Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Individu radikal kekal sebagai ancaman utama terhadap keselamatan SG

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Individu radikal kekal sebagai ancaman utama terhadap keselamatan SG

Gambar fail penunjuk perasaan Palestin. (Gambar: AFP/Mahmud Hams)

BERITAmediacorp: Awal bulan ini, pihak berkuasa Singapura mengumumkan penahanan seorang guru lelaki warga Singapura berusia 38 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dia ditahan setelah didapati merancang untuk berangkat ke Palestin demi melakukan keganasan bersenjata.

Penahanannya telah dirangsang oleh konflik Israel-Palestin. Dia juga bersedia untuk pergi ke kota Gaza di Palestin atas nama menghulurkan bantuan kemanusiaan demi menyertai kumpulan militan Hamas dalam memerangi Israel. Bagaimanapun, siasatan setakat ini mendedahkan dia bertindak bersendirian dan tidak ada tanda-tanda dia berhasrat untuk melakukan serangan di Singapura.

Kes sebegini bukanlah perkara baru di Singapura.

Pada 2021, seorang warga Singapura berusia 20 tahun telah ditahan di bawah ISA kerana merancang untuk melakukan serangan dengan sebilah pisau terhadap orang Yahudi di rumah ibadat mereka di sini. Dia juga telah merancang untuk ke Gaza bagi menyertai Hamas. Kedua-dua lelaki tersebut menjadi radikal akibat kebencian yang mendalam terhadap Israel selepas berasa yakin bahawa rakyat Palestin ditindas dalam konflik Israel-Palestin.
Gambar: Today
Ancaman Utama Singapura

Pihak berkuasa Singapura menganggap radikalisasi diri (self-radicalisation atau meradikalisasikan diri sendiri) sebagai ancaman yang terbesar kepada negara ini.

Guru tersebut ditahan kerana fahamannya yang radikal dan sokongannya terhadap keganasan bersenjata. Singapura mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap ancaman sedemikian dan secara amnya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, menggalak, melaksanakan atau bersedia untuk melakukan keganasan bersenjata.

Ini tidak kira bagaimana mereka merasionalkan keganasan sedemikian atau di mana ia berlaku.

Laporan Penilaian Ancaman Keganasan di Singapura yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 13 Julai 2022 menyatakan bahawa penyebaran ideologi radikal dalam talian telah meningkatkan ancaman radikalisasi diri di Singapura.

Ia melaporkan bahawa sejak 2015, seramai 45 individu yang menjadi radikal secara sendiri, terdiri daripada 33 warga Singapura dan 12 warga asing. Mereka telah dikenakan Perintah Tahanan atau Arahan Sekatan di bawah ISA. Tiga belas daripada mereka – tiga warga Singapura dan 10 warga asing – telah disabitkan di bawah Akta Pengganasan (Penindasan Pembiayaan) atas kesalahan membiayai pengganasan.

Perkembangan yang berterusan di luar negara seperti konflik Israel-Palestin, perang di Ukraine dan peristiwa di Afghanistan dan Timur Tengah berpotensi menjejaskan landskap keselamatan Singapura. Ia juga mempunyai implikasi terhadap kestabilan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.

Tidak dinafikan bahawa peperangan dan konflik ini boleh dieksploitasikan oleh kumpulan pelampau. Ini dilakukan dengan mempromosikan naratif radikal mereka dan mengambil peluang untuk mempengaruhi masyarakat dengan naratif tersebut. Oleh itu, adalah penting untuk Singapura mengekalkan pendekatan toleransi sifar terhadap semua bentuk ucapan kebencian dan retorik ekstremis.
 
(Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)
Perlu Berwaspada

Dengan radikalisasi yang menimbulkan ancaman berterusan kepada Singapura, rakyat Singapura perlu lebih berwaspada. Kewaspadaan dan kesiapsiagaan awam adalah komponen utama dalam pertahanan Singapura terhadap ancaman penggasanan.

Walaupun buat masa ini tiada risikan khusus mengenai serangan pengganas yang akan berlaku, Singapura terus muncul sebagai sasaran dalam propaganda pengganas. Dengan pelonggaran sekatan-sekatan pandemik COVID-19 dan penyambungan semula perjalanan rentas sempadan, kumpulan-kumpulan pengganas mungkin menjadi lebih aktif dan boleh melancarkan semula rancangan yang telah ditangguhkan.

Mengenai kewaspadaan terhadap ancaman pelampau, rakyat Singapura umumnya agak leka.

Sebagai contoh, tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada 2021 menunjukkan peratusan responden yang percaya bahawa Singapura menjadi sasaran pengganas telah merosot sebanyak 7 peratus dari 2019 hingga 2020. Sehubungan itu, mengulas mengenai penangkapan ISA baru-baru ini, Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam berkata walaupun warga Singapura merasakan ancaman pengganasan semakin reda, hakikatnya ia semakin meningkat.
Gambar fail seorang lelaki melihat skrin komputer.
Rakyat Singapura perlu juga berwaspada kerana tersebarnya ideologi pelampau secara meluas dalam talian. Walaupun tiada ancaman fizikal kepada Singapura, ancaman daripada kumpulan-kumpulan pengganas dan ideologi ganas mereka masih berterusan. Rangkaian penyokong mereka terus menyebarkan propaganda, mengumpul dana dan merancang serangan.

Kumpulan-kumpulan pelampau dan juga pendakwah radikal mengeksploitasi internet dan media sosial untuk mempengaruhi golongan muda. Sebagai contoh, guru yang ditahan baru-baru ini terpengaruh dengan ajaran pendakwah asing radikal seperti Zakir Naik dan Ahmed Deedat, yang disebarkan melalui video dalam talian.

Video-video ini menggalak konsep jihad bersenjata dalam mempertahankan Islam dan seterusnya mengukuhkan kepercayaan guru berkenaan mengenai keperluan untuk melibatkan diri dalam usaha membela rakyat Palestin.

Melangkah ke Hadapan

Ancaman ideologi pelampau yang muncul dari kumpulan-kumpulan dan individu-individu telah berkembang lebih dua dekad sejak Singapura membongkar rangkaian Jemaah Islamiyah (JI) yang beroperasi di sini pada 2001. Pada masa itu, JI merancang untuk menyerang beberapa sasaran di Singapura atas nama jihad.

Pada 2007, Singapura mengenal pasti kes pertama radikalisasi diri (menjadi radikal secara sendiri) apabila seorang peguam muda yang bukan sebahagian daripada JI ditahan di bawah ISA. Dia ditahan kerana terpengaruh dengan idea jihad militan dari laman internet.

Pada 2011, beberapa warga Singapura telah ditangkap kerana merancang untuk ke Syria bagi menyertai konflik bersenjata di sana, manakala sejak 2014, beberapa warga Singapura telah ditahan kerana menyokong kumpulan pengganas ISIS.
Gambar hiasan.
Hari ini, ancaman utama terhadap keselamatan Singapura datang daripada individu-individu yang menjadi radikal secara sendiri.

Internet, telefon bijak dan kemajuan teknologi lain telah menjadi alat utama propaganda kumpulan pelampau.

Ia terus mencabar keselamatan dan kestabilan Singapura.

Wadah media sosial juga telah memudahkan dengan lebih pantas dan lebih murah untuk menyebarkan idea dan ideologi radikal.

Penahanan kali ini merupakan satu peringatan penting bahawa ancaman radikalisasi diri masih belum pudar.

Setiap rakyat harus sedar bahawa ancaman ini berterusan dan akan kekal untuk jangka masa yang lama.

Justeru, ia memerlukan perhatian dan respons yang berterusan daripada pemerintah dan masyarakat.

Penggunaan atau advokasi keganasan, walaupun dengan niat untuk melakukannya di luar Singapura atas apa jua sebab, adalah tidak wajar sama sekali.

Konflik Israel-Palestin telah berlarutan selama beberapa dekad. Sentimen dan perasaan kecewa, marah dan simpati terhadap mereka yang ditindas oleh konflik tersebut adalah wajar dan semula jadi.

Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa keganasan bukanlah cara untuk menyelesaikan konflik kerana ia hanya akan membawa kepada masalah yang lebih besar.

Rakyat Singapura digalakkan membantu mereka yang terjejas akibat konflik melalui saluran yang sah seperti menderma kepada usaha bantuan kemanusiaan serta menunjukkan perpaduan melalui cara yang aman.

Terdapat juga keperluan untuk membantu mereka yang terkesan dengan konflik tersebut, dengan cara yang dapat menangani dan menguruskan kemarahan dan sentimen mereka.

Masyarakat Singapura harus terus bersatu dalam mencegah ancaman radikalisasi yang tiada kesudahannya.
MENGENAI PENULIS:
Dr Mohamed Bin Ali. (Gambar: Dr Mohamed Bin Ali)
Dr Mohamed Bin Ali adalah Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura dan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan