Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Janji pemimpin 4G – teruskan perjuangan wujudkan masa depan lebih cerah untuk semua rakyat S’pura

Dalam ucapannya sempena Hari Buruh baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menggariskan tiga strategi untuk Singapura mengorak langkah dari sekarang untuk membuat perubahan besar sebagai persiapan bagi masa akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Janji pemimpin 4G – teruskan perjuangan wujudkan masa depan lebih cerah untuk semua rakyat S’pura

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 May 2019 05:06PM Dikemas Kini : 06 May 2019 10:12AM

BERITAmediacorp: Dalam ucapannya sempena Hari Buruh baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menggariskan tiga strategi untuk Singapura mengorak langkah dari sekarang untuk membuat perubahan besar sebagai persiapan bagi masa akan datang.

Apakah strategi-strategi tersebut? Berikut petikan ucapannya semasa Rapat Hari Buruh di D’Marquee pada 1 Mei lalu.

Seperti mana NTUC mendakapi modernisasi 50 tahun lalu, kita juga mesti mengorak langkah melakukan satu lagi perubahan besar. Malah, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng dan pasukannya sudahpun memulakannya.

Untuk kita meneruskan apa yang mereka mulakan, saya menyarankan tiga strategi berikut sedang kita melakukan transformasi untuk melangkah ke masa hadapan.

Pertama, kita perlu menjadi ejen yang aktif dalam melakukan perubahan ekonomi kita; kedua, mempersiap tenaga kerja kita bagi pekerjaan-pekerjaan masa akan datang menerusi pembelajaran sepanjang hayat; dan ketiga, memastikan pertumbuhan inklusif.

STRATEGI 1: MERUBAH EKONOMI KITA

Demi mewujudkan kehidupan yang lebih baik untuk para pekerja kita, kita perlu mengubah ekonomi kita. Kerjasama perikatan tiga pihak yang kita amalkan adalah aset utama dalam usaha ini.

Sejak tahun 2016, kita melancarkan Perancangan Perubahan Industri (ITM), yang meliputi kira-kira 80 peratus ekonomi Singapura.

ITM menetapkan strategi-strategi jelas untuk memacu inovasi, menggalak syarikat untuk melebarkan sayap ke luar negara, mempertingkat daya penghasilan serta menajamkan kemahiran-kemahiran para pekerja kita dalam setiap industri.

Kini, kita dapat melihat sendiri kejayaannya. Semalam (30 Apr), saya melancarkan buku Pemimpin Transformasi The Business Times di majlis Anugerah Enterprise 50. Syarikat-syarikat yang ditonjolkan menjadi contoh erti peneraju perubahan. Semuanya berusaha untuk mempertingkat kemahiran para pekerja mereka.

Saya yakin, kita akan berjaya disebabkan adanya kerjasama kukuh perikatan tiga pihak dalam semua industri ITM.

EJEN PACU PERUBAHAN

Gambar fail seorang pekerja di loji pengilangan industri aeroangkasa di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Kesatuan-kesatuan, khususnya, memainkan peranan penting. NTUC meletakkan kesatuannya sebagai sebuah ejen aktif bagi memacu perubahan, membantu menyampaikan perubahan-perubahan itu, mendapatkan sokongan serta mendorong para pekerja untuk sama-sama berganding bahu.

Gerakan Buruh sedang menggalak pembangunan kemahiran. Saya gembira Encik Ng Chee Meng akan memulakan langkah besar menubuhkan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC).

Gerakan Buruh akan ditempatkan di syarikat-syarikat untuk membantu para pekerja dan majikan.

Ini memerlukan latihan menjangkaui strategi-strategi negara yang luas ke peringkat syarikat. Jadi, mengapa Encik Ng melakukan sedemikian?

Kerana seringkali, para pekerja dan syarikat-syarikat mungkin kurang jelas tentang latihan-latihan kemahiran yang diperlukan.

Kesatuan-kesatuan boleh mengamalkan pengetahuan mendalam mereka mengenai tempat kerja dan kilang untuk mengenal pasti kursus-kursus yang betul, menyesuaikan latihan dan membantu pekerja mereka membangunkan kemahiran-kemahiran relevan bagi satu-satu pekerjaan.

Hubungan antara syarikat dengan pekerja lazimnya saling mengukuhkan - syarikat-syarikat yang lebih berdaya saing akan menyediakan pekerjaan serta gaji yang lebih baik untuk pekerja mereka; dan para pekerja yang berkemahiran tinggi membentuk syarikat yang kukuh, lebih berdaya hasil dan juga lebih berdaya saing. Kesatuan-kesatuan berada dalam kedudukan yang baik untuk memperkukuh kedua-duanya.

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Encik Ng Chee Meng berkata NTUC akan menubuhkan 1,000 CTC dalam tempoh tiga tahun mendatang, untuk dimanfaatkan sekitar 3,000 pekerja. Pembelajaran sepanjang hayat dan pengalaman menimba kemahiran baru akan diberi makna baru.

Skim berpandangan jauh ini akan menjadi titik tolak perubahan.

CTC mencerminkan bagaimana Gerakan Buruh kita yang “luar biasa” ini sudah banyak berubah sepanjang tahun-tahun lalu.

Semangat mendakap kemodenan ini merangsang kesatuan-kesatuan untuk memperkukuh kerjasama mereka dengan para majikan. Ini bagi memastikan latihan dan usaha menajamkan kemahiran-kemahiran secara langsung memberi manfaat kepada para pekerja.

Di tempat-tempat lain, sektor swasta dan pemerintah diharap untuk memulakan inisiatif.

Di Singapura, ia diterajui kesatuan dan para pekerja sendiri! Ini keupayaan luar biasa Gerakan Buruh kita - iaitu untuk sama-sama menjadi ejen bagi perubahan ekonomi dan sosial. Ini sesuatu yang perlu kita teruskan.

STRATEGI 2: PERSIAP BAGI PEKERJAAN MASA HADAPAN

NTUC mengiktiraf bahawa akan ada industri-industri dan pekerjaan baru pada masa akan datang. Maka, ia sedang mempersiap tenaga kerja kita bagi pekerjaan-pekerjaan ini.

Saya menghadiri Forum Ekonomi Sedunia di Davos pada bulan Januari lalu, Salah satu laporan mereka menganggarkan bahawa teknologi-teknologi canggih akan menyebabkan hilangnya sebanyak 75 juta pekerjaan di seluruh dunia menjelang tahun 2022. Tahun 2022 hanya tiga tahun dari sekarang.

Dalam pada itu, sehingga 133 juta pekerjaan baru - iaitu hampir seganda daripada pekerjaan yang mungkin hilang - mungkin juga wujud disebabkan teknologi-teknologi yang sama.

Jadi, apa maknanya untuk kita? Ini bermakna terdapat banyak peluang-peluang baru untuk kita semua dan kita mesti bersedia untuk merebutnya. Oleh itu, pembangunan kemahiran adalah perkara utama.

Saya mengumumkan dalam Belanjawan tahun ini bahawa Pemerintah akan membelanjakan S$3.6 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membantu pekerja kita maju di tengah-tengah perubahan ekonomi.

Usaha-usaha seperti SkillsFuture dan Program Penukaran Profesional (PCP) sudah membantu para pekerja kita di tengah-tengah perubahan ekonomi.

Kita tidak dapat melindungi pekerjaan-pekerjaan yang tidak diperlukan lagi. Namun kita boleh dan akan melindungi para pekerja kita - setiap lelaki dan wanita yang bekerja. Encik Ng Chee Meng dan rakan-rakan kerjanya sedang memikirkan langkah seterusnya dan bagaimana kita boleh melakukannya dengan lebih baik.

STRATEGI 3: MENGEJAR PERTUMBUHAN INKLUSIF

(Gambar fail: Reuters)

Seperti yang saya sebut sebelum ini, globalisasi kini dipersoalkan. Ramai orang di negara-negara maju berasa kecewa. Gaji mereka tidak naik, sistem politik mereka pincang dan kehidupan mereka tidak bertambah baik.

Kita tidak dapat menjamin bahawa perkara yang sama tidak akan berlaku di sini. Namun kita boleh dan mesti mencuba untuk mengelak nasib yang sama. Kuncinya adalah dengan memanfaatkan perikatan tiga pihak serta meneruskan semangat dan daya tahan kesatuan-kesatuan kita.

Gerakan Buruh mempunyai mandat untuk membantu semua pekerja memastikan gaji lebih baik, prospek pekerjaan yang lebih baik dan kebajikan lebih baik untuk pekerja (3W). Baik dari pekerja yang diberi gaji hari sehingga mereka yang menyandang jawatan sebagai pengurus atau karyawan dan begitu juga mereka yang bekerja sendiri atau pekerja sambilan.

Para pemimpin 4G membesar dengan menyaksikan bagaimana hubungan kerja yang erat antara PAP dengan kesatuan-kesatuan memberi manfaat kepada rakyat Singapura. Setiap daripada kita dalam pasukan 4G secara peribadi pernah melibatkan diri dalam Gerakan Buruh.

Hubungan erat ini sudah wujud sejak berdekad-dekad lamanya. Saya dan rakan-rakan sekerja saya mengakui pentingnya apa yang kami warisi - iaitu rasa tanggungjawab yang dikongsi bersama ke atas rakyat Singapura dan Singapura.

Para pemimpin generasi saya kini sudah bersedia untuk meneruskan perjuangan mencapai misi mewujudkan masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Singapura. Kami yakin akan mencapai misi ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan