KOMENTAR: Iktibar Tumbangnya Majlis Pusat Singapura

(Gambar fail: Majlis Pusat)
Perkembangan ini meruntun hati masyarakat. Apakah ertinya kepada penakatan pertubuhan Melayu di negara ini?
Bagaimanakah sebuah pertubuhan induk yang dihormati sejak 1970-an tiba-tiba tumbang oleh perintah mahkamah?
Begitulah kisah Majlis Pusat Singapura. Ia diarah tutup usia atau pembubaran berikutan saman Siti Hasmah Adam yang menuntut S$400,000.
Makalah ini tidak bermaksud mengulas kes terbaharu MPS tetapi mengimbas liku perjalanannya sehingga membawa kepada detik akhir yang disifatkan “amat sedih dan mengecewakan” oleh kalangan ramai yang pernah bersama MPS.

Sesudah perpisahan dengan Malaysia yang membawa kepada kemerdekaan Singapura pada 9 Ogos 1965, masyarakat Melayu di pulau kecil ini dicerut sindrom minoriti. Mereka ‘kembali’ terpinggir sebagai kaum minoriti yang lemah kuasa politik, berekonomi daif dan berserabut dengan pelbagai isu sosial.
Keadaan pincang atau jembel ini terpapar dalam banyak kajian, termasuk buku klasik daripada tesis sarjana Ismail Kassim (1943-2019), Problems Of Elite Cohesion : A Perspective From A Minority Community (1973).
Keunggulan buku ini pada penampilan barisan tokoh dari Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu (MP) yang cuba membawa perubahan sikap dan kemajuan untuk orang Melayu Singapura.
Pencerah utama ialah Cikgu Sha’ari Tadin (1932-2009), yang pernah menjadi pendidik sehingga Setiausaha Parlimen (Kebudayaan dan Pelajaran, 1968-80). Beliau yang dijulang sebagai guru Melayu pertama meraih ijazah (dari Universiti Malaya), telah mencetuskan gagasan Sekretariat Melayu yang menghimpunkan seluruh pertubuhan Melayu untuk membangunkan masyarakat dan berdialog dengan Pemerintah.
Ideanya mendapat sokongan penuh kalangan pimpinan akar umbi Melayu era itu, termasuk badan yang masih bertahan, Kesatuan Melayu Singapura (badan separa politik Melayu pertama di dunia yang diasaskan Mohd Eunos Abdullah pada 1926).
Selepas perbincangan luas, maka tertubuhlah Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu (MP) pada 1969 sebagai induk kepada lebih 30 badan Melayu dalam bidang menyeluruh iaitu seni, sukan, pendidikan sehingga agama. Buat pertama kalinya, ia mempunyai fasal perlembagaan yang membolehkannya mengadakan perniagaan.
Ketika itu dipercayai terdapat 200 badan Melayu - dari Persatuan Burung Merbah Jambul sehingga syarikat kerjasama (koperatif). Namun sekitar 40 yang dikatakan berdaftar dan aktif.
Sayangnya, Cikgu Shaari tidak mendapat mandat untuk menjadi Yang Dipertua (istilah ini kemudian digantikan dengan istilah ‘presiden’) kerana majoriti perwakilan MP enggan dikaitkan dengan politik.

Budayawan Cikgu Muhammad Ariff Ahmad telah mengesyorkan agar Mohd Yatim Mohd Dohon (1924-2016, Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) iaitu badan yang pernah dipimpin Cikgu Shaari), dipilih sebagai presiden (1969-1973). Syor ini mendapat sokongan luas.
Presiden kedua MP ialah Mohd Yusof Ahmad (1925-1995, pengarah jualan rantau Ford Motors Singapura, sehingga 1985).

JASA LUAS
MP amat diyakini masyarakat Melayu kerana rekod gigihnya dengan pelbagai rancangan bantu diri rintisannya untuk memajukan orang Melayu yang tinggal jauh dari bandar seperti Kampung Berih (Lim Chu Kang Road).
MP pernah menyediakan pekerjaan seperti pemandu teksi, mengelolakan kelas bimbingan (bersama beberapa badan menerusi Jawatankuasa Bersama Pelajaran), mengadakan semula Bulan Bahasa Melayu pada 1981 (lanjutan daripada Bulan Bahasa Kebangsaan yang terhenti pada 1966) dan dua Pesta Budaya Melayu pada 1983 dan 1985, serta Hadiah Sastera pada 1974 sehingga 1985 dan juga Kongres Ekonomi Masyarakat Melayu-Islam pada 1985.
MP juga bertindak dalam melatih ramai relawan untuk membimbing bekas penagih dadah, menyantuni keluarga pincang menerusi Pusat Temasek di estet Bedok South sehingga menangani kes kenakalan kanak-kanak daripada mahkamah juvenil dan memupuk kesedaran penyakit ginjal menerusi Jawatankuasa Bertindak Ginjal Muslim.
Ia gigih mengadakan seminar dan dialog dengan pemimpin nasional. Ini bermula pada 1971 melalui Seminar Penyertaan Melayu Dalam Pembangunan Negara dengan kerjasama sebuah badan bukan Islam. Sejak itu, MP kian menarik perhatian luas kerana pembelaan ‘masalah Melayu’ yang diangkat sebagai isu nasional.
BARISAN PELAPIS
Para pemimpin pendiri MP juga gigih mengenal pasti ‘darah muda’ sebagai pengganti mereka menerusi jalinan akrab dengan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura (kerabatnya) yang menampilkan kalangan siswazah, antaranya Zulkifli Mohammed, Masramli Masjur, Yatiman Yusof dan Mohd Amin Sidek.
Masih segar dalam ingatan saya ketika MP mengadakan Khemah Kepimpinan Belia pada 1977 di Pusat Latihan Kepimpinan Masyarakat (NACLI) di South Buona Vista yang menonjolkan dua pemakalah iaitu Mansor Hj Sukaimi, AP Kembangan dan Yatiman Yusof, Setiausaha Agung MP dan seorang guru.
MP terkenal di rantau ini kerana mempunyai jalinan mesra menerusi siri saling berkunjung dengan gerakan belia Malaysia dan Indonesia. Ia turut membentuk Sekretariat Dunia Melayu, Dunia Islam yang diasaskan di Melaka.
Tidak hairanlah, sejak 1970-an MP menjadi ‘tapak semaian’ bagi menyerap pemimpin Melayu untuk berbakti di persada nasional seperti Dr Ahmad Mattar dan Encik Abdullah Tarmugi.
Namun masa berlalu. Satu demi satu peranan MP bak diambil alih oleh beberapa pihak seperti Yayasan MENDAKI bagi pendidikan (kelas bimbingan) dan Majlis Bahasa Melayu (Anugerah Persuratan dan Bulan Bahasa). MP cuba merekayasa semula peranannya tetapi bersambut dingin daripada kerabatnya sendiri yang lamban mengajukan wakil dalam jawatankuasa pengelolanya. Akibatnya, JKPnya diisi oleh para ahli bersekutu sahaja.
DETIK GOYAH
Sejak mula sakit-sakitan, Encik Zulkifli Mohammed telah cuba mencari pelapisnya. Banyak nama disarankan termasuk daripada para ahli jawatankuasa pengelola MP sendiri. Tampillah Saharudin Kassim, yang pernah aktif dengan Perdaus (pernah menjadi kerabat MP) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Saharudin dikatakan cuba melancarkan reformasi dengan meningkatkan MP seperti badan Melayu profesional. Ini terpapar dalam usaha gahnya bagi penyalaan lampu raya yang menguntungkan. Beliaulah yang meyakinkan pucuk pimpinan MP agar meniadakan keanggotaan kerabat yang ‘melecehkan’ kerana sukar mendapatkan perwakilan.
Ternyata reformasi ini sekali gus melupuskan status ‘induk’ daripada MP. Keadaan diperburuk oleh tindakan tidak telusnya bersama dua pegawai MP. Pada tahun 2016, mereka didapati bersalah oleh mahkamah bersabit urusan wang bagi penyalaan lampu raya.
Sudahlah hilang kerabat, MP rugi besar dan tercemar imejnya dek skandal tadi. Muncul dua peneraju MP iaitu Ustaz Suri Abu dan Irianto Safari serta yang lain demi mengatasi krisis hutang piutang MP. Kes-kes tuntutan hutang tadi cukup meletihkan mereka kerana sering turun naik mahkamah dan menemui peguam sehingga sukar menaikkan semula imej MP .
Dek nila setitik, rosak susu sebelanga: Kesan keterlanjuran daripada skandal tadi juga menjejas urusan tajaka MP di Tampines yang merupakan sumber utama kelanjutannya, sehingga menamatkan kehadirannya.
Tidak syak tumbangnya MP adalah akibat daripada kesilapan demi kesilapan urus tadbir (governance) kewangan yang tidak telus lagi profesional. Ini suatu peringatan jitu dan berat bagi seluruh gerakan badan Melayu/Islam di nusa ini.

Apakah ini menandakan kian melemahnya gotong-royong atau semangat kerjasama Melayu? Hal ini ada disentuh dalam buku Hand to Heart (2016) yang turut saya sunting.
MENGENAI PENULIS

LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.