pembangunan idea. Dengan berkongsi pendapat dan perspektif, golongan siswa akan dapat menajamkan pemikiran dan idea mereka, yang boleh mengubah cara program-program dikendalikan. Proses berwacana ini perlu berlaku bukan antara golongan siswa saja; ia juga harus melibatkan pelbagai golongan masyarakat seperti profesor, pekerja administrasi di universiti, golongan aktivis dan kumpulan-kumpulan akar umbi seperti organisasi Melayu/Muslim yang dekat bersama masyarakat, ahli politik dan juga golongan sasaran program-program universiti yang sedia ada.

Golongan siswa yang mempunyai peluang dari segi kelapangan masa berbanding golongan pekerja atau profesional yang tidak terkait dengan organisasi atau institusi tertentu, mempunyai kebebasan untuk berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Bahkan, golongan mahasiswa juga datang daripada pelbagai latar belakang dari segi kerakyatan, jantina, usia, kelas sosial, seksualiti, agama, sekta agama, kaum dan sebagainya. Keragaman identiti ini bererti golongan mahasiswa boleh membawa pelbagai perspektif yang berbeza dalam membincangkan isu-isu sosial yang relevan.

Satu lagi penghambat adalah kekangan ideologi yang membataskan isu yang boleh dibicarakan serta perspektif yang boleh dikongsikan dalam program-program ini. Setiap tahun, saya mendengar keluhan daripada teman-teman yang ingin meningkatkan tahap intelektual perbincangan atau program yang mereka jalankan atau memperkenalkan isu-isu baru dan relevan tetapi jarang dibicarakan.

Malangnya, mereka menghadapi tentangan daripada pihak atasan dalam pertubuhan pelajar mereka, biasanya daripada Presiden dan Naib Presiden, yang tidak menyetujui usulan mereka disebabkan isu dianggap terlalu sensitif.

Ada pula pucuk kepimpinan yang berani membicarakan hal-hal sensitif tetapi kadangkala mereka tidak mendapat sambutan yang baik, bahkan mendapat label atau tuduhan. Hal ini berlaku di mana-mana universiti di Singapura dan ini merupakan satu penghambat besar kepada pembangunan intelektual siswa.

Perbezaan pendapat itu lumrah dan biasa, tetapi yang tidak sepatutnya dibiasakan adalah sikap menghukum dan menghakimi lebih-lebih lagi dalam wacana serius tentang hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat. Sikap seperti ini memberi dampak yang buruk terhadap pembangunan intelektual, sekali gus kemajuan sesebuah masyarakat.

Keadaan yang saya gambarkan telah jauh tersasar daripada peranan pendidikan universiti untuk mengeluarkan lepasan siswazah yang sedar akan keadaan masyarakat dan berani menyuarakan pandangan dan menegakkan kebenaran dan keadilan. Universiti tidak seharusnya melahirkan siswazah yang mampu mendapat gred A tetapi tidak mempunyai keberanian, sikap ingin tahu dan daya pemikiran kritis dalam membicarakan hal masyarakatnya.

Ke Mana Mahasiswa Kita? Langkah Ke Hadapan

Pembangunan intelektual siswa memerlukan kepimpinan sedar dan berani, iaitu berani untuk membicarakan hal-hal berkaitan pembangunan masyarakat yang mungkin bersifat sensitif seperti kondisi golongan yang tertindas dan terabai dalam masyarakat serta isu-isu penting seperti isu hak wanita, LGBT, ketidaksamaan sosio-ekonomi, konservatisme agama, perubahan iklim, hak golongan pekerja dan lain-lain lagi.

Selebihnya, kepimpinan ini juga perlu bertanggungjawab, iaitu merasakan serta memanifestasi kebertanggungjawabannya kepada masyarakat dengan berwacana dengan berhemah dan berhikmah agar topik-topik sensitif tetapi relevan boleh disentuh, dengan mengambil kira pandangan semua kelompok serta mewujudkan ruang wacana yang selamat terutama sekali bagi golongan tertindas yang biasanya menjadi sasaran program-program di kampus.

Kepimpinan di sini tidak hanya bermaksud kepimpinan tertinggi dalam persatuan-persatuan mahasiswa tetapi kepimpinan intelektual - yang boleh wujud di dalam atau luar persatuan-persatuan pelajar -seperti yang dijelaskan oleh Profesor Syed Hussein Alatas, yang memikirkan keadaan masyarakatnya dan berupaya menggunakan akal fikiran untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Selain daripada kepimpinan yang kuat dan perubahan sikap, golongan mahasiswa juga perlu rajin mengadakan sesi berdiskusi dan berwacana yang konsisten. Ini bukan saja penting untuk saling berkongsi idea dan menajamkan pemikiran tetapi ia juga boleh menyatukan mahasiswa yang mempunyai minat dan aspirasi yang sama dan menggerakkan mereka untuk mengenal pasti masalah yang sedia ada dan memikirkan langkah-langkah untuk menyelesaikannya.

Dalam hal ini, penting bagi mahasiswa untuk menggauli dan berwacana dengan pelbagai golongan dan lapisan masyarakat, sama ada mereka terdiri daripada para sasterawan, aktivis, profesor, pemimpin masyarakat dan pelbagai lagi, terutama sekali yang lebih berpengalaman. Ini akan membantu mahasiswa untuk mempelajari bagaimana untuk membangkitkan isu dengan cara bertanggungjawab dan membina agar wacana dan usaha tidak tersia-sia dan dapat mengarah kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya.

Antara perkara yang boleh dibincangkan adalah memikir ulang program-program sedia ada, keberkesanan dan keterbatasan serta kelemahannya. Ini termasuk masalah sudut pandang program yang mendasari cara program-program ini dihasilkan. Misalnya, banyak program kesukarelawanan yang dijalankan oleh golongan mahasiswa. Namun, jarang sekali kita mendengar wacana membincangkan tentang program-program sukarelawanan ini dan keterbatasannya dalam melakukan perubahan struktur. Bahkan, program-program seperti ini juga biasanya mengutamakan kebaikan yang boleh diraih oleh para sukarelawan berbanding dengan keperluan dan kebaikan golongan sasaran program itu sendiri.

Perkara ini pernah disinggung oleh seorang teman siswa saya sendiri, Shaik Azad, dalam buku Critical Voices of Malay Youths (Suara Kritis Belia Melayu) terbitan Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Golongan siswa perlu kedepankan isu-isu ini dan berani mengutarakan pandangan mereka tentang isu-isu sosial seperti yang disebutkan oleh Presiden Halimah Yacob baru-baru ini. Cara lain juga adalah untuk memanfaatkan pelbagai sumber dan wadah yang disediakan untuk para mahasiswa. Misalnya, segmen Nadi Kampus dalam BERITA Mediacorp ini juga seharusnya dimanfaatkan dengan sepenuhnya.

Golongan siswa boleh menulis dan mengkedepankan buah fikiran mereka kepada masyarakat melalui segmen ini.

Banyak isu penting dalam masyarakat yang perlu dibicarakan tetapi sayangnya belum diwacanakan oleh siswa. Contohnya, di mana siswa kita apabila kes tinjauan lucah melibatkan asatizah perempuan berlaku tahun lalu? Tidak cukup sekadar kita menghentam pesalah atau pelakunya dan mengiktiraf kedudukan perempuan dalam Islam tanpa membicarakan sistem dan faktor-faktor persekitaran yang telah membolehkan perkara seperti ini berlaku.

Golongan mahasiswa tidak boleh membaca dan menduduki peperiksaan akhir tahun saja. Kita perlu menulis, berwacana, turun padang dan bergaul dengan masyarakat, menghadiri program-program forum perbincangan dan ilmiah, serta mengadakan sendiri sesi wacana ilmiah serta menyediakan pelbagai wadah untuk berwacana.

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Saya akhiri makalah ini dengan puisi Pertemuan Mahasiswa karya W.S. Rendra sebagai peringatan untuk teman-teman siswa. Puisi ini telah dipersembahkan kepada mahasiswa Universitas Indonesia dalam program orientasi pelajar pada tahun 1977.

Ia mengingatkan golongan mahasiswa bahawa ilmu yang dipelajari di menara gading tidak berlaku dalam kekosongan. Sama ada sesuatu ilmu itu diajarkan atau tidak di universiti, dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang menguntungkan pihak-pihak berkepentingan.

Misalnya dalam perbincangan seminar yang disebutkan pada awal makalah ini membincangkan tentang pelajar-pelajar, bahkan pensyarah universiti, yang berfikiran bahawa masyarakat kita tidak akan dapat mencapai kemajuan tanpa penjajahan. Pemikiran ini yang berasal daripada minda tertawan menunjukkan pemaknaan “kemajuan” yang sangat sempit dan eurosentris yang meletakkan kedudukan penjajah sebagai puncak kemajuan, meskipun kesan penjajahan yang sangat buruk termasuk jumlah korban yang melampau, peperangan, kerosakan alam dan pelbagai lagi kekerasan kebudayaan dan fizikal yang masih berentetan sehingga ke hari ini.

Harapan saya adalah puisi ini dapat mengingatkan golongan mahasiswa bahawa mereka harus kritis dan sedar ketika mendepani ilmu-ilmu yang dipelajari, membangkitkan wacana yang mengisi kelompangan kurikulum di sekolah dan universiti serta mengkedepankan idea-idea yang bebas daripada pemikiran keruh sehingga dapat mendirikan sebuah wacana ilmu mandiri baru.

Matahari terbit pagi ini
mencium bau kencing orok di kaki langit,
melihat kali coklat menjalar ke lautan,
dan mendengar dengung lebah di dalam hutan.

Lalu kini ia dua penggalah tingginya.
Dan ia menjadi saksi kita berkumpul di sini
memeriksa keadaan.

Kita bertanya:
Kenapa maksud baik tidak selalu berguna.
Kenap maksud baik dan maksud baik bisa berlaga.
Orang berkata “ Kami ada maksud baik.”
Dan kita bertanya: “Maksud baik untuk siapa?”

Ya! Ada yang jaya, ada yang terhina
Ada yang bersenjata, ada yang terluka.
Ada yang duduk, ada yang diduduki.
Ada yang berlimpah, ada yang terkuras.
Dan kita di sini bertanya:
“Maksud baik saudara untuk siapa?

Saudara berdiri di pihak yang mana?”

Kenapa maksud baik dilakukan
tetapi makin banyak petani yang kehilangan anahnya.
Tanah-tanah di gunung telah dimiliki orang-orang kota.

Perkebunan yang luas
hanya menguntungkan segolongan kecil saja.
Alat-alat kemajuan yang diimpor
tidak cocok untuk petani yang sempit tanahnya.

Tentu kita bertanya:
“Lantas maksud baik saudara untuk siapa?”

Sekarang matahari, semakin tinggi.
Lalu akan bertahta juga di atas puncak kepala.
Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:
Kita ini dididik untuk memihak yang mana?

Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini
akan menjadi alat pembebasan,
ataukah alat penindasan?

Sebentar lagi matahari akan tenggelam.
Malam akan tiba.
Cicak-cicak berbunyi di tembok.
Dan rembulan akan berlayar.
Tetapi pertanyaan kita tidak akan mereda.
Akan hidup di dalam bermimpi.
Akan tumbuh di kebon belakang.
Dan esok hari
matahari akan terbit kembali.
Sementara hari baru menjelma.

Pertanyaan-pertanyaan kita menjadi hutan.
Atau masuk ke sungai
menjadi ombak di samudera.

Di bawah matahari ini kita bertanya:
Ada yang menangis, ada yang mendera.
Ada yang habis, ada yang mengikis.
Dan maksud baik kita
berdiri di pihak yang mana!

 

MENGENAI PENULIS:


Nur Hikmah binte Md Ali adalah lulusan jurusan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pengajian Melayu Singapura (NUSMSS). Pada tahun 2021, beliau dilantik sebagai Sahabat Sastera, sebuah inisiatif yang dipelopori Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan