Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Karyanya Masih Malar Segar Meski 50 Tahun Selepas Berpulangnya P. Ramlee

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Karyanya Masih Malar Segar Meski 50 Tahun Selepas Berpulangnya P. Ramlee

Seniman agung, Allahyarham P. Ramlee. (Gambar: @quickieofficial/Facebook)

BERITAmediacorp: Sehingga kini, lagu dan filem P. Ramlee masih lagi diminati ramai, dari Generasi Perintis sehingga cucu mereka. Mengapa karya P. Ramlee malar segar? Mohd Raman Daud mengupas faktor suasana yang membolehkan tumbuhnya citra seorang seniman besar.

Setengah kurun berlalu, mengapa kita masih belum jemu akan karya P Ramlee?

‘Seniman Agung’ Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atau lebih dikenali sebagai P. Ramlee telah berlakon dalam 66 buah filem, bergelar pengarah kepada 35 karya (termasuk 18 komedi) selain menulis 33 skrip daripada jumlah itu dan menggubah 250 lagu. Kehebatannya sukar ditandingi mana-mana karyawan seni Melayu.

TIADA SINGAPURA, TIADA P. RAMLEE

Pada satu-satunya pameran di Singapura untuk mengenang P. Ramlee di Balai Seni Fort Canning pada 14 April 1999 yang dirasmikan Menteri Penerangan dan Kesenian, BG George Yeo, tercetus ungkapan: “Tiada Singapura, tiada P. Ramlee.”

Mendalam sekali maknanya. Itulah ungkapan Yusnor Ef (nama sebenar: Mohd Noor Mohd Yusofe, 1937 -) yang pernah belajar ilmu menulis skrip dan senikata serta serba sedikit berlakon daripada gurunya, P. Ramlee yang tinggal di Cedars Avenue dalam awal 1960-an. Nama penanya adalah ilham gurunya.
Related article image
Yusnor Ef. (Gambar ihsan: Reeta Yusnor Ef)
“Abang Ramlee mengaku bahawa bakatnya berkembang tidak lain kerana peluang ‘emas’ bekerja di Jalan Ampas dari penyanyi latar sehingga menjadi pengarah,” kata Cikgu Yusnor (guru pesara) dan penerima Pingat Budaya.

Dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, belajar di Sekolah Melayu Kampung Jawa, diikuti Francis Light English School, Penang Free School dan di Japanese Navy School yang mendedahkannya kepada asas muzik, selain aktif membuat persembahan bagi pasukan kader tentera Jepun.

B.S. Rajhans, seorang pengarah ekspatriat dari Madras telah ditugaskan oleh Shaw Studio untuk menjejak bakat. Beliau bersua dengan P. Ramlee yang membuat persembahan keroncong di Pulau Pinang.
Related article image
(Gambar: Laman malaysiahistory)
Bersama rakan baiknya, Sukardi, P. Ramlee berangkat dari Butterworth (Seberang Prai) dengan menaiki kereta api pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri. Menurut Yusnor, P. Ramlee pernah memberitahu bahawa kelahirannya pada pagi Aidilfitri. Namun tarikh kelahiran rasminya, 22 Mac 1929 ialah bersamaan 11 Syawal 1347 Hijriah?

SUASANA MEKAR

Singapura, terutama kawasan Kampung Gelam, merupakan pusat cendekiawan Melayu rantau ini antara 1850 hingga 1960.

Melalui dasar bebas dagang penjajah British dan kedudukan strategik Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa, maka mekarlah kegiatan percetakan, persembahan bangsawan ke filem, muzik dan gerakan kesedaran ke arah merdeka.

P. Ramlee berada pada masa dan tempat yang tepat dan berkat. Amat gigih menimba ilmu dan berusaha, beliau sanggupi apa jua tugas termasuk 'clapper boy' dan penyanyi latar. Beliau diberi watak antagonis dalam filem Chinta ketika berusia 19 tahun. Bakatnya lebih menyerlah dalam filem, Bakti sehingga menjadi rebutan ramai pengarah di Studio Malay Films Production (MFP) Jalan Ampas, Singapura.

Selanjutnya, beliau diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem pertamanya, Penarek Bechha (Penarik Beca). Lagu ciptaannya, Azizah turut dijadikan antara lagu dalam filem sulungnya. Filem itu ditayangkan pada tahun 1955 dan turut dibintangi Saadiah (nama sebenarnya, Satya Baharom selaku watak wanita utama Azizah.

P. Ramlee bak ‘anak emas’ Shaw Studio kerana hampir semua filem arahan dan lakonannya meraih laba pecah panggung (box office taking). Beliaulah bintang paling popular, antara lain, dijana oleh majalah filem tajaannya, Gelanggang Filem yang banyak tulisannya disumbangkan Jymy Asmara (antara pendiri Angkatan Sasterawan ’50). Gaya sehingga fesyennya menjadi ikutan.

Malah P. Ramlee turut terlibat sebagai pemakalah dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III di Kampus Universiti Malaya, Bukit Timah pada 1956. Beliau diberi penghormatan menyampaikan Anugerah ‘Pendeta’ kepada Encik Zainal ‘Abidin Ahmad (Za’ba), pengerusi kongres dan ketua pengasas Jabatan Pengajian Melayu UM.

Ketika berada di puncak, P. Ramlee berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pergolakan sengit semasa percantuman Singapura dalam Persekutuan Malaysia sehingga memaksanya sekeluarga berpindah ke Studio Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun 1964 – tidak lama selepas mengarahkan filem terakhir bersama Shaw Studio berjudul Tiga Abdul.
Related article image
(Gambar: Galeri Nasional Singapura)
AIR MATA DI KUALA LUMPUR

Sayangnya, hidupnya di Kuala Lumpur tidak seindah impiannya.

Hal ini diceritakannya kepada Yusnor Ef yang pada awalnya berhasrat menyusuli gurunya.

Sentuhan ‘sakti’nya bak pupus.

Ramai kawan didapatinya hanya manis di bibir. Tanpa kebolehan sebagai usahawan, beliau menanggung banyak kerugian apabila filem-filemnya tidak mendapat sambutan, membawa ke detik akhirnya pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun selepas serangan jantung.

Laksamana Do Re Mi menjadi filem terakhir lakonan dan arahannya. Lagu Air Mata Di Kuala Lumpur adalah gubahan dan nyanyiannya yang terakhir merakam kehampaannya dikhianati dan dipinggirkan.

Beliau sentiasa berpegang kepada prinsip ‘sentiasa ada makanan di atas meja’ demi menjamin isteri dan anak-anaknya tidak menanggung kesukaran.

Malangnya, beliau diejek penonton ketika tampil membuat persembahan di Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur. Hakikatnya, beliau cuba menghasilkan sejumlah lagu ala Pop Yeh Yeh agar relevan dengan masa. Itulah kemunculan terakhir seniman itu.

Kelemahan isi dan teknik filem Melayu yang masih hitam putih, pengaruh muzik Barat dan peralihan selera peminat lagu Melayu menjejas P. Ramlee yang malangnya kurang menjaga kesihatan, tabungan dan penampilannya.

POPULAR SESUDAH TIADA

P. Ramlee bagaimanapun kembali mekar setelah wafatnya. Karya-karyanya diangkat semula kerana daya cipta luar biasa walaupun ada yang asalnya saduran.
Related article image
Semerah Padi arahan P. Ramlee dipengerahui filem Jepun, Rashomon. (Petikan skrin: YouTube)

Namanya terus dijulang lewat pelbagai pengiktirafan dan diabadikan pada dua nama jalan iaitu Jalan P. Ramlee di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Dari segi kehidupan peribadi, P. Ramlee pernah menikahi Junaidah Haris (1947-1953) yang dikurniai anak kandung tunggalnya, Mohd Nasir. Sesudah menduda, beliau menikahi Noorizan Mohd Noor, bekas isteri Sultan Perak (1955-1961) dan Saloma (Salmah Ismail, 1961-1973). Beliau dianggap seniman contoh kerana akhlaknya serta turut mengasuh dan membangunkan bakat baru seperti seniman Jins Shamsudin dan seniwati Sarimah sehingga penggubah lagu, Kassim Masdor.

Para sarjana seperti Dr Syed Muhd Khairudin Aljunied pernah menyifatkan karya P. Ramlee seperti siri filem Bujang Lapok sebagai kritik sosial yang berkesan walaupun bersalut komedi.

Sejumlah agamawan seperti Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin sehingga Dr Alfifi Alkiti menyifatkan P. Ramlee sebagai ‘wali seni’ kerana karyanya masih berona Islam termasuk “menceduk” melodi daripada Al-Burdah (qasidah mengenai Nabi Muhammad).

Akankah lagi 50 tahun lagi karya P. Ramlee terus dikenang dan diminati?

Pak Yusnor Ef sering menukil pesan gurunya: "Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan. Oleh itu, buatlah sungguh-sungguh dengan penuh kejujuran."

MENGENAI PENULIS:

Related article image
Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita