Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Islamisasi minda tidak menghalang sekularisme politik dan ilmu

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Islamisasi minda tidak menghalang sekularisme politik dan ilmu

(Gambar: Pixabay/Pexels)

BERITAmediacorp: Tanpa teori, amalan hanya membabi buta dan tanpa amalan, teori mati pucuk. 

Seyogia, dalam memastikan orientasi keagamaan kita membawa manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan dunia, teori-teori yang berkaitan dengan keagamaan harus dibahaskan dari kaca mata sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan, terutama sekali, dari ilmu sosiologi dan falsafah sebelum, semasa dan selepas kita mempraktikkan teori itu.

Sejak beberapa tahun yang lalu, metateori dan teori Islamisasi ilmu yang berhubung kait dengan Islamisasi masyarakat, politik dan iktisad (ekonomi) semakin semarak di Malaysia dan Singapura. 

Islamisasi ilmu sebenarnya merupakan respons kepada kebangkitan Islam yang bertitik tolak dari tahun 1970-an dan menjangkau marcapada kita. Sejak kebelakangan ini, ada segelintir masyarakat Islam di Singapura dan Malaysia yang memendam fikiran dan perasaan negatif terhadap sekularisme yang timbul dari tanggapan yang salah mengenai Islamisasi ilmu. 

Islamisasi Sebagai Tindak Balas Kepada Kebangkitan Islam 

Empat puluh tahun yang lalu, kebangkitan Islam mula berakar umbi dan menular di Singapura, Malaysia dan Indonesia. 

(Gambar: Giga Rizqona/Pexels)

Kebangkitan Islam merupakan fenomena sosial yang boleh ditakrifkan sebagai orientasi keagamaan yang menentang dan tidak menyukai ketertiban sosial yang wujud sekarang. Kendatipun pejuang kebangkitan Islam membesar dalam ketertiban sosial yang seadanya, ia diambil kira sebagai tidak sealiran dengan pengajaran Islam atau tidak Islamik. 

Pejuang kebangkitan Islam mempunyai iltizam untuk menggantikan ketertiban sosial yang tidak Islamik dengan sesuatu ketertiban yang dianggap sejajar dengan Islam yang tulen dan sahih. Justeru, kebangkitan Islam ini merupakan satu gerakan utopia yang mendambakan penumbangan ketertiban sosial dan penggantiannya dengan ketertiban yang baru. 

Kebangkitan Islam ini berbeza dengan orientasi keagamaan tradisionalis yang juga berpengaruh. Tradisionalisme bersifat ideologi dan hanya sibuk dalam hal ehwal menegakkan dan mengekalkan ketertiban sosial, iaitu ketegaran dalam lingkungan sosioagama. Golongan tradisionalis mempunyai sifat-sifat seperti menghampiri tradisi sebagai statik dan tidak berubah, berpaut kepada yang sudah lalu, keyakinan yang tidak dipersoalkan, keamanan dari keyakinan taklid, menentang perubahan, dan mengelak dan menolak persoalan. 

Tradisionalisme di sini bukanlah tradisionalisme seperti tradisionalisme perbadanan Nahdlatul Ulama di Indonesia yang menghampiri tradisi dengan sikap dinamis. Yang dimaksudkan di sini adalah tradisionalisme yang membekukan tradisi yang sepatutnya dilentur dan melentur dengan dinamis dan kritis. 

Gara-gara kebangkitan Islam, ramai pejuang yang bekerja keras untuk menyuburkan ideologi menubuhkan negara Islam dan iktisad Islamik. Mereka menjerumuskan diri dalam perjuangan untuk mengislamisasikan dasar-dasar awam, pemerintah dan kedua-dua aspek awam dan peribadi. 

Islamisasi sekali gus menjadi tujuan, nilai dan ukuran kejayaan duniawi dan ukhrawi bagi pejuang kebangkitan Islam. 

Natijahnya, rangkaian sekularisme seperti yang diamalkan di Singapura ditolak sebulat-bulatnya oleh ramai daripada golongan yang berpihak kepada kebangkitan Islam. 

Salah satu respons dari kebangkitan Islam adalah Islamisasi ilmu. 

