Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kain-kain Melayu - Pelbagai dalam mencerminkan kearifan orang Melayu

Bila sebut sahaja tentang kain Melayu, yang selalu disebut ialah songket, batik ataupun pelikat. Namun, kepandaian orang Melayu dalam seni fabrik sebenarnya jauh lebih mendalam, dan sejarahnya juga jauh lebih lama. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kain-kain Melayu - Pelbagai dalam mencerminkan kearifan orang Melayu

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Bila sebut sahaja tentang kain Melayu, yang selalu disebut ialah songket, batik ataupun pelikat. Namun, kepandaian orang Melayu dalam seni fabrik sebenarnya jauh lebih mendalam, dan sejarahnya juga jauh lebih lama.

Dalam artikel KOMENTAR ini, pengkaji dan sarjana dunia Melayu, Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama penanya Faisal Tehrani, mengupas keindahan luar biasa kain-kain Melayu bersulamkan nama-nama dan sejarahnya. Bagi peminat sejarah dan kain Melayu, artikel yang ditulisnya untuk BERITAMediacorp ini, pasti menikam kalbu:

Gambar hiasan. (Gambar: JIMIN LAI / AFP)

Gambar hiasan. (Gambar: JIMIN LAI / AFP)

SALAH sebuah novel saya yang cukup popular adalah Manikam Kalbu. Sedikit sebanyak muatannya adalah mengenai seni busana tradisional Melayu yang disampaikan menerusi dua zaman. Saya sering ditanyai, apakah yang menyebabkan saya ‘menenun’ novel mengenai fesyen dan juga pakaian Melayu lampau yang sebetulnya kurang saya mahiri?

Jawapan yang sesungguhnya, mungkin, kerana saya terpesona mengetahui hakikat, bahawa orang Melayu sudah mempunyai jenis kain yang pelbagai dan kerana aneka macamnya itu boleh dibuat bergaya di pelbagai keraian. Itu mendorong saya melakukan bermacam penyelidikan sampingan mengenai kain Melayu.

Dalam ruang artikel kali ini, saya akan menyorot beberapa jenis kain Melayu yang pernah dan masih anggun dan menawan kalau dibuat bergaya. Ada sejenis kain yang asasnya adalah satin, sutera atau kain bergerus yang dicantikkan. Cara kain itu dicantikkan ialah dengan dijahit tempelan logam tipis, manik, atau kadang-kala ditempel potong kaca pada permukaan, juntaian atau tepi selendangnya.

Kain yang telah diperindahkan ini disebut-sebut oleh orang Melayu dahulu kala sebagai ‘meribu emas di pinggang, meribu emas di kaki’. Oleh kerana kain ini setelah dihias kemudiannya tampak berkilau-milau, ia dinamakan sebagai kain antelas iaitu kain berkilau yang terhasil dari bahan logam berkilat.

Kain ini juga diberi nama kain masri kerana ungkapan ‘berlabuhlah tirai atlas masri’. Kain antelas ini kerana indahnya ia digunakan kerabat perempuan istana Melayu dari abad ke-15 sehingga ke-17.

KECEKAPAN ORANG MELAYU SEBAGAI SENIMAN

Salah satu lagi kain yang selalu muncul dalam teks-teks Melayu lama adalah Kain Kasa. Ia adalah sejenis kain yang putih nipis, jarang tenunannya dan kadangkala juga disebut Kain Perai, atau Kain Serasah. Hang Nadim dalam teks Sejarah Melayu ketika diperintahkan belayar ke negeri India untuk mendapatkan 40 jenis kain rasah telah turut menunjukkan kecekapan orang Melayu sebagai seniman.

Dalam hal ini Hang Nadim juga adalah pereka Melayu yang halus. Harus diingat jumlah satu rasah atau ‘se’rasah yang dipesan Sultan Mahmud itu terdiri atas 40 bagai. Tiap jenis kain tersebut pula terdiri atas 40 helai dengan 40 ragam rekaan bunganya. Ini bermakna jumlah serasah yang diminta adalah 1600 helai kain yang saling berbeza, atau kita kenal hari ini sebagai ‘limited editions’ (istilah Melayu untuk limited editions adalah ‘tempah sudah tukang dibunuh’).

Pelukis atau pereka di India akhirnya angkat tangan tanda berputus asa, dan mencabar kembali Hang Nadim menyediakan contohnya. Tanpa sedikit pun keluh, Hang Nadim menyediakan baki corak yang diperlukan untuk dikemukakan.

KELENGKAPAN ISTANA DAN WARISAN BUDAYA

Kain Kasa adalah kain kelengkapan istana. Kain ini dijadikan baju, sapu tangan, kain samping, selendang, kelambu, ikat kepala, alas peraduan, dan langsir yang kemudian diperindahkan dengan berbagai-bagai teknik seperti sulaman benang, dijahit benang emas, kelingkan, dicetak atau dicelup, bahkan diantelas.

Manakala di Kelantan dan Terengganu pula, Kain Limar menjadi warisan budaya yang boleh diperagakan. Kain Limar ini selalunya berwarna terang seperti warna kesumba, ungu, dan hijau. Ia berwarna ekoran lapis yang terhasil dari proses ikat celup. Terdapat semacam kesan warna perahan limau.

Gambar hiasan. (Gambar: JIMIN LAI / AFP)

Motif berayat (kaligrafi Islam) menjadikan Kain Limar mempunyai darjat khas dalam bentuk keupacaraan seperti hadiah hantaran, mandi bersuci, penutup jenazah, atau bengkung pinggang bagi golongan bangsawan khusus di Pantai Timur Semenanjung.

KAIN TENUN YANG SUKAR DIHASILKAN

Kain tenun Melayu yang lain adalah Kain Mastuli, sejenis kain yang ditenun kasar dan kuat. Terdapat nama-nama lain untuk Kain Mastuli seperti Kain Karat Kuping, Kain Karat Pat, atau Kain Buntut Siput.

Di Johor, dalam tahun 1930-an, Kain Mastuli ini mulai dijadikan kain samping labuh. Kain Mastuli ini sukar dihasilkan kerana tekniknya adalah menerusi tenunan twil dengan benang pakan direntaskan dengan benang loseng.

Ia mengambil masa untuk ditenun dan menggunakan serabut sutera lerai yang dipintal kembali untuk menampakkan benang sutera yang kasar itu. Hari ini, Rejimen Askar Melayu Diraja menggunakan Kain Mastuli sebagai kain samping, cumanya warna yang dikenakan tidak secerah Kain Mastuli yang asal.

KAIN UNTUK GOLONGAN AWAM

Selain dari jenis-jenis kain untuk orang istana dan kelas atasan itu, kain kaum murbawan atau kelas pekerja orang Melayu tidaklah pula buruk sama sekali. Meski digunakan untuk basahan, orang Melayu tetap berusaha melawa.

Gambar hiasan. (Gambar: JIMIN LAI / AFP)

Ambil sahaja Kain Batik Kedah yang dihasilkan dengan teknik cap stensil di mana ragam hiasnya diwarnai dengan kaedah cetak sutera saring. Bahan mentah kain ini adalah poplin putih atau kain cita yang serat benangnya timbul-timbul. Kain ini mempunyai petanya sendiri iaitu pada kain itu terdapat bahagian kepala, apit kepala, serta akhir sekali badan dan gigi kain.

Kain Batik Kedah ini biasanya dicirikan dengan warna tunggal dengan motif hias selalunya pucuk rebung berbunga di kepala kain itu, kemudian bunga suluran dan keluk S untuk apit kepala kain, dan di gigi kain dihias dengan rangkaian pohon bunga.

Kain Lepas juga dikaitkan dengan orang awam di mana ia juga disebut Kain Punca Cuai yang ragam hiasnya menggunakan teknik menenun. Di Johor, dalam tahun 1950-an, Kain Lepas ini dipakaikan dengan baju kurung kasa.

Selalunya Kain Lepas dibuat untuk menggendong bayi kecil, kain buaian, atau menutup jenazah yang baru meninggal dunia. Corak Kain Lepas boleh jadi burung garuda, rama-rama, atau di Indonesia yang paling masyhur adalah corak parang rosak.

MENCERMINKAN KREATIVITI DAN IMAGINASI TINGGI

Kain Pelangi yang ragam hiasnya dihasilkan dengan teknik ikat celup juga dikaitkan dengan orang biasa Melayu. Kain pelangi diikat berdasar corak yang dicitakan, ini bermakna kreativiti dan imaginasi tinggi pereka diperlukan di sini.

Bahagian yang diikat itu dibalut pula dengan serat seperti pelepah pisang kering, atau kulit pisang benggala bagi mengelakkan bahan pewarna meresap masuk.

Kain yang telah diikat kemas itu dicelup ke dalam bahan pewarna mengikut cita rasa dan apabila dibuka akan tampak berlapis-lapis seperti pelangi. Kain ini kerana asasnya adalah dari sutera creape lebih banyak dipakai orang perempuan dan dibuat selendang.

Gambar hiasan. (Gambar: JIMIN LAI / AFP)

Tentu sekali kain orang kebanyakan yang paling masyhur adalah Kain Pelikat yang turut digunakan oleh lelaki Melayu. Kain daripada benang kapas tenunan tabi ini seringnya diragam hias sebagai berpetak, berjalur atau bertapak catur.

SENI REKA YANG SUNGGUH MENYERLAH

Oleh kerana ia diperbuat dari kain kapas, semakin lama ia digunakan semakin ia lembut, dingin, dan selesa. Kain Pelikat dipercayai mulai dipakai secara meluas selepas kurun ke-15. Sebelum ia menjadi popular, orang Melayu lelaki memakai Kain Lepas yang ditenun daripada serat batang pisang, atau daun nanas.

Ternyata sekali seni reka atau desain orang Melayu pada kain sungguh menyerlah. Ia tidak terhad pada golongan berada atau atasan juga tetapi turut tampil secara ketara dalam kalangan orang biasa.

Kain-kain ini dipakai pada istiadat atau acara tertentu, dan yang dibuat basahan pula sangat sesuai dengan cuaca dan keperluan masyarakat Melayu tradisional pada waktu itu.

Makanya saat memikirkan dengan penuh longo dan keajaiban akan kearifan orang Melayu dalam hal kain pakai atau kain pasang ini, lebih 10 tahun lalu saya pun ‘menyulam’ novel saya yang hari ini dibaca sebagai Manikam Kalbu.

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan