KOMENTAR: Indonesia perlukan pelan rapi untuk elak perangkap pandemik COVID-19
Indonesia memerlukan rancangan peringkat negara yang sistematik dan bersasar agar ia tidak terjebak dalam “perangkap pandemik” di mana jumlah jangkitan terus naik turun dengan mendadak, angka korban kekal tinggi dan rumah-rumah sakit terus bergelut dengan bilangan pesakit yang begitu ramai.
Kakitangan perubatan merawat pesakit COVID-19 di dalam khemah di luar sebuah hospital di Bogor, Indonesia. (Gambar: AFP/Aditya Aji)
BERITAmediacorp: Indonesia memerlukan rancangan peringkat negara yang sistematik dan bersasar agar ia tidak terjebak dalam “perangkap pandemik” di mana jumlah jangkitan terus naik turun dengan mendadak, angka korban kekal tinggi dan rumah-rumah sakit terus bergelut dengan bilangan pesakit yang begitu ramai.
TERLEPAS PELUANG KEEMASAN
Dr Pandu Riono dari Universiti Indonesia yang mengkritik langkah-langkah membendung COVID-19 negara itu berpendapat, usaha yang kurang membuahkan hasil untuk membendung jangkitan berpunca daripada peluang-peluang keemasan untuk memperketatkan sekatan-sekatan yang terlepas pandang pada tahun lalu.
Jika Jakarta dikenakan sekatan pergerakan ketat yang giat dikuatkuasakan apabila kelompok jangkitan pertama dikesan seawal Mac tahun lalu, COVID-19 tidak akan merebak ke bandar-bandar lain di Jawa atau pulau-pulau lain di Indonesia, ujar Dr Riono dalam rancangan In Conversation terbitan CNA.
(Gambar: Reuters)
Pemerintah kini mesti merancang langkah-langkah yang perlu dilakukan dan dicapai pada tahun akan datang dan pada tahun seterusnya, kata Dr Pandu. “Tanpa perancangan, tidak akan ada cara untuk mengawal pandemik.”
Sungguhpun demikian, pemerintah Indonesia menegaskan bahawa ia sudahpun mempunyai strategi jangka panjang untuk mengatasi pandemik COVID-19.
Dalam wawancara bersama dengan Mediacorp pada 30 Julai, Menteri Penyelaras Bidang Maritim dan Pelaburan Luhut Pandjaitan berkata Indonesia menetapkan sasaran untuk memperhebatkan program vaksinasi negara sehingga dapat memberikan 2.5 juta suntikan dalam sehari menjelang bulan ini dan kemudian sehingga lima juta dos setiap hari.
Indonesia sedang berusaha sedaya upaya untuk mengawal penularan pulau demi pulau, kata Encik Luhut, yang merupakan menteri bertanggungjawab bagi respons pandemik Indonesia.
(Gambar: Ajeng Dinar Ulfiana/Reuters)
Negara itu juga sedang melakarkan pelan hala tuju bagi hidup bersama dengan COVID-19. Rakyat Indonesia mungkin perlu terus memakai pelitup dan membawa kad vaksinasi di mana saja mereka berada, kata Encik Luhut.
Dr Pandu turut berharap agar pelan tersebut menyedari bahawa imuniti kelompok mungkin sukar untuk dicapai.
‘TIADA IMUNITI KELOMPOK DI INDONESIA’
Pakar kesihatan awam itu terlibat dalam kajian serologi yang dijalankan pada Mac oleh jabatan kesihatan Jakarta dan rakan-rakan lain yang mendapati 44.5 peratus daripada 10.6 juta penduduk ibu kota Indonesia itu pernah dijangkiti COVID-19.
Seorang pekerja memakai PPE di sebuah pasar di Jakarta, Indonesia pada 25 Jun 2020. (Gambar: Reuters/Willy Kurniawan)
Perangkaan yang dikeluarkan bulan lalu itu jauh lebih tinggi daripada perangkaan rasmi yang dilaporkan oleh pihak berkuasa. Sungguhpun demikian, imuniti kelompok di Jakarta tidak mungkin akan dapat dicapai kerana bandar itu sering dikunjungi para pelawat dari wilayah-wilayah lain Indonesia yang mungkin mempunyai kadar vaksinasi atau daya imuniti yang rendah.
“Tiada imuniti kelompok di Indonesia untuk COVID-19,” kata Dr Pandu. “(Jumlah) penduduk Indonesia sangat besar (lebih) 270 juta. Dengan keberkesanan vaksin yang sangat rendah seperti Sinovac, sekalipun 100 peratus penduduk Indonesia divaksin, kita tidak mungkin akan mencapai imuniti kelompok.”
Jika Indonesia terus menguruskan COVID-19 dengan cara yang tidak teratur, jumlah kes COVID-19 akan terus naik turun walaupun "sehingga Presiden Jokowi menamatkan penggal keduanya”.
KEALPAAN YANG MEMBAWA PADAH
Cabaran-cabaran yang dihadapi Indonesia termasuk penyebaran maklumat salah, bekalan vaksin yang tidak mencukupi dan langkah-langkah yang sukar difahami dan mengelirukan serta pembukaan semula wilayah-wilayah tertentu yang dilakukan terlalu awal dan secara terburu-buru, kata Dr Pandu.
Orang ramai menunggu untuk mendapatkan suntikan dos vaksin COVID-19 di Surabaya, wilayah Jawa Timur, Indonesia, pada 6 Ogos 2021. (Gambar: Antara Foto/Zabur Karuru menerusi Reuters)
Beliau berpendapat Indonesia mungkin tidak mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk menampung dua juta dos setiap hari pada bulan ini, seperti yang disasarkan oleh pemerintah pimpinan Presiden Jokowi. Terdapat juga cabaran-cabaran logistik, misalnya memastikan terdapat cukup pekerja kesihatan untuk menjalankan program vaksinasi.
Orang ramai juga perlu menerima maklumat tepat tentang vaksin dan kesan-kesan sampingannya.
“Masalah vaksin itu sering kali menjadi rumit kerana sering kali ada kesan sampingan atau kejadian yang membuat orang takut divaksinasi. Misalnya, ada yang tiba-tiba sakit, tiba-tiba meninggal, dan sering dicurigai akibat vaksin,” ujar Dr Pandu.
Pemerintah juga sepatutnya berpendirian lebih tegas terhadap sebarang penyebaran maklumat salah tentang COVID-19 dan memberi amaran atau menghukum sesiapa saja yang menyebarkan maklumat palsu.
Beliau juga berpendapat bahawa pemerintah sepatutnya mengawal pergerakan orang awam dengan lebih ketat semasa Mudik Lebaran dan Hari Raya Haji.
Orang ramai beratur panjang di Stesen Kereta Api Senen di Jakarta pada 4 Mei 2021 untuk menjalani ujian pantas COVID-19 sebelum mudik ke kampung halaman. (Gambar: Nivell Rayda)
Sebelum ini beliau menggunakan “herd stupidity” atau "kealpaan yang membawa padah" untuk merujuk kepada para penduduk yang berlibur di kampung halaman mereka tanpa menghiraukan sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan.
“Penduduk tidak mahu untuk dilarang untuk mudik Lebaran dan juga pemerintah tidak betul-betul melarang sehingga terjadi yang saya khuatirkan, ada peningkatan varian Delta,” kata Dr Pandu.
Selepas Lebaran pada 13 Mei, jumlah kes harian COVID-19 di Indonesia melonjak dari kurang 5,000 kepada lebih 50,000 kes menjelang Julai. Antara 1 hingga 11 Ogos pula, bilangan kes harian yang dicatatkan adalah antara julat 20,709 dengan 39,532.
Di tengah-tengah penularan yang pantas itu, terdapat juga kekeliruan sama ada Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia meluluskan ubat pencegah parasit ivermectin bagi kegunaan darurat terhadap COVID-19. Menyusuli laporan-laporan media tentang dakwaan itu, ketua BPOM berkata ubat itu sebenarnya sedang menjalani ujian klinikal di lapan hospital.
Satu lagi perkara yang membangkitkan kemarahan Dr Pandu adalah percubaan pemerintah untuk membuka semula Bali yang pada pengamatannya dilakukan "terlalu awal".
Indonesia melancarkan program Bekerja dari Bali (Work from Bali) bagi para anggota perkhidmatan awam pada Mei dengan harapan untuk mencergaskan semula ekonomi pulau itu yang sangat bergantung kepada pelancongan. Namun dengan kes-kes COVID-19 kembali melonjak, Dr Pandu menyamakan kebangkitan semula Bali (Bali rebound) dengan ungkapan “kebangkitan semula COVID di Bali” (COVID rebound in Bali).
Dalam wawancara bersama dengan Mediacorp, Encik Luhut berkata kes-kes COVID-19 di Bali mungkin akan beransur stabil selewat-lewatnya pada hujung tahun ini. Pulau peranginan itu sudah memvaksin lebih 85 peratus penduduknya dan ia mungkin mencapai paras 90 peratus tidak lama lagi, katanya.
USAH TAKUT DENGAN INDONESIA
Meskipun Indonesia masih bergelut dengan COVID-19, Dr Pandu menyeru negara-negara jiran di Asia Tenggara supaya jangan memencilkan negara itu dan sebaliknya saling membantu.
“Bantulah Indonesia supaya boleh mengatasi pandemik, supaya kita boleh kembali bersahabat tanpa harus ada rasa curiga atau takut,” gesa Dr Pandu.
“Indonesia itu ‘dangerously beautiful’. Berbahaya tetapi sangat indah. Jangan ditakuti.”
*Komentar ini berdasarkan wawancara eksklusif bersama dengan Dr Pandu Riono.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.