Konteks Islamisasi Ilmu Berpangkal Dua

Gerakan Islamisasi di Malaysia dan Singapura diangkat oleh sebahagian para pengikut perspektif Islamisasi ilmu yang dipelopori di rantau ini oleh Profesor Syed Naquib Al-Attas, seorang ulama besar di Malaysia. Dari golongan anak murid Profesor Syed Naquib Al-Attas dan tradisinya, timbullah individu-individu berpengaruh di rantau ini. 

Sebagai pola, pentadbiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi memberi jawatan kepada pengikut dan pelajar Al-Attas untuk melakarkan dasar-dasar pemerintah, terutama sekali, dalam pembangunan Islam Hadhari. 

Ada perspektif Islamisasi ilmu yang kedua, yang dipelopori Ismail Faruqi. Perspektif Islamisasi ilmu ini bertujuan mengislamisasikan disiplin dan menubuhkan disiplin Islamik seperti Sosiologi Islamik, Iktisad Islamik, Antropologi Islamik, Biologi Islamik, Psikologi Islamik dan sebagainya. 

Perspektif ini sangatlah positivistik, yakni, ia sebuah sistem yang menghadkan dirinya kepada maklumat yang datang dari pengalaman dan mengecualikan agakan dan andaian metafizik. 

Kalau kita melihat Islamisasi ilmu dari segi konteks yang lebih luas, ia dapat ditempatkan pada kesedaran semakin membangkit yang membongkar masalah-masalah yang berpucuk pangkal dari akar umbi budaya Barat yang menjadi landasan sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan. 

Sementelahan, kesedaran ini mencetuskan usaha untuk memikirkan landasan epistemologi, metafizik dan budaya baru untuk sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan. Usaha ini merangkumi penyahjajahan, pebangsaan dan peribumian sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan. 

Islamisasi ilmu merupakan usaha menjadikan Islam sebagai landasan sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan. 

Pada hemat saya pula, asal usul barat dan bukan barat sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan adalah dikotomi yang salah kerana cabang-cabang ilmu ini muncul dari interaksi dan gabungan pelbagai tamadun dan budaya. 

Falsafah dan Metafizik Al-Attas

Islamisasi ilmu dari perspektif Ismail Faruqi boleh dikatakan sangat positivis dan hanya menangani Islamisasi mata pelajaran yang berkenaan. 

Ini hanya sesuatu yang melibatkan bentuk dan bukan inti pati substantif mata pelajaran itu. Contohnya, sosiologi yang diamalkan oleh penyelidik Muslim dan bukan Muslim adalah sama dari segi serba metode, tinjauan literatur, analisis dan kumpulan data kualitatif dan kuantitatif dan sebagainya. 

Apa yang berbeza adalah minda, perspektif dan tasawwur. Dalam masyarakat sekular, kita boleh membicarakan tentang minda yang sebahagiannya telahpun disekularisasi walaupun mindanya tidak sekular dengan sepenuhnya.

Al-Attas adalah cendekiawan, intelektual dan ulama yang sangat besar tarafnya dan yang saya sangat kagumi. Dalam pada itu, teori dan metateori Islamisasi ilmunya tidak bermasalah dan sangat bernilai. 

Tetapi, Islamisasi ilmu dari perspektif Al-Attas mungkin adalah salah satu gerakan yang mungkin telah disalahtakrifkan oleh pejuang-pejuang Al-Attas. Pada pendapat saya, karya-karya Al-Attas seperti “Prolegomena Metafizik Islam” dan juga “Islam dan Sekularisme” berunding tentang Islamisasi minda dan bukan institusi, mata pelajaran, atau negara. 

Ini berkesinambungan dengan tema Sufisme yang menghiasi karya-karya Al-Attas yang lebih awal seperti “Beberapa Aspek Tasawuf yang Difahami dan Diamalkan dalam kalangan orang Melayu” dan “Mistik Hamza Fansuri”. 

Dari lensa minda yang Islamik, selain dari pengalaman dan sumber pengetahuan yang sekular, ada sumber pengetahuan yang suci seperti ilham, gerak hati dari Tuhan dan wahyu. 

Afiliasi dan orientasi Al-Attas lebih cenderung kepada tradisionalisme daripada kebangkitan Islam. Tetapi, para pengikut Al-Attas kebanyakannya berorientasi kebangkitan Islam. Bagi mereka, sekularisme menentang dan menggugat Islam yang tulen, yakni Islam sebagai sistem holistik atau cara kehidupan yang dapat menyelamatkan mereka daripada kelampauan dan kelemahan yang dijana kemodenan. 

Al-Attas tidak sekalipun menyebut tentang penubuhan negara Islam ataupun entiti politik Islamik. 

Bahkan, gagasan-gagasan Al-Attas mengenai sekularisme bernada epistemik, epistemologi dan metafizik. 

Sementelahan itu, Al-Attas banyak membuahkan ilmu falsafah dan tasawwuf dan tunggaknya adalah Sufisme.

Dari sudut Sufisme, yang penting adalah Islamisasi epistemologi dan metafizik minda, tasawwur dan perspektif dan bukanlah Islamisasi mata pelajaran ataupun institusi seperti iktisad dan siasah. 

Islam tidak menentukan sebarang institusi politik ataupun iktisad yang harus diikuti umatnya dan ini adalah satu rahmah dari Allah supaya kita dapat menyesuaikan diri dengan konteks setempat, biarpun ia mengikut sistem demokrasi, kapitalisme, sosialisme, kerajaan dan sebagainya. 

Natijah dari kemungkinannya, salah faham karya-karya Al-Attas, ramai dari pengikut Al-Attas berideologi Islamisme dan ini sangat bermasalah bagi konteks sekular di Singapura. 

Islamisme adalah fahaman bahawa Islam, yakni orientasi dan versi Islam yang dianuti golongan Islamis, harus menjadi pegangan bagi segala aspek kehidupan manusia termasuk politik, sosial, ekonomi, budaya dan kehidupan peribadi. 

Ramai pengikut Al-Attas menumpukan perhatian kepada penulisan ideologi “Islam dan Sekularisme” yang telahpun menggerakkan kerajaan Malaysia untuk mengislamisasikan sfera publik, termasuk dasar-dasar dan institusi-institusi negara. 

Malahan pula, ramai daripada pengikut Al-Attas tidak mengakui mahupun menyedari tentang falsafah Yunani yang wujud dalam aliran fikiran Al-Attas. Al-Attas menggunakan buah fikiran Imam Al-Ghazali dan juga ahli falsafah Yunani Aristotle. 

Al-Attas mendalami falsafah lampau Yunani yang bukan Muslim dan falsafah dan metafizik secara umum. Apatah sayangnya bahawa ramai pengikut Al-Attas tidak mempelajari asas intelek Al-Attas, termasuk bidang falsafah dan metafizik, yang merupakan kepakaran Al-Attas. 

Dengan tidak menyedari sumber asas intelektual Al-Attas, ramai daripada para pengikut Al-Attas tidak menghargai dan peka dengan kekayaan asal usul ilmu, seperti ilmu falsafah, yang dibuahkan interaksi pelbagai budaya dan tamadun, termasuk yang Muslim dan bukan Muslim. 

Islamisasi Minda dan Perspektif Tidak Menghalang Sekularisme Politik

Akhirulkalam, boleh dikatakan bahawa Islamisasi ilmu Syed Naquib Al-Attas, yang merupakan respons kepada pembangkitan Islam telah disalah faham oleh ramai pengikutnya sebagai Islamisasi institusi, dasar awam, iktisad dan masyarakat. 

Bentuk Islamisasi ini sangat menentang sekularisme institusi seperti yang ada di Singapura. Sekularisme Singapura sebaliknya, melindungi hak beragama dan keagamaan khalayak ramai, serta kesaksamaan antara agama. 

Ramai daripada mereka yang salah tanggap terhadap Islamisasi ilmu Al-Attas berorientasi kebangkitan Islam. Yang harus dielak adalah sekularisasi minda secara bulat-bulat. 

Yang dimahukan adalah Islamisasi perspektif dan minda dalam kalangan umat Islam bukan Islamisasi institusi negara yang asalnya sekular seperti Singapura. 

Anti-sekularisme dari segi sekularisme institusi harus dibanteras di negara seperti Singapura, sesuai dengan konteks kita.

MENGENAI PENULIS:

Profesor Syed Naquib Al-Attas (Gambar: Agensi berita)
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan