KOMENTAR: Jangan biarkan anak muda kita jadi 'senjata' kumpulan pelampau
Seorang remaja berusia 17 tahun telah merancang untuk menggunakan gunting atau pisang untuk menyerang orang bukan Islam berhampiran Balai Rakyat Tampines West "dalam jarak berjalan kaki dari rumahnya" semasa cuti sekolah bulan September lalu.
Berita mengenai remaja itu ditangkap dan kemudian ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dikeluarkan pada 18 Okt. Disifatkan sebagai seorang penyokong tegar ISIS, remaja itu telah merancang untuk pergi ke Syria untuk menyertai keganasan bersenjata, tetapi kemudian memilih untuk melakukan serangan di tanah airnya sendiri kerana ia dianggap lebih mudah untuk dilakukan.
Radikalisasi dalam kalangan belia kekal sebagai satu trend yang membimbangkan. Di Singapura, 13 daripada 52 individu radikal yang ditangani di bawah ISA sejak 2015 adalah belia berumur bawah 20 tahun, menurut Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura 2024 oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Julai.
Di luar negara pula, tiga remaja yang mengikrarkan taat setia mereka kepada ISIS berjaya diberkas sebelum mereka berpeluang untuk melancarkan serangan semasa konsert Taylor Swift di Vienna, Austria pada Ogos lalu.
Tiga bulan sebelum itu, seorang lelaki berusia 21 tahun menyerang sebuah balai polis di Ulu Tiram, Johor, yang meragut nyawa dua pegawai dan mencederakan seorang lagi pegawai. Dia menjadi radikal semasa berusia belasan tahun, atas pengaruh bapanya yang dilaporkan telah menyebarkan ajaran ISIS dalam kalangan keluarganya dari 2014 hingga 2024.
Penyelidik antipengganasan JM Berger dan Jessica Stern dalam kertas kajian mereka tentang ISIS yang diterbitkan pada 2015 bertajuk "The State Of Terror" menggambarkan bahawa ISIS "secara aktif merekrut kanak-kanak" untuk terlibat dalam "pertempuran, termasuk serangan nekad". Pegawai Amerika Syarikat juga telah memberi amaran bahawa Al-Qaeda cuba meradikalkan golongan muda untuk melancarkan serangan di negara-negara Barat.
Yang paling membimbangkan ialah golongan remaja dan belia yang kini dijadikan sebagai sasaran oleh kumpulan-kumpulan pengganas. Kumpulanpengganas menggunaka n ideologi mereka untuk mempengaruhi golongan muda dan golongan ini kemudian dijadikan sebagai 'senjata' untuk melancarkan serangan.
GOLONGAN MUDA MUDAH TERDEDAH KEPADA IDEOLOGI TEGAR
Golongan belia sangat mudah terdedah kepada ideologi ekstremis - terdapat banyak kajian sains kemasyarakatan yang menunjukkan perkara ini.
Daya pemikiran remaja berkembang lebih perlahan berbanding emosi mereka dan ini menyebabkan golongan belia mencari huraian yang kadangkala tidak realistik terhadap isu-isu rumit. Oleh itu, tidak menghairankan jika laporan ISD 2023 mendapati bahawa pandangan dunia kumpulan pelampau kelihatan "lebih menarik" kepada golongan muda.
Sesetengah belia yang mengalami situasi keluarga yang sukar juga mungkin mempunyai rasa diri yang rapuh dan cenderung mencari 'pengesahan luaran' untuk meningkatkan harga diri mereka.
Belia dan remaja lelaki mungkin bertanggapan bahawa ia lebih "macho" untuk melibatkan diri dengan keganasan yang memperjuangkan agenda-agenda tertentu - terutama sekali jika mereka tidak mempunyai peran contoh yang baik dalam keluarga mereka.
Perlu diingat bahawa tidak semua belia terdedah kepada pengaruh radikal. Beberapa tahanan muda ISD baru-baru ini dilaporkan telah cuba meradikalkan rakan-rakan mereka tetapi tidak berjaya.
Sungguhpun demikian, kumpulan-kumpulan pelampau memang licik menggunakan internet dan media sosial untuk meyebarkan ideologi mereka. Naratif "kita-menentang-mereka" menambat hati sesetengah remaja.
Dalam kes terbaharu yang melibatkan remaja berusia 17 tahun itu, proses radikalisasinya bermula pada Ogos 2023 apabila dia melungsuri internet untuk mendapatkan pengetahuan dan bimbingan agama dan terjumpa pendakwah asing yang mengatakan bahawa orang Islam tidak boleh bergaul dengan orang bukan Islam atau menyertai perayaan bukan Islam.
Proses radikalisasi itu cuma mengambil masa selama beberapa bulan sahaja. Menjelang Januari 2024, remaja itu telah menjadi penyokong tegar ISIS dan tidak lama kemudian mengikrarkan taat setianya kepada kumpulan pengganas itu. Ini bermakna pada ketika itu, remaja tersebut sudahpun menganggap dirinya sebagai pejuang kumpulan pelampau itu sehingga sanggup melakukan apa sahaja malah sanggup mati untuk tujuan itu, sama ada di Singapura atau di luar negara.
SEMAKIN MUDAH UNTUK LAKUKAN SERANGAN
Satu lagi faktor utama yang mendorong remaja radikal untuk melancarkan serangan ialah tanggapan bahawa ia kini lebih mudah untuk melakukan demikian secara sendirian.
Pada 2001, rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan Al-Qaeda telah merancang untuk melancarkan serangan nekad terhadap sasaran diplomatik dan komersial Barat tertentu, serta kepentingan pemerintah Singapura. Sebelum mereka digagalkan, sel JI di Singapura perlu memperoleh kepakaran dan peralatan untuk membuat bom, menjalankan pengawasan dan merancang selama bertahun-tahun untuk melakukan beberapa serangan secara serentak.
Keadaan sudah berbeza. Propaganda ISIS menggesa para anggotanya untuk menggunakan barangan harian seperti kenderaan dan pisau untuk melakukan serangan terhadap orang bukan Islam “di mana sahaja mereka berada”.
Kemahiran yang jauh lebih rendah ini telah mewujudkan lebih banyak peluang untuk anggota ISIS melancarkan serangan - sama seperti bagaimana remaja berusia 17 tahun itu merancang untuk menggunakan barangan rumah seperti pisau untuk menikam sasarannya di kawasan-kawasan kejiranan HDB.
BAGAIMANA UNTUK MELINDUNGI BELIA DAN MASYARAKAT
Radikalisasi seumpama itu dan juga pengganas muda yang bertindak sendirian lebih sukar untuk dikesan berbanding rancangan berskala besar yang lebih rumit seperti yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan pengganas suatu ketika dahulu. Lantaran itu, apakah yang boleh dilakukan?
Cabaran pertama ialah memahami dan mengesan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa seseorang belia sudah menjadi radikal. Ahli keluarga, rakan, guru dan pemimpin masyarakat masing-masing mempunyai peranan untuk mengesan tanda-tanda radikalisme.
Kedua, undang-undang yang berkesan boleh membantu. Di Singapura, Akta Keselamatan Online (Pelbagai Pindaan) dan Akta Ancaman Jenayah Online memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menyekat akses kepada lelaman pelampau. Malangnya, secara teknikal agak mustahil untuk menyekat semua kandungan pelampau kerana laman dan akaun baharu boleh dibuka dengan mudah.
Di samping itu, walaupun lebih mudah untuk menurunkan atau memadamkan kandungan ekstremis daripada platform-platform seperti Facebook, X atau Instagram, ia lebih sukar untuk memantau dan menurunkan kandungan daripada aplikasi kiriman mesej disulitkan seperti Telegram, Signal dan WhatsApp.
Ketiga, cabaran sebenar ialah untuk membangunkan daya tahan emosi dan intelek belia terhadap ideologi ekstremis yang ganas.
Di Singapura, ISD dan rakan-rakan kongsinya, seperti Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan
(RRG) - yang terdiri daripada asatizah dan cendekiawan Islam moderat - kerap mendampingi sekolah dan institusi pengajian tinggi (IHL) untuk melatih dan membimbing belia agar mereka dapat mengesan dan membezakan kandungan media sosial yang berbahaya dan "menjadi lebih peka terhadap maklumat yang diperolehi daripada sumber yang berbeza, termasuk secara online”.
Selain itu, melalui pengalaman ko-kurikular dan pelbagai peringkat sekolah, belia daripada pelbagai latar belakang diberi peluang untuk berinteraksi antara satu sama lain bagi memupuk "ikatan sosial" yang boleh membantu "menentang kesan ideologi eksklusif atau ekstremis".
Tahap celik digital yang lebih tinggi dan perpaduan sosial yang kukuh dalam kalangan belia kita sememangnya diperlukan menyusuli serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt 2023 yang telah mencetuskan propaganda pelampau yang ganas dan memecahbelahkan.
Natijahnya, kita perlu melindungi anak muda kita daripada bahaya radikalisasi dalam era digital ini.
*Komentar bertajuk "Commentary: Keeping our guard up against extremist groups ‘weaponising’ our youth" pertama kali diterbitkan di laman CNA pada 18 Nov 2024.
MENGENAI PENULIS
Kumar Ramakrishna ialah Profesor Kajian Keselamatan Negara, Pengerusi Provost Kajian Keselamatan Negara dan Dekan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.