Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Istilah Raya Anak Dagang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Di Nusantara setiap kali Hari Raya tiba, akan berlakulah mudik ke kampung atau kota asal. Bagi yang merantau, kesempatan beraya di kampung halaman dengan keluarga dan sanak saudara adalah keberkatan Syawal mulia.

Kalau diperhatikan, Hari Raya itu adalah hari kekeluargaan paling besar. Setahun sekali berkumpullah yang jauh dan dekat.

Sering kali yang merantau pulang membawa oleh-oleh dan buah tangan. Yang di kampung sibuk bertungkus lumus membuat masakan dan kuih-muih. Mudik lebaran itu menggambarkan betapa luas perantauan yang berlaku.

Dalam sejarah Nusantara, anak dagang merantau dalam daerah yang kemiripan budaya dan adat resam. Ia disebut sebagai merantau. Tetapi kalau keluar dari cakupan ini, akan disebut sebagai hijrah. Istilah orang yang luar, namun dalam ranah kebudayaan Nusantara, yang datang dan menetap di tempat kita, disebut sebagai anak dagang, ataupun perantau.

Kefahaman seperti sudah agak sebati, sehingga konsep merantau di daerah kita sayugia mendapat perhatian kepada pengkaji migrasi dan demografi manusia, kerana ia dapat mengklasifikasikan jenis dan ragam fenomena ini.
 
Related article image
(Gambar: JIMIN LAI / AFP)
Fenomena Orang Merantau

Sesungguhnya merantau adalah dimensi demografi dan budaya yang telah berlangsung berabad di kepulauan Nusantara ini. Di rantau ini orang yang berkelana, mencari nasib di tempat orang akan disebut sebagai anak dagang atau perantau. Di merata kota besar di rantau ini, banyak orang dari luar bandar merantau ke kota mencari nasib.

Singapura pernah menjadi tempat anak-anak muda merantau mencari nasib, menempah nama dan menabur jasa. Ada pula yang ke negeri seberang merantau bekerja, sehingga setelah bermastautin begitu lama, menjadikan tempat rantau itu sebagai rumah tempat berteduh dan berkeluarga.

Pada dekad-dekad lalu, sebelum khidmat pengangkutan awam terbangun pesat, perjalanan mudik ke kampung belum begitu mudah dan tinggi pula pembiayaannya. Telefon bimbit belum lagi berleluasa dengan kemudahan komunikasi digital lainnya. Maka waktu itu kad hari raya menjadi “pengganti diri”. Datang Ramadan, mulalah ramai mencari kad raya paling manis, dan menjelang Syawal, ramai juga yang menanti kad dengan harapan dan tangis. Pada anak perantau itulah penantian kad raya dengan tertera khabar ringkas dan maaf zahir batin membingkas.
Yang Merantau Dipesan

Dalam pepatah-petitih kita, terdapat banyak pesan kepada anak dagang, yang merantau di tempat orang, sehingga ada yang terjelma dalam lagu. Pernah ini didendangkan oleh biduanita Kamariah Noor:

“Anak dagang di rantau orang
Biar pandai membawa diri
Jaga tutur kata
Jaga cermat peri bahasa
Selalu berbudi tinggi

Biar merendah
Kata orang jangan dibantah
Fikir dahulu sebelum berkata

Anak dagang negeri orang
Jika selalu meninggikan diri
Sombong dan iri hati
Mementingkan kemahuan sendiri
Akhirnya mendapat keji.”


Pandai membawa diri itulah yang sering terpesan bagi yang berdagang atau merantau di tempat orang. Tahu diri dan tahu tempat itulah antara aturan adat untuk hidup bermasyarakat.

Pahit Getir Anak Perantau

Anak dagang atau perantau harus punya kecekalan hati. Walau ada pepatah “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.”

Pastinya ini tidak ada dalam istilah bagi anak dagang kerana perantauan mereka bukan tidak bersebab. Meninggalkan orang tersayang itu adalah pengorbanan. Namun sebagai manusia, terkadang derita itu tidak dapat dilalui lagi sehingga ada dalam lagu menyebut, seperti dalam “Jalak Lenteng” nyanyian Kamariah Noor:

“Kemanalah badan hendak ku bawa, sedikit tidak beruntung lagi.” Disambung lagi begini:
“Sakit sungguh dagang menumpang,
Sakit tak habis kehendak hati.”


Sayup hati bila tempat yang kita berjasa, dipandang sepi, malah dihina. Begitulah pada watak Damak dalam filem Sri Mersing lakonan Nordin Ahmad. Dilafazkan pantun yang sangat menyayatkan dan kerana tawar hati, Damak merajuk mahu pulang di tempat asalnya. Dilantunkan kepada Pak Malau:

“Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu,
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu.”


Begitulah ranjau duri anak dagang yang merantau di tempat orang. Ada yang makmur dan maju, ada yang kendur terhiba pilu.
Related article image
Yang Merantau Mengenang

Yang merantau juga menyimpan banyak kenangan. Betapa merdu dan syahdu apabila Kartina Dahari menjiwai sebuah kenangan dalam sebuah lagu, membayangkan kemesraan di rantauan bersama dengan orang yang dikasihi:

“Bertahun-tahun sudah lama
Tiada pernah kita berjumpa
Dikau pergi entah ke mana
Duhai kasihku nan setia
Ku teringat masa dahulu
Masa kita berada di rantau
Irama senandung anak dara
Itu nyanyian kita berdua”


Mengenang ayah bonda, baik yang masih bersama atau sudah berpergian adalah perasaan paling intim kepada si perantau. Berpuluh lagu Raya, muncul dan bergema, saban tahun. Namun antara lagu Raya yang paling menusuk dan mengesan ialah “Dendang Perantau” yang asal mula dinyanyikan oleh seniman agung, P Ramlee:

“Di hari raya
Terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku
Di tepian mandi
Danauku hijau yang damai selalu
Nun di sanalah tempatku bertemu
Aku dan dia
Apakan daya
Masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya
Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dengan lagu dendang perantau.”


Bagi perantau inilah lagu yang paling bermakna kerana alunan dan gambarannya sangat padu dan memilu. Bukan saja meninggalkan ibu bapa, tapi juga meninggalkan orang dikasihi. Itulah beban si perantau.
 
Related article image
(Gambar: Unsplash)
Mohon Kemaafan Anak Perantau

Pada setiap Lebaran, bagi perantau, tiada yang lebih penting melainkan mendapatkan kemaafan daripada orang tersayang.

Namun kejauhan tidak membenarkan. Ini sangat terakam baik dalam dendangan Sudirman Hj Arshad:

“Dalam dingin subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya menitis air mata
Terbayang suasana permai desa
Rindu hati ini inginku kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita bersama
Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidilfitri yang mulia
Restu ayah bonda kuharap selalu
Hingga aku pulang kepadamu.”


Keberkatan restu itulah yang dicari dari setiap anak yang keluar dari rumah ayah ibunya dan sering kali tertitip pada anak-anak untuk memastikan kebajikan keluarga yang ditinggalkan itu terjamin.

Yang Merantau Dengan Cita

Orang yang merantau itu tertarik bukan saja oleh tarikan ekonomi dari luar, tetapi juga atas sebab terpaksa sehingga keluar dari kampung halamannya. Mungkin saja yang putus cinta, lantas merajuk. Terbayang dalam lagu Jamal Abdillah:

“Keluhan Perantau”
“Angin senja yang membelai
Keheningan desa permai
Ku terkenang kemesraanmu
Di dalam, oh, rinduku
Ku kembara, berkelana
Dan membawa hati luka
Di manakah kan ku temui
Sinaran cinta suci?
Dari desa, ku merantau
Ku memburu cita-cita
Walau apa rintangannya
Ku cuba mencari bahagia.”


Mencari bahagia, mencari rezeki, menempah nama itulah antara cita-cita si perantau. Apa guna merantau jauh kalau tiada perubahan hidup yang boleh dikecapi. Malahan malu kalau hidup di perantauan tidak menjadi. Dalam rejong, lagu daerah Palembang, ada sebuah berjudul “Merantau Jauh” yang dilantun sebegini:

“Sangkan badan merantau jauh
Jiku lemak merantau jauh
Ingat nga dusun ingat nak balik tulah
Nasib badan di badah jeme

Menangis malam ingat nga endung
Sangkan aku belom nak balik
Bejalan belom bepegulihan”


Begitulah yang merantau akan merindu ibu di rumah, tetapi selagi belum berjaya, sukar dan segan mahu pulang ke kampung halaman. Samalah juga sebuah lagu daerah dari Sumatera Selatan berjudul "Nasib Badan" yang membawa nada sedemikian:

“Aku merantau membawe malang
balik ke dusun mengundang malu”


Ertinya biarlah terhimpit dengan segala kesusahan, namun untuk mengalah dan balik ke kampung dusun, itulah tanggungan malu yang anak perantau tidak sanggup berbuat.
Related article image
Sambutan Hari Raya Istimewa dengan sajian makanan Itali. (Gambar: Khidir Surattee)
Yang Merantau Berlebaran

Sudah menjadi adat, apabila kita menyambut Hari Raya, harus kita ingat akan nasib yatim piatu, fakir miskin, ibu tunggal dan keluarga susah. Termasuk yang wajar kita fikirkan ialah para “perantau”masa kini.

Hari ini perantau masih menjadi fenomena. Para pekerja hijrahan juga adalah perantau yang ke tempat orang mencari rezeki. Mereka mungkin tidak akan bermastautin, beda dari gelombang anak dagang pada abad dan dekad lalu. Namun mereka merantau juga sama seperti nenek moyang kita, meninggalkan keluarga dan orang tersayang. Mereka juga pasti terkenang kampung halaman. Mereka juga punya kepiluan, kenangan dan harapan.

Setiap Hari Raya menjadi saksi kenangan dan rintihan mereka. Setidak-tidaknya kalau kita tidak nampak atau kenal mereka, hayatilah rangkuman lagu-lagu raya yang berkumandang sepanjang Syawal.

Jadikanlah Hari Raya waktu kita merenungkan rintihan pilu para perantau yang menyimpan seribu rindu, samalah jua para anak dagang dengan selautan kenangan. Itulah titipan kemanusiaan yang boleh kita jambangkan di hari mulia ini.

Selamat Hari Raya Muliaan Syawal
Maaf Zahir Batin dipohon awal
Dengan memanjat berdoa afdal
Hidupnya kita seberkat bermithal.

 
Related article image
MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee adalah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia. Beliau juga Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita