Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ke arah sifar keganasan keluarga – apa yang masyarakat perlu tahu

Bukan mudah untuk mencapai kadar sifar dalam kejadian keganasan keluarga; yang pasti adalah perlunya kerjasama rapat antara orang ramai dan keluarga untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bukan mudah untuk mencapai kadar sifar dalam kejadian keganasan keluarga; yang pasti adalah perlunya kerjasama rapat antara orang ramai dan keluarga untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Pandemik COVID-19 memang menimbulkan pelbagai kesan mengejutkan bukan sahaja dari aspek kesihatan dan ekonomi. Ia juga mengejutkan kita dengan peningkatan perangkaan kes keganasan keluarga yang mendadak sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan atau 'circuit breaker' yang dikuatkuasakan sejak April tahun ini.

Jumlah kes aduan keganasan rumah tangga yang dilaporkan oleh Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) melonjak 35 peratus kepada 619 kes berbanding 459 kes pada Mac 2019. Sementara, Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan peningkatan 22% dengan 476 kes keganasan yang dilaporkan.

Gambar hiasan (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan tentang kekerapan keganasan berlaku tetapi juga peluang untuk mangsa mendapatkan bantuan.

Oleh itu, peningkatan usaha membanteras keganasan yang dijalankan pemerintah untuk melebarkan jaringan dan memperbanyakkan tempat mengesan mangsa dan mangsa mendapatkan bantuan lebih awal sangat dialu-alukan.

Di peringkat nasional, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) membentuk Pasukan Bertindak Keganasan Keluarga.

Ia merupakan usaha untuk mengkaji cabaran yang dihadapi oleh pelbagai kumpulan yang mengalami keganasan dan mewujudkan bersama huraian berkesan agar dapat memberi sokongan lebih baik kepada mangsa keganasan keluarga dengan rakan-rakan kerja masyarakat.

Di peringkat masyarakat, demi ke arah mencapai matlamat tiada keganasan hingga ke paras ‘sifar’, berbagai usaha yang dilakukan oleh agensi dan persatuan masyarakat sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya keganasan keluarga dan sumber-sumber masyarakat yang disediakan kepada mangsa.

KENAL PASTI TANDA

Contohnya, inisiatif daripada pihak Pejabat Mufti mempersiapkan sekumpulan 200 asatizah menjalani latihan mengenal pasti tanda-tanda penderaan dan bagaimana untuk menghulurkan bantuan bagi menangani kes keganasan bagi asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Begitu juga dengan usaha kerjasama MSF dengan rangkaian pasar raya FairPrice yang mengendalikan Unity Pharmacy untuk melengkapkan ahli farmasi mereka dengan kemahiran untuk mengesan tanda-tanda dan gejala keganasan dalam keluarga.

(Infografik: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

Malah, kebelakangan ini usaha Rumah Tumpangan Wanita Casa Raudha untuk membasmi keganasan keluarga dengan mengambil pendekatan tiga serampang dalam menangani masalah keganasan domestik dan keluarga yang berantakan menerusi program pencegahan, perlindungan dan pemulihan telah mula mendapat perhatian masyarakat.

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), sebagai rakan kerja bagi Kumpulan Bertindak SGTeguhBersatu, di bawah naungan M3, sedang berusaha untuk melakarkan rangka kerja sokongan bagi masyarakat yang melibatkan para pekerja sosial, asatizah, pekerja kesihatan dan mental sebagai respons kepada COVID-19 dalam membantu masyarakat mendapat bantuan awal di waktu krisis.

DI LUAR BATAS KELUARGA

Masyarakat Singapura mungkin merasa lega mengikuti peningkatan usaha membanteras kes keganasan rumah tangga. Namun, masyarakat perlu menyedari bahawa kes keganasan bukan sahaja berlaku ke atas wanita dalam rumah tangga. Ia juga melibatkan bentuk keganasan yang dialami wanita seperti pembantu rumah dan wanita di tempat kerja.

Ramai pembantu rumah asing juga menjadi mangsa keganasan ketika berlakunya peraturan kawalan pergerakan COVID-19.

Contohnya, Humantarian Organisation for Migration Economics (HOME) melaporkan peningkatan 25% pada jumlah panggilan ke talian bantuan mereka untuk pembantu rumah asing sejak bermulanya tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 7 April 2020.

Gambar hiasan.

KEADAAN DI RUMAH

Dalam kalangan pembantu rumah asing, mereka mengadu harus bekerja lebih lama dengan rehat yang tidak mencukupi. Ini ditambah dengan tugas rumah tangga dan pengasuhan yang berterusan.

Keadaan di rumah semakin teruk dengan pengawasan yang lebih ketat oleh majikan yang berada di rumah hampir sepanjang hari di atas peraturan ‘work-from-home’.

Akibatnya, perselisihan semakin kerap berlaku sehingga ke tahap keganasan yang bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga termasuk penderaan dari segi mental, emosi dan kewangan.

Gambar fail.

Kesukaran menggunakan telefon bimbit kerana majikan membatasi mereka daripada berkomunikasi dengan orang luar termasuk ahli keluarga untuk mengadu kes penderaan dan eksploitasi membuatkan ramai yang akhirnya melarikan diri.

Malah, Foreign Domestic Worker Association for Social Support and Training (FAST) melaporkan bahawa jumlah kes melarikan diri dari rumah majikan meningkat dua kali ganda ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

KEGANASAN DI TEMPAT KERJA

Ketika kawalan pergerakan mula reda and ekonomi mula dibuka semula dalam beberapa bulan ke depan, pejabat dan pekerjaan akan mula kembali seperti biasa. Satu bahaya yang boleh terjadi adalah potensi keganasan di tempat kerja dalam kalangan rakan sekerja wanita seperti keganasan seksual.

Tanpa proses keselamatan yang bertanggungjawab di tempat kerja, ramai wanita berada pada keadaan yang boleh membahayakan diri mereka tanpa pembelaan.

(Gambar hiasan: AFP/Frederic J Brown)

Oleh itu, penting untuk membangunkan latihan dan dasar kekerasan tempat kerja yang kuat supaya majikan atau pekerja dapat mengenal pasti tanda-tanda awal dan mengambil tindakan yang mungkin menghalang kejadian ke tahap yang dapat membahayakan diri wanita.

Justeru itu, usaha NGO tempatan mencari jalan untuk menyokong mangsa ketika pekerja kembali bekerja amat dialu-alukan. Sebagai contoh, United Women Singapore (UWS) akan melancarkan inisiatif untuk membantu syarikat melaksanakan dasar sumber manusia yang komprehensif untuk mengenal pasti tanda-tanda pekerja yang mengalami tanda-tanda keganasan rumah tangga di tempat kerja.

Ia juga bertujuan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan menyokong, termasuk keganasan seksual di tempat kerja supaya mangsa mendapat sokongan daripada majikan mereka.

HARUS TERUS DITEGAH

Gejala keganasan terhadap wanita sama ada keganasan rumah tangga (dan penderaan kanak-kanak) atau di tempat kerja adalah sesuatu yang serius dan harus dicegah.

Walaupun langkah peningkatan usaha membanteras keganasan sedang dilakukan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan wanita dapat dijamin, termasuk perintah perlindungan, memastikan akses kepada rumah perlindungan dan bantuan kewangan jika diperlukan.

(Gambar: CNA)

Selain itu, bilangan kajian dalam isu berkenaan keganasan terhadap wanita di Singapura juga perlu dipertingkatkan lagi bilangannya bagi menambahkan lagi data dan maklumat yang diperlukan dalam usaha mengatasi masalah ini.

Selain daripada boleh mengurangkan lagi masalah kes kekurangan laporan berkenaan keganasan seksual terhadap wanita, kajian yang dijalankan juga mampu mengatasi masalah kekurangan data berkenaan mangsa, sifat, punca dan akibat keganasan dalam kalangan wanita Singapura untuk dibandingkan dan digunakan dalam kajian.

Data yang komprehensif dan tepat adalah sangat penting bagi membolehkan pengkaji untuk mengetahui dengan jelas dan pasti akan masalah yang dihadapi seterusnya dan mengatasinya berdasarkan maklumat yang ada.

PENDERA DAN MANGSA

Namun buat ketika ini, sebagai usaha membanteras keganasan, pemerintah perlu mewujudkan ‘prosedur operasi standard’ (SOP) dalam memberikan respons kepada kes mangsa keganasan ketika di waktu krisis seperti semasa tempoh perintah kawalan pergerakan COVID-19.

Ini akan menambah baik penyelarasan antara kesemua agensi yang berkaitan dan kesannya akan memastikan para mangsa tidak terus didera.

'Tips' tentang langkah-langkah selamat mestilah dihebahkan melalui media sosial di dalam pelbagai bahasa. Ahli keluarga atau jiran perlu diberikan kefahaman tentang dinamika yang wujud antara pendera dan mangsa dalam kes keganasan.

Ia bukanlah proses yang mudah bagi si mangsa. Yang pasti orang ramai dan keluarga digalakkan supaya melaporkan insiden keganasan yang berlaku menerusi talian bantuan atau pihak berkuasa demi usaha ke arah sifar keganasan.

MENGENAI PENULIS:

Presiden PPIS Rahayu Mohamad.

Rahayu Mohamad adalah Presiden Pemudi Islam Singapura (PPIS). Beliau juga adalah seorang anggota Pasukan Bertindak SGTeguhBersatu, anggota pengasas Singapore Alliance of Women In Aging (SAWA), pensyarah bersekutu, konsultan pendidikan dan anggota pengarah pelbagai badan bantu diri di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan