Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Hak Laluan Transit: Prinsip Antarabangsa Yang Tidak Boleh Dipergadaikan

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Hak Laluan Transit: Prinsip Antarabangsa Yang Tidak Boleh Dipergadaikan

Sebuah peta yang menunjukkan Selat Hormuz. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)

SINGAPURA: Dalam dunia yang semakin tidak menentu, perkembangan geopolitik di Timur Tengah telah sekali lagi mengingatkan kita bahawa laluan maritim bukan sekadar garis di peta.

Ia adalah nadi kepada perdagangan global, keselamatan tenaga, dan kestabilan ekonomi. Bagi Singapura, sebuah negara kecil yang sangat bergantung kepada perdagangan, hak dan kebebasan navigasi bukan pilihan tetapi keperluan yang bersifat eksistensial.

Seperti yang ditekankan oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dalam kenyataan di sidang Parlimen minggu ini tentang krisis pembekalan tenaga, konflik di Timur Tengah membawa kesan langsung kepada Singapura, daripada kenaikan harga tenaga kepada gangguan rantaian bekalan global. Ketidakstabilan di satu laluan strategik boleh memberi kesan meluas hingga ke rantau kita.
Related article image
Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berucap di Parlimen pada 7 April 2026. (Gambar: Mediacorp)
UNDANG-UNDANG LAUT

Di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Convention on the Law of the Sea) (UNCLOS), selat seperti Selat Hormuz serta Selat Melaka dan Singapura dianggap sebagai Straits Used for International Navigation.
Related article image
Kapal-kapal di Selat Melaka dan Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
Dalam selat-selat ini, undang-undang antarabangsa memperuntukkan hak laluan transit kepada kapal dan pesawat sebagai satu hak yang berterusan, tidak boleh digantung, dan tidak tertakluk kepada syarat, seperti kebenaran atau pembayaran yuran.

Artikel 44 UNCLOS menyatakan bahawa sesebuah negara tidak akan menghalang atau menggantung laluan transit. Banyak prinsip dalam UNCLOS terutamanya yang berkaitan dengan kebebasan navigasi dan laluan melalui selat antarabangsa, dianggap secara meluas sebagai sebahagian daripada undang-undang lazim antarabangsa.

Ini bermakna mereka tidak bergantung kepada pengesahan sebarang perjanjian. Justeru, walaupun sesebuah negara tidak meratifikasi UNCLOS, ia masih terikat dengan peraturan lazim seperti hak laluan transit.

Kepentingan laluan antarabangsa seperti Selat Hormuz dan Selat Melaka dan Singapura, dapat dilihat melalui data global. Selat Melaka dan Singapura sahaja mengendalikan pengangkutan sekitar 23.2 juta tong minyak sehari, diikuti Selat Hormuz sekitar 20.9 juta tong sehari, dalam konteks aliran global kira-kira 80 juta tong sehari. Ini menjadikan selat ini antara selat paling kritikal kepada ekonomi dunia.

Namun, perkembangan mutakhir di Selat Hormuz menunjukkan satu perkembangan yang amat membimbangkan bukan sahaja dari sudut pandangan geopolitik dan ekonomi, tetapi juga dari sudut undang-undang antarabangsa.
Related article image
Sekatan Selat Hormuz akan terus dilaksanakan untuk kapal-kapal dari Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara yang menyokong mereka. (Gambar fail: AP)
Pada awalnya, sebelum konflik Timur Tengah ini tercetus, Selat Hormuz beroperasi sebagai laluan antarabangsa terbuka, selaras dengan hak laluan transit. Namun, selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan tentera ke atas Iran pada akhir Februari 2026, Iran bertindak balas dengan menggunakan dron dan periuk api laut untuk mengancam dan menyerang kapal, dan secara berkesan mengenakan sekatan berfungsi. Trafik perkapalan menjunam dengan ketara, hampir berkurangan 90% dan sekali gus mencetuskan gangguan besar kepada bekalan tenaga global dan bahan penting lain.

PRINSIP MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA

Perundangan untuk mengenakan bayaran atau tol ke atas laluan juga dilaporkan telah diluluskan. Perkembangan ini menandakan satu perubahan asas iaitu daripada laluan transit sebagai hak, kepada akses yang bersyarat dan terpilih.

Prinsip undang-undang antarabangsa telah lama menolak pendekatan sedemikian. Di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahkamah ICJ menegaskan bahawa laluan di selat antarabangsa adalah hak yang tidak memerlukan kebenaran terlebih dahulu. Prinsip ini kemudiannya ditegaskan dan dikembangkan dalam UNCLOS sebagai hak laluan transit yang tidak boleh digantung atau dihalang.

Tambahan pula, realiti geografi menjadikan hak laluan transit lebih kritikal bagi Singapura. Di bawah UNCLOS, perairan wilayah boleh menjangkau sehingga 12 batu nautika. Namun di Selat Melaka dan Singapura, lebarnya di sesetengah bahagian kurang daripada dua batu nautika. Justeru, tanpa hak laluan transit, navigasi antarabangsa di Selat boleh terhenti sepenuhnya.
Related article image
Kapal-kapal di Selat Singapura pada 3 April 2019. (Gambar: Reuters/Henning Gloystein/Gambar fail)
Apa yang berlaku di Selat Hormuz hari ini memberi gambaran jelas tentang risiko masa depan untuk Singapura. Jika hak dan kebebasan navigasi menjadi sesuatu yang perlu dirunding atau dibayar, maka keseluruhan sistem perdagangan global akan menjadi tidak menentu.

KESAN TERHADAP SINGAPURA

Bagi negara kecil seperti Singapura yang bergantung kepada ekonomi global yang terbuka, ini adalah risiko eksistensial.

Dalam konteks ini, peribahasa Melayu “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” mengingatkan kita tentang pentingnya menghormati sistem antarabangsa berasaskan peraturan, di mana jua. Namun sistem itu sendiri mesti kekal teguh dan konsisten, bukan berubah mengikut tekanan geopolitik.

Singapura tidak boleh merundingkan tawaran supaya hak laluan transit perlu dihormati, termasuk persetujuan untuk membayar sebarang bentuk tol tanpa secara tersirat menghakis prinsip undang-undang ini. Untuk berbuat demikian adalah untuk mengubah sebuah hak menjadi keistimewaan yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

Kesan konflik Timur Tengah ini dirasai oleh seluruh dunia. Dan akhirnya, semua negara, termasuk rantau kita, perlu berdepan dengan implikasinya.

Dengan genjatan senjata yang baru dipersetujui oleh Amerika Syarikat dan Iran, Selat Hormuz mungkin boleh dibuka semula dan pembekalan global mungkin boleh diteruskan dalam tempoh ini. Namun, kesan daripada apa yang telah berlaku mendedahkan kelemahan bekalan perdagangan global, dan kesannya akan terus berlanjutan lama selepas gencatan senjata berakhir.
Related article image
Pemandangan udara di Selat Hormuz yang dirakam pada 10 Disember 2023. (Gambar fail: REUTERS)
"Sekali air bah, sekali pantai berubah".

Dalam dunia yang bergelora ini, prinsip dan undang-undang antarabangsa adalah sauh kita untuk negara kecil seperti Singapura; kerana tanpanya, kita akan hanyut mengikut arus kuasa.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Zhulkarnain Abdul Rahim ialah Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita