Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jangan setakat turunkan berat badan sahaja; kesejahteraan jasmani & rohani lebih penting semasa Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sedang kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, bulan mulia ini juga adalah masa yang sangat sesuai untuk kita bermuhasabah, baik secara fizikal, mental mahupun secara rohani.

Kita perlu bertanya, "Bagaimana kita merancang untuk menjaga kesihatan diri kita, di samping menjaga tahap kecergasan kita dan memastikan kita kekal fokus dalam perjalanan kerohanian kita semasa bulan Ramadan?"

"Adakah kita akan mengambil kesempatan daripada bulan suci ini untuk mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan kita secara keseluruhannya?

Tidak dinafikan, mudah untuk kita membiasakan diri dengan rutin dan amalan puasa, namun tetap penting untuk kita mengamalkan tabiat yang sihat dan membuat perubahan yang akan memanfaatkan kita semasa dan selepas bulan Ramadan kelak.

Di sini, saya ingin berkongsi tip-tip bagi membantu anda mempertingkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan anda semasa bulan Ramadan.

Minum Air Secukupnya

(Gambar: Bluewater Sweden/Unsplash)

Meminum air secukupnya semasa bulan Ramadan sangat penting bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan kita.

Maka itu, pastikan anda meminum air secukupnya antara waktu berbuka puasa dengan sahur. Elakkan minuman manis dan berkafein kerana minuman-minuman sedemikian akan mengurangkan bekalan air dalam tubuh anda.

Selain meminum air secukupnya, pastikan anda memakan buah-buahan yang kaya dengan kandungan air dan sayur-sayuran yang dapat membantu anda kekal cergas sepanjang hari.

Sebagai contoh, cuba menyertakan timun pada makanan utama anda dan tembikai atau anggur selepas makan kerana buah-buahan itu kaya dengan air dan boleh memastikan anda mempunyai bekalan air yang secukupnya dalam tubuh anda.

(Gambar: Rodion Kutsaiev/Unsplash)

Tip 1: Gunakan botol air untuk mengukur jumlah air yang diminum dan meminum air kosong semasa berbuka puasa.

Rancang Makanan Anda

Merancang pemakanan anda semasa Ramadan adalah penting bagi memastikan anda mendapat nutrien atau bahan makanan yang berkhasiat. Maka itu, pastikan pemakanan anda seimbang berdasarkan Model Pinggan Sihat yang merangkumi karbohidrat kompleks, protein dan lemak yang sihat.

Pada asasnya, pastikan separuh pinggan anda diisi dengan sayur-sayuran, suku pinggan diisi dengan bijirin penuh dan baki suku pinggan dengan protein tanpa lemak. 

(Gambar: Inigo De La Maza/Unsplash)

Sebagai contoh, daripada sepinggan nasi beriani atau nasi lemak, cuba kurangkan bahagian makanan pada hidangan itu dan menggantikannya dengan sayur atau salad (selada). Saya juga ingin menasihatkan anda supaya jangan makan berlebihan dan memakan terlalu banyak manisan dan makanan yang digoreng.

Tip 2: Mulakan setiap minggu anda dengan membungkus sayur-sayuran ke dalam bekas. Bawalah bekas itu bersama anda jika anda tidak berbuka puasa di rumah. Ini akan memastikan anda sentiasa mempunyai sayur-sayuran bersama anda apabila memakan burger ataupun nasi beriani di luar.

Kekal Aktif

Kekal aktif melalui senaman dan kegiatan jasmani juga penting bagi menjaga kesihatan anda dan ia juga boleh dilakukan semasa bulan Ramadan.

Senaman intensiti rendah seperti berjalan kaki dan mengayuh basikal juga boleh membantu mengekalkan tahap kecergasan anda. Senaman seperti tekan tubi (push ups), cangkung (squats) dan 'lunges' juga boleh dilakukan di rumah. Berhati-hatilah supaya tidak terlalu memaksa diri. 

(Gambar: Lindsay Henwood/Unsplash)

Misalnya, jika jadual anda selalu padat dan tiada masa untuk bersenam pada siang hari, maka anda harus cuba menyelitkan senaman-senaman ringan dalam rutin harian anda seperti menggunakan tangga dan bukan lif atau melakukan senaman regangan badan sementara menunggu makanan anda dimasak.

Tip 3: Masa terbaik untuk bersenam? Bersenam antara 30 minit hingga sejam sebelum berbuka puasa atau pada sebelah malam.

Tidur Secukupnya

(Gambar: Andisheh A/Unsplash)

Tidur secukupnya semasa bulan Ramadan juga penting bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan anda.

Walaupun anda harus mendapatkan waktu tidur sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam setiap hari, ia mungkin sukar untuk berbuat demikian semasa bulan Ramadan.

Tidur sebentar (short nap) pada siang hari amat bermanfaat.

Sebagai contoh, jika anda berasa letih pada siang hari, anda harus tidur seketika antara 10 hingga 20 minit untuk membantu anda meningkatkan paras tenaga anda dan mempertingkatkan tahap kewaspadaan anda.

Tip 4: Pastikan anda mempunyai tabiat tidur yang baik. Usah 'bermain' atau 'membelek-belek' peranti bijak 30 minit sebelum tidur. Ini akan menghalang cahaya biru (blue light) daripada menjejaskan persiapan tidur anda. Sebaliknya, bacalah Al-Quran atau buku yang bermanfaat buat anda dalam bulan Ramadan ini.

Jangan Terlalu Fikirkan Tentang Menurunkan Berat Badan

(Gambar: I Yunmai/Unsplash)

Penurunan berat badan tidak sepatutnya menjadi fokus utama anda semasa bulan Ramadan.

Sebaliknya, anda harus memberikan tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan anda secara keseluruhannya.

Jangan terlalu menghadkan pengambilan makanan anda kerana ia boleh menyebabkan keletihan dan masalah kesihatan yang lain. Matlamat sebenar bulan Ramadan adalah untuk mempertingkatkan tahap kerohanian dan disiplin diri dan bukan sekadar untuk menurunkan berat badan.

Daripada terlalu memikirkan tentang penurunan berat badan semasa Ramadan, ada baiknya jika anda menumpukan perhatian kepada usaha untuk memperbaiki tabiat pemakanan anda dengan memakan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran dan mengelakkan makanan bergula dan bergoreng. 

Tip 5: Sempena bulan Ramadan, kita cenderung untuk makan lebih banyak tanpa menyedarinya.

Periksa berat badan anda setiap hari bagi memastikan berat badan anda tidak meningkat.

Akhir sekali, penting untuk menilai prestasi kita sepanjang bulan Ramadan dan membuat perubahan mengikut keperluan. 

Dengan meminum air secukupnya, merancang pemakanan kita dan bersenam dengan kerap serta tidur secukupnya, kita boleh menjaga kesihatan dan kesejahteraan kita dengan lebih baik lagi semasa bulan Ramadan ini.

Marilah kita memanfaatkan bulan Ramadan ini untuk mempertingkatkan lagi tahap kesihatan dan kesejahteraan kita secara keseluruhannya.

Encik Wan Rizal Wan Zakariah. (Gambar: Wan Rizal Wan Zakariah)

MENGENAI PENULIS:
Dr Wan Rizal Wan Zakariah adalah Anggota Parlimen GRC Jalan Besar. Beliau adalah Pensyarah Kanan di Sekolah Sukan, Kesihatan dan Riadah Politeknik Republik.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan