Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jawi kekal relevan sebagai penyampai ilmu, penjana modal insan

Sungguhpun aksara Jawi dikatakan kurang praktikal berbanding tulisan rumi, hakikatnya Jawi masih relevan dan berguna untuk mendalami pemikiran dan keagamaan yang mencorak Dunia Melayu hingga ke hari ini. Ini selain daya tarikannya sebagai seni halus dan penjana modal insan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sungguhpun aksara Jawi dikatakan kurang praktikal berbanding tulisan rumi, hakikatnya Jawi masih relevan dan berguna untuk mendalami pemikiran dan keagamaan yang mencorak Dunia Melayu hingga ke hari ini. Ini selain daya tarikannya sebagai seni halus dan penjana modal insan.

Sejak sistem penulisan Jawi dirumikan secara rasmi pada tahun 1960-an, pelbagai inisiatif dijalankan bagi menghidupkan kembali kegemilangan tulisan Jawi.

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah. (Gambar-gambar: Madrasah Alsagoff Al-Arabiah)

Bagi memastikan Jawi relevan dengan tuntutan sukatan pembelajaran yang lebih ketat, sekumpulan asatizah di Madrasah Alsagoff mengadunkan strategi untuk memperluaskan subjek Jawi. Huraiannya: menggunakan iPad dan iBook yang dicipta sendiri.

Dua pelajar Madrasah Al-Sagoff ini antara 26 murid darjah enam yang melakar buku elektronik bagi murid rendah. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Pengetua sekolah, Syed Mustafa Syed Ja’afar Alsagoff, yang turut terlibat dalam usaha itu, mengimbas kembali mesyuarat guru yang membicarakan soal masa hadapan penulisan Jawi.

Menurut Ustaz Mustafa, tujuan madrasahnya mengekalkan Jawi bukanlah hanya kerana tradisi semata-mata. Ikhtiar mereka itu supaya generasi akan datang menyedari nilai penulisan Jawi kepada masyarakat Melayu.

PENYAMBUNG WARISAN, PENERAJU PEMBANGUNAN

Ustaz Mustafa dan salah seorang guru, Ustazah Saripah Saripi bersependapat bahawa gabungan bahasa Arab dan Melayu dapat membantu memudahkan proses pembelajaran tulisan Jawi. Dengan menekankan pada huruf-huruf yang tidak wujud dalam bahasa Arab seperti “ݢ “ (ga),” ڤ ” (pa), “ ڽ ” (nya) pada peringkat awal, proses mengajar dapat dipermudahkan.

Air yang berandang tenang tidak bermaksud tiada pasang surutnya. Tidak semestinya mengekalkan Jawi itu mudah. Buku-buku teks Jawi yang sesuai jarang ditemui. Para pelajar juga mungkin tidak berminat menulis Jawi?

Fon Jawi yang unik biasanya tidak disokong oleh aplikasi Apple. Madrasah Alsagoff mengambil jalan keluar dengan menghasilkan buku mereka yang tersendiri dalam bentuk iBook.

Cabaran tersebut bagaimanapun tidak melemahkan semangat dan ikhtiar para pendidik bahkan mereka gigih berusaha untuk terus memperbaikinya.

PENYAMBUNG WARISAN, PEMBANGUN WACANA

Memorandum ASAS 50 yang diterbitkan pada 27 Mac 1954 mengusulkan huruf Latin atau Rumi sebagai yang paling praktikal untuk memajukan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Manuskrip Jawi yang digali dari zaman berabad dan teks-teks kesultanan seperti Sulalatus Salatin seawal abad ke-15 atau 16 terus kekal sebagai contoh karya-karya klasik. Bustan Arifin dan Majalah Qalam pula adalah wadah yang disediakan untuk masyarakat Melayu pada tahun 1950-an. Rantau ini juga sarat dengan hasil kitab-kitab keagamaan bertulisan Jawi.

Ustaz Mustafa turut menarik perhatian penulisan ulama-ulama Fatani yang digelar ‘buku kuning’ masih lagi dalam penulisan Jawi dan maka itu harus ada usaha untuk mempelajarinya.

Antara mereka yang giat menghidupkan semula Jawi ialah Dr Hirman Mohamed Khamis, bersama dengan Cikgu Supki Hj Sidik, Encik Raman Daud dan Cikgu Sazali yang berkecimpung dalam Perikatan Tulisan Jawi Singapura (PTJS), Jawi Writing Alliance Singapore, satu-satunya badan tulisan Jawi yang mempunyai status ROS (Registry of Society) di Singapura yang giat mengembangkan tulisan Jawi. Gabungan semua penggiat amatlah digalakkan terutamanya di madrasah-madrasah.

Bagi mereka, gerakan minat terhadap warisan bangsanya serta keterkaitan agama dan identiti menjadi perangsang untuk meneruskan perjuangan. Menurut Dr Hirman, mengenal Jawi adalah langkah pertama untuk mendalami Dunia Melayu.

Dalam menceritakan pengalamannya, Dr Hirman menunjukkan carta respons yang positif dalam kalangan pelajar yang mempelajari Jawi di Madrasah Alsagoff dan Andalus.

Selayan pandang, ramalan terhadap kemampuan Jawi itu mungkin tidak dapat dijangkakan. Dalam dunia pendidikan dan pengajian, Jawi masih mempunyai nilai yang tidak boleh ditukar ganti.

Bahkan bagi Ustaz Mustafa, pengajian Jawi boleh dikembangkan ke peringkat lebih tinggi untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah penulisan dan penggunaan Jawi di nusantara ini.

PENYAMBUNG WARISAN, PEJUANG SENI

Keunikan dan kehalusan membentuk huruf-huruf Jawi tidak menjadi perhatian utama Madrasah Alsagoff dan Andalus. Sebaliknya, desakan untuk memikirkan tentang strategi penakatan lebih memainkan peranan.

Sungguhpun demikian, aksara Jawi tidak terpisah daripada budaya kesenian yang semakin mendapat tempat pada zaman ini.

Ustazah Nur Fathiah A’bdussamad, 28 tahun, seorang guru Khat Bahasa Arab membimbing anak didiknya, Nur Afiqah Agus, pengasas Projek Khat pada tahun 2014 di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Afiqah terharu dengan sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai sejak Projek Khat diadakan. Menurutnya, khat bahasa Arab mampu menarik perhatian orang ramai.

Sama ada berbentuk thuluth, naskhi ataupun dalam bentuk yang lain, Fadzillah A Rahim berpendapat bahawa seni khat memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu mengadunkan pelbagai gaya khat yang diwarisi daripada tamadun besar Dunia Islam. Itulah keistimewaan khat Melayu.

Tarikan visual tulisan Jawi memang tidak boleh dinafikan kerana ia berupaya menarik perhatian orang ramai dan ini dapat dilihat melalui sejarah dan perkembangan tulisan khat. Demikian juga pendirian Ustaz Mustafa yang menganggap minat terhadap kesenian khat sebagai satu perkembangan yang sangat baik.

PENYAMBUNG WARISAN, PEMBENTUK INSAN

Selain Afiqah Agus, Faizal Somadi, pengasas Faddho, sebuah syarikat yang menyediakan khidmat seni bentuk grafik dan pengajian seni khat Arab, berasa kecewa melihat sesetengah anggota masyarakat masih belum lagi menghargai perkembangan seni khat.

Walaupun Faizal tidak terlibat dalam pengajian Jawi, beliau adalah seseorang yang pakar dalam penulisan khat. Komitmennya terhadap seni itu telah merangsangnya untuk mendalami bidang khat Arab dari tahun 2002 hingga sekarang. Namun khat bukan setakat penulisan yang cantik baginya.

(Gambar: BERNAMA)

Bagi seseorang seperti Faizal, ilmu dan kemahiran yang ditimbanya tidak seharusnya tertakluk kepada kemahiran menulis dengan cantik saja, tetapi juga menulisnya untuk memperhalusi apa yang terkandung dalam mindanya. Penulisannya itu membangunkan intelek kewartawanan.

Penulisan Jawi menyatukan dua insan yang terlibat dalam bidang itu. Seorang guru dan muridnya. Seorang tokoh dan pengikutnya. Begitulah hubungan Ustazah Saripah bersama dengan anak didiknya, Afiqah Agus dan serupa dengan Faizal bersama gurunya.

Menurut Faizal, peradaban serta budaya dalam hubungan antara seorang murid dengan gurunya harus dikekalkan.

Ustazah Saripah akur bahawa mengajar Jawi adalah satu proses yang perlu diteruskan dan diberikan perhatian yang sewajarnya.

Dari pelbagai usaha untuk melestarikan Jawi kepada kecenderungan minat terhadap seni khat, masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri tentang kesan Jawi terhadap identiti diri.

“Jawi adalah lambang agama dalam masyarakat Melayu, kalau tidak ada, kita akan hilang identiti Melayu/Islam," nasihat Ustaz Mustafa.

MENGENAI PENULIS:

Radhiah Ramli adalah lulusan Pengajian Melayu dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan