KOMENTAR: Jika 2021 juga dipenuhi dengan ketidaktentuan, bagaimana untuk harunginya dengan jaya
Persiapkan diri jika 2021 bakal dipenuhi dengan ketidakpastian. Apakah langkah kritikal yang boleh diambil untuk kita hadapinya dengan jaya?
(Gambar hiasan: Pixabay/sarajulhaq786)
BERITAmediacorp: Persiapkan diri jika 2021 bakal dipenuhi dengan ketidakpastian. Apakah langkah kritikal yang boleh diambil untuk kita hadapinya dengan jaya?
Tahun 2020 merupakan tempoh yang tersangat mencabar di merata dunia. Apa yang dari awalnya disangkakan dapat ditangani dalam beberapa bulan telah terbukti memerlukan jangka masa yang lebih lama.
Pandemik COVID-19 telah menjejas setiap aspek kehidupan kita dan juga telah menguji ketangkasan sistem kesihatan, ketahanan ekonomi dan rakyat dan kelenturan sistem pendidikan kita.
Bergerak ke hadapan, kita akan memasuki tahun 2021 dengan penuh ketidaktentuan. Rancangan yang seringnya kita atur pada penghujung tahun bagi tahun yang akan datang kali ini amat berlainan dengan apa yang kita kenali.
Yang penting sekali bagi kita untuk berkembang maju menjalani liku-liku kehidupan pasca wabak adalah dengan menguatkan semangat untuk bangkit semula.
Ia adalah semangat yang didahului dengan sikap tidak mengaku kalah dan minda membangun, atau lebih dikenali dengan istilah Inggeris “growth mindset”.
Ketidakpastian yang kita terpaksa tempuhi akan menggugat keyakinan diri dan mengakibatkan (menimbulkan) tekanan yang tidak terhingga.
Namun sebenarnya kita masih mempunyai pilihan untuk bertindak dan berkemampuan mengatur langkah dalam menangani cabaran-cabaran yang terbentang sedia di hadapan kita.
Inilah masanya kita harus rebut peluang memulakan gaya hidup baru, memperbaiki silap langkah kita yang telah lalu, merombak semula proses pemikiran, mengamalkan refleksi secara proaktif, untuk pulang ke pangkal jalan.
MENYEMAK SEMULA
Langkah kritikal bagi kita untuk berjaya menghadapi ketidakpastian adalah dengan menyemak semula dan mempersoalkan pandangan kita terhadap beberapa perkara asas – termasuk pandangan kita terhadap konsep kejayaan dan kegagalan.
Majoriti individu yang dibesarkan di sini menganggap bahawa kegagalan dalam sesuatu perkara atau usaha adalah satu kejadian yang amat memalukan.
Setiap kegagalan sering meninggalkan kesan yang melumpuhkan dan telah banyak mematahkan semangat hingga mengakibatkan kemajuan seseorang itu terbantut dan menghalangnya daripada membuat percubaan berulang untuk berjaya.
Amat mengecewakan sekali kerana sikap negatif ini telah menjejas setiap lapisan masyarakat. Malah lebih menyedihkan adalah kerana ia bermula dari bangku prasekolah dan terbawa-bawa hingga ke dewasa.
PERLU DIUBAH
Tentu sekali pandangan kita terhadap kejayaan dan kegagalan perlu diubah.
Hikmah yang terbesar sekali dari setiap kegagalan adalah pelajaran yang dapat diraih.
Proses yang memilukan ini perlu kita terima dengan hati terbuka dan dijadikan pedoman dalam kita menyusun semula strategi kita untuk bergerak ke hadapan.
Bekas bintang NBA, Michael Jordan semasa satu sidang media pada 24 Jan 2020 (Anne-Christine POUJOULAT/AFP)
Seperti yang dikatakan oleh legenda bola keranjang Michael Jordan: “I’ve missed more than 9,000 shots in my career. I’ve lost almost 300 games. Twenty-six times I’ve been trusted to take the game winning shot and missed. I’ve failed over and over and over again in my life. And that is why I succeed.”
KEPERLUAN ATAU KEHENDAK
Sekilas pandang, sesuatu perkara atau benda dianggap keperluan tetapi apabila kita renung kembali ternyata ia adalah suatu kemahuan atau kehendak sahaja.
Kekeliruan ini bukan hanya dialami oleh kanak-kanak malah oleh golongan dewasa juga. Ini adalah kerana penilaian kita untuk menentukan sama ada sesuatu itu satu ‘keperluan atau kemahuan’ sahaja, jarang dilaksanakan berdasarkan pertimbangan yang objektif.
Sebenarnya ia lebih berdasarkan kepada pemikiran yang dipengaruhi emosi.
Pemahaman yang jelas terhadap perbezaan antara keperluan dan kehendak amat penting. Ia akan membolehkan kita memaksimumkan sumber-sumber yang ada pada kita dan mencegah pembaziran.
Kejelasan ini juga akan menjadi pedoman kita dalam menentukan keutamaan seharian dan juga keutamaan untuk jangka panjang.
SENARAIKAN KRITERIA
Cara yang termudah untuk mengkategorikan semula keperluan dan keinginan adalah dengan menyenaraikan kriteria masing-masing dan disusun berdasarkan kepentingan dalam kategorinya.
Langkah ini hanya akan berhasil jika senarai kriteria yang diturunkan dalam kategori masing-masing dicatat secara bertulis.
Kesan visual apa yang ditulis akan mendorong kita untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.
Bagi menentukan kriteria bagi sesuatu yang merupakan ‘keperluan’, sebaik mungkin elakkan jenama. Sebaliknya, tentukan setiap kriteria yang dicatat memenuhi apa yang asas sahaja dan ketiadaannya akan menjejas teruk mutu kehidupan dan aktiviti seharian.
Dalam menentukan kayu ukur bagi ‘kehendak’ pula, soalan paling muktamad yang perlu ditanyakan adalah ‘bolehkah perkara atau benda yang diingini itu diperolehi pada lain masa?’
PANDANGAN TERHADAP KEWANGAN
Penularan COVID-19 telah menjejas mata pencarian kebanyakan keluarga dan dengan secara jelas telah membuktikan pentingnya mempunyai sistem kewangan yang kukuh lagi mantap di peringkat negara, korporat, rumah tangga dan individu.
Kepercayaan silam (atau prapandemik) yang menganjurkan kita mempunyai rizab berjumlah tiga hingga enam bulan buat prabelanjaan asas, sudah menjadi satu amalan yang kurang tepat.
Gambar hiasan seorang pengguna keluarkan wang dolar Singapura dari mesin ATM (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Ia perlu disemak kembali agar tidak menimbulkan kerumitan jangka panjang.
Disebabkan pentingnya komponen kewangan dalam memastikan kita boleh berjaya menghadapi ketidakpastian, kita perlu mengubah suai pendirian kita terhadap kewangan.
Satu-satunya langkah wajib adalah mengamalkan ‘pemikiran pertumbuhan’ dan sikap positif supaya kita tidak menghadkan peluang untuk mempelajari dan mengembangkan kedudukan kewangan kita.
Soal bijak menggunakan pinjaman, pengurusan ketat aliran tunai (atau cash flow), sistem simpanan yang berkesan, rizab tahap kemampuan bertahan antara satu hingga dua tahun dan juga portfolio pelaburan yang mantap akan menjadi penentu bagi kestabilan kehidupan masing-masing.
KEIBUBAPAAN AKTIF
Bagi kita yang mempunyai keluarga, penyesuaian seorang anak pasca pandemik dengan keadaan baru memerlukan sokongan ibu bapa.
Cabaran yang mereka hadapi berpindah dari bilik darjah ke ruang dalam talian atau online adalah satu penyesuaian yang besar dan ada yang masih belum dapat biasakan diri dengan perubahan ini.
Jika pada masa lalu kita tidak begitu aktif dengan tugas keibubapaan, inilah peluang keemasan yang tersedia untuk kita mulakan keibubapaan yang aktif.
Usaha ini penting kerana selaku orang tua, kehadiran dan penglibatan kita dalam kehidupan anak kita terutama sekali pada masa yang begitu mencabar, amat diperlukan.
Sikap toleransi dan kesabaran terhadap anak kita pada masa pergelutan ini akan merapatkan kita dengan mereka.
KESIHATAN MENTAL
Dasar pemutus rantaian jangkitan yang tegas yang dikenakan di sini bagi usaha membanteras penularan COVID-19 telah dengan secara tidak langsung mengakibatkan gaya hidup tidak aktif.
(Gambar hiasan: Mediacorp)
Malangnya, dengan pelaksanaan ‘perintah berkurung’ ini juga telah membuat kehidupan seharian semakin mencabar.
Penting untuk kita semua sering berinteraksi dengan keluarga tersayang dan sahabat handai untuk memastikan agar kita tidak terjerumus ke dalam keadaan kemurungan. Ini amat penting sekali kerana kemurungan menjejas kesihatan mental.
PEKERJAAN DAN KERJAYA
Ekoran langkah-langkah ‘penutupan ekonomi’ yang berpanjangan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19, turut menjejas bukan sahaja pekerjaan, tapi juga jenis pekerjaan.
Tetapi seperti kata pepatah Melayu “Patah tumbuh hilang berganti” kehilangan beberapa jenis pekerjaan telah disaingi dengan penciptaan beberapa jenis pekerjaan baru.
Dengan adanya pekerjaan-pekerjaan baru ini, golongan yang hilang pekerjaan sekarang mempunyai peluang baru untuk menukar bidang kerjaya setelah menjalani latihan ubah kemahiran.
Ia dapat dilakukan menerusi kursus-kursus latihan yang disediakan di pusat-pusat latihan bertauliah dan juga di syarikat-syarikat yang menyertai program perantisan yang disokong Pemerintah.
Apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang kehilangan pekerjaan adalah untuk meyakinkan diri dan dengan hati terbuka sedia mencuba jurusan baru bagi membina semula kerjaya mereka.
Seperti yang diterangkan dalam buku “Who moved my cheese?” oleh Spencer Johnson, dalam hidup ini perubahan sering berlaku, justeru itu kita perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan untuk terus berkembang maju.
Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads For Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.