Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jumlah kes bukan ukuran muktamad; yang penting bagaimana ia ditangani

Perangkaan mutlak jumlah kes setiap hari memanglah tinggi dan membimbangkan. Tetapi ia tidak memberikan gambaran lengkap tentang bagaimana S’pura sedang menangani pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Perangkaan mutlak jumlah kes setiap hari memanglah tinggi dan membimbangkan. Tetapi ia tidak memberikan gambaran lengkap tentang bagaimana S’pura sedang menangani pandemik COVID-19.

Dalam masa yang singkat, lebih kurang empat bulan, Singapura telah menempuh berbagai cabaran disebabkan penularan COVID-19.

Dan kini dalam masa beberapa minggu sahaja jumlah kes jangkitan melonjak kepada puluhan ribu dan dijangka boleh mencecah sehingga 30 hingga 40 ribu kes tidak lama lagi.

Keputusan untuk melaksanakan peraturan pemutus rantaian jangkitan atau Circuit Breaker adalah satu langkah yang dipertimbangkan dengan penuh teliti dan ia terpaksa dilaksanakan apabila bilangan jangkitan semakin bertambah buruk.

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Pada awalnya penularan virus COVID-19 ini didapati hanya pada pesakit simptomatik. Kemudian penemuan oleh masyarakat penyelidik telah menunjukkan adanya bukti saintifik di mana penularan virus ini juga boleh berlaku melalui pesakit tanpa simptom.

Disebabkan pengetahuan baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengemas kini nasihat awam tentang pemakaian pelitup dan menekankan lagi pentingnya mematuhi jarak selamat di antara satu sama lain.

Walaupun jumlah kes terus meningkat, sebahagian besarnya disebabkan oleh penularan di kalangan para pekerja asing – kadar kesembuhan juga meningkat, sementara kadar kematian pula berada pada paras yang rendah.

Malah pada kadar 0.1%, kadar kematian di kalangan para pesakit COVID di Singapura adalah yang terendah dibandingkan dengan negara-negara lain.

Di kalangan pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital pula, hanya sekitar 1,608 pesakit sahaja kini diberi rawatan hospital dengan hanya 22 orang dalam rawatan intensif.

REAKSI ORANG RAMAI

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perangkaan yang dikeluarkan setiap hari memberikan gambaran yang membimbangkan.

Reaksi orang ramai terhadap maklumat berkenaan juga menunjukkan pelbagai tanda tanya termasuk mempersoalkan mengapa dengan angka yang sebegini besar status DORSCON masih tidak beralih dari jingga ke merah.

Ramai juga yang ingin tahu apakah sebabnya ujian-ujian penularan tidak dijalankan ke atas setiap penduduk Singapura. Dan bilakah pemerintah akan mengenakan penutupan dan penyekatan yang menyeluruh memandangkan kes-kes baru meningkat dengan mendadak.

Jika kita perhatikan, perangkaan kes penularan COVID-19 sering dilaporkan dengan angka-angka mutlak.

Maklumat perangkaan yang diberikan setiap hari malangnya tidak memberikan gambaran lengkap untuk kita memahami keadaan di sini dengan sepenuhnya.

Ini adalah kerana ia tidak menyentuh dan memaparkan beberapa perkara penting lain untuk dibuat perbandingan, misalnya isu kepadatan penduduk.

Kadar jangkitan yang dilaporkan berdasarkan kepadatan penduduk akan memberi kita gambaran sama ada situasi secara am di sini masih terkawal atau ia sudah meningkat dari tahap penyebaran ke tahap wabak.

KEUPAYAAN JAGAAN KESIHATAN

Di antara perkara utama yang jarang sekali disebut dalam sebarang laporan perangkaan penularan virus ini ialah kapasiti penjagaan kesihatan.

Pengurusan sumber ini menandakan tahap kemampuan dan keupayaan sesebuah negara mengatasi krisis kesihatan dengan memberi rawatan yang lengkap kepada mereka yang terjangkit.

(Gambar: TODAY)

Mujur Singapura tidak menghadapi kegawatan peralatan perubatan seperti kit ujian, alat bantuan pernafasan, alat perlindungan peribadi (PPE) dan sebagainya; atau juga masalah kesesakan rumah sakit.

Dengan nisbah doktor dan jumlah penduduk yang sihat (iaitu 1:444), ia bererti setiap doktor dengan kumpulan perubatannya tidak terbeban untuk merawat pesakit yang terjangkit.

Keupayaan jagaan kesihatan termasuk faktor utama yang menentukan tahap amaran DORSCON.

KELOMPOK JANGKITAN

Setiap jangkitan berlaku dalam kelompok yang tersendiri dan setiap kelompok mempunyai ciri yang berbeza.

Memahami ciri-ciri gugusan di mana sesuatu jangkitan berlaku akan menentukan tindakan selanjutnya untuk mengekang penularan wabak ini.

Sebagai contoh, sebahagian besar jangkitan COVID-19 di sini dikesan di dormitori pekerja asing. Oleh kerana sekitaran dormitori adalah kawasan terkawal, ini membolehkan pihak berkuasa menghadkan sebarang pendedahan kepada masyarakat umum.

Pegawai perubatan di dalam kawasan sebuah kilang yang ditukarkan menjadi dormitori di 31 Sungei Kadut Avenue. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Justeru itu, walaupun jumlah mereka yang dijangkiti telah meningkat berlipat ganda, sebenarnya situasi adalah masih terkawal.

Buktinya adalah jika diambil kira purata jangkitan di kalangan masyarakat umumnya, purata jangkitan setiap hari telah turun kepada 11 berbanding dengan purata 21 kes minggu lalu.

Langkah-langkah menangani penyebaran virus berbeza dengan menentang wabak. Pengetahuan mendalam ini telah membantu pemerintah mengatur langkah yang berkesan dengan melaksanakan usaha-usaha yang sewajarnya.

Ini menjelaskan keputusan pemerintah untuk menjalankan setiap ujian penularan secara disasarkan dan bukan satu tindakan yang rawak, seolah-olah menembak dengan senjata penembak tepat dan bukan senapang patah.

LANGKAH TEPAT

Mengenakan langkah tepat berdasarkan bukti-bukti saintifik dan perancangan yang terperinci amat penting dari segi pengurusan berbagai sumber, memberi rawatan yang relevan dan juga bagi mengatur langkah selanjutnya.

Malangnya, seperti virus-virus lain, COVID-19 telah menjadi satu ketetapan dan tidak mungkin akan terhapus dengan begitu sahaja.

Selagi vaksin belum diketemui, setiap individu mesti berkelakuan seolah-olah dia telah dijangkiti virus korona walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

Berpandukan pada prinsip ini, setiap kita perlulah bertindak dengan bertanggungjawab dengan mengamalkan semua langkah keselamatan, termasuk mematuhi jarak selamat, mengamalkan kebersihan dan menggunakan pelitup apabila keluar rumah.

Usaha ini perlu untuk memastikan agar kita tidak menyebarkan virus korona kepada mereka yang berdekatan.

Dengan bertindak sedemikian di samping mematuhi semua peraturan pemutus rantaian jangkitan yang lain, adalah diharapkan kes penularan jangkitan di kalangan masyarakat akan terus dapat dibendung.

MENGENAI PENULIS:

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.   

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan