Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Hari Kebesaran, Hari Perenungan

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Hari Kebesaran, Hari Perenungan

Gambar hiasan. (Gambar: Dzenina Lukac)

SINGAPURA: Setiap agama besar dunia mempunyai hari kebesarannya. Kita yang hidup dalam masyarakat majmuk, beruntung kerana kita dapat menyaksikan teman, jiran tetangga dan rakan sekerja kita yang berbilang kaum, agama dan budaya meraikan hari kebesaran masing-masing.

Hari kebesaran kepada setiap umat beragama bukanlah setakat cuti umum. Dalam kalangan penganut Hindu, ada Deepavali, penganut Buddha memperingati Hari Vesak, dan umat Islam pastinya Hari Raya Puasa (Aidilfitri) dan Hari Raya Haji (Aidiladha), selain Maulidur Rasul. Tanggal 25 Disember, penganut Kristian menyambut Krismas atau Natal, yang bererti meraikan hari kelahiran Nabi Isa, yang dipercayai oleh penganut Kristian sebagai kelahiran Nabi Isa yang datangnya untuk menyelamatkan manusia daripada kebinasaan.
 
(Gambar: Sanket Mishra)
Menariknya, setiap penganut agama hidup dan dibesarkan dalam budaya yang berlainan, setiap satu dengan sejarah dan latar budaya yang berbeza. Hari Raya Puasa atau Aidilfitri, pastinya disambut dalam ragam kebudayaan yang ada pada umat Islam itu sendiri. Maka tidak hairanlah cara sambutan Muslim di dunia Arab, Turki, India, Afrika, China, Eropah dan Asia Tenggara sangat berlainan antara satu sama lain.
 
(Gambar: RDNE Stock project)
Begitu juga dengan Krismas. Cara sambutan penganut Kristian di Palestin berbeza dari yang di Filipina, Poland, Panama, Pakistan dan Portugal. Namun yang mengikat sambutan ini adalah nilai-nilai yang diajarkan dan diterapkan sama ada oleh gereja ataupun pemuka utama agama ini.
 
(Gambar: RDNE Stock project)
Di Indonesia sebuah negara Islam terbesar di dunia, Krismas disambut oleh para penganut di gereja Protestan dan Katolik, dan dijadikan sebagai “tanggal merah” yakni cuti umum. Di kota-kota besar, sambutan Krismas dapat dilihat pada pokok Krismas, terhias indah di pusat beli-belah dan kawasan awam.

Namun dalam kalangan tokoh pemikir Kristian di negara itu, meraikan Krismas bukanlah suatu temasya konsumerisme dengan penjualan hebat memukau pembeli. Juga Krismas bukan teriakan identiti kelompok semata-mata, mahupun sekadar ritual berdoa di gereja.

Mangunwijaya, dengan sapaan akrab Romo Mangun adalah antara penulis besar Indonesia yang terkenal dengan novelnya (contohnya Burung-Burung Manyar, Romo Rahadi) dan esei-eseinya yang sering bersifat kritis dan membawa tema kemanusiaan. Beliau seorang 'gerejawan' yang disegani, terkenal dengan seruan kepada kemanusiaan dan berpihak kepada rakyat kecil. Hari kebesaran seperti Krismas menjadi hari perenungan mendalam bagi beliau.

Seorang sahabat yang pernah akrab dengan Romo Mangun, pernah menyifatkan bagaimana Romo Mangun meraikan Krismas. Hari besar ini bagi beliau bukanlah perayaan ritual semata-mata. Sebaliknya ia dianggap sebagai “penghayatan hidup sehari-hari ketika berpihak, peduli, dan juga sungguh-sungguh bela rasa kepada manusia.”

Tambah lagi, Krismas itu adalah lambang kasih sayang sesama manusia dan kehidupan serta yakin bahawa Sang Pencipta menyayangi makhluknya. Paling jelas, yakin Romo Mangun, bahwa Krismas bukan hadir hanya pada 25 Disember, tetapi makna itu bagi umat gereja, harus menjadi semangat hidup dengan melihat kesejahteraan Krismas dalam kehidupan seharian “dengan cara peduli, bela rasa, serta menjadi sahabat dan saudara orang miskin.”

Begitulah juga yang pernah kita dengar dari tokoh pemikir agama Islam apabila menyebut makna sambutan Aidilfitri. Hari kemenangan itu bukan setakat kejayaan menyempurnakan ibadah puasa, tetapi suatu pemihakan dan berdiri tegak menyantuni mereka yang terlantar sakit, tertinggal dan terpinggir.

Bacalah cerpen Kyai Ahmad Tohari, berjudul “Mas Mentri Menjenguk Tuhan,” akan kita terkesan daripada makna sebenar menyambut Lebaran, sama senada dengan pesan yang dibawa oleh Romo Mangun.

Ertinya hari kebesaran itu, bukanlah kita setakat memuji syukur kepada Tuhan yang Maha Besar, tetapi kita mesti terpanggil melihat hari besar itu kepada mereka yang kecil, terkerdil dan terkepil.
 
(Gambar: Bob SpringBob54)
Hari kebesaran adalah hari perenungan kepada individu, mengenangkan keluarga dan sanak saudara yang sudah berpulang. Ia juga hari yang membawa keluarga berkumpul sama. Sitor Situmorang, seorang penulis cerpen prolifik di Indonesia, yang lahir dari linkungan Batak Kristian, pernah menulis cerpen yang sangat menyentuh hati. Judulnya “Ibu Pergi Ke Surga.” Ia mengisahkan seorang anak yang akhirnya pulang ke kampung untuk menjenguk ibunya yang uzur.

Kepulangan beliau kali ini berdekatan dengan Krismas. Anak ini sudah lama meninggalkan kampung halaman, dan sudah tidak lagi ke gereja, tidak seperti ibunya yang taat. Pendeta menyarankan agar para jemaah gereja di kampungnya berkumpul di rumah ibunya agar kali ini ibunya dapat bersama beribadat dan bernyanyi pujian.

Orang kampung datang berkumpul di malam Krismas, namun sebelum upacara bermula, si anak sudah tahu ibunya berhenti bernafas. Pendeta dan orang kampung memikirkan bahawa ibu tua itu sedang tidur dan tidak seorang pun mahu mengganggunya.

Selepas upacara berakhir, si anak barulah memaklumkan kepada ayahnya bahawa ibunya sudah meninggal dunia. Pengebumian dijalankan esoknya. Pendeta yakin ibunya orang yang baik akan masuk syurga. Si anak pulang ke kota, meninggalkan ayahnya. Penceritaan ini bersahaja, namun syahdu terasa. Anaknya yang seperti “tiada rasa apa-apa” membuat pembaca gusar dan terkesan dari kehilangan seorang ibu. Krismas yang syahdu itu menjadi lembaran kita fikirkan perasaan manusia, kepercayaan, keyakinan, harapan dan kesebalan.

Romo Mudji Sutrisno, seorang penganut Katolik, pernah menyerukan perayaan Krismas dalam konteks Indonesia menjadi sambutan meraikan keberagaman (diversity). Bahawa cinta-kasih yang terkandung dalam ajaran Kristian harus membawa bangsa dan umat beragama kepada kesedaran nurani yang lebih mendalam.

Dengan keimanan kepada Tuhan bererti landasan moral harus dipertahankan, di saat banyak penyimpangan dan perakusan kuasa dan harta. Romo Mudji menganjurkan "Tolong tidak saling menjelekkan, tetapi menjadi jembatan karena untuk menyatakan yang benar adalah benar, yang indah adalah indah, yang suci adalah suci. Itu semua cerminan hidup yang kita syukuri."

Dalam siaran TV sempena merenung Krismas, Romo Mudji sempat menyimpulkan: “Bila makna Natal saat ini mau dihayati, jawabnya ada pada si kecil lemah yang menyatu dengan kita, sama dengan kita, menjadi sesama kita.”

Kita di Singapura, yang hidup dalam masyarakat majmuk beruntung dikumandangkan dengan nilai-nilai universal yang terkandung dalam hari kebesaran umat beragama yang lain. Ia menjadi penyatu kesedaran bahawa umat yang beragama harus saling hormat-menghormati bersama, berbahagi kepada yang memerlukan, berdiri sama dengan mereka yang ditindas dan dianiaya, serta memulihkan dan menjernihkan segala yang kotor dan tohor, baik di hati mahupun aksi. Hari kebesaran harus menjadi hari kebesaran iman kita untuk menyampaikan amanat dan pesan agama kita yang universal.

Bagi sahabat dan penganut Kristian yang menyambut Krismas, sekuntum puisi sebagai akhiran kepada tulisan ini, seraya ucapan selamat dan harapan:

Natal Dengan Arusan Kasih

Dan terlafaz doa dari Mazmur
Jemaah Kristus menyambut syukur
Puji doa berserta tafakur
Dengan rahmah Kasih terus menabur

Sama mendoakan yang terendam dan terpadam
Sama berdiri dengan yang ternafi dan terdiam
Sama berpihakan dengan yang tercabut dan terbungkam
Sama berjuang dengan yang merintih nyawa terancam


Moga Cinta Kasih yang dicita
Akan menyinari alam semesta
Natal dirai Hari Mulia dengan
Kemanusiaan dilaung bersama

Pada umat Adi Nasraniyah
Moga Natal Seindah Barokah.



MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan