Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Jangan ambil mudah latihan simulasi, ia boleh jamin keselamatan kita

Hanya dengan latihan simulasi kita boleh tingkatkan kesediaan dalam menghadapi sebarang kecemasan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Jangan ambil mudah latihan simulasi, ia boleh jamin keselamatan kita

Simulasi serangan pengganas di Masjid Sultan. (Gambar: SPF)

BERITAmediacorp: Hanya dengan latihan simulasi kita boleh tingkatkan kesediaan dalam menghadapi sebarang kecemasan.

Teringat saya semasa di bangku sekolah dulu, pada masa itu saya berumur anggaran lapan atau sembilan tahun. Dan selama beberapa tahun selepas itu, saya dan rakan-rakan sekolah saya terus menyertai latihan kecemasan di sekolah.

Yang peliknya, setiap kali loceng kecemasan dibunyikan, setiap murid dengan segera masuk beratur dan bergerak tergesa-gesa dalam barisan ke padang sekolah dan berdiri menghadap bangunan sekolah dari jarak tidak kurang 100m.

Kami berdiri menghadap ke arah sekolah seolah-olah menjadi saksi yang bangunan sekolah dijilat api. Saya kurang faham akan langkah-langkah yang saya lakukan bersama tetapi saya menuruti sahaja arahan itu.

GAMBARAN LEBIH LENGKAP

Berdekad kemudian, pada tahun 2014, saya menyertai simulasi kecemasan di sekolah anak lelaki saya sebagai ibu bapa sukarelawan. Di sini, saya didedahkan dengan gambaran yang lebih lengkap dan saya mula mengerti logik langkah-langkah yang saya lakukan semasa saya menjalani latihan kecemasan di sekolah dahulu.

Related article image

Perancangan dan perhitungan yang terperinci yang kami jalani untuk mengadakan simulasi kecemasan di sekolah anak lelaki saya ini melibatkan banyak perbincangan dan persiapan antara pihak sekolah, kepimpinan murid, ibu bapa sukarelawan dan agensi-agensi yang terlibat.

Ini kerana matlamatnya adalah untuk menganalisa hasil pelaksanaannya supaya perubahan dan pembaikan boleh diusahakan seterusnya.

Ada perbezaan besar jika kita bandingkan. Semasa saya di bangku sekolah, latihan itu merupakan bangunan sekolah terbakar dijilat api akibat elektrik dan letupan gas tong di kantin sekolah; iaitu satu kemalangan.

SIMULASI KECEMASAN

Tetapi simulasi kecemasan di sekolah anak lelaki saya pula, ia merupakan serangan pengganas yang telah berjaya merempuh masuk ke kawasan sekolah dan menyebabkan letupan di makmal kimia dan keadaan orang tebusan di pejabat sekolah.

Pasukan kecemasan terdiri daripada pegawai SPF dan SCDF dengan bersungguh-sungguh bergerak cekap dan dalam masa kurang 30 minit telah berjaya meneutralkan situasi.

Related article image

Kemudian, pada tahun lalu, sama juga. Simulasi kecemasan serupa diadakan di sekolah anak perempuan saya pula dan sejarah ulangi kembali - perbincangan, pertimbangan, perancangan, koordinasi antara pelbagai pihak dan audit post-mortem.

Perbezaan asas antara latihan kecemasan semasa saya di bangku sekolah dulu dengan simulasi kecemasan yang diadakan kemudian adalah, dulu ia hanya LATIHAN tetapi sekarang, ia adalah SIMULASI.

LATIHAN DAN SIMULASI

Secara ringkasnya, latihan adalah satu aktiviti yang dijalankan untuk membiasakan diri dengan sesuatu situasi atau keadaan. Ia sering diadakan dengan tujuan melatih seseorang untuk mematuhi satu set prosedur atau SOP yang telah disiapkan oleh sesebuah jabatan atau pertubuhan bagi menangani masalah.

Latihan yang efektif akan menghasilkan pelaksanaan yang terkawal dan konsisten. Misalnya menembak senjata api di lapangan menembak boleh memperbaiki cara seseorang menembak dengan memberi tumpuan kepada cara memegang pistol atau cara mengawal pernafasan.

Related article image

Simulasi pula, melibatkan kejadian realiti. Ia mengambil kira faktor-faktor luar dugaan dan yang tidak dapat dikawal seperti faktor tekanan, faktor sekeliling dan yang paling rumit sekali, faktor manusia.

Seseorang pegawai keselamatan yang mahir menembak di lapangan menembak atau seseorang paramedik yang pakar merawat kecederaan yang hanya berlatih di dalam kelas tidak terjamin akan berjaya mengendalikan diri mereka sendiri dalam situasi genting.

Ini kerana di lapangan menembak atau dalam bilik darjah, mereka hanya mengalami situasi yang terkawal.

MENGAPA LATIHAN PENTING

Apabila simulasi itu diadakan di tempat-tempat awam dengan letupan dan bunyi tembakan kuat, ia akan menimbulkan keadaan kacau-bilau.

Di sini, para juruaudit pasukan keselamatan dapat menilai dengan lebih tepat lagi kekurangan gerak langkah para pegawai kita. Tindak balas orang awam dalam sesuatu situasi kecemasan melalui simulasi akan memberi data penting yang dapat dipelajari pihak-pihak berkenaan.

Setelah berpeluang mengambil bahagian dalam simulasi kecemasan di sekolah anak-anak saya sebagai sukarelawan, saya renung kembali pengalaman saya sebagai murid yang menjalani latihan di sekolah.

Sehingga hari ini, saya masih tertanya-tanya apa agaknya reaksi saya dan rakan-rakan sekolah saya dulu sekiranya bangunan sekolah kami betul-betul terbakar.

Dengan ancaman api yang menjilat dan kepulan asap hitam tebal, mampukah saya dan rakan-rakan sekolah saya bergerak pantas dengan tenang ke padang sekolah ataukah kekecohan itu akan mencetuskan keadaan yang melumpuhkan kami semua dan dengan secara langsung akan meletakkan kami dalam keadaan yang lebih berbahaya.

LATIHAN DI MASJID

Simulasi serangan pengganas yang telah diadakan di masjid-masjid, juga di beberapa instituisi pengajian, bangunan-bangunan awam dan lobi hotel di Lapangan Terbang Changi bukan hanya menguji kesediaan pasukan penyelamat tetapi juga menilai tindak-tanduk pihak kakitangan di tempat-tempat tersebut dalam mengendalikan diri mereka di saat-saat kekecohan yang mengancam nyawa.

Related article image

Disebabkan pentingnya mengawal dan mengendalikan situasi yang melibatkan serangan pengganas, saya yakin simulasi berikut akan terus diadakan di pelbagai tempat ibadat, aset-aset utama seperti stesen-stesen MRT, pusat pertukaran bas, terminal-terminal udara dan laut dan bangunan-bangunan di merata Singapura.

SERANGAN PENGGANAS

Hashtag terrorismhasnoreligion (#terrorismhasnoreligion) atau “pengganasan tidak beragama” yang sudah lama menjadi trend di internet, menekankan bahawa kita semua tanpa mengira kepercayaan, tidak terlindung daripada serangan pengganas. 

Related article image

Kejadian yang amat memilukan di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand pada bulan Mac tahun ini misalnya dan letupan yang meruntuhkan sebahagian Bangunan Federal Alfred P Murrah di Oklahoma City Amerika Syarikat pada tahun 1995 dan banyak lagi contoh yang mengerikan.

Justeru memang tidak tepat kalau kita kaitkan simulasi yang diadakan di masjid sebagai satu kiasan yang Islam itu keganasan. Jika garis logik itu benar, apakah implikasinya bagi simulasi yang diadakan di lobi hotel di Lapangan Terbang Changi atau di Politeknik Republik dan sebagainya?

TUGAS MENCABAR

Tugas menjaga keselamatan awam pada masa kini semakin mencabar dengan kegiatan-kegiatan pengganasan yang semakin berleluasa. Pasukan kecemasan kita perlu meninggikan tahap prestasi mereka untuk menangani situasi kompleks ini dengan lebih berkesan.

Antara perkara yang tidak dapat dielakkan adalah kerjasama dan sokongan moral masyarakat kerana ini akan mengukuhkan lagi benteng pertahanan kita bersama terhadap sebarang pujuk rayu pengganas.

Related article image

Kesimpulannya, latihan-latihan yang kerap dijalankan oleh pegawai-pegawai keselamatan kita akan mengukuhkan lagi kepakaran mereka dalam mengendalikan peralatan yang diperlukan.

Semua simulasi yang mereka jalani akan menyiapsediakan mereka dengan kebolehan dan ketangkasan untuk bertindak dengan lebih tegas dalam situasi yang mengancam nyawa.

Seperti pepatah Ingeris: Training (latihan) is geared toward doing things right, but simulation (simulasi) is about doing the right thing.

Mengenai Penulis:

Related article image

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaa, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita