Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Hidupkan warisan cendekiawan masyarakat kita

Pemergian tokoh batik Singapura, Encik Sarkasi Said baru-baru ini adalah satu kehilangan besar buat negara. Sumbangan beliau terhadap seni lukisan akan sentiasa tersemat di hati rakyat Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Hidupkan warisan cendekiawan masyarakat kita

Antara cendekiawan kita - (dari kiri atas) Syed Hussein Alatas, Syed Sheikh Al-Hadi, Muhammad Latiff Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Suratman Markasan dan Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar-gambar: NST; Wikipedia; The Arts House; Facebook; Esplanade; Raman Daud)

BERITAmediacorp: Pemergian tokoh batik Singapura, Encik Sarkasi Said baru-baru ini adalah satu kehilangan besar buat negara. Sumbangan beliau terhadap seni lukisan akan sentiasa tersemat di hati rakyat Singapura. Walaupun beliau sudah meninggalkan kita buat selamanya, hasil kreativiti beliau masih boleh dikagumi generasi hari ini dan seterusnya. Kuncinya adalah untuk terus mendokumentasi atau merakamkan karya-karya beliau.

Gambar fail Sarkasi Said. 

Gambar fail Sarkasi Said.

Pemergian beliau juga harus dijadikan iktibar agar kita terus berusaha mencari generasi pelapis. Bukankah itu erti sebenar kekata warisan? Apalah ertinya warisan jika tidak disampaikan atau diajarkan kepada generasi seterusnya?

Sering kali, apabila kita sebut tentang warisan dan budaya orang Melayu, pandangan kita akan tertumpu kepada seni lukisan, seni bina, seni tembikar, gastronomi (ilmu makanan) atau adat istiadat.

Kalau sebut tentang gastronomi, yang menarik perhatian adalah kuih-muih Melayu, seperti kaswi, ondeh-ondeh dan naga sari dan sebagainya. Kalau daripada sudut adat pula, masyarakat kita akan mengaitkannya dengan aspek-aspek upacara perkahwinan, seni pantun, tarian dan muzik. Sebarang perbincangan tentang warisan dan budaya boleh dibahagi kepada dua bahagian: warisan yang ketara (tangible cultural heritage) dan warisan yang tidak ketara (intangible cultural heritage).

Baru-baru ini, warisan budaya penjaja (hawker culture) di Singapura diiktiraf UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) kerana memainkan peranan peting dalam mencorak identiti dan sejarah masyarakat Singapura. Tahun ini juga, sumbangan tokoh bangsawan masyarakat Melayu, Almahdi Al-Haj Ibrahim (atau Nadiputra) mendapat pengiktirafan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam kategori warisan tidak ketara.

(Gambar: NHB)

Pemenang Pingat Budaya Nadiputra. (Gambar: NHB)

Pastinya setiap warisan atau amalan kebudayaan akan mengundang sanggahan daripada pihak-pihak tertentu.

Misalnya, tentu akan ada pihak yang akan menyatakan hak pemilikan sesuatu amalan atau budaya itu milik kaum mereka. Misalnya, seni batik dan masakan rendang milik negara mana? Malah bukan hanya negara yang berbalah dalam soal hak pemilikan warisan, suku-suku dalam satu bangsa juga boleh berbeza pandangan.

EVOLUSI BUDAYA

Sebenarnya, setiap budaya itu akan mengalami evolusi dan tidak statik dan hal ini sama seperti bahasa.

Malah bagi golongan muda, akan wujud kuih-muih baru yang menyatukan aspek luar dan memberi nafas baru kepada kuih-muih Melayu. Pasti ada yang tidak setuju, tetapi ini juga usaha untuk menggalakkan kreativiti. Yang penting, ia sedap dimakan!

Bagi golongan yang sangat berjiwa sentimental dan mahu warisan dan budaya kekal asli, mereka boleh berusaha merakamnya dalam bentuk buku, penulisan, atau yang paling mudah, sejarah lisan.

Di Singapura, Arkib Negara (NAS) juga menggalakkan masyarakat mengumpulkan sejarah lisan di mana wawancara atau perkongsian akan dirakam dan dimuat naik dalam talian.

Saya sendiri telah meraih manfaat daripada usaha ini dalam kajian saya tentang presiden pertama Encik Yusof Ishak. Ramai tokoh seangkatan beliau, seperti Almarhum Zubir Said, yang telah memberikan komentar masing-masing terhadap presiden pertama itu, masih dapat didengar. Ini bermakna warisan dan budaya yang asli kekal lestari.

WARISAN INTELEKTUAL NUSANTARA

Sejauh ini, perbincangan tentang warisan jarang sekali memperhatikan tentang warisan intelektual.

Ramai yang pasti akur bahawa sumbangan Abdullah Bin Kadir Munsyi hampir 2 kurun yang lalu masih boleh memberi sumbangan kepada kita.

Mentelah, kritikan beliau terhadap budaya masyarakat feudal, amalan-amalan keagamaan masyarakat Islam yang masih mementingkan ritual dan kurang penerapan pada ilmu-ilmu moden, masih relevan hingga ke hari ini.

Malah sumbangan-sumbangan individu yang hidup sezaman dengan beliau, seperti Tuan Simi sangat terpencil. Beliau juga banyak memikirkan tentang nasib orang Melayu yang dipinggirkan semasa zaman penjajahan dan wadah yang beliau pilih untuk menggambarkan pandangan beliau adalah lewat puisi.

Anda boleh membaca karya-karya dan kuliah-kuliah Dr Azhar Ibrahim yang banyak menulis tentang Tuan Simi ini.

Setelah zaman beliau, karya-karya Syed Sheikh Al-Hadi tentang reformisme Islam, Za’ba tentang bahasa dan juga Abdul Rajim Kajai tentang pembangunan, juga boleh dianggap sebagai warisan intelektual.

Mempelajari karya-karya golongan ini tidak bermakna mengagung-agungkan mereka, malah kita boleh bersifat kritikal.

Salah satu daripada dua naskhah yang ditulis oleh Tuan Simi. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Salah satu daripada dua naskhah yang ditulis oleh Tuan Simi. (Gambar: BERITAmediacorp)

TOKOH-TOKOH BERWAWASAN

Pemerhatian kita juga tidak harus tertumpu kepada pemikir-pemikir dari Singapura kerana sebelum kemerdekaan, batasan negara-negara di rantau Nusantara ini tidak ketara.

Sebagai contoh, kita boleh ambil pengajaran daripada penulis-penulis seperti Tan Malaka, Tjokroaminoto, Sukarno, dan generasi kemudiannya seperi Syed Hussein Alatas, Hamka dan Nurcholis Madjid. Tokoh-tokoh sastera kita yang juga menyumbang kepada kritikan masyarakat seperi Muhammad Ariff Ahmad, Masuri SN, Suratman Markasan, Muhammad Latiff Muhammad juga berfikir tentang masalah masyarakat.

Tidak dilupakan juga bahasa warisan masyarakat tidak hanya terbatas dengan Indonesia, Malaysia dan Singapura tetapi harus merangkumi Filipina, terutama sekali penulisan-penulisan Jose Rizal yang menyanggah pandangan penjajah bahawa masyarakat pribumi itu bersifat malas.

Ulama-ulama di tanah Melayu juga banyak menulis karya-karya yang boleh dijadikan warisan intelektual.

Konsep warisan juga harus diberi pengertian baru. Warisan tidak terbatas kepada barang-barang lama atau personaliti-personaliti yang sudah meninggal dunia. Justeru, kita bukan hanya harus mengumpulkan khazanah lama tetapi bagaimana kita boleh berusaha mewariskan pemikiran kita buat generasi mendatang.

Seorang intelektual berfikir tentang masyarakat bertahun-tahun ke hadapan, mungkin dua puluh atau tiga puluh tahun. Kadangkala, pandangan mereka disanggah bulat-bulat di zaman mereka sendiri kerana terlalu ke hadapan.

Misalnya, pandangan Syed Hussein Alatas tentang pemindahan organ dianggap kontroversil satu ketika dahulu, tetapi kini dianggap sebagai norma dalam masyarakat.

Jika dahulu ada yang menyanggah kenapa khutbah Jumaat dibenarkan dalam bahasa Melayu, kerana asalnya, hanya khutbah bahasa Arab dibolehkan, kini bahasa Inggeris juga digunakan kerana memenuhi tuntutan semasa.

Para jemaah mendengarkan khutbah Aidiladha yang disampaikan oleh Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir, di Masjid Maarof pada 31 Jul 2020. (Gambar: MUIS)

MELESTARI, MEMARTABATKAN BUDAYA

Saya juga pernah berkongsi dengan Haji Maarof Salleh bahawa tulisan-tulisannya dua dekad dahulu masih saya baca kerana kritikannya masih relevan hingga ke hari ini.

Inilah harapan Yayasan Warisan Melayu (MHF) untuk merakam pemikiran intelektual masyarakat setempat dan kemudian menilainya semula dekad-dekad seterusnya.

Usaha ini dilakukan lewat Siri Cendekiawan Lestari yang membariskan tokoh-tokoh masyarakat Singapura. MHF juga akan cuba mendekati golongan belia dan mendengar pandangan mereka tentang warisan dan sejarah lewat inisiatif Sembang Ilmu.

Usaha-usaha ini dilakukan seiringan dengan pendekatan-pendekatan tradisional terhadap warisan seperti membina muzium yang canggih, menghidupkan acara-acara kesenian, tarian dan muzik dan juga perkongsian resipi-resipi makanan dan minuman.

Usaha MHF untuk menobatkan pemenang Hadiah Warisan dan Tunas Warisan pada 13 November nanti memenuhi tuntutan warisan tradisional ini. Semoga pandangan tentang warisan ini akan menampung minat setiap golongan dan ia kekal relevan dan menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan