KOMENTAR: Hakis kesangsian dan usahakan bersama untuk kecapi kebahagiaan
Perkahwinan pertama mungkin gagal. Tapi ini tidak bermakna mahligai seterusnya juga bakal runtuh. Bagaimana semua ini boleh dielakkan?
(Gambar hiasan: Drew Coffman/Unsplash)
BERITAmediacorp: Pasangan berkahwin semula dengan keluarga tiri masing-masing memang berhadapan dengan cabaran besar untuk menjayakan mahligai kedua.
Bagaimana penyesuaian diri dan khidmat nasihat yang betul boleh membantu mereka?
Mengharapkan ‘pisang tidak berbuah dua kali’, begitulah harapan bagi pasangan yang berkahwin semula atau keluarga tiri dalam membina mahligai kali kedua.
Kegagalan kali pertama tidak bermakna tiada harapan untuk mengecapi kebahagiaan lagi. Namun, cabaran dalam penyesuaian diri dan penerimaan pasangan dan anak-anak sering melemahkan pasangan keluarga tiri dalam usaha memperkukuhkan hubungan keluarga baru mereka.
Cabaran adalah ujian hidup. Ujian adalah sebahagian dari kehidupan. Mempunyai sebuah keluarga tiri adalah satu cabaran dan juga peluang dalam memperbaiki hubungan manusia sesama insan.
Ini hanya boleh berlaku jika kedua pasangan sedar dan bersedia menyelesaikan konflik yang dihadapi melalui khidmat nasihat dan kaunseling seperti yang dikelolakan oleh badan-badan Melayu/Islam.
Antara badan-badan itu termasuklah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Pusat Kaunseling Persekutuan Seruan Islam Singapura (Jamiyah) atau Pusat Khidmat Keluarga (FSC) bagi mendapatkan bantuan awal.
PERANAN AMAT PENTING
Keluarga tiri, seperti keluarga asas, merupakan kelompok sosial kecil dan institusi primer yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia merupakan sumber pendidikan utama dalam aspek pengetahuan dan nilai kepada ahli keluarga.
Malah, ibu atau bapa tiri memainkan peranan yang amat penting untuk menyatukan keluarga dan anak-anak tiri sebagai sebuah institusi keluarga yang besar.
Khidmat nasihat dan kaunseling yang dikelolakan badan bantu diri masyarakat adalah sumber dukungan yang bermakna kepada pasangan yang berkahwin semula dan keluarga dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan moden.
Apabila keluarga berjaya mengatasi cabaran, maka sebuah keluarga yang bahagia terbentuk.
Dalam usaha ini, pelbagai ilmu dan maklumat diperlukan. Dahulu, sesebuah keluarga bergantung kepada generasi lebih tua dalam mendapatkan nasihat dan sebagainya.
Kini, dengan perubahan zaman, keluarga besar (extended family) sudah sukar ditemui. Oleh itu keluarga nukleus perlu berusaha mendapatkan ilmu kekeluargaan dengan cara yang agak berbeza.
SIKAP TIDAK ACUH
Namun demikian, masih ramai yang memperlekehkan atau mengambil sikap yang tidak acuh untuk menggunakan khidmat nasihat dan kaunseling.
Ada yang bertanggapan masalah rumah tangga adalah perkara peribadi suami dan isteri yang boleh ditangani oleh kedua pasangan tanpa pelibatan orang luar.
Pemikiran seperti ini adalah salah.
Sebaliknya cara berdepan dengan masalah rumah tangga sama seperti masalah di dalam kehidupan, ia memerlukan pendekatan yang berasaskan ilmu kepakaran dan kemahiran, jauh dari emosi dan sangkaan.
Malah, untuk membina keluarga yang bahagia, aman dan damai memerlukan usaha dan kadangkala pertolongan untuk mempelajari cara menghadapi perubahan secara positif.
Terutama sekali dengan mengadaptasikan diri dengan kaedah yang baru dalam menyelesaikan konflik secara positif.
Malah Islam menggalakkan seperti pandangan yang dijelaskan oleh ulama besar kita.
PIHAK BOLEH DIPERCAYAI
Imam al-Ghazali berpandangan setiap masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri boleh diluahkan kepada mereka yang layak untuk menyelesaikan masalah itu seperti kaunselor, asatizah, teman rapat, peguam dan hakim.
Selain mereka, adalah tidak digalakkan menceritakan masalah yang berlaku dalam rumah kecuali kepada orang-orang yang boleh dipercayai sahaja.
Larangan itu bertujuan untuk mengelak daripada penyebaran cerita yag tidak benar sehingga menimbulkan fitnah lalu seterusnya mengeruhkan lagi keadaan.
Oleh itu, amat baik sekali jika ramai pasangan yang berkahwin semula bersedia menggunakan khidmat nasihat dan kaunseling dalam membantu mereka menghadapi masalah seperti tekanan disebabkan oleh perpisahan yang lalu dan tekanan dalam menyesuaikan diri dalam keluarga baru.
Ini adalah cabaran masyarakat Melayu/Islam Singapura dalam mewujudkan institusi keluarga tiri yang kukuh dan harmoni. Ini tentu sekali menuntut perubahan persepsi secara berterusan demi memperkukuhkan hubungan keluarga tiri.
UBAH PERSEPSI
Baru-baru ini, PPIS Vista Sakinah menyambut ulang tahunnya yang ke-10. PPIS Vista Sakinah merupakan satu-satunya pusat khusus yang menyediakan program dan perkhidmatan bagi perkahwinan semula dan keluarga tiri Melayu/Islam di Singapura.
Ia adalah satu inovasi kepada kaedah konvensional dalam memberikan bimbingan menyeluruh lagi seimbang merangkumi aspek fizikal, mental, sosial, emosi, rohani dan spiritual.
Walaupun sudah 10 tahun memberikan khidmat, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk mengajak pasangan dan keluarga tiri untuk memanfaatkan nasihat dan khidmat kaunseling serta bengkel pembangunan diri yang diberikan.
Pandangan yang mengaitkan program dan perkhidmatan bagi perkahwinan semula dan keluarga tiri hanya untuk golongan bermasalah wajar diubah.
MEMPERSIAP KELUARGA TIRI
Masyarakat perlu difahamkan bahawa perkhidmatan bagi perkahwinan semula bertujuan mempersiapkan pasangan keluarga tiri dengan ilmu dan kemahiran dalam membina rumah tangga dan memperkukuhkan hubungan keluarga yang dibina buat kali kedua.
Contohnya, khidmat bagi perkahwinan semula dan keluarga tiri yang dilakarkan oleh Pusat Khidmat PPIS Vista Sakinah menekankan konsep fitrah dan kesejahteraan manusia secara dinamik dan komprehensif.
Sekali gus ini mengajak pasangan dan keluarga tiri mengurus isu, masalah dan ujian kehidupan sejajar dengan nilai-nilai kekeluargaan yang kukuh.
Selain itu terdapat juga khidmat mempersiapkan anak-anak secara emosi bagi perkahwinan semula ibu atau bapa mereka dan program pengayaan bagi kanak-kanak memperkukuh hubungan bersama keluarga tiri, ibu mahupun bapa tiri mereka.
LEBIH TERBUKA
Bagi pasangan yang telah menggunakan khidmat nasihat dan kaunseling pusat berkenaan, berdepan dengan isu penyesuaian dan penerimaan, lebih banyak keluarga tiri kini lebih terbuka.
Mereka juga akur bahawa pendekatan berbeza daripada proses membangun keluarga asas diperlukan dalam memperkukuhkan dinamik keluarga tiri.
Ini meliputi kaedah fungsi keluarga, teknik keibubapaan dan hubungan suami isteri. Natijahnya, kita melihat peralihan tanggapan dalam kalangan masyarakat dengan keyakinan bahawa keluarga tiri juga boleh berjaya dan kekal bertahan jika penyesuaian yang secukupnya dibuat.
Oleh itu, hakiskan kesangsian dan bersama kita mengecapi kebahagiaan.
MENGENAI PENULIS:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.