Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jurang Kecermatan Digital - Biarlah lebih cermat dalam menilai antara berita sahih dan berita palsu

Sejak akhir-akhir ini, fenomena 'berita palsu' semakin menjadi-jadi. Penyebarannya yang dipacu oleh wadah dipanggil media sosial, memporak-perandakan kehidupan sebahagian keluarga, jika anggota keluarga mereka menjadi mangsanya. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Jurang Kecermatan Digital - Biarlah lebih cermat dalam menilai antara berita sahih dan berita palsu

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

BERITAMediacorp: Sejak akhir-akhir ini, fenomena 'berita palsu' semakin menjadi-jadi. Penyebarannya yang dipacu oleh wadah dipanggil media sosial, memporak-perandakan kehidupan sebahagian keluarga, jika anggota keluarga mereka menjadi mangsanya. Di pentas yang lebih besar, jika protagonis 'berita palsu' itu merupakan para pemain penting dalam gelanggang politik, kesannya akan lebih luas lagi, kerana jutaan orang menjadi taruhan dan khalayaknya.

Fenomena 'berita palsu' sebenarnya bukan baru. Ia sudah wujud ribuan tahun lamanya. Antaranya sebagai taktik peperangan, atau sekadar untuk menghuru-harakan sesuatu keadaan. Dalam ruangan KOMENTAR kali ini, pengamat sosial dan politik, Dr Norshahril Saat berkongsi pandangan beliau tentang gejala 'berita palsu' dalam konteks kontemporari. Artikel ini beliau tulis untuk BERITAMediacorp:

Gambar hiasan. (Gambar: Xabryna Kek)

BARU-BARU ini, Puan Susanna Liew, dari Malaysia, telah merayu kepada masyarakat agar tidak menyebarkan berita-berita palsu tentang kes penculikan suaminya, Paderi Raymond Koh. Ini kerana tempat beliau disembunyikan masih belum diketahui dan kes itu masih disiasat polis.

Banyak khabar-khabar angin disebarkan secara meluas kononnya Koh dibunuh dan mayatnya sudah dijumpai. Berita-berita tersebut disangkal oleh polis.

Hakikatnya, berita palsu sebegini mudah tersebar di alam maya hari ini, sehingga boleh menyukarkan siasatan polis untuk menangani kes-kes jenayah.

Cabaran meluasnya berita palsu dan sensasi ini juga menyusahkan wartawan dan ahli akademik untuk menemukan fakta dalam tugasan-tugasan mereka. Dalam masa yang sama, orang-orang awam pula akan mudah keliru dengan banyak sekali berita-berita bohong di ruang siber.

BERITA PALSU YANG DAHULU

Sebenarnya, berita palsu bukanlah satu fenomena yang baru. Duhulu ia berlegar dalam masyarakat dalam bentuk gosip, dan ini amat ketara dalam dunia hiburan dan politik. Kebanyakan gosip-gosip ini - atau khabar-khabar yang belum pasti kesahihannya - berunsur fitnah. Masalahnya, pada hari ini, gosip-gosip ini disebarkan dengan cepat dan terlalu mudah, sehingga ia boleh menjejas ketenteraman awam.

Gambar: REUTERS/Dado Ruvic

Jika dahulu gosip disebarkan melalui tabloid-tabloid atau surat-surat layang, kini ia disebarkan lewat wahana-wahana seperti Internet dan media sosial. Hal ini diburukkan lagi dengan pengguna menokok-tambah melalui komen-komen di media sosial seperti Facebook dan Twitter, apabila diskusi-diskusi ini menyukarkan pencarian maklumat yang sahih.

Kedua-dua penyebar maklumat dan pengguna media sosial bersalah dalam penyebaran berita palsu. Sudah tentu penyebar berita palsu berniat nakal. Mereka menaikkan berita-berita sensasi untuk mendapat perhatian umum, dan mengharapkan ramai pengikut.

Tidak dinafikan bahawa ada pula yang hanya berniat untuk berjenaka. Dalam masa yang sama, ada kalanya pengguna media sosial juga kurang cermat dalam menyebarkan maklumat tanpa usul periksa.

ANTARA JURANG DIGITAL DAN JURANG KECERMATAN

Dahulu, seringkali kita mendengar tentang bahaya jurang digital yang melanda masyarakat kita. Pemimpin-pemimpin Melayu kita khuatir jika masyarakat, terutama sekali yang kurang berpendidikan, tidak menguasai perkembangan teknologi seperti Internet dan alam siber, di mana mereka akan ditinggalkan oleh masyarakat arus utama (mainstream).

Seingat saya, penggunaan Internet secara meluas ini bermula pada akhir-akhir tahun 90-an, dan masyarakat kita masih belum dapat menguasai bidang-bidang seperti IT.

Dr Yaacob melihat buku teks digital terbaru di Madrasah Alsagoff. (Gambar: MUIS)

Kini masalahnya berbeza pula. Walaupun perubahan teknologi berlaku kian pesat sehingga alat-alat perhubungan pada zaman tersebut, seperti alat kelui, sudah menjadi lambang anakronisme, kedudukan kelas menengah Melayu juga berkembang. Masalah jurang digital sudah tidak timbul lagi kerana majoriti dalam masyarakat kita tahu menggunakan Internet dan media sosial dengan selesa, dan kebanyakan mereka memiliki telefon bijak atau peralatan-peralatan seperti tablet.

Tidak menghairankan jika nenek berusia 60-an tahun kini selesa menggunakan Skype dengan ahli keluarganya yang berada di rantauan. Masalah hari adalah bukan lagi berkisar kepada jurang digital, tetapi “jurang kecermatan” pengguna media sosial. Pengguna kurang teliti membezakan berita sahih daripada berita palsu, dan ini boleh memberi kesan buruk terhadap politik, perniagaan, atau agama.

IMAM MASJIDIL HARAM PUN JADI MANGSA BERITA PALSU

Penyebaran berita-berita palsu juga boleh menyebabkan kecelaruan dalam masyarakat dan sifat kurang hormat pada mangsa. Sebagai contoh, pada tahun lalu, timbul khabar angin bahawa Imam Besar Masjidil Haram (Saudi Arabia), Shaikh Abdurrahman as-Sudais, telah meninggal dunia. Berita ini menyebabkan keresahan pengikut-pengikut beliau.

Berita palsu tentang kematian beberapa artis di Malaysia juga menimbulkan banyak kekeliruan. Misalnya, pada tahun 2015, banyak khabar angin bahawa pelakon veteran Jins Shamsuddin dan pelawak Mr Os (Mohd Yusof Abdul Hamid) telah meninggal dunia. Khabar-khabar itu tidak benar: Jins Shamsudin baru sahaja meninggal dunia tahun ini, manakala Mr Os kembali ke rahmat Allah pada bulan April 2016.

Berita-berita palsu ini tentu sekali tidak sensitif kepada perasaan keluarga kedua-dua artis tersebut.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. (Gambar: Reuters/Shannon Stapleton)

Berita palsu lebih berbisa dalam arena politik. Misalnya, timbul istilah “fakta alternatif” yang menjadi buah mulut rakyat Amerika Syarikat sekarang. Ungkapan tersebut telah digunakan oleh penasihat Encik Donald Trump sebagai menyangkal laporan media tentang jumlah sebenar peserta yang menghadiri majlis angkat sumpah beliau Januari lalu. Hakikatnya, pihak Trump cuba mengatakan mereka yang hadir lebih ramai daripada angka yang dinyatakan pihak media.

Siapakah yang benar? Di manakah hala tuju masyarakat jika fakta sudah boleh diragui? Ini amat berbahaya kerana ahli politik sudah tidak memperjuangkan yang benar, sebaliknya mencari jalan untuk memutarbelitkan informasi demi kepentingan peribadi.

Berita palsu tidak semestinya berunsur pembohongan sahaja. Menukil sesuatu ucapan di luar konteks, atau menyembunyikan konteks sebenar sesuatu ungkapan dikeluarkan, juga boleh memberi kesan negatif.

Sebagai contoh, baru-baru ini, masyarakat Islam di Indonesia marah dengan Gubenur Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (atau Ahok), kerana didapati menukil ayat Al Quran. Ahok, seorang berbangsa Cina, menyelar beberapa golongan yang menghasut orang ramai supaya tidak mengundinya kerana beliau beragama Kristian.

Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama. (Gambar fail: BAY ISMOYO / AFP)

Ucapan penuhnya dipotong dan dinaikan di media sosial. Oleh kerana konteksnya telah berubah, ramai umat Islam yang menyangka beliau menghina Islam dan mendesak beliau dibicarakan atas tuduhan penistaan agama. Video ringkas itu membangkitkan kemarahan masyarakat Islam Indonesia, sehingga melakukan protes besar-besaran pada bulan November dan Disember tahun lalu.

Natijahnya, prestasi Ahok semasa pemilihan Gabenor Jakarta Februari lalu juga terjejas. Awalnya, beliau dijangkakan menang mudah, tetapi kini harus melalui pusingan kedua setelah gagal meraih 50 peratusan undi dan hanya menang tipis atas pencabar terdekatnya Anies Baswedan.

LUASKAN BACAAN, FAHAMI ISU SEMASA

Jelas, masalah terbesar berita palsu adalah apabila ia menyentuh isu-isu agama. Kita akur bahawa ada banyak perbezaan pandangan dalam agama kita, namun hal ini boleh dikeruhkan lagi dengan penyebaran berita-berita yang tidak sahih.

Dalam zaman berita palsu ini, masyarakat perlu berwaspada sebelum menerima sesuatu maklumat. Apabila kita mendengar satu berita daripada media sosial, adalah baik jika kita ada sifat sangsi atau ragu terhadap kesahihannya. Perlu wujud sifat bertanya tentang kesahihannya. Saya mengajak kembali masyarakat kita untuk meluaskan pembacaan kita dalam pelbagai ilmu, dan faham tentang isu-isu semasa, agar tidak mudah terpedaya.

Dalam hal ini, saya fikir adalah penting untuk terus membaca atau menonton media-media tradisional seperti berita di televisyen dan suratkhabar. Ini kerana media-media ini mengamal editorial yang ketat dan bertanggung-jawab.

Jika media ini membuat kesilapan, sudah menjadi sebahagian daripada etika mereka untuk menyiarkan ralat. Ini memastikan informasi yang dinyatakan di media tradisional lebih bermutu.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

MENGENAI PENULIS:

Penulis adalah Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak. Beliau seorang pemerhati sosial dan pakar dalam politik Singapura, Malaysia dan Indonesia. Dr Norshahril Saat mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan Kajian Antarabangsa, Politik dan Strategik dari Universiti Kebangsaan Australia (ANU). Beliau juga lulusan Sarjana dari Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura dan merupakan penerima Biasiswa Possiswazah MUIS.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan