Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Harapan Tahun Baharu, Tekad Kemanusiaan Lebih Padu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Setiap tahun kota-kota besar dunia akan menyambut kedatangan Tahun Baharu dengan meriah. Tahun baharu mengganti dan kita meninggalkan kalender lama. Namun hidup yang “sama” terus berlanjutan. Berat ringan dari tahun lalu pasti harus terus dipikul dan dipertimbangkan.

Mudah kalau disyorkan: Masuk tahun baharu, kita berganjak dengan segar dan yakin, meninggalkan yang lama. Kenyataan ini tidak boleh dipungkiri kerana hidup adalah kesinambungan panjang antara dahulu, kini dan masa hadapan.

Yang wajar adalah kita merenung kembali bukan sahaja kejayaan dan kekurangan yang telah kita tempuhi secara peribadi, termasuk ehwal keluarga dan taulan tersayang. Namun sama pentingnya, kita renungkan apa yang telah berlaku sepanjang tahun 2024.
Ternyata tahun 2024 adalah jangka waktu yang getir untuk warga dunia. Perang dan pembunuhan masih belum reda di Palestin dan Ukraine. Timur Tengah terus bergelora dan seperti tiada jalan keluar. Semakin hari suara-suara permusuhan lantang bergendang sehingga menenggelamkan seruan perdamaian.

Paling jelas, kita masih dilanda penjajahan, rasisme, peperangan, perebutan kuasa, perang saudara, kelaparan, rusuhan, salah guna kuasa, korupsi, pembantaian terhadap kaum minoriti, pelecehan seksual, diskriminasi jantina dan banyak lagi.

Diburukkan lagi dengan keseimbangan ekologi yang semakin kacau, pemanasan bumi yang membawa kepada paras air laut yang meningkat, suhu laut yang bertambah panas sehingga mengancam kehidupan laut, sedang gelombang udara bergelora akibat badai kencang.

Persaingan ketenteraan dan ekonomi antara kuasa-kuasa besar dunia masih memuncak. Malah kita di ambang perang nuklear yang akan menjahanamkan manusia dan seluruh kehidupan di bumi ini, sekiranya kuasa-kuasa dunia masih menggila mempertahankan kepentingan masing-masing.
 
DUNIA MASIH TERBELENGGU

Di banyak belahan dunia, politik berhaluan kanan yang berunsur fasis semakin lantang, sekali gus mengancam demokrasi, hak kemanusiaan.

Pendatang asing ditentang, hak minoriti dikekang, sambil mendabik dengan jeritan ketuanan (supremacist) itu dan ini, yang kian galak dan lantang.

Kelembapan ekonomi dek kondisi politik yang tidak stabil menyebabkan ramai terhimpit, khususnya golongan miskin yang mana gaji semakin menekan kelangsungan hidup, sedang inflasi melonjak tinggi.

Kesenjangan ekonomi semakin melebar, dengan sumber dan kekayaan tertumpu kepada segelintir golongan elit, sedangkan jutaan masih dibelenggu kemiskinan dan ketidakcukupan.

Namun, perenungan akhir tahun ini harus juga dapat melihat bahawa tidak semua di dunia ini gelap dan muram. Di saat manusia dilanda pelbagai bencana, terbangun pula suara-suara yang semakin lantang menolak peperangan, pembunuhan kanak-kanak dan perempuan, kekerasan ke atas kaum minoriti, kelaparan, dan rampasan hak rakyat yang teraniaya.
(Gambar: AFP/CHIP SOMODEVILLA)
Di merata dunia, terutama di Eropah dan Amerika Syarikat, di pelbagai kampus, siswa-siswi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah peperangan di Gaza dan menuntut kampus mereka membatalkan pelaburan yang berkaitan dengan kepentingan ketenteraan.

Solidariti di peringkat global ini adalah penanda baik akan kepekaan para belia yang menolak peperangan dan kekejaman.

Menentang imperialisme kuat menderu sedangkan media sosial dimanfaatkan untuk mendedahkan segala bentuk kekejaman dan kejahatan.

Hiprokrasi media massa di Barat yang berkepentingan semakin sukar berselindung dalam dunia yang kian menyebarkan media alternatif.

Pendedahan demi pendedahan membuat lebih ramai celik akan kedurjanaan kuasa yang berselindung atas nama itu dan ini.

Juga semakin kuat penolakan kumpulan-kumpulan NGO di pelbagai negera, yang menentang pencerobohan ke atas hutan, paya bakau, pembinaan empangan, penambakan laut yang menjejas penduduk pesisir dan sara hidup nelayan, pengambilan tanah secara paksa yang memusnahkan penduduk asli, serta banyak lagi.
(Gambar: Pexels)
KUATKAN TEKAD

Tambah lagi, semakin bersemarak gerakan menggalakkan dialog antara agama agar nilai toleransi dan harmoni dipertahankan dalam masyarakat. Usaha sebegini meredamkan persengketaan yang kalau tidak dibendung akan menyalakan api keganasan dan kehancuran.

Ini adalah sebilangan petanda-petanda menggalakkan. Usaha sebegini pastinya bukan datang secara kebetulan, tetapi kerana hidupnya semangat manusia untuk menolak segala bentuk keganasan, kehancuran, ketidakadilan dan ketidakmanusiaan. Selagi suara moral begini dapat hadir, ia memberi sekelumit harapan bahawa dunia yang lebih adil dan aman boleh diwujudkan.

Kewarasan memikir dan menilai betapa banyak kerosakan dan kejahatan dan keterabaian yang berlaku, adalah masalah sejagat yang memerlukan manusia menolak dengan pendirian moral yang tegas. Ertinya, kita perlu ada kemampuan melihat kekuatan dan keberanian manusia untuk membuat kebaikan dan menjamin kesejahteraan.

Kita harus mencari lombong kemanusiaan yang boleh menawarkan pancuran perasaan nurani yang jelas, mata air cinta-kasih yang memulih, dan teduhan sejuk yang memberikan keamanan dan kedamaian untuk semua. Membangunkan nurani manusia sama pentingnya membangunkan institusi sosial.

Inilah yang harus kita isi dalam pendidikan kita, baik yang berbentuk formal mahupun sosial. Kebaikan itu tidak datang bergolek sebagai anugerah, melainkan adanya kesedaran, perancangan dan keberlanjutan aksi. Sama penting, kepimpinan harus dipertanggungjawabkan sekiranya ada dasar yang salah.
Seorang kanak-kanak bersama ibu bapanya di Singapura. (Gambar fail: TODAY/Raj Nadarajan)
Masyarakat, khasnya anak-anak kita harus didedahkan untuk berani menolak kebencian, kejahatan, keganasan dan kerosakan.

Sebaliknya mendekati yang aman, damai, adil, berkasih sayang dan ikrar untuk saling bekerjasama. Juga harus diperpanjangkan cara berfikir bahawa “revolusi” peribadi untuk menjadi warga dan manusia yang adil saksama dan demokratik sangat penting didahulukan daripada terghairah melulu mahu merubah institusi atau struktur politik.

Inilah sisi pendidikan yang membangunkan diri untuk dapat membangunkan masyarakat yang harus diberikan perhatian. Malah pemikir asal India seperti M N Roy pernah mengatakan bahawa jangan kita ghairah sangat untuk membangunkan institusi sedangkan peribadi kita, dengan nilai dan pemikiran masih tersendat dan terkurung.

Sekiranya, literasi politik masih mundur dan sikap sivik mencerut, jangan harap keadilan dan kebaikan boleh berdiri di tempat sendiri.

Dengan kesedaran dan peneguhan moral, kita harus berani memilih yang adil bukannya yang kejam, yang berakal bukannya yang bebal, yang damai bukannya yang sengketa.

Pencerahan ilmu penting untuk membasmi kejahilan, salah faham dan mudah disumbatkan dengan kerancuan berfikir.
 
(Gambar: Pexels)
Ini akan terhasil sekiranya ada penguatan ilmu, moral dan rohani yang menjadi landasan penting untuk umat manusia menegakkan keadilan, kebajikan, dan bersaing dalam melakukan kebaikan. Kuasa kebaikan harus dipupuk, diiktiraf dan disosialkan kepada generasi ini dan seterusnya. Sebaliknya penindasan dan penginjakan hak manusia harus ditolak dan dilawani.

Kebaikan bukan setakat diserukan, tetapi diberikan teladan yang nyata. Usaha ke arah mengembangkan daya empati juga perlu dipertingkatkan.

Lantaran itu, suara-suara moral dan nurani harus tampil di tengah-tengah masyarakat. Ini boleh sahaja datang dari ranah pendidikan, keagamaan, kesenian, malah dalam kalangan kepimpinan.

Daya kritik, yakni ketajaman membezakan yang benar dan salah, yang kukuh dan rapuh harus diasah. Begitu juga ia dapat membezakan sesuatu yang membangkitkan dan yang menjadikan parasit dalam masyarakat. Kita memerlukan bukan sahaja generasi yang menolak kekerasan, tetapi juga generasi yang tahu punca dan sebab musabab wujudnya kekerasan.

Mengasah ketajaman berfikir mesti berjalan sama dengan sikap membaik-pulih, meringankan dan mengamankan. Jalan kritik mesti digandingkan dengan jalan kreatif. Jalan dialog harus membudaya, bukan jalan kekerasan yang merosakkan segala. Sikap yang mendabik kita sahaja yang benar, dan yang lain salah dan tersasar, wajar diperbetulkan.

Yang harus diajarkan adalah setiap manusia mempunyai martabat dan hak menentukan nasib mereka sendiri.

Tahun 2025 ke depan pastinya lebih mencabar. Jalan ke depan ialah mewujudkan dunia yang penuh kasih sayang dan luhur nurani, bukan dipertajamkan dengan keangkuhan, kerakusan, kebiadaban dan kebencian.

Memberikan hak kepada setiap yang hidup harus menjadi lafaz bersama, dan segala dalih-dalih yang enggan menerima prinsip ini harus ditepis dan ditegur.

Dunia ke depan hari, dengan media massa yang cergas, akan menjadi penyaksi dan hakim akan segala kejahatan dan kerosakan yang dilakukan. Di sinilah kita mesti lebih bersedia untuk mengasah tingkat kemampuan kita dalam mengukuhkan penilaian ke atas kejadian yang berlaku, dengan kesanggupan bahawa yang jahat ditolak, yang teraniaya dibela, yang meragukan pula diluruskan.

Usaha memperteguhkan manusia dan masyarakat yang berdiri tegap demi kemanusiaan sejagat. Manusia dan masyarakat yang menyantuni orang lain akan menciptakan dunia yang rukun. Itulah juga yang pernah dibayangkan oleh Usman Awang sebagai “Dunia Yang Senyum,” yang pernah menjadi judul sebuah puisi beliau. Kita tukil sedikit dari puisi tersebut, yang berbunyi:

“Di antara kita dan dunia yang mesti hidup,
Ada dua manusia dalam satu denyut,
Kuasa yang besar padanya segala terpaut.

O dengarlah harapan yang banyak ditumpahkan,
Suara cinta-damai terbang bersayap membumbung.

Jadikanlah senapang itu kecapi dan gitar
Petiklah, bukan candit bedit yang pelurunya bergegar.

Gantilah bom-bom itu dengan bola mainan anak-anak,
Panggillah pemuda dan gadis-gadis menari
Di tangan mereka bunga-bunga warna-warni
Dunia yang senyum bakal kita miliki.”


Itulah harapan yang harus berputik dan mengharum. Selamat Tahun Baharu 2025!
 

MENGENAI PENULIS


Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan