Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jalinan Peranakan Dalam Rumpun Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Demi meraih pengiktirafan, gerakan Baba Peranakan mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia untuk merakamkan kata-kata bahasa ibunda mereka pada sebuah kamus khusus.

Mohd Raman Daud menyingkap kehadiran golongan Peranakan di Nusantara.


Kegigihan gerakan Baba Peranakan di Malaysia untuk mendapat pengiktirafan khas telah menarik perhatian luas di media massa serantau baru-baru ini.

Antara lain, kata-kata basahan (istilah khas) yang digunakan oleh kaum ini akan diterbitkan sebagai sebuah kamus oleh agensi kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malaysia.

Seyogia, DBP telah lama menerbitkan Kamus Dewan iaitu kamus rasmi Malaysia (penduduk: 35 juta jiwa) sebanding Kamus Besar Bahasa Indonesia di negara terbesar rantau ini (penduduk: 284 juta jiwa).

Kedua-dua kamus bercetak mempunyai lebih 120,000 kata tetapi angkanya lebih tinggi bagi kamus dalam talian masing-masing.

Perkembangan ini mendedahkan betapa kaum Peranakan Cina atau dipanggil juga kaum Baba Nyonya masih teguh dan cergas dalam melestari dan memajukan budaya mereka.

Selain bermatlamat politik, ternyata perkembangan terbaharu ini menunjukkan wujudnya kerjasama harmoni di Malaysia dalam rangka mencari persamaan.

LALUAN TAMADUN

Di mana jua pelosok dunia, berlaku perkahwinan campuran yang menghasilkan anak-anak kacukan yang kemudian membentuk kaum tertentu dengan evolusi bahasa, persuratan dan kepercayaan yang tersendiri atau unik.

Fenomena ini juga berlaku agak luas di gugusan kepulauan Melayu atau Nusantara yang terletak di perantara laluan perdagangan laut dan menerima pengaruh besar dari India, China dan tentulah Eropah terutama akibat penjajahan.
(Gambar hiasan: Stefan Lehner)
Kebanyakan pedagang atau pengembara atau pelayar Cina datang tanpa membawa isteri kerana dikatakan terdapat larangan terhadap wanita mengikut belayar atau menaiki kapal (rujuk kepada esei Josephine Chia, CNA 7 Okt 2018).

Di Singapura kini, istilah ‘Peranakan’ umumnya merujuk kepada kaum dengan darah campuran Cina dan Melayu/Indonesia. Jalur dwiketurunan ini disahkan oleh Institut Genomik Singapura.

Ramai Peranakan Singapura mendakwa mereka berasal dari Melaka seawal abad ke-15M iaitu hasil perkahwinan pedagang Cina dengan wanita tempatan, termasuk wanita Batak. Antara lain, Sejarah Melayu mencatatkan bahawa Puteri China, Hang Li Po, telah dihantar dengan armada China yang besar ke Melaka untuk diperisterikan Sultan Mansor Shah.

Ramai lelaki China yang tidak pulang ke tanah leluhur memulakan keluarga di Melaka.

Dikatakan daripada ‘masuk Melayu’ dengan memeluk agama Islam, mereka lebih cenderung mengekalkan tradisi kepercayaan Cina, tetapi hanya berbahasa dan mengambil budaya Melayu terutama dari segi pakaian. Fakta inilah yang menjadi ‘pembeza’ antara Peranakan Cina dan orang Melayu.

Anehnya, terdapat julukan nama ke atas mereka iaitu OCBC – orang Cina, bukan Cina.
Wanita Peranakan di Penang, Malaysia, pada 2013 untuk meraikan penganugerahan status Tapak Warisan Dunia UNESCO ke atas George Town. (Gambar: Shutterstock Images)
Di Indonesia, orang Cina atau pernah sering disebut Tionghoa tetapi dibezakan asalnya iaitu Peranakan atau Totok (berasal dari China dan masih kekal dengan tradisi leluhur). Antara petempatan Cina di Indonesia yang menonjolkan ciri Peranakan termasuklah Semarang di Jawa dan Singkawang atau dipanggil ‘Kota Amoy’ di Kalimantan Barat yang dikatakan gadis Peranakan antara wanita tercantik di dunia!

SUMBANGAN

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016), tamadun rumpun Melayu turut mendapat sumbangan daripada kaum-kaum Peranakan yang berdarah Arab, Cina dan India serta Portugis.

Antara lain, kajian mengenai persuratan Melayu, khususnya akhbar dan majalah, menunjukkan Peranakan Cina terlibat dalam penerbitan akhbar seperti Bintang Timor (di Singapura, yang bertulisan rumi, 1894-1895).
Senaskhah Bintang Timor di Singapura pada tahun 1850-an. (Gambar: Lembaga Perpustakaan Negara)
Pantun, terutama yang dinyanyikan dalam lagu Dondang Sayang, melambangkan daya cipta kaum ini. Bahkan beberapa kumpulan bangsawan dibiayai dan diuruskan oleh ‘tauke’ Baba.

Dalam rangka meraih kemerdekaan di Nusantara, terpapar sumbangan Peranakan Cina.

Misalnya, sebahagian anggota menteri kabinet pengasas Singapura terdiri daripada anggota kaum ini, termasuklah Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew, Timbalannya dan Menteri Kewangan Dr Goh Keng Swee. Antara sebab Perpisahan Singapura adalah kurangnya persefahaman antara Menteri Kewangan Tan Siew Sin juga Peranakan Cina dengan sepupunya, Dr Goh (rujuk kepada eulogi Encik Lee Kuan Yew, Pejabat Perdana Menteri, 23 Mei 2010).

Di Indonesia, nama tokoh Peranakan Cina seperti Laksamana Muda Daniel Dharma (John Lie) dan Leftenan Kolonel Ong Tjong Bing tercatat sebagai para pejuang tanah airnya.

Seyogia, istilah ‘Peranakan’ tidaklah khusus bagi yang berketurunan Cina sahaja. Istilah ini juga merujuk kepada lelaki Islam asal India dan Arab yang menikahi wanita setempat dan menghasilkan keturunan kacukan atau peranakan.

Kaum kacukan ini pernah disebut oleh ‘Bapa Kewartawanan Melayu’, Abdul Rahim Kajai (1894-1943) sebagai Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK).

Akhbar Melayu perintis, Jawi Peranakan (1876) adalah asuhan tokoh DKK, Munsyi Mohd Said bin Dada Muhyiddin dan Warta Malaya (1930-1942) pula diasaskan oleh usahawan Arab, Syed Hussein bin Ali Alsagoff. Hanyalah akhbar Utusan Melayu yang bermula pada 1939 merupakan yang pertama milik penuh orang Melayu, hujah Kajai.

Seyogia, istilah ‘Keling’ (kini: India) berlaku tanpa niat ‘menghina’ dalam persuratan Melayu.

Ini kerana memang ada kerajaan Kalinga yang berkuasa amat lama di India dan rakyatnya dipanggil Keling. Dalam kebanyakan hikayat Melayu, termasuk Hikayat Hang Tuah, istilah ‘Keling’ digunakan dan wira legenda Melayu, Hang Tuah dikatakan fasih 12 bahasa termasuk bahasa Keling.

PERSATUAN BABA DAN NYONYA

Menurut Datuk Ronald Gan, pengerusi Persatuan Baba dan Nyonya Malaysia, kamus khas Peranakan Cina dijangka dilancarkan tahun depan dan diharap menarik perhatian generasi muda kaumnya yang kian menipis pegangan warisannya.

Sekitar 1,000 kata dalam bahasa Peranakan Cina atau Baba Nyonya iaitu kacukan daripada bahasa-bahasa Hokkien, Kantonis, Teochiu, Melayu dan Jawa dapat dirakamkan semula dengan maksud yang lebih tepat.

Hal ini akan membantu generasi muda Peranakan Cina yang lebih cenderung berbahasa Inggeris dan juga Mandarin.

Antara kata popular Baba Nyonya:
Amek – Ambil
Apasair - Apa pasal/Mengapa
Besair - Besar
Bibik - Mak Cik, wanita berumur
Bini - Isteri
Cha kiak - Terompah
Chi wan - Bilik air
Kacuak – Lipas
Kek sim - Kecewa
Kepiting – ketam
Lapair - Lapar
Leceh – Menyusahkan
Loteng - Tingkat teratas rumah
Ohng - Tuah
Mo – Mahu
Suay - Sial
Sumpet - Sepit/penyepit
Tim - Direbus dua kali)
Tok panjang - Meja makan panjang
(Gambar fail: Muzium Peranakan Singapura/Facebook)
Oleh itu, memelihara dan mengembangkan warisan secara aktif merupakan keprihatinan besar bagi generasi lama Peranakan Cina di sebalik kejayaan mereka dalam bidang ekonomi dan juga kehadiran muzium Peranakan Cina di Singapura, Malaysia dan juga Indonesia.

Mendiang tokoh perkamusan Mandarin-Melayu, Dr Yang Quee Yee (1931-2024) pernah berpesan bahawa tiada tamadun yang tersendiri daripada sebuah kaum sahaja, tetapi jika dikaji dengan teliti, ia merupakan kesan ‘ambilan’ daripada yang lain.

Dalam perkamusan Melayu, memang banyak kekata Cina, terutama daripada dialek Hokkien, telah diterima pakai. Maka itu, kehadiran kata daripada Peranakan Cina yang dirakam dalam kamus khas tentulah akan memperkaya khazanah rumpun Melayu.


MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan